Subky Abdul Latif

Tuesday, July 12, 2005

APA KELEBIHAN USTAZ AZRAI AHMAD?

APA kelebihan Ustaz Azrai Ahmad, 72 yang mati menjelang subuh Ahad 10 Julai 2005 setelah tidak sedar diri lebih seminggu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia Bandar Tun Razak.

Saya tiba di rumahnya di Bukit B Cheras Baru, kurang dari setengah kilometer dari perkuburan Islam Cheras ketika jenazahnya sedang diturunkan dari rumah. Penuh sesak orang di sekitar rumah dan melempah hingga ke jalan dan lorang berhampiran.

Tidak kurang dari seribu orang. Sekaliannya adalah kaum kerabat, taulan dan orang-orang yang mengaji daripadanya di sekitar kawsan Cheras, Bandar Tun Razak dan kawasan-kawsan sekitar di Kuala Lumpur.

Saya tidak rapat dan tidak begitu mengenalinya walauun Al-Marhum adalah pengasas PAS Kawasan Cheras. Saya tahu dan beberapa kali bertemunya di rumahnya, di majlis ceramah PAS di kawasan kediamannya dan di masjid di kariyahnya.

Seminggu sebelum beliau meninggal, sebelum saya keluar dari hospital HUKM di Bandar Tun Razak, saya dimaklumkan Ustaz Azrai sedang nazak. Waktu agak lewat dan saya pun bertongkat, teragak-agak untuk naik semula dan berjalan jauh ke wadnya.

Saya sekadar minta kirim salam kepada keluarganya. Tidak menolak untuk datang kemudian.

Pagi Ahad saya dimaklumkan beliau meninggal sekitar pukul 2 malam itu. Saya segera ke rumahnya. Saya melihat jenazahnya di bawa ke masjid untuk dimandi dan disolatkan.

Jalan sempit macet untuk keluar dari kawasan rumahnya. Orang ramai dan kereta penziarah penuh di kiri kanan bucu jalan. Di Masjid juga penuh dan tiada lagi ruang kosong letak kereta.

Dari mana ramai sangat orang. Di dalam masjid sudah penuh sejak lebih setengah jam semasa menunggu jenazah dimandi dan dikapankan. Masing beriktikap sementara menunggu janazah untuk disolakkan.

Siapa Ustaz Azrai, penuh sesak masjid itu. Di situ lebih ramai dari di rumah.

Beliau adalah orang PAS lama. Saya diberitahu beliau berasal dari Sabak Bernam. Saya pernah mengirim orang bertemunya membincangkan penubuhan PAS Kawasan Cheras.

Maklum balasnya dia bersedia mengumpul kawan-kawan mengasaskan PAS di situ tetapi tidak berupaya untuk memimpin kerana faktor generasi. Tetapi tindakannya membawa kawan-kawan bersama dapat menubuhkan Kawsan PAS di situ tetapi bukan beliau menjadi pemimpinnya.

Tetapi nama beliau selalu disebut oleh rakan-rakan kepada saya.

Dia sudah menjadi orang kuat PAS di zaman saya belum masuk PAS. Dia bergiat ketika saya belum bergiat. Ketika saya bergiat, beliau menjadi penggerak dari belakang di tempat kawasan berhampiran kediamannya.

Saya belum melihat kematian orang biasa, dikunjungi seramai itu. Kadang-kadang pembesar pun tidak sebegitu.

Sejam sebelum solat orang sudah mengambil wuduk. Ketika solat saf mesti rapat-rapat. Sepenuh-penuhnya orang solat jenazahnya di masjid itu. Saya tidak dapat mengagak berapa ramai. Tetapi tidak kurang dari seribu orang. Yang berkopiah putih lebat. Sedikit sangat yang bersongkok.

Mengikut pandangan Islam, jenazah yang dirai, disolat dan dibawa ke kubur beramai-ramai, melempah kawasan dan masjid, adalah orang yang sangat-sangat dihormati Allah. Saya sangat kagum dan menghormatinya kerana ramainya orang menghormati jenazahnya.

Jenazahnya dibawa dengan pengusung dari rumah ke masjid. Di masjid pengusung ditinggalkan ke tepi. Orang tidak mengusungnya ke kubur.

Tetapi yang ramai itu tidak banyak bergerak dari masjid, sebaliknya jenazah yang berkapan itu dihulur kepada orang yang menunggu sepanjang laluan jenazah ke kubur.

Orang ramai hanya berdiri kiri kanan membentuk lorong di tengah. Jenazah itu dihulur oleh orang yang tidak bergerak, disambut oleh orang yang disebelah. Begitulah sampai ke luar masjid dan terus ke kubur. Seramai-ramai orang yang berhajat untuk mengangkat jenazahnya tidak perlu mengangkat, tetapi sama-sama dapat melepaskan jenazah itu dari masjid ke kubur.

Saya selalu dengar pengalaman itu di tempat lain. Tetapi itulah kali pertama saya menyksikan penghormatan seperti itu.

Alangkah bahagia jenazah dan ruh Ustaz Azrai. Rugi orang-orang kenal tidak dapat bersma hari itu. Saya terasa dia seorang yang mendapat rahmat yang istimewa.

SeTAPAK
12/07/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home