Subky Abdul Latif

Monday, July 04, 2005

SYABAS UMNO! PENERIMA SUAPAN AJAR DIAJAR

SYABAS Datuk Seri Najib!

Itulah kata perangsang yang saya wajar beri kepada Timbalan Presiden UMNO itu yang mencadangkan supaya penerima suapan dalam wabak rasuah politik parti itu juga mesti diburu dan dikenakan tindakan.

Tiada kena mengena saya dengan UMNO. Lantaklah sama ada UMNO nak hancur atau nak mati akibat politik wangnya. Bagi saya diharamkan sekali lagi atau mati terus lagi baik. Terlalu banyak petakanya kepada bangsa Melayu dan Islam.

Dalam keadaan ia tidak mahu binasa, maka wajar dialu-alukan pandangan Najib untuk mengenakan tindakan disiplin kepada perwakilan UMNO yang menerima sogokan wang dari calon pimpinan dalam mana tahap jua.

Dalam kes Tan Sri Isa Samad, Naib Presiden UMNO yang dilucutkan kerana menyuap mungkin hampir dua ribu perwakilan, telah membantunya meraih kemenangan yang tidak siapa menduga dia mampu memperolehinya.

Jika Isa mengagih seribu untuk seorang, nescaya di situ saja dia habis RM 2 juta. Lain-lain belanja lagi munkin RM500,000. Dari mana duit itu diperolehi?

Jika beliau tidak berbelanja langsung dari 22 tahun menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, maka mungkin wang sejumlah itu dapat dikumpul dan dihabiskan dalam sekali pertandingan itu.

Katakanlah semua elaun sebulan dikumpulkan maka jumlahnya dianggarkan RM 10,000. Selama 22 tahun menjadi Menteri Besar dia mengumpulkannya maka jumlahnya PM 2,640,000. Segala perbelanjaan rumah tangga ditanggung atas pendapatan lain. Maka habis wang itu ditaburkan sekali pemilihan.

Atau ada penaja?

Pemimpin-pemimpin lain sejak dari dulu juga berbelanja seperti itu. Cuma mereka bernasib baik kerana UMNO tiada Datuk Seri Abdullah Badawi dan Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen, maka tiada sesiapa yang yang dilucutkan jawatan.

Jika Dolah Badawi dan Tengku Rithaudeen sudah ada s ejak merdeka, maka nasib Tun Razak, Khir Johari, Ghafar Baba, Tengku Razaleigh, Dr. Mahathir dan lain-lian belum tentu selamat.

Dan yang ikut merosakkan UMNO bukanlah pemimpin-pemimpinnya saja, malah ahli dan perwakilan yang hanya mengundi dengan jumlah duit yang diberi, sentiasa menghantui calon-calon yang tidak berakhlak itu.

Perwakilan telah biasa memeras ugut calon. Mereka mengambil dari semua calon. Suapan dari siapa saja diterima, tetapi yang membayar sedikit, paling kecil harapan berjaya. Dan yang memberi besar pun tentu diberi undi. Pemimpin-pemimpin yang bermaruah jika ada dalam UMNO, pun nescaya jadi yang tidak berakhlak juga justeru budaya rasuah politik itu.

Isa memperalatkan mereka untuk menjadi pemimpin. Dengan undi yang diperolehinya, dia jadi orang ketiga dalam UMNO dan kerajaan. Kira pekungnya tidak terbongkar, jika berlaku sesuatu ke atas Abdullah Badawi dan Najib, maka tercokoh Isa di kerusi Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Tetapi Isa sendiri pun dirosakkan oleh ahli-ahli yang menjadi buaya darat. Mereka bukan sekadar menadah tangan dan nyiru, malah memaksa pemimpin memberi banyak kalau mahu menjadi pemimpin.

Mereka yang berkerumun dalam UMNO seperti itu bukan berada di situ kerana perjuangan UMNO itu sangat, tetapi UMNO itu adalah lubuk dan lombong wang. Apa jua yang pemimpin UMNO buat terhadap agama dan bangsa Melayu, tidak menjadi peduli. Yang mereka peduli ialah banyak mana duit mereka boleh pungut dari pemimpin-pemimpin.

Setelah habis duit Tengku Razaligh dalam Semangat 46, mereka beralih semula kepada UMNO. Masih ada razki dalam UMNO. Lepas itu mereka mengikut gerakan reformasi. Sesudah razki di situ terhad, mereka balik kepada UMNO. Dan UMNO pun melayan talam dua muka itu.

Mangsa kepada sistem yang tidak bermaruah itu hanya Isa dan hulubalangnya Salim. Yang dicerca semua pihak siang malam ialah Isa. Pengamal sepertinya yang lain bernasib baik kerana tiada aduan dari sesiapa.

Maka mungkin Najib mahu berlaku adil kepada semua, dia mencadangkan supaya penerima wang sogok juga mesti dikenakan tindakan. Isa dan Salim adalah saksi.

Terdayakan UMNO untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap perwakilan UMNO yang mendapat razki dari Isa? Najib wajar meneruskan cadangan itu kerana mereka juga jahat dan merosakkan UMNO.

UMNO akan mengambil masa yang lama untuk menangkap pesalah itu. Bilangannya ramai. Tengku Rithaudeen terpaksa memerlukan tenaga yang ramai. Mungkin siswa menanggur yang ramai boleh dijadikan tenaga itu.

Jika Najib mampu melaksanakan cadangan ini, ia memberi harapan kepada UMNO reda terus dari amalan politik wang.

Saya mengalu-alukan tindakan itu demi menjadikan UMNO sebuah organisasi yang bersih, mudah-mudahan.

Sokongan saya itu dengan harapan tindakan membendung rasuah, baik rasuah sosial mahupun rasuah politik dapat dibendung.

Najib wajar disokong kerana cadangannya itu menjadikan dia benar-benar sedar tentang bahayanya politik wang yang juga rasuah politik. Rasuah politik adalah adik abang bagi rasuah sosial. Kedua-duanya mesti sama-sama dibesnteras.

Saya sepatut membiarkan saja supaya UMNO lingkup. Tetapi mengapa saya menyokong pula kerja-kerja yang boleh membaiki UMNO dan menjadikan Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO pemimpin yang anti rasuah?

UMNO yang rusak dan tidak mahu mati-mati adalah lebih buruk dari UMNO yang bermaruah sekalipun ia sekular. Jika anti penyelewengan itu disokong, maka datang kesedaran menyeluruh untuk membersihkan semua amcam rasuah.

Gerakan membersihkan UMNO dari ahli-ahli yang meminta sedekah, adalah permulaan kepada membenteras politik wang dalam pilihan raya. Najib jangan menghentikan pemberian wang kepada ahli-ahli yang tidak bermaruah itu saja, tetapi ia mesti memrangi sama amalan membeli undi dalam pilihan raya yang berluasa sekarang.

Habis duit negara digunakan untuk membeli undi berterangan. Tiada yang berani menghalang dan menahannya kerana ia dibuat atas nama kerajaan. UMNO boleh menghalang rasuah dalam partinya kerana ada orang bernama Ahmad Rithaudeen.

Tetapi kerajaan tidak ada Ahmad Rithaudeen untuk mendakwa calon dan penerima suapan.

Najib tidak boleh melihat rasuah politik itu ada dalam UMNO saja. Ia juga berleluasa dalam masyarakat khususnya dalam pilihan raya. Dolah Badawi belum melihat rasuah politik dalam pilihan raya sebagai rasuah yang perlu diperangi. Najib mesti berbeza iaitu memasukkan perbuatan membeli undi dan menjual undi ssebagai rasuah yang wajib dibenteras.

Jika Najib hanya menghadkan kepada rasuah dalam UMNO tetapi memejamkan mata tentang pembelian undi dalam pilihan raya, maka sahlah dia seorang yang munafik dalam politik.

Najib jangan menempah diri menjadi orang munafik.

SeTAPAK
04/07/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home