Subky Abdul Latif

Wednesday, August 03, 2005

AYAH PIN MACAM RAJA MELAYU PRA ISLAM

SEJAK sekian lama Ayah Pin, wakil kerajaan langit bersemayam di sebuah desa di Besut bagaikan tidak terganggu oleh semua kerajaan di bumi dan undang-undang yang ada dalam kerajaan bumi di negara dan negeri yang Ayah Pin diami.

Isu Ayah Pin dengan ajaran sesatnya adalah isu lama yang sudah dibangkitkan banyak kali di Dewan Undangan Negeri Terengganu dan media. Tidak pula kerajaan bumi yang negerinya ditumpang oleh ketua atau raja yang mewakili kerajaan langit mengambil apa-apa tindakan untuk mencegahnya sekalipun masing-masing mengesahkan ia adalah ajaran sesat.

Hatta setelah isu ini dipanaskan dalam tempoh sebulan ini, kerajaan pusat dan kerajaan negeri teragak-agak dan masih keliru untuk bertindak. Negeri tolak ke pusat dan pusat tolak ke negeri.

Oleh kerana bantahan ramai rakyat, kerajaan UMNO baru memulakan kerja-kerja melepaskan batuk di tangga tetapi belum lagi dapat menawan Ayah Pin yang masih bebas dalam persembunyiannya.

Beberapa orang penyokong Ayah Pin sudah dipegang untuk pemulihan akidah dan tiga dari empat isterinya sudah dihadapkan ke mahkamah dan difahamkan akan didakwa di bawah undang-undang takzir negeri itu.

Kerajaan pusat separuh UMNO belum membuat apa-apa pendirian jelas tentang Ayah Pin atau ketua kerajaan langit itu sendiri.

Kerajaan PAS 1999-2003 sudah menyiap dan mengemaskan undang-undang yang boleh digunakan untuk mencegah kerenah itu. Tetapi ia tidak ada polis dan belum ada lokap serta penjara. Polis negeri telah memberi isyarat tidak mungkin dapat membantu kerajaan PAS.

Kerajaan separuh UMNO di Puterajaya sudah menyatakan tiada sebang kerjasama antaranya dengan kerajaan PAS Terengganu; baik lokap mahu pun penjara. Ia tidak sempat bertindak.

Kerajaan pusat separuh UMNO berdalih, kes ajaran sesat adalah bidang kuasa kerajaan negeri. Dalam kes Ayah Pin ia berdalih begitu. DAlam kes royalti petrol ia tidak pedulikan hak negeri. Ia cabul peraturan. Pak Lah boleh arah apa saja pada Dato Seri Idris Jusoh. Tapi dalam hal Ayah Pin, Pak Lah dipercayai belum buat sebarang arahan kepada anak buahnya di Terengganu.

Tekanan rakyat agak maksima supaya kerajaan bumi bertindak kepada ketua kerajaan langit. Atas tekanan itu kerajaan membuat beberapa kenyataan amaran kepada golongan itu tetapi tiada kenyataan bertindak. Yang ada bersabar, bersabar, bersabar.

Ada rakyat yang tidak yakin kerajaan ada sikap nahi munkar dalam isu ini telah bertindak menceroboh kawasan yang kerajaan langit isytiharkan sebagai kawasan larangan. Ayah Pin sempat melepaskan diri. Tetapi penunjuk perasaan itu berhadapan dengan risiko tindakan undang-undang.

Mungkin yang menceroboh itu dijadikan ‘pengganas’ dan mereka mungkin diISAkan jika pendakwaan atas mereka itu jadi sensitif. Ada yang menyuruh Ayah Pin dikenakan ISA. Wakil rakyat Besut yang jadi menteri agama bercadang begitu. Yang dibimbangi, Ayah Pin tidak kena ISA, penceroboh pula mungkin kena ISA.

Kepincangan ini berlaku ialah kerajaan bumi UMNO tidak ada dasar jelas bagi menyelamat akidah umat. Ia sensitif dengan ancaman keselamatan yang meliputi jenayah politik, jenayah ekonomi, jenayah sivil dan lain-lain. Tetapi perkara utama yang dituntut oleh makasid syar’iyah seolah-olah kosong.

Makasid syar’iyah menuntut perkara utama yang perlu dikawal ialah ancaman akidah. Lepas itu baru ancaman jiwa, ancaman otak, ancaman maruah dan keluarga, dan ancaman harta.

Kerajaan UMNO tidak ada dasar menjaga akidah baik secara sivil (konvensional), Islam dan Islam Hadhari. Justeru itu kerajaan UMNO boleh bercakap tentang keselamatan akidah, sedang gangguan dari Ayah Pin adalah ancaman akidah.

Kumpulan Ayah Pin bukan sekadar sesat baginya sendiri, tetapi sesat dan menyesatkan orang lain. Bukar sekadar yang sesat itu murtad, ia memurtadkan orang lain.

Sebagai ketua kerajaan langit cawangan Malaysia, Ayah Pin boleh disamakan dengan taraf raja Melayu sebelum kedatangan Islam di alam Melayu. Satu video kunjungan Ayah Pin ke Bali tahun 2004 menunjukkan sambutan yang diterimanya.

Pakaiannya kekuning-kuningan, warna rasmi sami, yang lain-lain putih. Payung kebesaran yang memayhunginya lebih dari satu. Hebat dari kebanyakan raja-raja Melayu selepas kedatangan Islam.

Rakyat jelata menyebahnya, kira-kira sama dengan penganut Budha Siam, Laos dan Kampuchea menyebah raja masing-masing. Antara pengikutnya, laki-laki, prempuan dan kanak-kanak menyembahnya, melutut dan sujud sambil mencium kakinya.

Mungkin itulah cara-cara raja-raja Melayu yang berkuasa penuh sebelum Islam datang ke wilayah ini. Raja-Raja dulu dilihat seperti Tuhan, berdaulat, boleh menentukan nasib seseorang. Ia adalah satu kenangan. Tetapi ia boleh dilihat dari scenario sambutan terhadap Ayah Pin.

Boleh dalam dunia seperti sekarang, ada orang yang boleh sujud mencium kaki Ayah Pin. Dan Ayah Pin ketika di Balai Penghadapan kelihatan gagah dengan pakaian kebesarannya di hadapan pembesar-pembesarnya.

Ia bukan satu lakunan seperti yang P.Ramlee buat, tetapi ia benar-benar dirasai oleh Ayah Pin.

Adakah ini yang menggerunkan kerajaan bumi pimpinan UMNO?

SeTAPAK
03/08/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home