Subky Abdul Latif

Monday, September 19, 2005

BOTOL ARAK BUKAN ARAK

SEORANG petugas PAS memberitahu saya, seorang pemimpin Pemuda PAS Perlis bernama Ustaz Kamaruzaman mengulas padangan saya yang menyokong kenyataan Dato Harun Taib, Ketua Dewan Ulama Pusatakan membantah tindakan kerajaan Kelantan membawa Mawi ke Kelantan dan menyambut kelahiran Kota Bharu sebagai bandar raya Islam dengan hiburan Mawi.

Saya belum baca teksnya. Tetapi laporan petugas itu kira-kira kalau saya boleh menyokong sikap Ustaz Harun, maka dia juga boleh membela pihak yang satu lagi.

Satu hujahnya yang dilaporkan kepada saya bahawa botol arak bukan arak.

Saya komen dulu atas dua perkara. Pertama sikap saya dan sikap ustaz itu. Kedua mengenai botol arak bukan arak.

Saya harap ustaz itu membuat sikap atas kepercayaan dan keyakinannya, maka beliau memberikan sokongannya kepada kegiatan memperkenalkan hiburan alternatif dan apa yang kerajaan Kelantan itu wajar dipertahankan, bukan kerana hendak menjaga hati pemimpin dan pemimpin mesti benar.

Sikap saya itu atas dua sebab. Pertama kerajaan Kelantan membuat sesuatu yang belum dibincangkan dengan parti di peringkat tinggi terutama dalam isu hiburan yang orang dulu kala panggil wayang.

Kedua, saya mengambil panduan Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang ketika menggulung perbahasan ucapan dasar dalam muktmar di Putik, Kota Bharu bulan Mei lalu. Beliau menyeru supaya ahli-ahli PAS jangan mengampu. Jika ada sesuatu dari pemimpin yang dirasakan patut ditegur, sila tegur. Kalimah ‘jangan mengampu’ itu disebut beberapa kali.

Sikap saya selalu seperti yang Presiden saran itu. Dan ia menguatkan kepercayaan itu selepas Presiden berpesan begitu. Biar saya memakai saranan jangan mengampu itu sehinggalah kalimah itu diberi tafsiran baru.

Walaupun ustaz itu tidak bersetuju dengan saya, beliau akan dihormati manusia di bumi dan malaikat di langit jika bersikap tegas dengan saranan tidak mengampu Presiden itu.

Mengenai yang kedua iaitu arak bukan botol. Saya menggunakan ajaran al-Quran bahawa walaupun arak itu ada manfaatnya, tetapi mudharatnya lebih banyak. Justeru itu arak diharamkan.

Apa yang saya boleh faham dari mantik ustaz itu ialah yang haram ialah arak dan bukan botolnya. Ia adalah benar. Tetapi fitnah arak itu bukan sekadar araknya tetapi botolnya juga boleh menjadi fitnah.

Ada dua pengalaman yang saya temui berhubung dengan fitnah bekas arak ini. Pertama ketika saya baru masuk PAS kira-kira 30 tahun. Ketika itu saya juga adalah pengarang Watan.

Seorang pesuruh Cina membawa hamper untuk saya dari katanya, ‘Tan Koon Suan.’ Tan Koon Suan ketika itu adalah seorang berjawatan tinggi di syarikat gergasi Henting Highland. Kemudian dia menjadi pemimpin MCA menewaskan Neo Yee Pan.

Antaranya beberapa botol arak yang mahal. Saya manfaatkan yang lain dan saya jadikan botol arak itu hiasan dalam almari di rumah bersama pinggan dan pereng kepunyaan sang isteri.

Datang seorang kuat PAS yang disegani kerana tuanya dalam PAS. Dia tegur hiasan botol arak itu. Saya kata padanya, botol itu cantik bentuknya. Saya suka dan ia sekadar hiasan. Saya bukan suka araknya tetapi botolnya.

Aktivis itu namanya Pak Manan, dikenali oleh Dato Asri, Dato Fadzil Noor dan lain-lain. Dia minta saya turun botol itu. Kalau saya suka bentuknya sorokkan dari orang ramai.

Fitnah menyimpan botol arak itu sama besarnya dengan minum arak. Jika orang ramai melihat botol itu di rumah ‘anakku’ bahasanya pada diri saya, ‘maka kami dalam PAS tidak dapat hendak mempertahankan kira orang menyangka anakku kaki arak.’

Baginya PAS sendiri akan terfitnah kerana didapati botol-botol arak dalam hiasan rumah seorang pemimpin PAS.

Saya turunkan botol itu serta merta.

Fitnah kedua ialah kejadian Al-Marhum Dato Asri semasa menjadi menteri kerajaan pusat. Dato Asri mewakili kerajaan dalam satu majlis hari kebangsaan sebuah negara asing. Sebagai wakil kerajaan, tugas rasmi beliau ialah menyampai ucap selamat raja, kerajaan dan rakyat Malaysia kepada ketua Negara, kerajaan dan rakyat negara asing itu. Begitulah sebaliknya.

Ucap selamat itu dikuti oleh minum seteguk. Datuk Asri minum air sejuk saja tetapi dalam majlis seperti itu gelas yang digunakan samalah juga dengan gelas yang digunakan untuk arak. Gelas untuk arak memang cantik apatah gelas yang digunakan dalam sambutan kemerdekaan sebuah Negara asing.

Dalam pilihan raya umum selepas PAS berpisah dari Barisan Nasional, tersebar satu poster di seluruh Negara. Gambar dalam poster itu menunjukkan Dato Asri memegang gelas cantik tadi. Tiada pula dalam keterangan gambar itu mengatakan almarhum minum apa. Dato Asri dalam satu kegiatan saja.

Ia adalah kerja dan perang saraf Barisan Nasional. Dalam bisik-bisik dan syarahnya ke seluruh Negara sekadar bertanya apa yang Dato Asri minum.

Dengan poster itu para pengundi boleh membuat tafsir sendiri. Apa lagi apabila ada hantu-hantu UMNO mengatakan Dato Asri minum itu dan minum ini.

Penceramah PAS tak tahu nak jelaskan macam mana. Nak kutuk UMNO kerana gambar itu nak kata apa. Bukan ada kata-kata yang mengatakan beliau minum benda yang dilaknat itu.

PAS menghadapi pukulan yang teruk, kalah teruk.

Biasalah kalah bagi PAS, tetapi yang paling mengeciwakan dalam kempen ialah fitnah yang dibawa oleh gambar minum air sejuk yang menggunakan gelas yang digunakan untuk minum arak.

Gelas itu tidak haram, yang haram dan dilaknat ialah araknya. Walau pun ustaz Perlis itu gunakan botol atau atau gelas arak untuk menadah kencing, tetapi orang tidak tahu apa yang ada dalam botol itu, tapi orang tengok ustaz pegang botol arak. Tambahan pula warna air kencing itu hampir sama dengan warna arak.

SeTAPAK
19/09/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home