Subky Abdul Latif

Thursday, September 08, 2005

CARILAH PAHALA DENGAN IBADAT

MENJELANG hari kemerdekaan 31 Ogos saya berjemaat di negeri Antah Berantah. Bukan main hebat khutbah yang disampaikan. Mengenai merdeka dan pengisiannya. Lebih hebat dari semangat Tunku Abdul Rahman Putra mengistharkan kemerdekaan 48 tahun lalu.

Ada pula hamba Allah bertanya, ‘Apa komen tentang khutbah tadi?’

Saya hanya kata, ‘Sepatutnya di akhir khutbah itu Tok Khatib pekikkan MERDEKA tiga kali dengan angkat tangan ke atas macam Tunku buat di Stadium Merdeka 48 tahun dulu.’

Semasa di Antah Berantah itu sempat juga saya mengikuti satu pertemuan demokrasi. Saya tertarik dengan satu penjelasan mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan.

Biasalah dalam pertemuan demokrasi baik terbuka atau tertutup, sesiapa saja membangkitkan apa yang dirasai patut disuarakan dan bagi pihak lain pula yang patut bagi satu orang dikira tidak patut pula bagi satu orang yang lain.

Begitulah sejak zaman purba Rom lagi. Para senatornya berdebat membuat teguran dan mendengar penjelasan.

Dalam penjelasan itu yang membuat penjelasan mengatakan apa yang dibangkitkan, tuduhan, kecaman dan lain-lain yang dibuat terhadapnya adalah tidak betul.

Dia tidak sekadar menjelaskan apa yang dikatakannya tidak betul, tetapi mengira kata-kata yang dilemparkan kepadanya sama ada di pertemuan itu atau di lain-lain tempat memberi pahala percuma kepadanya.

Perkata yang tidak benar dibuat terhadapnya menyebabkan yang membuat tuduhan dan sebagainya mendapat dosa dan sebaliknya dia yang menjadi sasaran mendapat pahala atas sangkaan yang tidak betul terhadapnya.

Dia menyatakan perkara yang betul. Kaedah agama kita begitu; mengata orang yang bukan-bukan adalah berdosa dan orang yang kena kata yang tidak membuat semua yang dikatakan itu mendapat pahala.

Dari nada penjelasan itu saya rasa dia berpuas hati kerana dapat pahala dari perbuatan orang lain dan dapat membuat penjelasan.

Justeru itu saya fakir sesiapa yang hendak membangkitkan sesuatu pastikan ketepatannya supaya diri sendiri tidak berdosa walaupun tindakan itu memberi peluang kepada orang lain mendapat pahala.

Membantu orang lain mendapat pahala atas perbuatan kita adalah baik, tetapi kalau sampai kita berdosa tetapi orang lain dapat pahala adalah kejadian yang tidak seimbang.

Apa yang wajarnya, kita peri peluang pahala dari perbuatan kita kepada orang lain dan kita sama-sama dapat pahala. Kita beri orang pahala dan kita dapat pahala atas ibadat itu.

Oleh kerana dalam perbincangan demokrasi baik demokrasi yang diamalkan itu bercanggah dengan Islam dan yang tidak bercanggah dengan Islam, maka tegur menegur itu adalah kebaikan dan tersasul itu adalah biasa bagi manusia yang bersifat kekurangan.

Islam menghendaki sesama kita tegur menegur. Ia sihat dan nasihat. Yang menegur boleh dapat pahala dan yang kena tegur dapat kebaikan dari teguran itu. Jika teguran itu betul, maka yang ditegur boleh membetulkannya dan jika sudah betul sebelum ditegur, teguran betul atau tidak betul memberi rasa berhati-hati kepada pekerjaan kita.

Bagaimanapun janganlah bergantung kepada pahala dari perbuatan orang lain. Adakah kita gembira kerana dapat pahala atas perbuatan orang lain, dan orang yang memberi pahala kepada kita mendapat dosa?

Kita jangan bergantung pahala dari perbuatan orang lain, tetapi kita carilah pahala yang sebanyak-banyuaknya dari ibadat kita sendiri sama ada ibadat antara khusus dengan Tuhan atau ibadat dalam perkhidmatan kita dengan masyarakat.

Bangun tengah malam atau sebahagian dari malam mendekakan diri dengan Allah, banyakkan puasa sunat, banyakkan menjamu anak yatim dan orang miskin, berzakat dan sebagainya.

Berkhidmatlah dalam masyarakat, pastikan kita difahami oleh anggota masyarakat, elakkan kerja-kerja betul tetapi tidak difahami oleh masyarakat.

Ibadat-ibadat seperti ini boleh memberi peluang pahala yang sebanyak-banyak, dan jika boleh pula pahala dari perbuatan atau amalan orang lain, maka itu adalah bonos.

Para nabi, para sabahat dan tabiin tabiin dan tabiin selain dari mencari pahala dari ibadat sendiri tetapi juga mencari pahala dari ibadat orang lain yang sebanyak-banyhak dan terus menerus.

Contohnya mereka mengajar. Ilmu yang diajar itu diamal dan diajar pula kepada orang lain, maka selagi ia bersambung hingga hari kiamat, maka orang itu terus menerus menerus menerima pahala.

Imam Ghazali mengarang kitab Ihya Ulumuddin mendapat pahala yang tidak berkesudahan apabila kitab dibaca, diamalkan, diajar kepada orang lain menyebabkan Imam Ghazali kaya dengan pahala.

Tetapi jangan pula kita menolak pahala yang Allah beri melalui orang mengata kita di belakang. Menolak satu pemberian Allah itu bererti kita sombong.

Apa yang perlu kita buat ialah melakukan sesuatu dalam masyarakat secara telus, tidak mengelirukan orang lain, dan segera dari semasa ke semasa menjelaskan sebarang kekeliruan dan mencegah kekeliruan dari peringkat awal supaya orang lain tidak berdosa walaupun kita boleh dapat pahala dari tindak balas orang-orang yang keliru itu.

Dalam perhidmatan kita yang jujur dan ikhlas, tetapi menimbulkan banyak kekeliruan menyebabkan orang lain berdosa atas perbuatan kita, maka peruatan yang menyebabkan orang lain berdosa belum tentu kita dapat pahala atas perbuatan mereka.

Segala amalan dengan orang ramai yang kita buat adalah betul, tetapi yang tidak betulnya a dalah yang menimbulkan kekeliruan, maka kita pertahankan perbutan atau kekeliruan yang menimbulkan kekeliruan itu, maka jangan fikir pahala akan datang juga pada kita.

Orang-orang berjiwa besar tidak semestinya berbadan besar, adalah sentiasa sensitif terhadap pandangan orang lain sekalipun pandangan itu tidak betul. Dalam Islam sesuatu pekerjaan dan amalan yang sudah seratus peratus, masih memerlukan teguran. Golongan pembangkang itu perlu wujud dalam apa keadaan juga.

Itulah sebabnya saya tidak setuju dengan pandangan setengah orang – termasuk dari setengah tok guru – jika UMNO menjalankan Islam, maka kita akan bubarkan PAS.

Bagi saya ia pandangan yang mengelirukan. Kiranya berlaku UMNO dijadikan Allah bertukar menjadi PAS tetapi ia masih meletakkan PAS dalam kotak yang lain, perubahan itu wajar diberi tahniah, tetapi PAS perlu ada, kerena tegurannya tetap releven dan dikehendaki.

Peranan akan berubah, tetapi ia tidak boleh dibubarkan. Salah jika dibubarkan, kerana yang berubah itu tidak mustahil berubah semula kepada yang asal atau dari mana ia datang.

Oleh itu dalam menghadapi isu kekeliruan dan tegur menegur, orang ditegur wajar memberi penjelasan, di mana letakkan kedudukan dan apa yang mengelirukan. Membuat penjelasan membetulkan apa yang sudah betul itu tetap memberi pahala. Pahala itu adalah lebih bererdi dari pahala yang diberi oleh atas dosa orang lain.

Orang-orang yang terasa ada kekeliruan bertanggungjawab membangkitkan sesuatu yang mengeliru supaya ia tidak terus keliru. TEguran adalah kerja berpahala, belum tentu teguran membawa dosa. Jika dalam tegur menegur itu menimbulkan kekeliruan lain, maka tanggugnjawab bersamalah untuk menyelesaikan.

Anggapan orang lain saja berdosa dan kita tidak berdosa, tidak juga tepat. Bukankah tempat perbincangan itu bukan sekadar dikehendaki oleh demokrasi tetapi ia lebih dikehendaki oleh Islam. Demokrasi tidak memberi dosa dan pabala, Islam memperuntukkan pahala dan dosa.

Jika ada perkara yang dirasakan tidak betul, tidak dibangkitkan, maka ia bukan saja tidak mendatangkan pahala kepada orang yang menunggu pahala atas kesilapan orang lain, tetapi berdiam diri itu boleh membawa dosa. Ia boleh jadi syaitan bisu.

Saya harap saya sudah membuat pandangan yang berpahala kepada orang Antah Berantah dan tidak.

SeTAPAK
08/09/05

1 Comments:

  • terima kasih sharing info/ilmunya...
    saya membuat tulisan tentang "Mengapa Pahala Tidak Berbentuk Harta Saja, Ya?"
    silakan berkunjung ke:

    http://achmadfaisol.blogspot.com/2008/08/mengapa-pahala-tidak-berbentuk-harta.html

    semoga Allah menyatukan dan melembutkan hati semua umat Islam, amin...

    salam,
    achmad faisol
    http://achmadfaisol.blogspot.com/

    By Blogger faisol, at 1:38 AM  

Post a Comment

<< Home