Subky Abdul Latif

Tuesday, July 26, 2005

UMNO TAK PEDULI PAS LAGI

DR. JUNAIDI, seorang penganalisis politik dalam ulasannya terhadap Perhimpunan Agung UMNO Agung UMNO 2005 berpendapat betapa perwakilan tidak lagi memperdulikan kewujudan PAS.

Ia tidak menyentuh langsung tentang PAS sebagaimana yang dilazim dalam perhimpunan dan pertemuan UMNO sebelum ini. Kalau ada pun sekadar beberapa ayat dalam ucapan Datuk Seri Najib Glokal ketika merasmi perhimpunan semua sayap UMNO sehari sebelum perhimpunan itu.

Najib Glokal mengulas tentang hakisan ulama dalam pimpinan PAS hingga tidak seorang pun dari tiga Naib Presidennya terdiri dari ulama dan Setiausaha Agungnya juga bukan ulama. Kalau ada pun PAS disebut, tidak dalam bentuk menyelar tetapi sekadar terkenang.

Malah Dr. Junaidi berpendapat, apa yang dilemparkan oleh perwakilan dalam perhimpunan itu adalah benda-benda yang PAS bangkitkan selama ini.

Saya kira Dr. Junaidi telah bercakap benar betapa UMNO sudah tidak merasa PAS suatu ancaman atau saingannya yang besar, bahkan tidak lagi satu saingan. Seoleh-oleh kewujudannya sudah tidak dirasakan.

Dr. Junaidi sekadar memberikan komen betapa UMNO sudah tidak lagi menghiraukan PAS. Jika benar komennya, bererti Dr. Junaidi sudah berkongsi pendapat dengan UMNO tentang PAS. Adanya seperti tiada saja.

Saya rasa bukan Dr.Junaidi dan UMNO saja terasa begitu. Kebanyakan masyarakat di negara ini malah di kalangan PAS sendiri terasa begitu. Dalam ucapan dasar Presiden PAS di Muktamarnya Mei lalu juga membayangkan demikian.

Bahasa yang digunakan ialah ‘murung.’ Is seoleh-olah murung selepas kalah dalam pilihan raya.

Tetapi keadaan suram itu bukan sekadar selepas pilihan raya dan bukan kerana kalah pilihan raya. Susana mengeliat seperti orang sakit sendi itu sudah wujud sebelum pilihan raya. Malah gejala itu sudah terasa semasa Dato Fadzil Noor masih ada. PAS dapat membuat telahan yang tepat tentang masa pilihan raya itu.

Lebih dari setahun PAS meramalkan bahawa tarikh pilihan raya lalu adalah sekitar Mac hingga Jun. Ramalan itu tepat tetapi jentera parti tidak bergerak. Tidak seperti lazimnya.

Bila PAS menang pilihan raya? Cuma dalam tahun 1999 ia mencapai kejayaan yang baik daripada sebelumnya. Tetapi setiap kali kalah pilihan raya, PAS muncul sebagai tenaga yang lebih menyengat. Jauh sekali dari murung. Kekalahan bukan faktor ia murung, tetapi ia sudah murung sebelum pilihan raya atau sebelum kalah lagi.

Apa yang disebutkan oleh Dr. Junaidi itu perlu diperhati dan dihati-hati oleh kedua parti itu ialah PAS dan UMNO. Perkembangan itu jika dihati-hati membawa padah kepada kedua-duanya.

Ia bukan suatu yang baik bagi UMNO kalau PAS terus menerus begitu dan terus tidak diberi perhatian oleh UMNO. Jika kelumpuhan PAS berterusan hingga ia dirasakan tidak ada lagi, maka ia bukan suatu yang baik pada UMNO.

Suasana damai di luar UMNO itu akan menyebabkan dalaman UMNO akan bergelora. UMNO memerlukan musuh dan ancaman besar di luar bagi mengukuhkan tahanan dalamannya. Jika ia tidak berlawan dengan musuh di luar, ia akan mencipta musuh di dalam dan akan berperang di dalam.

Ketika wujud perdamaian sementara antara UMNO dan PAS sejurus selepas Perikatan ditukar menjadi Barisan Nasiosnal, maka pimpinan Tun Razak yang tidak lagi bermusuh dengan Dato Asri yang memimpin PAS, terpaksa bermusuh dengan Dato Harun Idris. Perpecahan antara UMNO dan pergerakan pemudanya terlalu parah.

Justeru itu Dr. Mahathir telah mempengaruhi Tun Hussein Onn supaya menyingkirkan PAS dari Barisan Nasional. Natijahnya UMNO bersatu semula dan PAS membangunkan partinya semula sehingga ia menjadi parti alternatif kepada UMNO.

Jika PAS dirasakan sudah tiada, maka apa yang dikatakan ada orang Pak Lah Hadhari dan orang Najib Grokal serta Dr. Mahathir yang ada di luar tetapi orangnya ada di dalam, akan menjadi tsunami bila-bila masa.

PAS tidak mendapat apa-apa kalau terus murung ketika UMNO ada tsunami nanti. PAS memerlukan pulih semangat. Ia sudah cuba mengatasi gejala murung tadi dengan mewujudkan satu pasukan pimpinan baru demi melakukan lonjakan perubahan.

Tetapi yang dinamakan pasukan pimpinan baru itu satu pertukaran tokoh-tokoh dalam beberapa jawatan penting di bawah Presiden yang sama. Pertukaran itu adalah antara orang-orang yang di dalamnya juga. Yang dikatakan perubahan itu adalah pertukaran.

Yang dirasakan perubahan yang dibuat dua bulan sebelum Perhimpunan Agung UMNO itu langsung tidak dirasaskan apa-apa oleh UMNO. UMNO menghadapi pertukaran itu dengan tidak mempedulikan langsung kewujudan PAS.

Dalam pecubaan PAS melakukan lonjakan paradigma, ia mencari tokoh baru barang seorang dua, tetapi tokoh iu tidak diperolehi. Justeru itu yang tidak tokoh pun dijadikan tokoh.

Semua pihak baik dalam PAS mahu pun di luar PAS mahukan PAS yang dinamik. Mana yang keruh diganti dengan jernih. Bukan mengeruhkan yang jernih.

PAS mahukan tenaga pemikir yang boleh memberi berbagai-bagai suntikan kepada parti dan pimpinan. PAS memerlukan tenaga dalam berbagai bentuk yang boleh membantu PAS dan merengankan segala beban dan masalah yang ada dalam PAS. Bukan tenaga yang menambah masalah.

Mungkin juga PAS berhadapan dengan masalah yang dihadapi oleh Saidina Ali semasa menjadi khalifah. Orang bertanya kepada Saidina Ali gerangan apa maka pimpinannya tidak seperti pimpinan khalifah sebelumnya.

Saidina Ali menjawab kira-kira, semasa khalifah sebelumnya, pengikutnya adalah seperti beliau, tetapi semasa beliau pengikutnya adalah seperti yang lain-lain.

Semasa Haji Yusof Rawa memimpin, beliau ada Ustaz Fadhil Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang menjadi pembantu. Ketika Ustaz Fadzil memimpin, pembantunya adalah Ustaz Hadi Awang, tetapi pada zaman Ustaz Hadi ini penyokongnya adalah seperti kita semua.

Beliau memerlukan penyokong seperti Ustaz Fadzil dan beliau semasa Haji Yusof Rawa dulu. Penyokong-penyokong pemimpin terdahulu adalah orang-orang yang yakin kepada hikmat, barakah dan rahsia kepimpinan ulama.

Semua penyokong-penyokong ulama itu sedar akan kelemahan dan serangan saikologi yang dihadapi oleh ulama selama ini. Mereka bekerja siang malam di belakang ulama bagi mendaulatkan ulama. Natijahnya PAS bangun mengatasi masalahnya dengan pimpinan ulama.

Barakah dari kesetiaan kepada ulama itu menyebabkan UMNO siang malam dibayangi oleh kegerunan PAS yang dipimpin oleh ulama. Tetapi apabila kepimpinan dan intitusi ulama itu diserang oleh penyokong dan pendokong PAS, barakahnya hilang.

Apabila PAS mengenapikan pentingnya ulama dalam jawatan-jawatan tertentu dalam parti, seperti tiadanya ulama dalam jawatan Naib Presiden, maka rasa gerun dihati UMNO pun hilang. Dan UMNO pun tidak lagi mempedulikan PAS.

SeTAPAK
26/07/05

1 Comments:

Post a Comment

<< Home