Subky Abdul Latif

Saturday, August 27, 2005

MERDEKA SEPARUH MASAM, MAS CARI CEO ASING

TENGKU Azmil Zaharuddin Raja Abd. Aziz, Pengarah Eksikurif MAS agaknya belum cukup berkaliber untuk menggantikan Datuk Ahmada Fuad Dahalan sebagai Pengarah Urusan MAS. Justseru itu besar kemungkinan jawatan itu diserahkan kepada orang asing.

Orang asing itu sudah dicari dan sudah pun ada nama-namanya. Apabila Tengku Azmil cukup-cukup pandai dibawah CEO asing itu, barulah agaknya ia diserahkan kepada beliau. Kalau itu yang berlaku, maka langkah mencari orang asing itu kira-kira hendak mendidik Tengku Azmil. Adakah begitu.

Ada asas yang diberikan maka orang asing terpaksa dicari. Ia adakah kerana bisnes MAS sangat ketinggalan dibanding dengan SIA, Cathay Pacfik dan Quantas. Dengan mengambil orang asing itu jarak bisnes antara MAS dengan syarikat penerbangan lain dapat dirapatkan.

Semua alasan itu diterima akal. Demi mencari untung yang maksima, maka janganlah terlalu nasionalistik dan fanatik nasionalistik sangat. Sudah orang dalam negeri khususnya Melayu tidak ada yang layak, maka buat apa kita nak keras kepala sangat?

Itulah yang saya dapat baca dan tafsirkan pemikian disebalik mencari orang asing itu.

Beberapa hari lagi Negara menyambut hari kemerdekaan yang 48 tahun. Kurang dua tahun 50 tahun. Semasa baru merdeka dan ketika Malaysian Airlilnes baru berpecah menjadi MAS dan SIA, MAS tidak perlu mencari orang asing. Ada orang Melaysia dan orang pula untuk mencari pemimpinnya Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Sesudah Malaysia 48 merdeka, setelah berkokok siang malam memberitahu rakyat Malaysia Negara contoh, dan setelah baru saja mengisytiharkan pembentukan Melayu Glokal, maka baru disedari rupaya tidak ada orang Melayu yang berwibawa untuk mengendalikan syarikat kapal terbang.

Kemana perginya orang Melayu maka untuk menjadi CEO pun tidak layak. Sebulan setengah lalu Melayu Glokal dibingungkan oleh isu Tengku Mahaleel tidak berapa nak diyakinkan mengendali Proton. Dr. Mahathir yang menjadi pengerusi Proton seolah-olah yakin dengannya, tetapi lembaga ada fikiran lain.

Kini pengendali MAS pula tidak ada, dan masing-masing tak jumpa antara orang-orang Melayu yang ramai maju yang hendak dicalonkan. Tidak jumpa calon ialah kerana tiada calon.

Yang ada TEngku Azmil, tetapi dia terpaksa berlatih dengan CEO asing dulu.

Kita tidak menolak kiranya dikatakan orang Melayu tidak layak lagi. Tiada guna mempertahankannya. Tetapi jika benar itu alasannya, maka apa sudah jadi dengan dakwaan Negara contoh dan Negara maju?

Apa jadi dengan kemerdekaan sepatutnya dibanaggakan itu? Semua bangga dan semua gerang dengan kemerdekaan. Tetapi dengan kemajuan yang tidak mempu mengeluarkan seorang yang layak menjadi CEO kapalterbang nasional, maka bagaimana hendak membanggakan kemerdekaan itu.

Baru-baru merdeka dulu ada juga alasn mengapa kita memerlukan Ketua Polis Negara dari orang asing, ketua tentera orang asing. RAmailah orang asing dikekalkan menjadi berbagai CEO dulu. Kemudian barulah satu demi satu diambil alih oleh orang tempatan.

Tetapi selepas 48 tahun merdeka kita mencari orang asing semula, maka ia sudah kembali ke era baru merdeka dulu, mengupah orang asing dan bergantung kepada orang asing.

Sudahlah semua kerja buruh kasar Malaysia bergantung dengan buruh aasing, maka jawatan besar seperti CEO MAS pun Malasia mencari orang asing juga.

Apa Dr. Mahathir buat semasa menjadi Perdana Menteri lebih 20 tahun? Adakah gila bercakap satu hari dua atau tiga kali, keluar negeri dua tiga kali sebulan, maka tidak sedar tidak ada orang tempatan layak memajukan MAS?

Malaysia ada menara tertinggi di dunia, pernah ada hendera terbesar di dunia dan macam lagi, tiba-tiba terpaksa mencari orang untuk memajukan MAS.

Apa ertinya kemerdekaan yang kita ssepatutnya berbangga itu? Mengapa sesudah 48 tahun mereka kita tidak punya cukup orang yang diperlukan oleh Negara. Sekali gus ia melambangkan kegagalan mengisi kemerdekaan. Ia juga melambangkan kegagalan kementerian pelajaran bagi mengeluarkan orang-orang yang secukupnya untuk keperluan tenaga kerja mahir dan separuh mahir, eksikutif dan lain-lain.

Malaysia berlumba-lumba menyediakan orang untuk terbang ke angkasa lepas dalam tahun 2007. Tetapi ia tidak menyediakan orang untuk mengetuai MAS.

Dulu kita dibanggakan oleh cerita Malaysia jadi Negara contoh dunia Islam, tiba-tiba calon Malaysia untuk jadi Setiausaha Agung OIC kalah dengan orang Turki. Pada hal imej Islam pada bangsa Turki pada pandangan umat Islam sedunia tidaklah membanggakan.

Rupanya dunia Islam lebih selesa memilih calon Turki dari Malaysia.

Hari ini Malaysia ke Afrika, ke Latin Amerika, ke sana dan ke mari untuk memberi tahu kejayaan Malaysia dalam pembangunan, tidak syak lagi adalah Negara termaju di kalangan yang kurang dari 100 merdeka. Tiba-tiba apa orang asing kata apabila mengetahui Malaysia mencari CEO asing, tiada rakyatnya yang layak.

Ketika menyambut kemerdekaan 48 tahun dulu, Dr. Burhanuddin al-Hilmy memberitahu kemerdekaan yang dicapai itu adalah kemerdekakan separuh masak. Dato Onn bersetuju dengannya bahawa kemerdekaan itu tidak matang.

Kita tidak mahu mengatakan Malaysia boleh semua kerana memang ada yang ia tidak boleh. Contohnya tidak boleh menjadi CEO MAS pada masa ini.

Tetapi universiti, media masa, badan-badan penggerak kemajuan hendaklah mengkaji ingatan Dr. Burhanuddin 48 tahaun lalu tentang kemerdekaan kita yang tidak masak.

Apa yang dibangkitkan dalam MAS itu adalah bukti kemerdekaan itu bukan sekadar separuk masak tetapi ia juga separuh masam.

SETAPAK
27/08/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home