Subky Abdul Latif

Wednesday, July 20, 2005

TIADA DR.M DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

TUN DR. Mahathir tidak menghadirkan diri dalam Perhimpunan Agung UMNO 2005 ini. Kemeriahan perhimpunan itu tidak pula kurang, malah lebih diserikan oleh kehadiran ribuan budak-budak yang dinamakan Putera UMNO.

Agenda perhimpunan berjalan lancar dan kehebatannya tidak dapat disekat oleh ketiadaan orang bekas Presidennya. Seorang tokoh bernama Dr. Mahathir tidak hadir bersama isterinya, digantikan oleh seribu Putera UMNO. Kesimpulanya UMNO tak jadi apa-apa dengan ketiadaan seorang pemimpin.

Beliau dan isteri tidak hadir kerana bercuti di luar negeri. Cuti keluar negeri itu lebih aula dari menghadiri perhimpunan partinya yang didakwa dan dikatakan satu-satunya medan mendaulatkan Melayu.

Adakah cuti itu satu kebetulan atau beliau sengaja mengambil cuti pada masa UMNO mengadakan perhimpunan? Bukan perhimpunan itu diadakan serta merta. Ia sudah ditentukan lama. Mengapa pula mengambil cuti ketika UMNO bersidang.

Keperluannya hadir adalah pada hari perasmian. Tidak bolehkah tunggu setengah hari ketika Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Badawi menyampaikan ucapan dasarnya? Lepas itu pergilah ke kutubkah, ke Argintinakah atau ke langitkah.

Keperluannya hadir adalah untuk meraikan dan menyerikan perhimpunan besar parti itu. Lepas itu orang-orang sepertinya tidak diperlukan sangat di perhimpunan itu. Demikianlah biasanya bagi ahli-ahli UMNO meraikan parti itu. Meraikan parti sepeerti itu nampaknya untuk orang-orang UMNO lain yang tak bernama, bukan untuk yang bernama, seolah-olah bukan bagi Dr. Mahathir.

Biasalah bagi bekas tokoh UMNO tidak hadir di perhimpunan itu setelah tidak memimpin UMNO.

Dato Onn mempunyai sebab tidak hadir kerana dia bukan lagi ahli UMNO selama-lamanya. Tunku Abdul Rahman Putra hadir selepas bersara. Ada sebabnya. Dia munkin pilu kerana UMNO selepasnya mengiranya order lama dan yang gantinya order baru. Libat thema ucapan Tun Razak pada majlis mengambil alih pimpinan.

Tun Ghafar Baba, bekas Timbalan Presiden UMNO pernah tidak hadir selepas dia dimalukan oleh orang-orang UMNO dalam percubaannya mempertahankan jawatannya dalam UMNO.

Ketidak hadiran mereka ada cerita yang menyebabkan mereka berbuat begitu. Adakah ketiadaan Dr. Mahathir disebabkan oleh gejala dan pengaruh yang sama? Inilah yang orang UMNO kena fakir-fikirkan.

Perhimpunan Agung UMNO bagi ahli-ahli UMNO adalah ibarat temasya Sure Heboh bagi remaja. Berduyu-duyu belia berarak dari negeri ke negeri untuk berhibur dengan pesta Sure Heboh, maka ahli UMNO, tua muda, laki-laki perempuan berduyun-duyun ke pesta hiburan perhimpunan partinya.

Bagi UMNO ada keramatnya sidang itu dan mereka berhutang bergolok untuk menghadirinya. Tiba-tiba orang yang pernah mendapat kedudukan tinggi dalam parti mengambil cuti keluar negeri ketika ia bersidang dan ia seolah-olah patut dihadiri oleh orang-orang yang jadi ahli biasa saja atau ahli awamnya saja.

Tiada apa lagi yang hendak dicari oleh seorang yang berkedudukan tinggi tetapi tidak lagi memimpin. Tidak ada kemugkinan menjadi pemimpin lagi. Tiada nak jadi menteri dan tiada nak jadi wakil rakyat lagi. Bagi yang ada harapan untuk jadi itu semua, maka rajin-rajinlah ke perjumpaan parti.

Tiada apa lagi yang hendak harapkan, maka yang seperti itu boleh datang dan boleh tidak datang. Kali ini Dr. Mahathir memilih tidak datang.

Dalam keadaan yang tidak ada apa-apa, besar kemungkinan Perhimpunan Agung UMNO itu bagi Dr. Mahathir suatu peristiwa yang memilukan dan sangat sunyi. Lazimnya sejak berjuang dalam UMNO, perhimpunan itu suatu tempat yang menghidupkan dan dia berperanan.

Baik sebagai anggota perwakilan biasa mahu sebagai pemimpin, majlis itu sangat penting dihadirinya. Dia ada peranan yang besar. Dia dikelilingi dan diberi perhatian.

Tetapi sesudah tidak lagi memimpin parti, seperti perhimpunan tahun lalu Dr. Mahathir tidak lagi selesa baik untuk menghadirinya mahupun duduk saja di rumah. Untuk menghadirinya, dia nak buat apa. Dia tidak boleh mengambil bahagian. Kalau dia hadir mungkin ada perhatian. Mungkin akan mengalih tumpuan orang kepada perhimpunan.

Kalau orang tidak peduli lagi berat.

Kalau duduk di rumah, boleh juga dia memerhatikan sidang itu melalui siaran TV. TV memberikan liputan penuh. Mengikutinya dari TV kadang-kadang lebih baik kerana TV memberikan ulasan dan lain-lain perkembangan selain dari mengikut perbahasan.

Tetapi keghairahan mengikuti perhimpunan dari TV tidak sama dengan berperanan dalam sidang itu sendiri. Dia rasa kesunyian, terpisah dari orang lain. Yang ada isterinya saja.

Hal seperti ini boleh menyebabkan dia rasa terpinggir. Tiada orang yang memerhatikan dan tiada siapa yang nak ajak berbincang tentang UMNO dan segala masalahnya. Kalau ada pandangan yang patut diberi tidak dapat diberikan kerana dia bukan lagi pemimpin dan bukan lagi perwakilan.

Memang ia rasa sebagai terbuang. Orang yang tidak pernah menjadi pemimpin, tidak tahu rasa sunyi apabila tidak jadi pemimpin. Dalam pada itu ada pula kritik langsung dan tidak langsung terhadap pimpinannya. Tidak banyak peluang menjelaskan kalau ada peluang boleh pula meributkan.

Dr. Mahathir sudah ada pengalaman tahun sudah. Mungkin ia sangat sunyi dan memilukan. Tun Ghafar Baba juga kesunyian sepertinya. Apa lagi pemergiannya adalah ibarat dihambat. Mungkin Ghafar lebih terpencil daripadanya. Tetapi seleas beberapa tahun Tun Ghafar hadir dalam perasmian.

Mungkin ramai orang tidak dapat memahami perasaan pemimpin yang tidak lagi mendapat layanan seperti semasa menjadi pemimpin.

Kadang-kadang perkembangan seperti itu menjadi satu kejutan kepada bekas seorang pemimpin. Ada yang kena serang angin ahmar kerana kuatnya serangan saikologi yang mereka hadapi.

Justeru, Dr. Mahathir dipercayi lebih tenang dan senang menjauhkan diri dari perhimpunan itu. Lebih jauh pergi lebih senang. Tiada lagi gangguan dan tiada lagi serabut.

Berbeza dengan Tun Hussein Onn. Walaupun dia sekadar hadir pada perasmian, dia tidak terasa sangat kesunyian bila tidak hadir sepenuhkan ke perhimpunan. Dia sudah biasa berkurung dan lebih senang duduk sendiri.

Bagi orang yang ada talian dengan akar umbi, tinggal ke seorangan adalah satu keresahan. Dari menanggung resah sepanjang perhimpunan berlangsung, maka baiklah bercuti keluar negeri. Lupakan UMNO adalah satu cara mengelakkan kerunsingan.

Tetapi yang terbaik ialah bekas pemimpin patut belajar menghadiri perhimpunan parti supaya ia boleh melihat bagaimana perjalanan perhimpunan itu berjalan. Dia sudah melihat partinya dari atas. Sejak jadi orang atas sselama 30 tahun atau lebih, dia tidak pernah melihat UMNO dari bawah. Sekarang adalah peluang yang terbaik melihatkan dari bawah.

Sebagai orang yang pernah memimpin, amat berguna memanfaatkan masa melihat UMNO dari bawah supaya ia boleh memahami lagi UMNO.

SeTAPAK
20/07/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home