Subky Abdul Latif

Wednesday, July 13, 2005

ISA SENYAP BERSAMA KUASA DATUK BANDAR

ADAKAH Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato Roslin berasa lega berikutan senyapnya isu Tan Sri Isa Samad, Menteri Hal Ehwal Wilayah Persekutuan yang tergantung keadaannya sekarang.

Jawatan Datuk Bandar itu menjadi panas beberapa minggu sebelum meletupnya isu rasuah politik Tan Sri Isa dalam UMNO hingga terpelanting menteri itu dari jawatan Naib Presiden UMNO.

UMNO Wilayah Persekutuan seolah-olah menunjuk maru dalam minggu-minggu akhir kekuatannya di Wilayah Persekutuan dan UMNO apabila isu kuasa Datuk Bandar dipersoal untuk UMNO Lembah Kelang khususnya sayap budak-budaknya.

Budak-budak UMNO itu bangun secara sekonyong-konyong menuntut supaya kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur dikaji semula supaya dikurangkan. Kononnya Datuk Bandar itu terlalu banyak kuasa dan tiba masanya kuasa yang diberi kepada penjawat pegawai awam itu ditarik balik setengahnya.

Kuasa apa yang hendak ditarik itu belum diperincikan. Kononnya Datuk Bandar itu terlalu banyak kuasa. Budak-budak UMNO itu mahu setengah kuasa itu diberi atau dikongsi kuasa dengan UMNO.

Dato Roslin yang baru menjadi Datuk Bandar setelah Tan Sri menjadi menteri di wilayah ini membantah gerakan mengurangkan kuasanya itu kerana katanya, Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah Datuk Bandar yang paling kurang kuasa dibandingkan dengan semua Datuk Bandar di dunia.

Tan Sri Isa cuba memperlihatkan diri sebagai orang yang tidak terlibat lalu menunjukkan reaksi akan menimbangkan kemahuan budak-budak UMNO. Bagaimana pun perkembangan itu dipercayai didalangi oleh pemimpin UMNO itu sendiri.

Kuasa itu kurang atau berlebihan telah begitu sejak dari dulu. Jika dibandingkan dengan zaman Tan Sri Alias Omar dulu, Datuk Bandar di bawah menteri Isa seolah-oleh tidak berapa berkuasa. Dato Roslin adalah Datuk Bandar yang kedua di bawah Isa Samad.

Yang pertama tidak disambung khidmatnya apabila tempoh kontraknya tamat. Dato Roslin adalah pegawai di DBKL yang dinaikkan pangkat menjadi Datuk Bandar. Dia sudah berkhidmat di bawah banyak Datuk Bandar.

Semasa Tan Sri Alias menjadi Datuk Bandar, dia dilihat lebih menonjol dari Menteri Wilayah Persekutuan hingga orang tidak berapa ingat siapa menterinya ketika itu. Dia dirasakan menteri ketika itu dan menterinya dirasakan seperti Datuk Bandar.

Malah Datuk Bandar ketika itu terasa sehebat Timbalan Perdana Menteri. Oleh kerana Timbalan Perdana Menteri ketika itu antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersifat world, maka tidaklah Datuk Bandar itu mengatasinya, tetapi dengan penonjolannya, terasa Datuk Bandar Alias itu boleh menggantikan Perdana Menteri. Begitulah ibarat berkuasanya dia.

Tetapi Dato Roslin tidak dilihat apa-apa, mungkin kerana Tan Sri Isa adalah seorang Naib Presiden UMNO yang bila-bila masa boleh dinaikkan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Sebelum naik ke situ, mungkin menteri itu memerlukan lebih kuasa bagi melayakkan diri untuk sebaga ‘raja muda kedua.’

Kuatnya tekanan supaya kuasa Dato Roslin dikurangkan agak terasa di ibu kota ini. Tetapi isu tenggelam apabila menterinya dihadapkan ke Lembaga Disiplin UMNO dan jawatannya dalam parti dilucutkan semua kerana dia disabitkan atas dakwaan politik wang.

Untuk beberapa minggu cerita kejatuhan Isa Samad menjadi isu hingga kedudukannya sebagai menteripun terawang-awang. Nak dikatakan dia menteri, dicari pun tak dijumpai. Nak dikatakan sudah bukan menteri, namanya belum dilucutkan dan dia boleh menerima gaji lagi.

Dia hilang dari media dan isu hendak mengurangkan kuasa Datuk Bandar pun buat sementara waktu ini juga hilang dari media.

Kisah Isa mulai reda. Kira-kira dia sudah habis. Kiranya dia dengan segala publisiti yang diterimanya, jika dia muncul semula dalam politik UMNO yang aktif, maka ia adalah satu keajaiban. Kiranya ia berlaku, samalah seperti Saddam berkuasa semula di Iraq.

Apabila Isa disunyikan sementeri menunggu kputusan rayuan, isu Isa senyap dan isu mengurangkan kuasa Datuk Bandar ikut senyap.

Perhatian sekarang ialah apakah UMNO akan membangkitkan semula apabila kerusi Isa di kementerian itu diisi orang lain. Budak-budak UMNO wajar memperincikan dimana letaknya kuasa yang dikatakan lebih itu.

Dan Dewan Bandaraya mesti menjelaskan adakah ia cukup kuasa untuk mentadbirkan Kuala Lumpur sekarang. Kira-kiranya tanah kerajaan digunakan oleh UMNO lalu ia lebih menguntungkan UMNO dari menguntung DBKL, maka boleh tidak dengan kuasa yang ada ia diselesaikan?

Kiranya ada tanah seperti itu, Datuk Bandar mesti bertegas bertindak supaya ia dimanfaatkan oleh DBKL. Kiranya Datuk Bandar terpaksa berhedapan dengan UMNO, maka ia adalah cabaran.

Semua pihak meninjau semua bekas Datuk Bandar yang ada, sekurang-kurangnya tiga orang sekarang tentang kuasa Datuk Bandar itu. Kiranya ia perlu dikaji, maka ketiga-tiga mantan Datuk Bandar itu mestilah dijadikan anggota jawatankuasa mengkajinya.

Mereka ada pengetahuan mengenainya. Tetapi sebarang kajian boleh mengambil kira pandangan UMNO, bukan demi melindungi kepentingan UMNO di Dewan Bandaraya.

Isu ini tidak berbangkit sebelum Isa dibawa ke situ d ari Seremban. Dengan dia kini balik ke Teluk Kemang, isu itu senyap dan Dato Roslin bolehlah dikira menjadi orang yang selesa dengan keadaan yang ada.

SeTAPAK
13/07/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home