Subky Abdul Latif

Tuesday, August 23, 2005

TAHNIAH ACEH SEBAT PENJUDI DEPAN KHALAYAK

SEOLAH-olah Aceh menyambut perdamaiannya dengan melaksanakan sebatan beberapa pesalah jenayah judi dengan menyebatnya di depan khalayak rdamai di perkarangan kediaman Bupati sebuah Kabupatin.

Beribu-ribu rakyat turun padang menyaksikan pelaksanaan hukum syariah yang diperjuangkan oleh rakyatnya sejak wilayah itu diceroboh Belanda beberapa ratus tahun lalu.

Kerana pelaksanaan hukuman syariah itu rakyat Aceh berperang mula-mula dengan Belanda dan kemudian dengan kerajaan pusat Indnesia. Perang yang terakhir dengan Indonesia berlansung dua dekad dan belasan jiwa terkorban.

Umat Islam di seluruh dunia khususnya di Nusantara sayugia mengalungkan jutaan tahniah kepada rakyat Aceh, kerajaan Daerah Istimewa Aceh dan GAM atas pelaksanaan hukuman sebat ke atas kaki judi. Tahniah juga atas perdamaian yang dicapai dengan Indonesia dan hak Aceh beroleh otonomi sebagai Daerah Istimewa yang lebih bermakna dari sebelumnya.

Hak Istimewa itu sudah lama diperolehi, sebelum Suharto berkuasa, tetapi tiada apa makna bagi hak istimewa dan otonomi itu jiga syariah tidak berjalan. Tiada harga satu rupiah pun bagi kemerdekaan yang diperjuangkan jika syariah tidak didaulatkan.

Sekali otonomi itu dalam pelaksanaan Islam ssebagai addin, tetapi ia tiada sebarang perbezaan dengan wilayah-wilayah lain Indonesia. Sekarang Aceh menjadi wilayah merdeka dalam Islam di Indonesia.

Jalan tengah bagi Aceh dan Indonesia ialah Aceh kekal sebagai anggota Negara kesatuan Indonesia, GAM sedia menggugurkan tuntutan kemerdekaan bagi wilayah itu tetapi daerah istimewa itu berhak melaksanakan syhariah sepenuhnya.

Sekalipun Aceh beroleh hak 70 peratus atas hasil gas dan petrol yang keluar dari wilayah itu, satu royalti yang cukup besar, Terengganu tidak beroleh apa-apa selain dari pemberian ihsan yang tidak ditetapkan, tetapi semua itu tidak ada apa erti dibandingkan dengan hak melaksanakan syariah.

Insya Allah Aceh yang memulakan hukumnya dengan jenayah judi, dipercayai akan diikuti oleh pelaksanaan atas lain-lain jenayah. Dan sedang diperhatikan oleh dunia sekarng bagaimana ia akan menangani jenayah rasuah yang menjadi penyakit sosial yang sangat kronik di Indonesia termasuk Aceh.

Indonesia memang sejak lama menaruh azam yang tinggi untuk memerangi rasuah, tetapi tiada apa yang dapat dilakukan dan tidak dapat diramalkan bagaimana Indonesia hendak menangani hal itu.

Aceh mesti memulakan suatu yang berkesan menangani gejala rasuah sekalipun sukar untuk menemui aparat pemerintah yang tidak rasuah. Tetapi dengan apa yang dicapai di Hilsinki baru-baru ini memberi kuasa penuh kepada Aceh memerangi rasuah mengikut kehendak syariah.

Antara Indonesia dan Aceh, tidak siapa kalah dan tidak siapa menang kerana kedua=duanya menang. Tetapi dibandingkan dari sudut tujuan manusia itu diwujudkan, maka Aceh dikira pemenang mutlak sekarang kerana ia beroleh syariah sedang Indonesia tidak dapat itu.

Apabila Aceh memilih syariah sebagai perkara pertama dan utama, maka Aceh sudah mendapat tahniah dari Allah dan jika Aceh bersungguh melaksanakan dengan hati yang ikhlas, maka Allah sangat suka membantu Aceh melaksanakannya.

Dengan bantuan semua pihak Aceh akan muncul sebagai pihak benar-benar beruntung. Apa yang dicapai itu bukan dibuat oleh Aceh dan Indonesia saja. Ia disaksi dan diusahakan sama oleh Finland. Peminpin Finland memangkan peranan penting hingga kedua pihak yang bertelagah kini dapat berdamai.

Kesatuan Eropah tidak wajar lagi mempertikai pilihan Aceh itu kerana ia dijayakan oleh Finland, pihak yang sangat dekat dengan hati orang-orang Eropah.

Perkembangan di Aceh nanti, selepas membangun dengan Islam, nescaya tempiasnya akan dapa dirasakan oleh Indonesia. Apabila Aceh muncul sebagai wilalyah yang mendapat keredaan Allah, Insya Allah Indonesia boleh mempelajari kejayaannya dan dengan barakah yang Aceh akan perolehi dari Allah, maka ia akan membuka ruang mudah bagi Indonesia ikut di belakang.

Jika Aceh dapat bangun ssebagai wilayah Indonesia yang paling ke depan, maka suatu yang mustahil bagi Aceh menjadi wilayah contoh kepada bangsa Indonesia.

Inilah masanya bagi PBB dan dunia penderma mangsa tsunami yang berejanji untuk membantu membangunkan Aceh, mencurahkan bantuan seperti yang dijanjikan selama ini.

Sekalipun dunia luar tidak boleh berurusan terus dengan Aceh kerana Aceh adalah sebahagian dari Indonesia, tetapi keadaan yang ada menjamin bantuan itu akan sampai ke tangan Aceh yang betul sepanjang bantuan itu dikhususkan kepada Aceh.

Tidak siapa tahun apa yang Allah rancang tentang Aceh yang tidak pernah putus asa dengan Islam. Dua musibah besar yang Aceh tanggung apabila ia mahu merdeka dengan Islam. Ujian pertamana, ia berperang dengan kerajaan Jakarta. Aceh telah menemui keceraan yang besar.

Kemudian ia dilanda tsunami. Ratus ribu terkorban dan Aceh jadi paya jarak paya tekukur.

Di atas keruntuhan itu Aceh dianugerah mahkota Islam. Ribuan juta wang yang dijanjikan oleh dunia luar untuk membangunkan Aceh mesti digunakan setiap sen untuk Aceh membangun. Dengan demikian Aceh tidak berhadapan dengan ketiadaan wang untuk membangun.

Aceh juga beroleh hak 70 peratus atas hasil buminya. Maka Aceh sepatut tidak berhdapan dengan soal wang untuk membina Aceh baru. Allah telah mengizinkan sekarng Aceh mendapat hak atas minyak dan gasnya.

Setelah bertahun-tahun mandi darah dan setelah ratus ribu rakyatnya bergelempangan mati, maka atas kesabaran dan penderita itu, kini waktu gembira mulai tiba.

Tahniah Aceh. Pandai-pandailah memelihara anugerah yang datang setelah sekian lama diuji dengan kesengsaraan.

SeTAPAK
23/08/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home