Subky Abdul Latif

Sunday, July 10, 2005

FITNAH KES JUDI OSU BAGI UMNO

PECAHNYA kes Osu Haji Sukan di mahkamah Sabah atas isu tuntutan hutang judi menjawab kehilangan Osu dalam arena politik yang aktif sejak beliau habis tempoh giliran menjadi Ketua Menteri Sabah.

Agak ganjil bagi politik, khususnya di Sabah, seorang yang pernah diamanahkan menjadi Ketua Menteri hilang terus dari pandangan masyarakat setelah tempohnya jawatannya tamat. Namanya hilang terus dan dia tidak pernah diberi apa-apa jawatan.

Ia suatu yang jarang berlaku dalam UMNO. Lazimnya UMNO memberi kedudukan dan menjamin razki pemimpinnya yang tamat atau ditamatkan perkhidmatan dalam jawatan politik besar kerajaan.

Almarhum Tan Sri Ghazali Jawi yang ada masalah ketika pertama kali jadi Meteri Besar Perak dihantar menjadi Duta ke Mesir dan kemudian menjadi menteri cabinet. Almarhum Tan Sri Abdul Rahman Talib yang disabitkan rasuah oleh mahkamah juga dihantar ke Mesir sebagai duta kerana dengan sabitan mahkamah itu tidak layak lagi dia menjadi menteri.

Hatta Almarhum Dato Harun Idris yang pernah dipenjarakan kerana kes rasuahpun mendapat berbagai jawatan dalam UMNO dan syarikat UMNO.

Tiba-tiba Osu tidak diketahui apa terjadi hilang dari politik yang aktif setelah tamat tempoh dua tahun menjadi Ketua Menteri Sabah pilihan rakyat. Dia tidak terus menjadi Ketua Menteri kerana sistem giliran dua tahun bagi jawatan itu tamat tempoh.

Sayonaranya kepada jawatan itu, pada pandangan umum, bukan kerana apa-apa masalah tetapi kerana giliran jawatan itu bagi BN hanya dua tahun. Lepas itu jawatan itu digilirkan pula kepada parti BN yang lain yang mewakili kaum lain pula. Sistem ganjil itu telah ditamatkan.

Osu hilang dan tidak kedengaran alam perkembangan nasional. Dia ada di Sabah dan di rumahnya tidak dikira misteri. Misterinya dan menyepinya adalah dalam kontek maklumat nasional.

UMNO Sabah asyih menonjolkan orang junior seperti Dato Syafie Afdal dan Musa Aman serta orang yang pernah diketepikan seperti Tan Sri Kasitah Gadam. Mengapa Osu tidak diaktifkan kembali sedang dia adalah orang pilihan Dr. Mahathir yang dikirim balik ke Sabah untuk memimpin kerajaan dan parti.

Jawatan kerajaan banyak, mengapa bekas Ketua Menteri itu tidak diberi apa-apa.

Sekarang barulah orang ramai mulai faham setelah tersiarnya berita mahkamah Kota Kinabalu menolak saman dua kasino luar negeri menuntut hutang judi sebanyak RM7.1 juta daripadanya.

Setakat ini belum tersebar maklumat yang mensabitkan dia salah kerana berjudi. Selagi berita seperti itu belum tersebar, maka payah bagi sesiapa untuk mengesahkan dia berjudi.

Munkin sudah ada sebarannya di luar negeri. Tetapi di Malaysia hal tersebut belum terbaca.

Adapun tuntutan saman mahkamah adalah perkara biasa. Selagi makamah tidak memutuskan perkara itu, maka Osu dikira ada menghadapi tuntutan. Orang yang kena tuntut belum dikira bersalah selagi tidak disabitkan.

Bagaimanapun saman cukup untuk mencemarkan nama baik seseorang. Nama itu sudah tercemar dan tetap tercemar sekalipun mahkamah membebaskannya.

Kes Dato Seri Anwar Ibrahim misalnya. Sebelum dan selepas mahkamah membuat keputusan, kesnya ditolak oleh masyarakat umum. Apapun Dr. Mahathir dan mahkamah anggap tentamg kesnya, ia tetap buang ke sungai oleh rakyat massa. Tetapi kes itu tetap menjadi satu fitnah kepada diri dan keluarga Anwar.

Dalam fitnah kes Osu, Osu, UMNO dan pemimpin UMNO tetap terfitnah. Apa jua Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi kata tentang kes itu dan kedhaifan Osu sebagai pemimpin ia tetap menjadi gambaran buruk kepada UMNO yang sememangnya tidak pernah bersih.

Sekalipun pimpinan Abdullah Badawi dalam kerajaan dan UMNO berteriak lantang untuk memerangi rasuah dan politik rasuah, menahan, mendakwa dan melucutkan jawatan ke atas pembesar dari jawatan kerajaan dan pimpinan parti, tetapi ia masih belum menjadikan Malaysia bersih d ari rasuah dan UMNO bebas dari politik wang.

Yang kena penjara ada, yang kena tangkap ada, yang kena buang dari jawatan ada, semuanya tindakan bersifat pilihan yang jarang-jarang. Badan anti rasuah ada. Sama seperti adanya akta anti dadah yang keras. Tetapi kesalahan dadah bertambah hari demi hari hingga ia menjadikan isu keganasan antarabangsa terlalu kecil. Dadah lagi besar.

Hakikatnya UMNO dan pemimpinnya masih diselimuti warna warni budaya kuning dan kekuningan. UMNO diterima sebagai parti tidak mencegah maksiat, tidak memerangi rasuah, tidak menentang judi, tidak membeci arak dan zina dan berbagai-bagai lagi.

Sekarang Datuk Seri Abdullah ditonjolkan sebagai pemimpin anti semua paksi kejahatan. Kiranya ia benar, ia bersifat individunya. Kerana dia ada di situ. Ia belum tentu kerana UMNO mesti macam itu atau macam dia. Bila dia tiada, maka UMNO dan kerajaan boleh jadi tidak macam dia lagi.

Oleh kerana UMNO itu pertubuhan setuju dengan amar makruf saja, tidak pernah komited dengan nahi munkar, maka ia menjadi tempat berkumpul untuk untuk bermaksiat dan tempat berlindung sekalian yang maksiat.

Kes saman Osu atas hutang judi adalah atas kelemahan Osu dan Osu boleh disalahkan oleh UMNO. Tetapi UMNO juga mesti disalahkan kerana dalam UMNO ramai yang berjudi sebab UMNO melihat judi seperti kesalahan minum arak. Ia hal peribadi.

Dan dalam tindakan terhadap Osu, maka UMNO dipercayai tahu lama masalahnya dan dipercayai, inilah kesnya dia tidak digunakan lagi setelah tidak menjadi Ketua Meneri Sabah. Tetapi UMNO masih membiarkan dia menjadi Ketua UMNO bahagian Papar.

Kesnya besar bukan kerana hutang. Biasa dalam dunia sekarang orang berhutang terutama peniaga. Bila tidak terbayar, boleh dimufliskan. Ia tidak dipandang buruk sekarang.

Tetapi judi masih buruk selagi tidak diseret ke mahkamah. Dan apabila tuntutan itu sampai tujuh juta ringgit, maka bagaimana hutang judi itu boleh jadi sampai sebesar itu?

Osu wajar dibenarkan membela diri dan bersihkan namanya. Tetapi dia adalah satu mangsa dasar masyarakat yang mementing politik nahi munkar. Hari ini Osu. Esok dan seterusnya siapa pula yang menjadi mangsa sistem dan amalan jahiliyah?

SeTAPAK
10/07/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home