Subky Abdul Latif

Wednesday, September 21, 2005

KESIAN PADA TAN SRI HALIL

TAN SRI Abdul Halil bin Abdul Mutalib satu nama yang saya tidak kenal dan satu yang langsung tidak ada dalam fikiran saya. Mungkin kami ada berjumpa tapi saya tidak tahu langsung kewujudannya.

Ketua Pengarah Kastam Diraja yang akan bersara Oktober ini sedang berhadapan dengan fitnah dan tohmah, dikatakan terbabit dalam acara keraian persaraannya yang melibatkan perbelanjaan RM5 juta.

Saya sangat simpati dengannya. Dia seorang pegawai kanan kerajaan yang akan bersara beberapa hari saja lagi dan persaraannya itu bukan kerana dibersarakan tetapi kerana usianya mewajibkan dia bersara.

Saya melihat dari luar dan dari jauh, dia sudah mencapai satu kejayaan dalam perkhidmatannya kerana telah diamanahkan memegang satu jawatan yng cukup tinggi. Dalam beribu-ribu orang yang berkhidmat dalam perkhidmatan kastam, maka satu jawatan yang hanya boleh dijawat oleh satu orang pada masa diamanahkan kepadanya.

Tahniah atas perkara itu.

Tiba-tiba pada tempoh yang dia patut mendapat penghormatan dari perkjidmatan dan diikuti dengan dapat ganjaran yang menjamin hidup dan masa depannya selepas persaraannya kerana khidmatnya, maka dia berhadapan dengan tohmah yang sangat berat yang mengancam masa depannya dan nama baik keluarganya.

Kesnya dikatakan acara-acara keraian persaraannya oleh jabatannya dan anak-anak buiahnya melibatkan perbelanjaan RM5 juta.

Ia bukan suatu yang mustahil, tetapi saya payah hendak mempercayainya kerana perbelanjaan apa sebegitu besar untuk persaraan seorang pegawai kanan kerajaan sepertinya boleh membenarkan dan menytujuinya?

Dia tentu tahu risikonya dalam suasana kerajaan sangat ghairah membuktikan ia sangat anti rasuah, ia mahu sebanyak-banyak bukti menangkap dan menghukum kes seprti itu supaya ia betul-betul dilihat bertindak menentang rasuah.

Semua orang tahu bahawa Malaysia adalah sebuah Negara yang rasuahnya cukup galak sama seperti pesatnya pertumbuhan bangunan-bangunan di seluruh pelusuk. Orang ramai begitu kuat menekan kerajaan supaya bertegas menentang rasuah dan kerajaan pun disuarakan bertegas untuk menanganinya.

Tetapi orang tidak melihat tindakan kerajaan itu selari dengan laungannya. Kerajaan ada alasan, bukanlah mudah untuk membabitkan seseorang. Ia kena hati-hati dan memastikan tiada yang terinaya dalam tindakan itu. Justeru itu ia tidak boleh terburu-buru. Justeru itu ia tidak dikira bersungguh, kerana tidak banyak bukti tindakan telah diambil.

Kerajaan yang takut dilihat tidak bersungguh, mahukan kes yang membolehkan kerajaan dilihat bertindak bersungguh-sungguh membasmi rasuah. Dalam keadaan itu kerajaan tidak teragak-agak bertindak terhadap apa jua yang mmebolehkan ia dilihat tegas.

Apabila ada isu sepesrti yang dihadapi oleh Tan Sri Halil itu, maka kerjaan terpaksa tegas. Menyedari hal itu maka Tan sri itu tentulah peka dan mesti menjuahkan diri dari fitnah.

Tetapi jika dia adalah dari jenis yng tidak bertenggungjawab, maka lantaklah apa nak jadi kepadanya.

Pada masa ini saya tidak menaruk perasaan buruk terhadap pegawai yang sedang hendak menamatkan perkidmatannya. Setengah orang sudahpun mengabil cuti menjelang persaraan.

Saya seorang yang mahu melihat seorang yang salah dikenakan tindakan. Tetapi saya juga setiap orang dibagi keadilan.

Oleh kerana itu saya lebih suka melihat cara Allah mensabitkan dosa seseorang.
Seorang yang berniat untuk berbuat baik, ketika itu juga dia mendapat pahalanya. Apabila niat itu dilaksanakan, maka ia dapat pahala lagi.

Tetapi bagi seseorang yang berniat untuk melakukan kejahatan, dia tidak diberi dosa lagi. Hanya sesudah dia melakukan naitnya, maka barulah dosa itu disuratkan. Tetapi di antara niat dan pelaksanaan niat itu, dia menggugurkan niatnya, maka dia bebas dari dosa.

Oleh kerana itu saya lebih suka melihat sambuntan majlis perpisahan Tan Sri Halil, kalau betul niat dan dirancang hingga menelan belanja RM5 juta, maka ia hendaklah dicegah. Rancangan itu hendak dibatalkan. Rancangan bukan suatu sudah berlaku. Ia hendak berlaku, ia belum berlaku.

Orang-orang yang katakan terlibat baru bercadang, mereka belum melaksanakan kesalahan. Dan kerajaan bertindak mencegah. Tindakan mencegah tentulah sepatut tidak sama dengan tindakan terhadap pihak yang sudah melakukan perkara yang dilarang tadi.

Jika ada rancangan seperti yang dibangkitkan itu, maka apa yang bising sekarang ialah usaha menghalang ia dilaksanakan. Maka tindakannya tidak sama dengan hukuman terhadap pesalah setelah ia dilakukan.

Tindakan mencegah ini adalah lebih diperlukan dari tindakan menghukum ssetelah ia dilakukan. Rawatan yang terbak bagi sebarang penyakit ialah mencegah dari penyakit, bukan merawat setelah sakit.

Jika benar berlaku, maka ia hendaklah dibatalkan. Malu atas tindakan pencegahan seperti yang saya maksudkan itu adalah lebih berkesan dari dedan dan hukuman yang dikenakan.

Kalau saya yang menjalankan undang-undang, maka saya perintahkan perkara itu jangan diteruskan. Tutup buku. Kalau kamu teruskan juga, maka akan terima risikonya.

Hukum yang saya fikirkan itu ialah kerana saya menghargai jasa, khidmat dan kebaikan yang seseorang pernah beri sepanjang khidmatnya, maka tidak sedap kesilapan di saat akhir perkhidmatan, semua kebaikannya dipadamkan sama sekali. Tetapi kalau RM5 juta yang dikatakan itu sudah dihabiskan, maka terimalah habuannya.

Bagaimanapun saya tetap bersangka baik kepada Tan Sri Halil. Saya tidak berhajat untuk menjadi pembela. Tapi saya tidak mahu dia tidak dapat keadilan dalam isu ini. Saya kesian kepadanya, dan saya harap dia dapat melepasi ujian itu.

Pandangan saya ini tidak langsung berhajat untuk mempengaruhi mana-mana pihak menghentikan kerja masing-masing.

SeTAPAK
21/09/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home