Subky Abdul Latif

Friday, August 19, 2005

TIADA NASIHAT ELAK NAIK MINYAK

SEGALA puji bagi Allah. Di Malaysia selepas itu segala puji bagi kerajaan. Lepas itu segala puji bagi Perdana Menterinya.

Maka banyak puji-pujian dari pakar-pakar dunia dalam sehari dua ini kepada kerajaan Malaysia. Mereka itu rata-rata dari suku sakat orang-orang yang mengatakan Islam orang ganas dan pengganas.

Mereka itu diminta memberikan nasihat bagaimana hendak memajukan lagi Malaysia. Tetapi yang jelas sudah mereka beri ialah memuji Malaysia, memuji pemimpinnya, memuji kerajaan.

Tetapi yang tidak pernah tanya dan tidak pernah diminta oleh kerajaan Malaysia kepada pakar-pakar asing itu ialah bagaimana Malaysia sebagai pengeluar minyak kelas tinggi dapat mengelakkan kenaikan harga runcit minyaknya.

Dalam keadaan ekonomi dunia diancam oleh minyak yang melambung-lambung – melebihi USD 60 setong – yang paling perlu ialah nasihat bagaimana kerajaan boleh tidak menaikkan harga minyak?

Dua orang ahli fikir kita dua minggu, pertama Husam Musa, bakal tokoh PAS yang berpotensi dan Dato Seri Anwar Ibrahim yang dinobatkan sebagai ketua pembangkang rakyat, mewakili seluruh rakyat menegur kerajaan kerana menaikkan harga minyak secara mendadak – 10 sen seliter bagi petrol dan 20 seliter bagi disel.

Kenaikan itu yang tiga bagi tahun 2005 yang bertuah ini. Kenaikan ini adalah paling menonjol setelah Petronas mengaut untung RM50+ billion bagi tahun kewangannya yang terakhir baru-baru ini.

Minyak runcit itu tidak perlu dinaikkan, kata kedua-dua mereka. Mengikut logik Anwar itu, yang menaikkan harga yang sedemikian ialah orang-orang yang tahu mentadbir.

Saya jumpa jurutera muda dari Dubai yang melancong ke sini semasa jerebu, saya tanya harga minyak seliter di negerinya. Jawabnya, sekitar 80 sen wang kita.

Di Malaysia? Dia bertanya.

‘Entah,’ Jawab saya. Menyakitkan hati dan menyakitkan kepala mengeahui harganya yang saya percayai akan naik lagi.

80 sen seliter. Ia mengeluarkan minyak. Kita? Kita mengeluarkan petrol. Agaknya tidak sama minyak dan petrol.

Malaysia ialah kaki dakwa, Malaysia adalah negara Islam contoh dan terbaik. Sebagai pengeluar minyak harga runcit minyaknya tinggi. Ia murah dibandingkan dengan negara yang tidak berminyak.

Di Kuwait, di Qatar, di negeri-negeri minyak sebelah situ harga seliter bahan bakar itu 80 sen ke seringgit. Mereka tidak diketahui sebagai negara Islam contoh. Yang tidak contoh harganya rendah, yang jadi contoh harganya mahal. Inilah yang dikatakan contoh Pak Kadok.

Di Negara tersebut tiada apa selain minyak dan pokok kurma. Malaysia ada semua. Minyak, kelapa sawit, getah, kayu balak dan lain-lain. Di Negara yang air tidak berapa cukup, berupaya menjual minyak murah kepada rakyat. Di Malaysia yang ada bermacam-macam tidak terdaya memberi minyak murah kepada rakyat.

Negara-negara di Teluk itu baru nak belajar demokrasi. Kerajaan rata-rata tidak ditentukan oleh rakyat. Rata-rata ditentukan oleh raja-raja. Malaysia segala-galanya diundi oleh rakyat tiap-tiap lima tahun atau kurang. Rakyat yang menentukan kerajaan, kerajaan menentukan minyak untuk rakyat mahal.

Kuwaitm Dubai dan lain-lain menjual minyak dengan harga tinggi ke pasaran luar, tetapi murah untuk rakyat. Malaysia menjual minyak dengan harta tinggi untuk pasaran luar negeri dan tinggi juga untuk rakyat.

Nampaknya baiklah tidak menjadi contoh dari menjadi negara contoh.

Adapun harga runcit sebelum kenaikan yang terbaru adalah menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung sabsidi harga disel. Jika saya tidak silap, dengan kenaikan itu Malaysia terlepas beban sabsidi kira-kira sebilion ringgit.

Kerajaan kedekut untuk memberi satu billion ringgit untuk sabsidi disel, lalu ia membenarkan berlaku inflasi. Kenaikan harga minyak diikuti kenaikan semua harga barang. Dalam keadaan minyak tak naik pun, harga barang tak terkawal, maka apalah pula bila minyak naik.

Apabila minyak naik, harga barang pun naik. Gaji dan elaun pekerja akan naik akhirnya. Tambang menambah naik. Akan menaikkan belanjar pelajaran bagi tiap-tiap kepala. Dan paling akhir parlimen menaikkan elaun wakil rakyat dan gaji menteri dan perdana menteri.

Yang hendak diselamatkan satu billion ringgit dan perbelanjaan tambahan atas inflasi berapa billion pula. Tidakkah ini yang dinamakan untung sekarung rugi seguni.

Petronas untung lebih 50 bilion ringgit tahun lalu. Jika digunakan satu billion daripadanya, keuntungan Petronas itu berbaki lagi 49 bilion. Biarlah sabsidi disel itu dua billion, Petronas ada lagi 48 bililon.

Apa yang menakutkan ialah sudah ada cakap-cakap di tepi pagar cabinet, minyak runcit kita menuju sasaran RM6 seliter. Saya belum mahu mempercayainya. Tetapi tiada yang tidak boleh dipercayai kerana Malaysia boleh.

Dulu kita menyalahkan Soros. Sekarang siapa hendak disalahkan?

Yang salah ialah kerajaan yang tidak bertanya pakar cara mengelakkan harga minyak dalam apa keadaan jua.

SeTAPAK
19/08/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home