Subky Abdul Latif

Tuesday, August 16, 2005

SYUKUR JEREBU PUN REDA

SYUKUR yang terhingga ke sisiNya jerebu yang hamper mendaruratkan seluruh Lembah Kelang Khamis 11 Ogos 2005 segera reda pada siang Sabtu dan diikuti rahmat hujan pada petang Ahad.

Ia satu anugerah Allah yang sangat disyukuri dan jika mahu indah dan besarnya rahmat dunia tanpa jerebu, rasalah sesaknya nafas dan penglihatan jerebu seperti beberapa hari di Lembah Kelang seminggu lalu.

Sabtu itu api di hutan dan belukar Indonesia belum padam. Ia masih membekalkan asap ke udara, tetapi Lembah Kelang sudah cerah. Gerangan apa?

Bagi yang beriman terasa kagum benar akan kebesaran Allah yang mentakdirkan jerebu dan Allah juga yang meredakannya. Allah Maha Melihat dan Mendengar hamba-hambaNya di setiap masjid di Lembah Kelang bangun semula selepas seleai solat Jumaat menunaikan solat hajat dua rakyat, mengadu dan merayu kepada Allah betapa sesaknya hamba-hambaNya diselubung jereba pekat, maka apa jua kiranya sedutlah jerebu itu dari muka bumi ini.

Serentak puluhan masjid di Kuala Lumpur dan dipercayai ribuan masjid di seluruh Negara mengaminkan doa solat hajat itu. Maka orang-orang beriman itu percaya langit dan awan menyedut jerebu ke angkasa sana, cerahlah Lembah Kelang dan ia diikuti oleh kawasan-kawasan lain di negara ini.

Tidak dinafikan betapa solat hajat itu disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi supaya diadakan, dan ia adalah ingatan kepada masjid-masjid semua memang telah bercadang untuk mengadu dan menyerahkan kepada Allah untuk menghentikan jerebu itu.

Ini tidak bererti ikhtiar lain seperti meminta Indonesia melipat ganda usahanya memadamkan api yang membakar buminya dan mencurah benih awan di angkasa raya oleh kerjasama TUDM.

Sekalipun semua ikhtiar bersungguh-sungguh itu memberi kesan kejayaan, tetapi semuanya itu tidak memberi bekas jika tidak diizinkan Allah. Dan Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pemudah itu sendiriasa memperkenankan permintaan sepenuh hati dan ikhtiar bersungguh seikhlas mungkin.

Doa orang yang cemas adalah senjata paling berkesan menghadapi apa jua kecemasan seperti jerebu itu. Allah sangat belas mendengar orang cemas itu apa lagi yang cemas itu adalah ulamanya dan orang-orang yang miskin. Allah sangat kasih kepada ulama dan hamba-hambaNya yang kesempitan itu.

Seluruh rakyat bertuah dapat menumpang nikmat dari kehadiran para ulama dan insaf atas kewujudan orang-orang tidak berada yang susah itu. Sekalipun yang bangsat itu adalah masalah kepada negara kiranya bilangannya terlalu besar, tetapi ia terpaksa diterima, kerana Allah sangat menghormati orang miskin.

Jerebu itu melanda kali ini di tengah-tengah rakyat semua pihak berada dalam kedukaan atas bala yang menimpa mereka brikutan kenaikan harga minyak pitrol dan diesel dari 10 hingga 20 sen seliter. Bala kenaikan minyak itu menaikkan bilangan rakyat miskin. Yang sepatutnya tidak miskin tetapi dengan kenaikan minyak itu menjadikan mereka miskin.

Orang yang miskin justeru tindakan kerajaan itu, adalah orang yang sedang dukacita masa ini, maka masa inilah pula mereka dilanda jerebu. Semuanya ini membantu kepada makbulnya doa orang ramai yang turun beramai ke masjid Jumaal lalu, sekata mohon Allah supaya mengarahkan langit, awan dan angkasa menyedut habuk jerebu itu.

Allah Yang Maha Mendengar telah mengkabulkan permintaan hambaNya menghantar jerebu itu ke mana-mana ruang antara bumi dan langit yang begitu luas. ALlah telah memberi apa yang kita minta, iaitu pada hari ini Selasa 01/08/05 jerebu seolah-olah sudah tiada lagi.

Apa yang kita minta sudah Allah beri, dan apakah kita telah memberi kepada Allah apa yang dimintaNya?

Dibandingkan dengan apa yang Allah beri kepada kita – yang terbaru Ia telah menarik balik bala jerebu buat beberapa hari, adalah ada pemberian yang sangat besar. Apa yang kita beri kepada Allah, sangat sikit.

Yang minta tidak banyak. Ia minta kita taat kepadaNya dan taat kepada rasulNya SAW. Laksanakan pentadbiran mengikut apa yang diperintahNya. Ia adalah permintaan yang Allah minta sebelum Adam diciptakan. Permintaan itu tidak berubah ketika Adam diperintahkan turun dari syurga ke bumi.

Sampai ke saat ini permintaan Allah itu tidak berubah. Tetapi adakah kita sudah melaksanakannya dan mahu melaksanakannya?

Rasul-rasul termasuk Nabi Muhammad SAW sudah melaksanakannya, tetapi apakah kita yang sudah 48 tahun merdeka melaksanakannya? Jawabnya belum. Lalu kita memberi berbagai-bagai alasan mengapa syariat tidak dapat dipenuhi.

Masing-masing tidak mahu melaksanakannya. Masing-masing memusuhi saudara-saudaranya yang hendak melaksanakannya. Lalu masing-masing bersetuju memberi tunjuk sebab kepada Allah mengapa ia tidak dapat dilaksanakan, bukan kerana tidak mahu melaksanakannya.

Allah yang menarik jerebu dari angkasa Kuala Lumpur minggu lalu sudah menyediakan satu surah jerebu yang khas dalam Al-Quran yang bernama Ad Dukhan yang bermaksud Jerebu.

Allah telah menurunkan satu bala ke tengah masyarakat Qurisy di Mekah kerana mereka menghalang Rasulullah SAW hendak melaksanakan perintah Allah. Ringkasan dari rawi Bukhari betapa halangan Qurisy itu sudah melampau, lalu baginda berdoa supaya diturunkan ujian bala kepada mereka hingga mereka terpaksa makan tulang dan bangkia.

Mereka memandang ke langit minta bala ini di akhiri. Yang mereka lihat ialah jerebu (dukhan) tebal yang menyingkatkan pandangan. Mereka pun mengadap Rasulullah SAW minta doa agar diturunkan hujan dan diangkat jerebu itu. Mereka berjanji untuk beriman. Janji itu kosong, kerana setelah dapat apa yang dipohon mereka kembali seperti biasa.

Kurang dua minggu genap 48 tahun mencapai kemerdekaan. Kita belum tunaikan apa yang Allah minta iaitu laksanakan kehidupan sempurna seperti yang dikehendakiNya. Kita memberi tunjuk sebab mengapa ia tidak boleh dilaksanakan.

Allah kata syariyah. Kita takhlid bahawa syariat itu hadhari. Maka masa itu datanglah dukhaan. Kita solat hajat minta dukhan diangkat ke angkasa. Redalah dukhan atau jerebu.

Apa kita kata sebagai tanda syukur redanya jerebu? Kita mahu meneruskan tunjuk sebab lagi?

Rakyat boleh ditipu dengan tunjuk sebab itu, tetapi jangan tipu diri sendiri. Jangan tipu Allah yang menerima doa solat hajat menghilang jerebu dengan tunjuk sebab yang usang itu.

SeTAPAK
16/08/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home