Subky Abdul Latif

Thursday, September 15, 2005

MAWI DI KELANTAN, SOKONG DEWAN ULAMA PAS

KENYATAAN Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato Haji Harun Taib membantah langkah kerajaan Kelantan menganjurkan persembahan penyanyi Mawi wajar disokong oleh semua unit dalam PAS.

Jika lain-lain cabang dan indivdu dalam PAS, tidak sedia menyokong bantahan Dato Harun Taib, maka saya atas kapasiti individu PAS biasa berdiri teguh atas sikapnya. Dan kiranya Dato Harun Taib dan Dewan Ulama Pusat dalam sehari dua nanti menarik balik kenyataan itu, maka semua masyarakat boleh mengiranya sebagai kenyataan saya pula.

Dato Harun bukan seorang yang suka kepada publisiti dan beliau adalah orang yang terakhir mahu berkawan dengan wartawan. Apabila beliau membuat kenyataan, maka menerima tindakannya itu adalah serius dan ia adalah pilihannya yang terakhir.

Dato Harun tidak dapat menerima Mawi sebagai penghibur Islam. Dia adalah produk syarikat promosi hiburan. Syarikat itu adalah bermotif keuntungan.

Pada saya PAS tidak bersifat anti Mawi dan penghibur-penghibur lain. Tetapi kehadirannya serta beberapa penghibur lain ke Kelantan sebagai satu dari acara menyambut kelahiran Kota Bharu sebagai bandar raya Islam bukan dibuat oleh sebuah kerajaan PAS.

Ia boleh dianjurkan oleh mana badan yang memakai nama PAS, malah mana-mana individu PAS yang sangat berahi dengan Mawi dan auranya boleh menganjurkan kehadirannya ke Kelantan dengan syarat ia mematuhi syarat-syarat mengadakan hiburan yang digariskan oleh kerajaan itu.

Dan kalau ditakdirkan Mawi itu seorang ahli PAS dan beliau bergiat dalam apa yang dikatakan hiburan alternatif, maka keahliannya itu tidak diganggu-gugat. PAS mungkin boleh membuat pendirian berbeza dengan tindakan yang pernah diambilnya terhadap Anggota Parlimennya satu masa dulu iaitu Hashim Gera dari Parit, Perak yang berjoget dalam satu majlis tajaan Parlimen.

Kedudukan Hashim Gera pada masa itu adalah orang penting dalam PAS, dan tindakannya akan dilihat sebagai melambangkan pendirian PAS.

Dato Harun sepatutnya menzahirkan sikapnya kepada pengetahuan umum atau diketahui umum sesama dalaman PAS, tetapi kerana beliau bukan jenis yang suka menceceh dengan media, maka masing-masing patut dapat memahami mengapa beliau tidak bertindak lebih awal.

Akhbar-akhbar dan wartawan lazimnya suka melaga-lagakan pimpinan PAS. Dalam beberapa kejadian ada wakil-wakil media yang bertanya pendirian saya tentang tsunami Mawi yang melanda kerajaan Kelantan itu, terus terang saya katakan ia adalah kegiatan Kerajaan Kelantan semata-meta dan ia bukan satu dari kegiatan PAS.

Dan ia tidak boleh dilihat sebagai mencerminkan PAS pada keseluruhannya.

Hujah mereka bagaimana kerajaan Kelantan yang ditadbirkan oleh PAS itu dapat dipisahkan dengan PAS?

Ada benarnya hujah mereka. Komen saya ialah memang ia sangat sukar untuk dipisahkan, tetapi ia terpaksa dipisahkan. Ia dipisahkan dengan satu tembok yang setebal kulit bawang. Orang sukar melihatnya sebagai mana sukarnya orang melihat tebal mana yang dinamakan kulit bawang.

Tetapi mengapa tiada media yang bertanya itu tidak menyiarkan pandangan saya itu? Media suka melagakan pimpinan PAS, tetapi ia tidak mengambil peluang dari apa yang saya cuba hulurkan.

Pada saya kegiatan di Kelantan itu dipercayai tidak pernah dikemukan secara rasmi kepada PAS. Dan saya tidak mendengar sebarang maklumat ia ada dibincangkan oleh PAS Pusat. Entahlah kalau PAS mengambil sikap cukup kemas hingga tiada yang dibincangkan boleh dibocorkan.

Biasanya apa yang dibincangkan dalam mesyuarat jarang dirahsiakan kepada akhbar.

Dari awal saya sudah melihat isu Mawi dengan kerajaan Kelantan dan hiburan alternatif itu tiada ijmak di kalangan PAS. Tetapi mengapa pimpinan PAS tidak mengambil sikap segera menanganinya memandangkan keajaan Kelantan dilihat terlalu berahi dan berani untuk menganjurkannya?

Beberapa kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kelantan yang juga berkapisiti sebagai Mursyidul Am Majlis Syura Ulama, mempengaruhi pemikiran umum bahawa Mawi akan menjadi tetamu kerajaan Kelantan untuk satu kegiatan hiburan alternatif.

PAS Pusat mesti cepat-cepat membincangkannya. Jika berhalangan, Presiden PAS atas sifatnya penasihat pertama kepada Majlis Syura Ulama dan Mursyidul Am wajar memberikan nasihat segera dalam perkara itu.

Ada bebeapa pilihan yang boleh dibuat. Pertama Presiden memberi nasihat terus kepada Menteri Besar atas sifatnya penasihat pertama dan terdekat kepada Mursyidul Am.

Kedua meminta Majlis Syura Ulama mengadakan mesyuarat khas, dan jika Mursyidul Am berhalangan, maka ia boleh bersidang tanpa kehadiran Mursydul Am.

Majlis Syura sebenarnya boleh bersidang tanpa menunggu nasihat Presiden atau tanpa dinasihatkan oleh Jawatankuasa PAS Pusat. Tetapi kalau ada nasihat dari Presiden dan PAS pusat, maka Majlis Syura Ulama mempunyai sebab yang kuat untuk mengadakan mesyuarat.

Mengapa semua ini tidak berlaku?

Adakah nasihat diberi kepada Majlis Syura untuk membahaskan sesuatu oleh Presiden dan PAS Pusat? Mengapa dalam hal sensitif ini nasihat tidak diberikan kepada organ tertinggi parti itu?

Dan mengapa Majlis Syura tidak mengambil sikap segera mengadakan mesyuarat tanpa menunggu sebarang nasihat dari orang lain? Dalam hal ini Majlis Syura boleh mengarahkan Presiden dan PAS Pusat mengambil langkah menyekat kerajaan Kelantan melupakan perkara itu. Mengapa Majlis Syura tidak mengambil langkah segera itu? Atau kalau ia telah membncangkannya, mengapa pula PAS Pusat dan Presiden tidak memberikan sebarang reaksi?

Saya bangkitkan hal ini bukan kerana saya kurang kasih kepada pimpinan PAS, tetapi saya lebih cintakan PAS.

Kalau Majlis Syura ada mengambil langkah untuk menghalangnya, maka tidak ada cara ia boleh dibantah. Jika PAS Pusat tidak mengambil apa-apa tindakan seperti yang diarahkan, maka ia boleh dikenakan tindakan disiplin.

Demikianlah kuat dan besarnya kuasa Majlis Syura. Ia boleh memintanya mengapa tindakan tidak boleh dikenakan kalau arahannya tidak dipedulikan.

Demikianlah kaedah sebuah badan yang berjalan secara berorganisasi.

Dato Harun Taib telah membangkitkan perkara itu sekarang, dan beliau juga sebagai ahli Majlis Syura tentu tahu apa yang dibuatnya dan adakah beliau sudah menggunakan kedudukannya dalam Majlis Syura dan dalam Jawatankuasa PAS Pusat dan dalam Dewan Harian PAS Pusat untuk membangkit hal ini?

Apabila saya melihatnya membuat kenyataan atas nama Dewan Ulama PAS Pusat, maka ia memberikan gambaran kepada saya, ada sesuatu yang tidak kena di tempat-tempat lain.

Dalam apa keadaan juga, kenyataan beliau wajar dialu-alukan.

SeTAPAK
15/09/05

1 Comments:

  • Saya memang sangat bersetuju dengan pandangan Hj Harun dan saudara. Memang saya dan saya rasa ramai lagi tertunggu tunggu pandangan dari Dewan Ulamak setelah membisu sekian lama. Lagipun hujah yang diberikan oleh TGNA dan penganjur majlis tidak begitu memberansangkan dan meyakinkan. Instead of memberi hujah yang bernas, sebaliknya label label seperti jumud, kolot, tidak berfikiran terbuka dilemparkan kepada mereka yang tidak bersetuju dengan penganjuran konsert itu di atas nama PAS. Begitu juga dengan persoalan "Apakah yang demo lakukan untuk untuk ajak Mawi kearah kebaikan?" Soalan yang seperti ini tidak sepatutnya keluar dari seorang yang begitu dihormati seperti TGNA. Sekiranya hujah sebegini dipakai, maka orang lain jugak boleh bertanya, "Apakah yang TGNA lakukan untuk menarik Siti Nurhaliza, M. Nasir, Zahid, penyanyi penyanyi lain dan jugak pelakon pelakon lain kearah kebaikan?"

    Apakah persaan kita sekiranya persoalan dikemukakan kepada PM membantah dan mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan beliau menjawab "Apakah tindakan demo untuk mengurangkan beban subsidi kerajaan?" ataupun soalan dikemukakan kepada Ketua Polis Terengganu mengenai tindakan meroboh masjid di Bujal dan melempar bom asap di majlis ceramah PAS dan beliau menjawab "Apakah tindakan demo untuk menjaga keselamatan negara?".

    Sepatutnya TGNA memberi hujah yang lebih berhemah dan tidak merendah rendahkan pendapat mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan beliau. Bukan hanya sekadar melemparkan ke tong sampah pandangan yang yang tidak bersetuju dan menyatakan dengan penuh yakin bahawa tindakan kerajaan Kelantan dijamin selamat selagi di pimpin oleh oleh orang yang berjiwa ulamak. Tidak semestinya orang yang melabelkan dirinya atau dilabelkan ulamak tidak melakukan kesilapan apatah lagi dalam percaturan dalam sistem politik demokrasi yang memementingkan kepopularan melebihi dari kebenaran. Kezuhudan seseorang bukan hanya berdasarkan dari segi material sahaja tapi harus juga disertai dengan kezuhudan pemikiran dan tidak memandang rendah pandangan orang lain.

    By Blogger ajiekahar, at 10:07 AM  

Post a Comment

<< Home