Subky Abdul Latif

Monday, August 29, 2005

ANWAR SEPATUTNYA SUDAH JUTAWAN

DATUK Seri Anwar Ibrahim, ketua pembangkang di luar parlimen sudah boleh dikira seorang jutawan sekarang disebabkan oleh tuntutan saman atas dua kes memihak kepadanya.

Setakat ini mahkamah sudah memutuskan dia menang dalam samannya ke atas Khalid Jafri kerana menulis buku 50 Dalil Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri. Penulis itu dikenakan hukuman membayar lebih RM 4 juta.

Kalau kes itu terhenti setakat itu saja, maka Anwar sepatutnya boleh menerima RM 4 juta lebih.

Beliau juga memenangi saman ke atas bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor. Tukang tumbuknya itu bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dan bersetuju membincangkan jumlah yang patut dibayar kepada Anwar.

Banyak mana Tan Sri Rahim kena bayar tidak diumumkan, tetapi masakan tidak meniti angka juta.

Seolah-olah dalam masa setahun ini giliran Anwar menang di mahkamah. Kebetulan ia dalam tempoh pentadbiran Perdana Menteri baru, Datuk Seri Abdullah Badawi. Ia seperti musim Anwar.

Banyak tahun dulu jelas bukan musimnya. Tiada kes yang beliau menang. Yang penyokongnya rasa dia boleh menang, tidak menang juga. Masa itu seolah-olah mahkamah bukan tempat dia membuat pengaduan.

Sekali dia menang; terlepas dari penjara. Dia menang saja pula. Kemenangannya adalah dengan duit.

Jika semua duit itu dapat dipungut, kalau beliau hendak bersara dari berjuang, maka untuk keperluan keluarganya dia tak bekerja pun boleh hidung sampai akhir hayat. Sepatutnya dia sudah disenaraikan di papan orang jutawan.

Perhatian ialah terhadap rahim Nor. Tiada maklumat banyak mana dia kena bayar. Kerana mahkamah tidak berpeluang membuat keputusan justeru ia diselesaikan di luar mahkamah, ia menggalakkan banyak spikulasi.

Antara andaian orang surau dan kedai kopi, Rahim Nor kena tanggnung semua perbelanjaan guaman pihak Anwar dan sebarang tuntutan mahkamah jika ada. Jumlahnya bergantung kepada bil yang akan dikemukakan oleh para peguamnya.

Mungkin dulu peguam-peguam itu berkhidmat saja untuk Anwar. Memandangkan banyaknya kes yang dihadapi oleh Anwar, orang terasa Anwar tak terdaya menanggungnya kiranya peguam-peguam dibayar mengikut selayaknya mengikut perkembangan masa.

Khidmat percuma dulu wajar berbalai apabila Rahim bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah. Maka harga perkhidmatan mereka selama hari ini mestilah mengikut ganjaran yang mereka wajar dapat apabila mereka ke mahkamah.

Adakah patut begitu? Undang-undang tidak menghalang dan undang-undang itu tentulah adil. Kalau ia tidak adil tentu ia tidak dipakai. Tuntutan yang Anwar buat tentulah bukan mengambil peluang mahu jadi orang kaya dari kajadian dia ditumbuk orang, tetapi natijah orang tumbuk dia, dia terpaksa dirawat.

Ada yang menyebut tumbukan itu boleh menyebabkan dia maut. Dia juga menghadapi risiko lumpuh selama-lamanya. Dan bermacam-macam natijah lagi.

Perkara itu kadang-kadang andaian, Tetapi yang ternyata ialah Anwar dirawat dalam dan luar negeri. Dan dipercayai keadaannya tidak lagi seperti sebelum ditumbuk.

Anwar yang ada sekarang seolah-oleh orang hidup semula. Ia dilihat sihat bukan terjadi sihat begitu saja. Dia berkeadaan begitu dengan izin Allah adalah kerana rawatan yang diterimanya.

Tentulah tinggi belanjanya. Maka ia beban yang Rahim Nor kena tanggung. Begitulah sepatutnya.

Ketika menumbuk Anwar dulu, yang menumbuk itu adalah Ketua Polis Negara. Adakah mungkin kerajaan menampung perbelanjaan itu?

Kerajaan mahu melepaskan diri. Kerajaan sudah bertindak terhadapnya. Dia sudah dibuang dari jawatan dan perkhidmatannya dalam polis. Dia sudah dijatuhkan hukuman penjara. Dan kerajaan ada dalih. Arahan adalah untuk menahannya, bukan memukulnya.

Bagaimana Rahim hendak menyelsaikan semua bayaran itu?

Oleh kerana tidak terdengar apa-apa selepas persetujuan itu, maka mungkinlah ada persetujuan atas jumlah yang dituntut dan mungkin sudah selesai semuanya.

Apapun yang berlaku, jumlah yang Rahim Nor terpaksa tanggung bukanlah sedikit. Ia mesti banyak, malah lebih banyak. Dalam macam ini sukar baginya mendapatkan bantuan dari pihak lain.

Mertua, ipar duai dan adik beradik pun tak terdaya untuk membantu. Habis harta masing-masing, apalah lagi masing-masing mungkin tidak berharta.

Ia terpaksa dipikul sendiri. Rahim dan peguamnya tentu sudah dapat menduga rupa tuntutan itu. Apabila disetujui diselesaikan di luar mahkamah, bererti ada keupayaan menyelaikan.

Kalau tuntutan itu tinggi, di mana pula wang itu datang? Banyakkah hartanya? Pada masa kejadian, kewangannya adalah dari gajinya. Banyak mana boleh disimpan dari gaji? Jarang ada orang boleh menyimpan banyak dari gaji. Kalau tuntutan yang kena bayar itu besar, sukar untuk memikirkan ia boleh diselesaikan dari simpanan selama bekerja.

Apapun yang berlaku, Rahim masa itu belum boleh berniaga seperti kebanyakan bekas pegawai tinggi polis, maka dia dipercayai sukar menyelesaikannya dengan wang sendiri.

Dan Anwar pula dikatakan tidak akan menggunakan wang dari Rahim itu untuk peribadinya. Ia diserahkn untuk kegunaan guaman penyokong-penyokongnya yang ditahan dan didakwa polis selama dia memimpin gerakan reformasi.

Ertinya Anwar mahu menggunakan harta ketua polis untuk menghadapi semua kes polis. Polis menangkap mereka, tetapi belanja peguam mereka terpaksa ditanggung pula oleh bekas pemimpin polis.

Dari Rahim, Anwar tidak akan jadi jutawan. Hanya boleh jadi jutawan kalau selesai kes Khalid Jafri. Tetapi kalau dapat semua duit itu, tentulah dimasukkan ke tabung itu juga. Maka dia tidak hidup atas duit saman malu.

SeTAPAK
29/08/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home