Subky Abdul Latif

Monday, September 05, 2005

KAMPUS, UMNO LAWAN PELAJAR

MENJELANG pilihan raya di setiap kampus institut pengajian tinggi yang akan berlangsung sedikit hari lagi kementerian pelajaran tinggi dan budak-budak UMNO bersatu tenaga untuk memastikan calon yang menyokong UMNO menguasai setiap kampus.

Kementerian itu acap mengadakan pertemuan dengan wakil setiap universiti dan wakil-wakil UMNO bagi menyusun strategi bagaimana calon yang dipercayai tidak sedia menjadi pak turut UMNO ditewaskan seteruk-teruknya dalam pilihan raya pelajar itu.

Dalam pilihan raya yang lalu, muafakat kementerian, penguasa kampus dan UMNO telah berjaya memenangkan kumpulan yang ditaja UMNO di kebanyakan kempus. Ia menyaksikan pertama kali pilihan raya itu dimenangi oleh UMNO.

Dalam setiap pilihan raya bebas yang berlangsung sebelum ini tidak ada kumpulan yang menyokong UMNO mampu menguasai badan perwakilan pelajar di setiap kampus.

Sejak system pemilihan perwakilan pelajar diadakan melalui pilihan raya terbuka, calon-calon pro UMNO tidak pernah mendapat tempat.

Sebabnya ia berjalan bebas dikendalaikan oleh pelajar sendiri dan kempus tidak langsung campur tangan supaya memihak kepada kumpulan itu atau kumpulan ini. Penyertaan pihak berkuasa kampus hanya di tempat-tempat yang ia diperlukan saja.

Jika sesiapa hendak mempelajari perjalanan demokrasi bebas, maka di kampus itulah tempatnya. Pilihan raya bebas tidak wujud di luar kampus selepas tahun 1969. Orang-orang yang tidak terlibat dalam pilihan raya, tidak dapat akan dapat memahami apa yang dimaksudkan tiadanya pilihan raya bebas dalam system pilihan raya di Negara ini.

Kalau penyertaan masing-masing sekadar datang mengundi, mereka tidak akan tahu betapa tidak bebasnya pilihan raya itu. Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Rais Yatim dan penyokong-penyokong Anwar Ibrahim yang rojok semula kepada UMNO tahu apa yang dikatakan tidak bebas itu kerana mereka ada sedikit pengalaman menyertai pilihan raya di luar UMNO.

Tetapi pilihan raya pelajar di kampus-kampus yang bebas itu memberi peluang para pelajar mengundi siapa yang mereka fikir patut disokong. Oleh itu orang yang berfikiran bebas berjaya menarik perhatian para pelajar.

Dalam auku para pelajar dan tenaga pengajar dilarang menjadi penggiat politik. Walaupun tujuan asalnya untuk mengelakkan kampus menjadi tapak pembangkang berkubu. Ia dengan sendirinya diharapkan dapat mewujudkan suasana seimbang dalam kampas.

Dalam apa keadaan pun, kalau sesuatu gerakan itu bebas dari cengkaman UMNO, maka seperti tiada ruang untuk alat-alat UMNO meraih sekongan. Malah bercakap mengena UMNO tidak selesa.

Tetapi setelah akta universiti itu berkuat kuasa sepenuhnya, tiada yang bebas dari UMNO boleh makan gaji di kampus, maka pengaruh merobotkan para pensyarah dan pelajar bermula dan bermaharajalela. Setiap yang makan gaji tiada lagi boleh menegur UMNO, malah tidak boleh menyuara apa-apa yang boleh ditafsirkan menentang UMNO.

Sesiapa yang tidak diyakinkan kesetiaannya, maka jangan fikir boleh naik pangkat. Bagi mereka yang sedia bebas mengkritik UMNO disebabkan mereka sudah berada di situ sebelum pengaruh penjelmaan robot bermula dikira berada di situ untuk sementara.

Apabila mereka pergi – bersara atau berhenti atas pilihan sendiri – maka tiada gejala seperti itu di situ. Dan tiada kemungkinan orang-orang tidak menyokong UMNO diterima.

Sebelum pemilihan lalu, pelajar-pelajar kampus mengambil sikap tidak banyak bercakap, tetapi menentukan mereka bebas mengundi. Tokoh-tokoh UMNO bebas dihantar bercakap dalam majlis orentasi di kampus. Beribu-ribu pelajar baru dan lama wajib mendengar mereka mengiklan dan memasarkan UMNO.

Mahasiswa itu mekamalkan sikap penuh sabar, mendengar berjam-jam tanpa komen, tetapi setelah juru jual UMNO itu pulang mereka tertawa dan kotak peti undi agak kosong dengan undi pro UMNO.

Tetapi berbeza dengan keadaan beberapa tahun lalu. Pelajar-pelajar yang mahukan selamat, jangan menunjukkan minat cegas dalam kumpulan yang dikira tidak menyokong UMNO. Masalah mereka kira-kira sama dengan menjajdi orang Islam di Amerika dan di Britan selepas 11/September 2001.

Pada umumnya setiap Islam itu pengganas dulu. Mereka mestilah membuktikan mereka bukan pengganas. Dunia barat sekarang bukan dunia yang selesa bagi orang Islam dan orang yang dirasakan Islam. Itulah sebabnya ada Singh terbunuh di Amerika dan ada orang Brazil yang kulit dan rupanya boleh disangka Islam ditembak polis London lebih sebulan lalu.

Demikianlah tidak selesanya menjadi pelajar universiti dikenali dan disyaki bukan UMNO. Untuk melepas rasa tidak senang pada UMNO hanya boleh dilakukan dalam bilik di rumah masing-masing, itu dipastikan tiada di luar bilik yang menyokong UMNO seperti ayah, kakak dan ipar yang menyertai. Kalau ada gejala itu dalam bilik itu tidak boleh buat apa-apa.

Atas perkembangan itu dalam masa beberapa tahun lagi tidak kumpulan lagi yang bersedia menentang kumpulan yang ketahui mewakili UMNO dalam pilihan raya kampus. Bukan suatu yang pelik bagi kampus-kampus di Malaysia selepas ini dipenuhi oleh pelajar-pelajar yang tidak senyum dan dari berkerut seperti kampus-kampus di Soveit Union, di Jerman Timur dan lain-lain Eropah Timur dalam era perang dingin.

Dalam kampus tiada kumpulan yang menentang kumpulan pro komunis dalam pilihan raya. Di luar kampus parti yang memerintah beroleh kemenangan 99.99 peratus. Presiden yang menjadi calon Presiden dalam masa-mana pilihan raya akan menang dengan 99.99 peratus.

Pilihan raya umum 2004 lalu menyaksikan BN pimpinan Datuk Seri Abdullah Badawi memenangi majorit jauh lebih tinggi dari undi dua per tiga yang dikehendaki. Ia satu pencapaian rekod. Pencapain Tunku tidak sebaik Tun Razak, Tun Razak tidak sebaik Tun Hussein Onn, Tun Hussein tidak sebaik Dr. Mahathir dan Dr. Mahathir tidak sebaik Pak Lah. Pak Lah pula hampir tidak dibangkang.

Apabila pertemuan-pertemuan itu dianjurkan oleh kementerian untuk menghadapi pelajar yang tidak dikehendaki oleh kementerian itu, maka banyak duit kerajaan digunakan untuk menghadapi pelajar-pelajar yang belum dipanggil pengganas.

Sewajarnyalah wakil-wakil kampus dibayar oleh duit kerajaan baik dari kemeterin mahu pun kampus. Budak-budak UMNO dipanggil itu dengan duit siapa. Duit kerajaanlah. Maka tidak bolehkah BPR membuat penyelidikan; layakkah duit kerajaan membiayai kedatangan wakil-wakil UMNO ke perjumpaan itu?

Tiadakah ia melanggar aturan dan peraturan pencegahan rasuah? Mungkin ia salah dan mungkin ia tidak salah.

Kalau ia menyalahi kehendak anti rasuah, maka tercelalah dasar anti rasuah kerajaan. Jika ia tidak dipastikan, nescaya kokok anti rasuah Pak Lah, Datuk Seri Najib Glokal dan menteri-menteri sekalian dilihat sebagai kokok mergastua yang ekor masing-masing bergelumang dengan najis sendiri.

SeTAPAK
05/09/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home