Subky Abdul Latif

Wednesday, August 17, 2005

DAMAI DI ACEH, HADIAH HARI KEMERDEKAAN INDONESIA

KALAU Sudan dapat menamatkan gerakan pemisahan Kristian di selatan tanah airnya setelah dua dasawarsa berperang, maka mengapa Indonesia dan Aceh yang sama-sama Islam tidak boleh menyelesaikan sengketanya yang berlarut selama tiga dasawarsa?

Indonesia dan Aceh sudah menjawab pertanyaan itu apabila pihak berkuasa Indonesia dan GAM – Gerakan Aceh Merdeka – menanda tangan perjanjian damai di Helsinki 15 Ogos, 2005.

Persetujuan yang dicapai itu adalah hadiah untuk bangsa 200 umat itu pada hari kemerdekaannya yang ke 60 17 Ogos, 2005 hari ini. Ia adalah kemenangan untuk semua pihak, win win yakni menang menang.

Ia bukan sekadar hari-hari kemenangan bagi bangsa Indonesia, tetapi adalah satu kegembiraan yang sepatutnya disyukuri bagi jiran-jiran Indonesia seperti Malaysia dan Brunei Darussalam.

Perjanjian yang ditanda tangani itu menamatkan sengketa bersenjata selama 29 tahun itu. Ia telah mengorbankan jiwa seramai 15,000 orang.

Bagi Indonesia ia berjaya menyelamatkan kesatuan bangsa Indonesia yang diumumkannya dalam Sumpah Pemuda tahun 1928 dan diisytiharkan kelahirannya pada 17 Ogos, 1945. Ia mengambil masa selama 60 tahun untuk menunggu secara rasmi Aceh sebahagian dari bangsa dan wilayahnya yang diterima dan diakui oleh rakyat Aceh.

Aceh yang tidak pernah kalah berperang dengan penjajah Belanda tidak pernah bersetuju dan tidak mengakui ia adalah bangsa dan wilayah Indanesia. Aceh mengira ia sebuah wilayah merdeka yang tersendiri.

Aceh berkeras dan bangga ia tidak pernah kalah berperang dengan Belanda. Kuasanya hilang ke tangan Belanda bukan kerana perang tetapi tipu daya Belanda yang bersetuju bersahabat dengan Aceh, tiba-tiba merampas kemerdekaannya. Aceh lalu melancarkan gerakan merebut kedaulatannya dari Belanda melalui peperangan.

Ketika yang sama Belanda berhadapan dengan perang kemerdekaan yang dilancarkan oleh Indonesia yang dipimpin oleh Sukarno-Hatta. Indonesia menuntut hak kemerdekaan ke atas semua wilayah yang dijajahi Belanda di rantau itu termasuk Aceh.

Aceh yang dalam keadaan berperang dengan Belanda ketika itu tidak berperang sebagai bangsa Indonesia untuk kemerdekaan Indonesia, tetapi ia berperang serentak bersama Indonesia untuk kemerdekaan Aceh. Cuma kelemahan Aceh pada ketika Indonesia memproklamasikan kemerdekaanya dari Belanda iu, tidak pula mengiytiarkan kemerdekaannya sebagai sebuah Negara merdeka yang tersendiri.

Apabila ia tidak mengisytiharkan ia bebas dari Belanda, sedang Belanda mengaku kalah kepada Indonesia, maka dengan sendirinya kedaulatan Aceh terserah kepada Indonesia. Selepas itu Aceh tidak lagi menghadapi Belanda tetapi menghadapi Indonesia.

Sama ada ia menuntut kemerdekaan penuh atau daerah otonomi adalah dari Indonesia. Ia masuk hutan dua kali, mula-mula sebelas tahun di bawah pimpinan Teuku Daud Bereweih dan 29 tahun di bawah Hassan di Tiro yang memimpin GAM.

Aceh kini sudah menjadi sebahagian dari Indonesia yang sah. Ia mengambil masa selama 60 tahun untuk menjadi sebahgian dari Indonesia. Dan ini dengan sendirinya Aceh menamatkan status sebagai bangsa sendiri sejak diasaskan oleh Sultan Malikus Saleh atau Raja Merah Silu lama sebelum kedatangan Belanda ke rantau Asia Tenggara.

Aceh yang bagi Indonesia sudah menjadi sebahagian daripada wilayahnya sejak 60 tahun lalu adalah kekal sebagai sebuah wilayah berstatus Daerah Istimewa, dibenarkan mengibarkan benderanya bersama bendera Sangsaka Merah Putih, berhak atas sebahagian besar dari pengeluaran petrol dan gasnya, dibenarkan memakai undang-undang syariyah seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Indonesia wajar diberi tahniah atas persetujuan mengekalkan Aceh dalam wilayahnya dan bersedia berdamai melalui perundingan. Indonesia wajar dipuji dan diberi penghargaan kerana memberi otonomi berstatus wilayah Islam kepada Aceh.

Aceh wajar juga diberi tahniah kerana bersetuju secara rasmi menjadi sebahagian dari Indonesia, tetapi lebih-lebih lagi ialah Indonesia dan Aceh bersetuju Aceh menguatkuasakan undang-undang Islam.

Aceh sebenarnya sudah diberi hak otonomi dalam pelaksanaan undang-undang Islam itu sebelum Indonesia melancarkan perang besar-besaran terhadap Gerakan Aceh Merdeka. Anugerah yang Indonesia tawarkan kepada Aceh itu adalah sebagai tolak ansur kepada tuntutan kemerdekaan yang Indonesia tidak boleh terima.

Pada prinsipnya Aceh wajar menerima anugerah pentadbiran Islam itu sekalipun berada dalam kedaulatan Indoneia. Sebenarnya anugerah yang terutama bagi Aceh ialah hak mendaulatkan peraturan Islam dalam serba serbi. Ia lebih wajar disyukuri dari kemerdekaan yang belum dipastikan apakah dasar yang hendak ditegakkan.

Kemeerdekaan yang dituntut oleh GAM dulu belum memberi gambaran yang jelas tentang pemerintahannya. Yang sudah ada dan yang dijamin oleh Indonesia ketika itu adalah otonomi dalam pelaksanaan Islam. Walaupun kemerdekaan itu adalah satu tuntutan dan perjungan besar, otonomi Islam yang sudah dijamin adalah juah lebih berharga dari sebuah kemerdekaan yang tidak diketahui arah dan jatidirinya.

Atas pemikiran inilah, saya sangat bimbang dengan penerusan tuntutan kemerdekaan penuh dulu. Bukan tujuan kita untuk menidakkan usaha kemerdekaan, tetapi kita tidak mahu yang dikendong keciciran, yang dikejar tidak dapat.

Syukur yang setingginya kepada Aceh dan Indonesia atas apa yang dicapai itu. Indonesia sekarang boleh menumpukan masa, tenaga dan kekayaannya untuk menghadapi keperluannya yang banyak itu. Penamatan sengketa itu memperkuat kesatuannya. DEngan Aceh yang otonomi Islam berada dalam Indonesia dapat membawa Indonesia lebih gagah dan agung.

Nikmat dan rahmat yang Allah bagi kepada Aceh yang berhati baik terhadap Allah dan Islam itu akan tempias kepada Indonesia seluruh. Indonesia sedang bertekad untuk mengukuhkan ketahanan dan intergrasi nasional dan memerangi rasuah, akan diberkati Allah apabila ia membenar dan membantu Aceh menyemurnakan program Islam Aceh.

Aceh dengan ini menjadi ujian dan tapak percubaan bagi dunia melaksanakan syariat. Selagi otonomi itu dihormati dan dijamin, maka Indonesia sudah berada setapk maju dihadapan dalam usaha penstabilan nasional.

Ia adalah peluang yang baik untuk semua. Pelajaran yang didapati dari Aceh dan Indonesia selepas 60 tahun kemerdekaannya sedang diperhatikan oleh dunia.

Sebagai komponen OIC dan NAM, Indonesia dan Aceh wajar mendapat berhatian yang maksima dari OIC dalam penyelesaian isu Aceh. Setakat yang diperhatikan Aceh hanya meneima perhatian yang sangat minima. Kesatuan Eropah yang jauh nampaknya lebih berperanan.

Demikian juga dalam isu Sudan dan pemberontakan Kristian dari selawan wilayah itu. Peranan OIC sangat terhad. Bagaimana kedua-dua anggota OIC dan NAM memberi sumbangan kepada OIC dan NAM apabila mereka mencapai persetujuan pintar menyelesaikan sengketa dengan berdamai.

SeTAPAK
17/08/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home