Subky Abdul Latif

Monday, July 11, 2005

JOHN GARANG, NAIB PRSIDEN PERTAMA SUDAN

09 JULAI, 2005 adalah hari Sudan, kata John Garang yang mengangkat sumpah menjadi Naib Presiden Pertama Sudan di hadapan Presiden al Bashir.

Semua pihak di Sudan hari itu merayakan kemunculan sebuah Sudan yang baru setelah ia terjerumus dalam kencah perang saudara sejak leblih 25 tahun dan John Garang sendiri menjadi ketua pemisahnya selama 25 tahun.

Sudan yang kata menjadi miskin kerana perang saudara itu yang menjadi penghalang kemajuannya sejak ia merdeka. Bukan pemimpin-pemimpin yang mengambil alih pemerintahan dari British sejak merdeka menghabaikan pembangunan, tetapi seelok-elok merdeka ia berdepan dengan pepeprngan.

Wilayah-wilayah di selatan berpenduduk bukan Islam – Kristian dan tak beragama – mengangkat senjata untuk berpisah dengan Sudan yang bukan saja padat dengan Islam tetapi memang berpegang kuat kepada Islam. Malah Sudan adalah wilayah yang subur dengan penghayatan Islam baik rakyat mahupun Negara.

Keadaan itupun sudah cukup untuk menjadikannya susah kerana dunia yang dikuasai oleh Yahudi dan Kristian yang terbelenggu dengan Yahudi memang melarang mana-mana bahagian di dunia ditadbirkan secara Islam.

Sudan bukan saja dipencilkan oleh dunia yang dipengaruhi oleh orang putih, malah dunia Arab yang sekular hatta Saudi sendiri memencilkannya.

Hassan Turabi yang berperanan membantu al Bashir berkuasa setelah menggulingkan al Nameiri, dan menjadikan Presiden Al Bashir berhaluan Islam memulakan dialog dengan John Garang. Kerja-kerjanya memberangsangkan kerana terdapat ketua-ketua pemberontak bersama Garang meningalkan Garang kembali ke Sudan.

Mereka menjadi orang penting Negara dan berperanan membawa setengah dari pemberontak berdamai. Tetapi John Garang tetap tidak sedia berdamai. Perpecahan antara al Bashir dengan Turabi hingga kini Turabi masih ditahan, melambatkan usaha damai.

Usaha yang dimainkan oleh Pertubuhan Perpaduan Afrika banyak membantu menyatukan semula pihak yang bertikai. John Garang sendiri setelah 25 tahun mengetuai perang pemisahan tidak juga nampak untuk mencapai matlamatnya dalam waktu yang terdekat. Maka dalam beberapa siri perundingan di Kenya, di Mesir dan lain-lain tempat, mereka mencapai persetujuan berdamai.

Bulan lalu John Garang dan Presiden al Bashir mendanda tangani perjanian berdamai di Khahirah yang dianjurkan oleh Presiden Husni Mubarak. Acara bersejarah itu disiar penuh secara langsung oleh TV al Jazeera.

09 Julai lalu Presiden Bashir menerima kepulangan John Garang ke Khartoum dan memberi laluan kepada John Garang mengangkat sumpah menjadi Naib Presiden Pertama. Othman Taha, Naib Presiden sebelum itu masih kekal dengan jawatan yang sama.

Semua tahu peperangan saudara itu didalangi oleh kuasa barat. Sehingga ini Sudan tidak dapat dipecahkan walaupun menjelang rundingan damai itu Sudan digempar dengan krisis Darfur yang meletakkan Sudan dalam suasana yang sangat payah.

Kalau dunia melihat tertekannya regim Sadam Husein mengadapi kepungan PBB dan ancaman Amerika, maka Sudan hamper menerima tekanan yang sama atas isu Darfur. PBB sudah campur tangan dan jelas ia menekan Sudan.

Sudan benar-benar menghadapi tekanan antara bangsa, dan tidak dapat diduga apa akan terjadi jika PBB pergi beberapa langkah lagi menghukum Sudan.

Dunia sejak mula prejudis kepada Sudan terus menyalahkan Sudan dalam isu Darfur.

Dalam suasana inilah Al Bashir berjaya membawa John Garang kembali ke pangkuan Negara dan menunjukkan keupayaannya berkongsi kuasa dengan John Garang untuk membentuk sebuah Sudan baru.

Buat waktu terdekan Sudan diminta tidak mengambil laluan sebelumnya iaitu ke arah Negara Islam yang menjadi syariah sebagai perundangan Negara. Kerana kepulangan Garang dan menamatkan peering saudara itu lebih utama, maka Sudan wajar bertolak ansur, tidak lari keyakinannya terhadap Islam tetapi biarlah ia tidak dilihat Islam seperti yang ditakui oleh Amerika.

Perkembangan di Sudan itu adalah satu permulaan berkongsi kuasa yang penting yang perlu dipelajari oleh dunia. Dunia barat yang berperang di Iraq dan Afghanistan tidak terdaya membelanjakan lagi wang yang banyak untuk campur tangan dalam Negara lain pula, maka masing-masing boleh berpuas hati kalau Sudan boleh mencapai satu persetujuan yang dilihat menang kepada semua atau win-win.

Amerika boleh berpuas hati kalau sokongannya terhadap John Garang tidak dilihat kalah dalam persetujuan yang dicapai. Mereka tentunya berpuas hati melihat John Garang diakui dan dijadikan Naib Presiden Pertama, dan Sudan kekal sebagai Sudan yang bersama.

Perpaduan dan demokrasi baru Sudan itu boleh menumpukan kerja-kerja bagi menyelesai isu Darfur dan membangunkan Sudan. Wang yang dibelanjakan untuk berperang, tentulah kini boleh digunakan untuk membangunkan sebuah Sudan yang bersatu yang tidak mengabaikan prinsip Islam sebagai addin walaupun ia tidak dilihat sebagai tenaga Islam yang Amerika dan barat takut.

Al Bashir diharapkan tahu keupayaannya, tidak melanggar arus dan menggadaikan kedaulatan rakyatnya, menggunakan kefahaman Islam yang menjadi kepercayaan rakyat melahirkan Sudan yang kondusif untuk semua pihak.

Sudan sanggup berperang lama dan ia tetap dipihak yang tidak kalah. Dan ia tentunya boleh melakukan yang terbaik dan tidak kalah dalam Sudan yang bersatu. Ia tidak mengeciwakan Garang dan orang-orangnya dan ketika yang sama Sudan juga tidak dikecewakan oleh Garang dan orang-orangnya.

Dunia dan rantau teluk boleh belajar dari pengalaman Sudan menghadapi reformasi demokrasi di dunia sebelah situ.

SeTAPAK
11/07/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home