Subky Abdul Latif

Monday, September 26, 2005

KIMMA MINTA MASUK MELAYU

DALAM perhimpunan agungnya baru-baru ini antara lain KIMMA, Kongres masyarakat Islam India di Malaysia menuntut supaya kaum itu diterima sebagai orang Melayu dan mendapat hak seperti yang diberikan kepada orang Melayu.

Atau jika tidak diterima sebagai orang Melayu, maka naikkan kepada status Bumiputera sama taraf dengan Kadazan, Iban dan lailn-lain.

Tuntutan masyarakat Indis Muslim itu bukan suatu tidak munasabah. Ia boleh ditimbangkan dan patut ditimbangkan.

Sebagai masyarakat yang beragama Islam, mereka adalah sudah bersaudara dengan orang Melayu yang beragama Islam. Jika orang Melayu Islam itu adalah orang-orang yang takwa, mereka mesti menerika orang Islam India itu sebagai saudara mereka kerana Islam sudah menentukan penganutnya adalah bersaudara.

Kalau ada orang Melayu tidak menerima masyarakat Muslim itu bukan saudara mereka, maka ini bererti sangat nipis Islam mereka.

Masyarakat India Muslim itu dalam beberapa hal telah mengamalkan kebudayaan orang Melayu, walaupun masih mengekalkan pergaulan dan cara hidup masyarakat mereka.

Selain dari orang Melayu, masyarakat inilah yang masih makan bersuap dengan tangan dan mengekalkan kain pelikat sebagai bakaian harian terutama semasa berada dalam rumah.

Malah sebahagian dari mereka telah pun menjadi orang Melayu yang masih disifatkan oleh setengah orang Melayu sebagai Mamak. Walaupun Mamak itu adalah nama lama masyarakat India Muslim di Negara ini, tetapi yang sudah menjadi orang Melayu pun masih tidak terbuang terus gelaran Mamak itu.

Walaupun ada lagi ingatan mereka sebagai Mamak, tetapi ia tidak pula meletakkan mereka rendah dari orang Melayu yang bukan Mamak tadi. Ramai dari mereka menjadi ahli dan pemimpin UMNO.

Dalam tahun 60an seorang ADUN Pulau Pinang MSA Zakaria adalah seorang masyarakat India Muslim tadi. Sebagai ahli perniagaan, kehidupan dan pergaulannya adalah di kalangan kumpulannya. Bahasa yang digunakannya adalah bahasa Melayu. Hanya semasa dalam perhimpunan UMNO saja dia jadi orang Melayu.

UMNO cawangan Kampung Dodol, Jelutung, Perak Road dan lain-lain di Pulau Pinang antaranya adalah keturunan India Muslim tadi. Mungkin yang meramaikan kubur dekat Kampung Dodol Pulau Pinang adalah mereka.

SM Zainal Abidin yang datang ke Malaysia bersama ayah Tun Dr. Mahathir, malah mereka dari wilayah yang sama, menjadi keluarga Melayu Mamak yang terkenal di Pulau Pinang.

SM Zainal Abidin menjadi wakil rakyat UMNO di Majlis Perundangan Persekutuan tahun 1955. Menantunya Dato Aziz Ibrahim, juga Mamak adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama.

Keluarga ini yang melahir juruhebah radio yang terkenal satu masa dulu iaitu Zainal Alam. Zainal Alam tidak pernah dikenali sebagai masyarakat Indian Muslim, tetapi adalah orang Melayu.

Keluarga Dr. Mahathir dan keluarga Dato Kadir Syaik Fadzir lebih mudah jadi orang Melayu kerana mereka tinggal dalam masyarakat Melayu yang tidak ramai orang India. Justeru itu mereka hampir tidak diterima sebagai masyarakat India Muslim, kerena mereka hampir tidak tahu bahasa nenek moyangnya.

Mungkin untuk menunjukkan dirinya mewarisi sikit budaya India tadi maka sejak tua ini beliau kot yang digunakan oleh masyarakat India.

Dato Zainuddin Maidin, Timbalan Menteri Penerangan misalnya adalah berbapakan India Muslim dan beribukan Melayu. Justeru itu boleh jadi ahli Kimma dan UMNO. Oleh kerana nasibnya baik dia menjadi ahli UMNO.

Antara sebabnya ayahnya memilih tinggal di Alur Setar yang tidak ramai kaum Indian Muslim, maka dari kecil lagi beliau bersekolah Melayu. Pergaulannya dengan kanak-kanak Melayu dan jodohnya pula orang Melayu.

Kalau ditakdirkan beliau tinggal di Pulau Pinang atau di Sentul atau di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, ke sekolah Inggeris, berkawan dengan kanak-kanak semua kaum dan kahwin pula dengan gadis Hindustan, maka mungkin dia juga bersama Kimma.

SM Idris, pemimpin CAP adalah orang India Muslim tetapi adiknya Mohidin Kadir orang Melayu.

Mungkin yang menyebabkan setengah dari masyarakat India itu tidak cepat menjadi orang Melayu ialah disebabkan datuk nenek mereka dulu menghabis sebahagian dari masanya atau beberapa bulan dalam setahun tinggal di India atau mereka ada isteri di India dan ada isteri di Malaysia.

Setengah dari pengedar akhbar dan roti bertukar dua atau tiga orang setahun kerana mereka balik ke India. Tiga atau empat bulan kemudian mereka ada semula di Malaysia. Ini menyebabkan mereka pun tidak memikirkan sangat untuk jadi orang Melayu.

Dalam hal ini orang Arab yang semangat kearabannya lebih tebal dari lain-lain kaum, lebih cepat mengasimilasikan kehidupannya menjadi Melayu. Oleh itu keturunan Arab kesseluruhannya sudah diterima sebagai orang Melayu.

Usul Kimma itu sepatutnya diteliti secara serius oleh kementerian yang mengendalikan isu perpaduam kaum dan penyatuan budaya bagi memantapkan perpabduan bangsa Malaysia. Dalam mana-mana pembentukan bangsa, lebih sikit kaum dalam masyarakat itu lebih.

Pada tahap pertama memperjuangkan kemerdekaan, rundingan antara Dr. Burhanuddin al-Hilmy dan Tan Cheng Lock ialah isu menerapkan masyarakat Cina ke dalam bangsa Melayu. Cheng Lock pada dasarnya telah menerima rupa bangsa Tanah Melayu ialah Melayu dan bukan Melayu diterima menjadi Melayu.

Apibila dikacau oleh Malayan Union dan UMNO, maka masing-masing mahu mempertahankan indetiti kaumnya. Tan Cheng Lock kemudian meninggalkan Dr. Burhanuddin kerana beerkawan dengan Dato Onn Jaafar dan akhirnya meninggalkan Dato Onn untuk berkawan dengan Tunku Abdul Rahman, maka cadangan Malayan Union supaya rupa bangsa Tanah Melayu adalah Malayan ditukar oleh Tunku menjadi Malaysian.

Dengan ini Malaysia memiliki belbagai kaum yang ada kekuatan masing-masing. Usaha meminimakan bilangan kaum sudah menjadi sensitif dan jika salah cakap senang sangat melanggar undang-undang.

Kini Kimma mahu kaum India yang beragama Islam menjadi Melayu sesuai dengan perkembangan awal Tanah Melayu apabila seseorang menganut Islam dikira masuk Melayu.

Pendekatan lampau dikira lapuk oleh para pejuang kemerdekaan. Mereka lebih terbuka, tidak mengira menganut Islam menukar identity kaum. Justeru itu menerpan perpaduan kaum di zaman sebelum merdeka lebih licin dari selepas merdeka. Selepas merdeka masing-masing megah dan berbangga mengiklankan Malaysia sebagai masyarakat berbagai bangsa, budaya dan lain-lain. Oeh itu isu perpaduan menjadi masalah yang tidak pernah selesai.

Agama menjadi penghalang besar untuk meminimakan bilangan kaum. Kimma membuka satu medan berfikir, betapa cadangannya itu boleh meminimakan jumlah kaum. Sekurang-kurangnya kalau Indian Muslim diterima menjadi Melayu, maka dalam masa 48 tahun mereka Malaysia dapat mengurangkan satu bilangan kaum.

Atas dasar itu Kimma telah mengetuk pintu hati rakyat Malaysia untuk meminimakan bilangan kaum demi mengukuh pembentukan bangsa Malaysia yang kuat dan kukuh. Tunggak Melayu dalam kontek perpaduan kaum akan dapat dikuatkan lagi dengan penyertaan kaum India Muslim ke dalam bangsa Melayu.

Jika kaum-kaum di Sabah dan Sawawak mengikut cara berfikir Kimma itu maka ini bererti isu kemajmukan Malaysia itu dapat dinipiskan. Ia dikira sebagai langkah pertama dalam perjalanan berjuta kilometer untuk membentuk satu rupa bangsa Malaysia yang kukuh dan perkasa.

SeTAPAK
26/09/05

1 Comments:

Post a Comment

<< Home