Subky Abdul Latif

Monday, August 01, 2005

MELAYU GLOKAL DILANDA TSUNAMI MINYAK

BARU seminggu bersemangat menjadi Melayu Glokal, menaruh harapan masa depan yang lebih baik bagi keluarga dengan peristiharan kembali ke era Dasar Ekomomi Baru. Nikmat dari keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2005 itu tidak drasai segera, tetapi mungkin 15 tahun paling dekat.

Begitulah harapan tinggi bagi kemajuan diri dan keluarga bila DEB dilancarkan awal 1970an. Ia memerlukan 20 tahun untuk mencapai kemajuan. Demikian juga Dasar Ekonomi Nasional yang didalamnya tersumbat Wawasan 2020 memerlukan tempoh 30 tahun bagi kejayaannya.

Kegembiraan tahun 1970 dan 1990 sudah menimpulkan semangat apabila angka pencapaian DEB yang tidak tercapai itu apabila tempohnya tamat, merosot 15 tahun kemudian dan tidak mustahil merosot lagi jika tidak dilakukan sesuatu. Perhimunan Agung UMNO itu tidak berani untuk meramalkan pencapaian wawasan 2020.

Bagi menggembirakan orang Melayu digembirakan dengan menjadi Melayu Glokal dan kembali semula ke era semangat Dasar Ekonomi Baru yang sudah lama atau bukan lagi yang baru.

Dengan semangat itu maka bersemangatlah orang Melayu untuk bergembira sebagai orang Melayu. Jika tidak orang Melayu mulai bertambah segan untuk menjadi orang Melayu.

Baru seminggu pulih semangat, maka harga runcit minyak naik lagi 10 sen seliter bag petrol dan 20 seliter bagi disel.

Rakyat jelata memang tidak percaya kerajaan cemerlang, gemilang dan terbilang ini dapat menghalang bencana yang dinamakan minyak naik itu. Masing-masing bersedia jika bala itu berlaku, tetapi berharap tsanumi kehidupan itu tidak berlaku.

Sebagai orang Melayu sejak lahir ditohmah malas dan dipercayai dan disetujui oleh orang Melayu sendiri kononnya tidak rajin dan tidak kuat kerja, terpaksa menerima hukuman yang manusia jatuhkan terhadapnya itu.

Tetapi saya suka berjalan ke serata tempat. Saya jumpa ramai orang Melayu turun ke sawah sejak pagi sampai ke petang. Antaranya tidak sempat solat kerana kerja. Balik ke rumah petang. Penat sepanjang siang itu kadang-kadang tidak terdaya ke surau. Hanya yang tinggi taqwa ke surau juga sekalipun letih.

Ramai malas ke surau menjadikan penat ke sawah, penat ke laut, penat di bengkel dan penat berjaja sebagai sebab tidak ke surau.

Kiranya diperhatikan kehidupan orang Melayu lokal itu di merata-rata, terutama buruh kasar, masing-masing tidak angkat kepala dan tidak ada masa rehat. Bekerja, bekerja dan bekerja. Tetapi miskin juga. Kerja bagaikan nak mampus dari pagi sampai ke petang, kadang-kadang cukup dan kadang-kadang tidak cukup untuk kepeluan sekeluarga.

Ramai juga Cina dan India yang senasib dengan mereka. Tetapi ramai juga orang yang duduk-duduk saja, berborak dan lepak di kedai kopi dan gerai, berpendapatan lebih baik dari mereka. Yang rajin kerja tidak berduit, yang malas tapi pandai bercakap dan pandai bergaya berduit.

Mengapa yang membanting tulang dari pagi sampai ke petang tetapi seluaar dan baju pun tak bersalin? Masing-masing menjawab kerana malas. Hatta yang tak berpeluang rehat itu sendiri kalau ditanya mengapa keluarganya miskin, jawapan mereka juga ialah malas. Tulang dan badannya tidak mengaku mereka malas tetapi mulut, otak dan hatinya dipaksa mengaku malas.

Sejak tulang sudah tidak kuat dan sendi dan urat sengal di sana dan longgar di sini, terpaksa menghabiskan sisa hidup dengan pendapatan tetap yang payah bertambah.

Hujung tahun dulu semasa minyak sudah mahal tetapi tidak semahal sekarang, diperuntukkan RM20 seminggu untuk ke pasar, ke surau dan menghantar budak ke sekolah. Kalau rutin itu dilanggar, maka RM 20 itu tidak cukup. Kalau terpaksa melalui tol, maka seguni system tol dan kerajaan yang memupuknya kena maki.

Bagi mengelak dosa maki tol dan kerajaan, maka elakkan lalu jalan bertol.

Awal tahun ini peruntukkan itu ditambah menjadi RM30 kerana minyak naik. Selepas kenaikan yang terdahulu hingga seminggu selepas Perhimpunan Agung UMNO, peruntukan dengan gerakan yang terhad itu sudah jadi RM40 seminggu.

Kalau tidak diisi minyak, berkarat pula kereta Proton dan tidak bergeraklah. Baru dua tiga hari bersungut sebagai Melayu Glokal terpaksa menyediakan RM40 seminggu untuk minyak, maka naik lagi sekali 10 sen pula. Dulu-dulu naiknya dua atau tiga sen. Zaman gemilang, cemerlang dan terbilang ini, kenaikan 10 sen dan 20 sen. Zaman dua send an tiga sen sudah berlalu.

Allah rahmat dunia dengan minyak. Allah pancutkan minyak dari dasar laut dan perut bumi bagi kebahagian. Untuk kemudahan manusia dan rakyat manusia mencipta kereta, jalanraya dan macam. Tetapi masing-masing dibala oleh kenaikan minyak. Yang membalanya siapa? Yang menaikkannyalah!

Bala itu bukan sekadar membeli minyak yang dinaikkan, tetapi semua barang-barang akan dinaikkan.

Pengguna petrol mungkin terasa tidak seperti pelanggan disel yang naik 20 sen seliter. Tetapi kenaikan disel macam itu adalah tsunami yang lebih besar. Tsunami besar 26 Desember, 2004 membunuh ratus ribu jiwa dan memusnah harta benda yang tidak terhingga.Tetapi mangsa yang lebih ramai tidak mati, diberi makan oleh dunia untuk beberapa bulan.

Tetapi tsunami itu sekali itulah. Yang menderita yang menjadi mangsanya. Tetapi tsusnami minyak naik ini menjadikan setiap orang sebagai mangsa. Tidak ada yang terkecuali.

Bagaimana hendak menahan bala dari kenaikan 20 sen seliter disel? Pengguna disel yang tidak berniaga terpaksa membayar cukai jalan yang tinggi dan harga kereta yang tinggi. Kenderaan itu digunakan kerana minyak runcitkan murah. Apabila disel naik, motokar disel sudah tiada keistimewaan lagi.

Kehidupan manusia bergantung kepada semua jentera disel. Kenaikan terbaru adalah tsunami yang berpanjangan kerana waktu terdekat ia mengundang inflasi dan setiap orang menanggungnya berpanjangan.

Ia bukan menyukar untuk hidup. Untuk mati pun menjadi beban. Yuran khairat kematian terpaksa naik. Kain kapan naik. Upah gali kubur ikut naik dan belanja tahlil bertambah. Kata Alias Konggo, ‘Hidup susah, mati pun susah!’

Bagi menjadi Melayu Glokal yang bahagia dan nikmat DEB lama yang dibaharui tidak berlaku serta merta. Kirannya tercapai terpaksa menunggu 15 tahun lagi. Kalau tidak tercapai juga, hanya senonok satu dua minggu saja. Tetapi bala dari kenaikan minyak berlaku s erta merta.

Dua tingga minggu dulu, kerajaan terlalu marah ribut desas desus kenaikan minyak. Hanya tiga minggu kemudian, marah tadi tidak jadi apa-apa. Minyak betul-betul naik. Ia diumumkan oleh pihak yang marah tiga minggu dulu.

Kerajaan mengaku kuat tetapi ia kalah kepada desas desus.

Untuk menyeronokkan rakyat yang tidak berdaulat, maka kenaikan itu dikuti dengan cerita minyak lebih mahal di Singapura, Thailand, Filipina, Laos dan lain-lain.

Orang Malaysia bukan Luncai. Kalau orng ASEAN yang lain itu Luncai, apakah kita mesti jadi Luncai juga? Orang Melayu purna kata, ‘Biarkan Luncai terjun dengan labu-bunya.’ Kita tidak patut terjun bersama Lincai.

Cukuplah rakyat dijadikan seperti Mak Andih yang kematian anak. Kata Pak Pandir, ‘Bukan Andih saja kematian anak.’

Biarkan mereka rasuah! Biarkan mereka menindas rakyatnya! Biarkan mereka hari-hari huruhara! Masakan kita juga mesti rasuah macam mereka, mesti membodohkan rakyat dan mesti mundur?

Mereka adalah mereka. Mengapa kita juga mesti macam mereka?

SeTAPAK
01/08/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home