Subky Abdul Latif

Thursday, August 04, 2005

NISAN RAJA FAHD HANYA BATU KOSONG

UMAT Islam dan seluruh penduduk dunia adalah bersama keluarga Raja Fahd dan keluarga diraja Arab Saudi bersimpati pilu atas kemangkatan raja Arab yang berpengaruh dan kaya raya.

Selain dari baginda seorang raja negara Arab yang berpengaruh, sudah tentu baginda adalah orang yang begitu berkuasa dan boleh menentukan apa saja untuk hidupnya dan masyarakatnya.

Dalam suasana begitu berkuasa, baginda menerima keputusan yang ikut ditentu dan dikuatkuasakannya selama baginda berkuasa mengenai layanan kematiannya dan pemegang takhta negara itu sebelum dan selepas ini.

Ia patut menjadi perhatian semua manusia terutama orang Islam betapa pengkebumian seseorang Islam itu tidak mengira sehebat mana pun hendaklah disempurnakan sesederhana mungkin, serengkas dan secepat mungkin.

Demikianlah acara pengkebumian Al Marhum Raja Fahd adalah sangat rengkas dan tidak menunjukkan kemegahan dan kehebatan. Beratus-ratus kali rengkas dibandingkan dengan kematian Pope John Puat 11 dan Raja Monaco beberapa bulan lalu.

Bukan tulisan ini bertujuan untuk mengkritik mana-mana system terutama agama orang lain, tetapi adalah untuk melihat sesenang itu acara pengkebumian seorang raja Arab Saudi semasa hidupnya berkuasa memengaruhi harga minyak dunia.

Jika tidak kerana raja sekarang terpaksa menunggu kunjungan pembesar dunia di hari pekembumian itu, tentu jenazah Raja Fahd itu disemadikan lebih segera dan lebih senang.

Tiada sebarang pengusungan yang menandakan keagungan. Hanya jenazah yang sudah dikafankan diselimuti oleh satu kain penutup berwarna biasa, diletak di atas pengusung yang diusung beramai-ramai, malah ia lebih sederhana dari yang diterima oleh seorang rakyat Palastin biasa yang terbunuh oleh peluru Israel.

Jenazah kanak-kanak Palastin yang dibunuh Israel diusung beramai-ramai dengan usungan yang berhias sederhana juga tetapi ia jauh lebih hebat dari yang diterima oleh Raja Fahd.

Jika hiasan dan layanan itu menjadi ukuran kehebatan, maka jenazah seorang kanak-kanak Palastin lebih hebat dari jenazah seorang raja Saudi yang berkuasa penuh.

Hatta raja dan pembesar beragama Islam selain dari Saudi tidak berupaya melaksanakan layanan seperti yang diberikan kepada raja Saudi itu.

Baginda dimakamkan bersama kubur orang lain yang tidak membezakan mana makam dan mana kubur. Semuanya kubur dan seolah-olah tiada makam. Semua kubur itu ditanda dengan ketul batu yang kosong. Tiada nisan bersurat ia kubur siapa dan tarih matinya. Keluarga masing-masinglah yang tahu makan dan kubur ibu bapa masing-masing.

Syaikh Nasim, seorang pendakwah terkemuka di zaman kita ini, yang terkenal di barat dan di kalangan orang ternama, juga tidak asing bagi masyarakat di Malaysia pernah memberi raja dan keluarga raja di Malaysia yang merainya betapa keraian yang diberikan kepada jenazah Iskandar Zulkurnain, raja agung pernah menguasai dunia dari Lautan Atlantik ke Lautan Pasipik di zaman purba Islam.

Kerananya diusung ke tanah perkuburan dengan kedua belah tangan dari paras buku lali hngga ke jari-jari dapat dilihat orang ramai. Kedua tangannya terhulur keluar sebelah atas keranda.

Ia adalah untuk perhatian semua manusia selepasnya, betapa berkuasa sekalipun seorang manusia seperti Raja Iskandar Zulkurnain itu, dengan segala kekayaan harfa dan pemberian opeti raja-raja lain, tetapi baginda pergi meninggalkan istana dan mahligai ke kekubur dengan dua tangan kosong yang dapat dilihat oleh orang ramai.

Keluarga dan pembesar Iskandar Zulkurnain tidak memandai-mandai untuk berbuat demikian kerana reaksi risiko dari masyarakat ada tinggi. Tetapi diyakini ia adalah wasiah raja itu sendiri. Maka barulah orang hidup berani berbuat demikian.

Arab Saudi mempnyai cukup tanah untuk membuat benteng dan binaan atas kubur raja-rajanya. Tetapi kubur raja-raja Saudi adalah contoh yang terbaik yang wajar diberi perhatian oleh orang Islam di Malaysia.

Saya tidak berhajat untuk menyentuh makam raja-raja di mana-mana dan kubur-kubur Perdana Menteri di Masjid Negara, tetapi sekadar kubur rakyat jelata di sekitar Kuala Lumpur ini rata-rata dipenuhi dengan binaan-binaan kecil di permujkaan kubur masing-masing.

Ia menjadikan suasana kubur kawasan batu-bata yang sesak. Penjimatan tanah kubur dalam era tanah kubur sempit dan terhad tidak dapat dilakukan. Di kampung-kampung yang rakyat rata-rata miskin, tanah kubur masih dapat dijimatkan. Justeru kubur rata-rata berbatu nisan saja, maka antara dua kubur lama yang berjiran masih boleh digunakan untuk ahli kubur yang baru.

Kubur di Kuala Lumpur yang berselerak dengan batu binaan, menyukarkan pengusungan jenazah baru yang terpaksa melalui dan melangkah kubur yang ada, dan batu binaan itu dijadikan tempat duduk semasa mengkuburkan ahli kubur yang baru.

Alangkah besarnya bidaah kubur-kubur bertujlis ayat-ayat suci di langkah manusia mengusung jenazah.

Bila bapa saya meninggal, orang kampung minta kebenaran saya untuk membuat binaan di kuburnya. Kata mereka makam bapa saya layak diberi penghormatan begitu dan tidak menjadi kesalahan.

Saya pun suka masyarakat menghormati bapa saya dan kubur. Emak dan kakak saya yang jarang keluar rumah melainkan atas izin suami, mengiatkan saya jangan setuju dengan pengikut-pengikut bapa saya. Pesan bata saya, jangan hiasi kuburya begitu.

Bagaimana kubur bapa dan emak saja ada nisan bersurat yang cantik juga. Saya kubur mereka tidak sesederhana kubur Raja Fahd, Raja Faisal dan lain-lain. Saya terasa malu kepada masyarakata Saudi. Bapa dan bonda saya orang kebanyakan, tetapi kubur mereka lebih hebat dari kubur Raja Fahd sedang baginda adalah raja dunia.

Kubur bapa saya sangat sederhana dari kuburan kebayakan ahli kubur Malaysia, tetapi kesederhanaan itu masih kalah dibandingkan dengan makam Raja Fahd. Baginda lebih sederhana.

Terfikir juga untuk menggantikan nisan mereka dari batu yang cantik itu dengan seketul batu kosong seperti pusara Raja Fahd. Tetapi saya belum memutuskannya takut jadi isu di kampung.

Saya mungkin ada pandangan kritis tentang pemerintahan Raja Saudi, tetapi saya suka dengan layanan kematian mereka. Islam mahu serba sederhana dan rengkas. Raja Saudi berjaya melaksanakannya dengan baik. Yang baik dari raja Arab itu wajar dicontoh. Jangan yang tak baiknya dicontohi dan baiknya tidak dipedulikan.

Raja Abdullah yang menggantikan Fahd wajar mengekalkan yang baik itu dan menjuahkan yang tidak baik dari yang lama.

SeTAPAK
04/08/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home