Subky Abdul Latif

Sunday, July 17, 2005

PM KELIRU DENGAN KEBEBASAN AKHBAR

PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi dalam kritiknya kepada wartawan-wartawan yang menyalah gunakan kebebasan berakhbar, secara langsung dan tidak langsung mempertikai kewujudan konsep kebebasan akhbar secara umum.

Kebebasan berakhbar adalah suatu yang sudah diterima oleh tamaddun dunia sebagai suatu yang amat penting dalam amalan demokrasi dan Islam. Selagi Islam dan demokrasi menerima keadilan dan kemerdekaan adalah cirri-ciri yang wajib ditegak dan diamalkan, maka kebebasan akhbar wajib diiktiraf.

Dalam apa keadaanpun kesempurnaan kebebasan itu dan amalannya yang sihat hanya berlaku apabkla wujud keluhuran undang-undang dalam masyarakat. Secara umum dunia sudah punya undang-undang bagi mengawal amalan kebebasan berakhbar.

Jika berlaku salah laku di kalangan wartawan atau media, ia bukan disebabkan wujudnya kebebasan berakhbar, tetapi kegagalan sebuah masyarakat menegakkan satu negara undang-undang yang tegas.

Apabila berlaku kepincangan dalam amalan kebebasan berakhbar tadi, undang-undang mesti melihat kepada kesalahan yang dilakukan dan apa hukuman yang wajar dikenakan kepada pelakunya, bukan menghukum institusi kebebasan itu sendiri.

Menyalahkan kepncangan itu adalah kerana amalan kebebasan berakhbar, samalah dengan sikap dan cara berfikir George W. Bush mengenai Islam. Bush melihat Islam sebagai sumber keganasan, bukan orang-orang ganas itu sendiri. Apabila berlaku teror, maka yang pertama mengetuk otak Bush ialah Islam.

Justeru itu yang Bush cuba lakukan ialah membetulkan Islam. Islam jangan ada jihad, Islam jangan ikut al-Quran seratus peratus dan Islam diamalkan. Akhirnya Islam jangan ada di mana-mana.

Islam tidak pernah salah sejak Nabi Adam hingga qiamat. Yang salah ialah orang Islam melakukan maksiat dan Islam tidak diamal dan tidak dikuat kuasakan.

Bagi mengetahui apa yang betul dan apa yang salah dalam Islam, lihat Quran. Dapat pahala dan barakah membacanya, tetapi yang paling aula ialah melaksanakannya – beramal dengan yang disuruh, menjauhi dan mencegah apa yang dilarang.

Bagi mengawal kepincangan dalam Islam, Islam ada al-Quran, diadakan mahkamah, ada hakim dan pendakwa, diadakan polis dan didirikan lokap dan penjara. Hakim dan pendakwa mempericikan apa yang salah dan apa hukumnya dan menyeru semua orang supaya mematuhi. Tetapi polis tidak membuat tangkapan dan mahkamah tidak pernah bersidang.

Dalam keadaan seperi itu Islam, al Quran dan mukjizat yang ada dalam Quran tidak boleh disalahkan apabila kepincangan yang berlaku. Tidak wajar orang Islam mencari yang lain pula bagi mengatasi kepincangannya atau melarang ajaran Islam dimartabatkan mahkamahnya tidak bersidang.

Kebebasan berakhbar adalah benda yang betul. Undang-undang sudah cukup bagi memastikan pengamalnya mengikut peraturan. Sebarang kepincangan yang berlaku seperti Perdana Menteri Abdullah Badawi cuba pericikan dalam ucapannya, didakwa mengikut undang-undang yang ada, bukan membatalkan konsep kebebasan akhbar atau menggunakan ISA yang tidak payah berbicara untuk menghentikan penerbitan atau memerintahkan akhbar ditutup.

Jika siarannya berunsur fitnah, maka dakwa dan hokum dia mengikut peruntukan yang ada. Mahkamah sudahpun menjatuhkan humuman kepada Khalif Jafri kerana mahkamah mesabitka kesalahannya menulis buku memftnah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khalid dipercayai tidak akan melakukan yang seperti itu lagi dan orang lain pun tidak akan melakukan sepertinya. Kiranya ada yang mengikuti jalan itu, dia akan didakwa seperti itu juga.

Dengan kejadian itu tidak bererti buku-buku tidak boleh ditulis dan pendedahan atas sebarang kepincangan dihentikan. Pendedahan terhadap penyelewengan mesti diteruskan. Fitnah dan yang melanggar undang-undang saja perlu dielakkan.

Seorang Perdana Menteri akan merasa kebebasan itu sangat perlu sebelum dia menjadi Perdana Menteri dan selepas dia bersara. Tunku Abdul Rahman Putra mempengaruhi syarikat Utusan Melayu memecat Dato Ahmad Bustamam dari syarikat itu semaa menjadi Perdana Menteri.

Selepas bersara beliau menggunakan amalan kebebasan berakhbar menegur apa saja dalam tulisan mingguannya di akhbar Star. Banyak tulisannya menyindir pentadbiran Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir menggunakan ruang kebebasan berakhbar mengedarkan kepada umum surat-surat peribadi antara Tunku dan beliau. Apabila akhbar tempatan tidak memberi ruang kepadanya, dia menulis buku The Malay Dilemma, dicetak di luar negeri. Walaupun bukunya diharamkan sebelum beliau berkuasa, tetapi ia tanda orang menjadi Perdana Menteri pun perlukan kebebasan itu.

Selepas menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahahir menggunakan sedikit ruang kebebasan yang ada untuk menyatakan kepada akhbar tentang isu pergantungan ringgi atas dolar Amerika dan isu AP kerata asing yang berlambak dalam Negara.

Jika kerajaan sekarang tidak mendengar kata-kata orang ramai, maka mungkin Dr. Mahathir jadi macam Tunku menggunakan media menegur kerajaan. Tetapi semasa dia menjadi Perdana Menteri, dia suka mengecam system kebebasan itu.

Kebebasan itu sebagaikan dari kehendak demokrasi. Dalam demokrasi juga banyat kepincangan. Tetapi apakah dunia wajar menolak demokrasi secara total atas beberapa kelemahan yang ada dalam demokrasi? Seleceh-leceh demokrasi ia masih dikira lebih baik dari diktatorsyip.

Dalam politik ada satu terminology yang dinamakan politik kotor. Ada orang tidak mahu berhubong langsong dengan politik kerana politik itu kotor. Apakah kerana adanya amalan kotor oleh setengah orang politik, maka politik wajar dicegah di Malaysia?

Walaupun politik itu ada kotornya, Datuk Seri Abdullah masih berpolitik dan dia tidak melarang menantunya berpolitik. Masing-masing berpolitik untuk berkhidmat. Mereka mendakwa mengelak yang kotor, mengambil yang bersish. Tetapi ada juga yang menggunakan politik kotor bagi menjamin kuasanya.

Dunia secara terbuka menerima demokrasi walau pun demokrasi penuh dengan kepincangan, masih membenarkan politik walaupun politik penuh dengan kekotoran, dan justeru itu terpaksa menerima kebebasan berakhbar walaupn ada antara pengamal yang jahat.

Kebebasan berakhbar adalah jauh lebih baik dari bergantung kepada dunia propaganda. Justeru itu Perdana Menteri yang saya kenal sejak sekolah, jangan keliru dengan amalan kebebasan berakhbar dengan orang akhbar yang jahat.

SeTAPAK
17/07/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home