Subky Abdul Latif

Sunday, August 28, 2005

APA KARTUNNYA AZMI NIKAH NORMALA?

TIADA apa takjubnya bagi Datuk Seri Azmi Khalid, seorang menteri duda dengan Normala Samsuddin, seorang wanita bercerai yang digambarkan sebagai wanita terayu semasa berkhidmat di TV3 satu masa dulu.

Mungkin kedua-duanya ada nama dan kemasyhuran tersendiri, tetapi ia tidak menghalang mereka kahwin seperti biasa orang kahwin.

Tetapi perkahwinan itu dikartunkan oleh kedua-duanya? Apalah kartunnya perkahwinan mereka hingga dikatakan berubah-ubah tempat dan diberitakan membatalkan tempahan makanan? Hatta permaidani yang dipesan yang sudah dihantar ke rumah dikononkan tidak jadi dibeli.

Berita mereka bersetuju kahwin memang menarik, tetapi cara mengkartunkan perkahwinan itu seolah-olah sedang menonton filem Hindustan.

Kahwin mereka adalah kahwin biasa dan mungkin istimewa sikit. Masing-masing sudah tua dan pernah kahwin. Jika dilihat usia Azmi, layak bercucu. Biasanya kahwin suasana seperti itu tidaklah perlu berkompang tiga hari tiga malam dan tak perlu bersanding.

Akad nikah di rumah siapa pun atau di masjid adalah munasabah. Tak salah kalau nak diadakan di hotel, panggil Mawi dan Siti Norhaliza. Kalau mahu minta Yang Dipertuan Agung dan Perdana Menteri merenjis pun tak mengapa kerana seorang menteri dan seorang lagi wanita yang pernah dikatakan tercantik yang tidak bergelar ratu.

Kalau itu gayanya memang akan diperkatakan juga satu dua kali keluaran. Azmi tidak boleh marah kerana siapa saja kahwin dengan Normala akan jadi bahan siaran media.

Tetapi tak mahu berjumpa orang, tak mahu diketahui orang dan tak mahu dimediakan mengapa? Siapa juga kahwin dengan Normala terpaksa hadapi itu semua, kerana Normala selain dari masyhur telah selalu diberitakan mahu kahwin.

Kalau Azmi tidak mahu itu semua kahwin dengan orang lain walaupun akan ada juga beritanya tapi tak segan kahwin dengan Normala. Kalau demi menyelamat pemimpin Puteri UMNO yang belum kahwin seperti Menteri Azlina Othman Said atau Naib Ketua Puteri UMNO dari Sabah.

Menteri-menteri duda yang sudah kahwin dengan menteri yang belum kahwin atau pemimpin-pemimpin Puteri yang belum kahwin. Orang lain payah kahwin dengan mereka kerana kupunya payah. Nak mencari menteri duda bukan senang. Maka atas tanggungjawab ke atas pemimpin-pemimpin Wanita dan Puteri UMNO yang lambat atau belum kahwin itu, menteri-menteri yang mati isteri yang wajar menawarkan keselamatan.

Itupun dicari wartawan media juga tapi tak seperti yang terpaksa dihadapi kerana kahwin dengan Normala.

David Marshal semasa menjadi Ketua Menteri Singapura, seorang peguam jenayah yang terkenal, kahwin dalam usia 54 tahun diraikan di hotel dengan 25 orang tetamu saja. Aman dan tersiar sekali berita. Lepas itu dia meneruskan kerja seperti biasa.

Kahwin Azmi dengan Normala adalah kahwin biasa. Ia sudah direstui oleh wali, Samsuddin.

Tetapi cara ia dikartunkan seolah-olah kisah Puteri Diana dan kekasih bangsa Mesirnya yang menjadi buruan paparazzi. Pengembaraan kedua diekori kerana mereka belum kahwin dan mereka menjadi teka teki akan kahwinkah atau akan habis sebagai kekasih biasa saja?

Cara Puteri Diana mensensasikan kehidupannya memang mengundang media berebut-rebut mencari kejutan terbaru.

Azmi dan Normala mahu nikah. Mereka bukan lagi diambang berkasih yang tidak diketahui akan berakhir dengan kahwin atau tidak. Kahwin sajalah dan kahwin itu tidak melibatkan kahwin lari, atau tak direstui wali atau melarikan kekasih orang atau berebut dengan orang tertentu.

Azmi sendiri dipercayai tidak diburu oleh sesiapa. Dia bukan suami orang dan dia bukan tunang orang. Kalau suami orang mungkin memerlukan kahwin dalam diam. Tetapi dia tidak ada apa masalah.

Kalau kahwin di Siam dalam diam-diam mungkin akan menjadi sensasi. Azmi adalah orang Perlis. Ramai orang ke Perlis kerana senang kahwin di sempadan. Azmi boleh gunakan kemudahan dan kesempatan itu. Tetapi kedua-duanya memilih kahwin normal di hadapan keluarga dan anak cucu.

Tiada apa yang perlu tukar ke situ dan tukar ke sini. Yang ditakuti sangat ialah dikejar oleh wartawan. Apa salahnya dikejar wartawan kerana Azmi memilih wanita yang diminati oleh wartawan dari dulu lagi. Kalau lari kerana diburu oleh wali atau keluarga yang cuba hendak menghalang perkahwinan itu, maka ada juga alasan menyorokkan perkahwinan, lari ke situ dan ke sini supaya tidak diketahui orang.

Dengan mengkartunkan perkahwinan itu, walaupun sudah kahwin, maka riwayat itu akan terus diperhatikan. Ke mana Azmi dan Normala nak lari. Mereka akan hadir juga satu hari dalam majlis rasmi dan muncul bersama di khalayak ramai. Maka ketika itu paparazzi akan mengambil dan akan disiarkan juga.

Kecuali Azmi sanggup jadi macam Jins Samsuddin sebagai orang dikenali ramai, tidak siapa kenal isterinya kerana dia tidak pernah berjalan dengan isteri.

Kisah kahwinnya menjadi bualan orang ramai sebab ia diberitakan begitu oleh media. Bila Azmi pergi sidang cabinet kawan-kawan menteri akan tanya macam mana dia kahwin dan macam mana media tak dapat cari?

Akhirnya bila Azmi dan Normala bertemu dengan orang, orang akan tengok atau orang akan terpandang, Azmi dan Normala akan terasa orang memandangnya tentang cara kahwin yang dikartunkan sedang ia boleh berjalan seperti orang-orang lain kahwin.

SeTAPAK
28/08/05

1 Comments:

  • assalamulaikum saudara subky, sy cuma nk ucapkan terima kasih atas blog saudara yg banyak membuka minda. tetntang blog saudara yg terdahulu macammana saya nk dapatlan? syukran.

    By Blogger iskandar, at 9:07 AM  

Post a Comment

<< Home