Subky Abdul Latif

Tuesday, August 09, 2005

GERANGAN APA PAK LAH TAK HIRAU PAS?

PAS sebagai sebuah gerakan Islam di Malaysia wajar mengkaji gerangan apa maka dalam Perhimpunan Agungnya pertengahan Julai lalu tidak langsung mempelulikan PAS?

Lazimnya dalam hampir setiap pertemuan UMNO termasuk Perhimpunan Agungnya, PAS menjadi sasaran utamanya, terutama dalam saat parti nasioanls sempit UMNO itu berada dalam krisis yang parah.

Kerana pengaruh PAS yang menggerunkan UMNO itu, di luar musim perhimpunan pun ia terpaksa mencari isu bagi mengadakan perjumpaan untuk menghadapi UMNO.

Contohnya ketika ia hendak menggulung sekolah agama rakyat. UMNO merasakan kekuatan PAS terletak antaranya di sekolah agama rakyat. Maka Dr. Mahathir memanggil satu taklimat khas seluruh pimpinan UMNO mengecam PAS kononnya memperalatkan SAR.

Ia mengambil langkah menyekat bantuan kepada semua SAR termasuk yang dikendalikan oleh individu UMNO.

Padahal dalam jawatankuasa penyiasat kebakaran asrama madrasah Pak Jonid di Batu 17 Padang Lumat, Yan, Kedah yang dipengerusikan oleh Tan Sri Murad Mohd.Nor telah memberi penghormatan tinggi kepada sekolah agama rakyat.

SAR diakui sebahagian dari institusi pendidikan nasional yang penting sejak dari awal. Jasanya sangat besar kepada pembangunan pendidikan Negara. Kerana ia telah wujud atas sokongan rakyat sejak sebelum kedatangan penjajah, dan dalam masa penjajahan sekalipun ia tidak pernah mendapat bantuan kerajaan, ia tegak sebagai istitusi pendidikan penting di tengah masyarakat.

Rahsia sekalian orang Melayu kekal sebagai penganut Islam dan agama-agama asing sukar menembusi keluarga Islam di Tanah Melayu di zaman penjajah adalah kerana keunggulan SAR itu.

Komiti Murad Mohd Nor menyarankan supaya kementerian pendidikan memberi pembelaan kepada SAR yang sangat berjasa itu. Tetapi akhir pentadbiran Dr. Mahathir telah mengambil langkah ke arah menghapuskan seskolah agama rakyat. Di sebut secara jelas ialah kerana SAR menjadi benteng kekuatan PAS.

Memang PAS tercabar selepas kelumpuhan SAR hingga kini PAS menghadapi kelesuan walaupun di era pemecatan Anwar Ibrahim dari UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, PAS menerima kemasukan ahli yang sangat luar biasa, menjangkau 20 ribu orang sebulan. Ketika itu PAS dililhat sebuah organisasi yang cukup bertenaga.

Tetapi sekarang bagaimana?

Mengapa UMNO tidak memberikan perhatian? Kerana ia banyak masalah dalaman?

PAS jangan tertipu dengan kononnya Abdullah Badawi banyak masalah dalaman, maka ia tidak menghiraukan PAS.

Sehingga ia tidak diganggu oleh Dr. Mahathir atas isu Proton dan AP, ia berada dalam keadaan yang selesa. Dengan terbentuknya unit Putera UMNO dan ssetiap inci setiap kampus sseolah-olah UMNO punya, maka UMNO sekarang berada dalam keadaan yang sangat selesa.

Apapun PAS kata tentang UMNO, UMNO kini kembali dipandang oleh semua orang Melayu yang tidak menyertai PAS. Kalau sebelum ini terdapat orang Melayu yang tidak menyertai UMNO dan tidak menyertai PAS menunjukkan simapti dan perhatian kepada PAS dan berperasangka terhadap UMNO, sekarang anak pemimpin PAS belum tentang senang dengan PAS kalaupun tidak tertarik dengan UMNO.

Saya sangat bimbang akan terjadi lagi seperti yang berlaku kepada anak pemimpin-pemimpin di era 60an dan 70an. Anak Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato Abu Samah dan Mohd Yassin. Anak kedua-dua Pesuruhjaya PAS Pahang itu iaitu Dato Hamzah Abu Samah dan Tan Sri Kamarul Ariffin Yasin menjadi pemimpin UMNO tahun 70an.

Orang PAS jangan seronok sangat kalau ada desas desus yang mengatakan Pak Lah dan Najib Glokal tidak sehaluan atau parti itu bergelora kerana orang-orang seperti Tengku Razaleigh dan lain-lain menunggu masa untuk bangun.

PAS tidak boleh menunggu perpecahan dalaman UMNO untuk meraih sokongan. PAS mesti mempunyai kekuatan sendiri untuk meneruskan perjungannya, bukan menunggu kelemahan orang lain.

Adalah benaar PAS mendapat faedah yang besar dari dua krisis terbesar yang berpjnca dari Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim. Adalah betul PAS dapat menawan Kelantan kerana krisis UMNO dengan Tengku Razaleigh.Dan ia berjaya menawan TGerengganu natijah krisis Anwar.

Tetapi setelah UMNO mengatasi krisisnya kerajaan PAS hampir runtuh di Kelantan. Nasib baik berlaku krisisnya dengan Anwar Ibrahim, maka Kelantan dapat dipertahankan dan Terengganu dapat dirampas.

Tetapi apabila UMNO mengatasi krisisnya dengan Anwar, PAS kini kembali tidak dipedulikan oleh UMNO. Di mana-mana saja UMNO membina kekuatan dan tidak mempedulikan PAS. Ia melaporkan tentang salah laku pemimpin-pemimpinnya.

Dalam masa setahun ini ia asyik menggantung keahlian pemimpinnya.RAmai ketua bahagian kena gantung. ADa anggota parlimen digantung kedudukan dalam UMNO. Yang terakhir pimpinan tinggi bertaraf Naib Presiden pun sanggup gantung.

Kenapa UMNo berbuat demikian? Ialah kerana ia kuat.Walapun wujud isu politik wang dalam UMNO, bukan yang digantung itu saja yang terlibat dalam salah laku politik wang. Sukar dicari UMNO yang tidak terlibat dengan politik wang.

Dari Tun Razak, Tun Ghafar Baba, sampailah kepada yang memimpin UMNO sekarang payah membebaskan diri dari pernah mendapat faedah dari rasuah politik. Masalahnya ialah TEngku Ahmad Ritahuddeen lahir dan berfungsi zaman Isa Samad. Kalau beliau diberi kuasa di zaman Tun Razak, maka orang-orang yang terdahulu akan tahulah buku dengan ruas.

Parti politik seperti PAS mesti mengkaji kekuatan musuh dan menyiapkan langkah bagi menghadapinya. Jangan mengharapkan supaya UMNO krisis tiap-tiap tahun. Untuk menjadi sebuah parti yang sentiasa siap siaga, maka mesti sentiasa mengira UMNO kuat dan PAS mesti bersedia untuk menjadi sekuat UMNO kalaupun tidak boleh lebih kuat dari UMNO.

Jika ada ahli-ahli PAS dalam apa keadaan pun ia mengikira UMNO dan pemimpinnya sentiasa bercakaran dan bermasalah, maka selama PAS leka dan syok sendiri. Kerana UMNO itu sentiasa disangka bergaduh, maka PAS leka menunggu UMNO hancur tetapi tidak melihat apakah ia sudah mengemas dirinya?

Al-Marhum Zulkifli Muhamad dan Al Mahum Dato Fadhil Noor sentaisa mengingatkan bila memuji kita ia tanda ada sesuatu masalah pada kita. Bila musuh menghemtam kita itu tanda kita kuat.

SeTAPAK
09/08/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home