Subky Abdul Latif

Wednesday, September 14, 2005

PELARIAN THAILAND SUDAH KE SINI

APA jua puncanya, maka rakyat Islam Thailand yang berketurunan Melayu dari daerah selatan sudah tidak aman malah tidak selamat lagi tinggal di rumah dan di kampung masing-masing.

Justeru itu sebahagian kecil dari mereka, terutama yang dekat dengan sempadan Malaysia telah melarikan diri ke Kelantan, tempat mereka selalu berulang alik semasa aman dulu.

Mereka sudah menjadi pelarian dan kerajaan Thailand tidak mengaku mereka wajar menjadi pelarian. Kerajaan Malaysia kini menyerahkan status mereka untuk ditentukan oleh wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, apakah mereka layak dinilai sebagai pelarian atau orang yang mesti pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dalam apa keadaan jua, umat Islam Thailand wajar diberi pembelaan, kerana kerajaan Thailand sudah tidak lagi dapat menjamin ketenteraman di wilayah selatannya dan setiap orang Islam sudah dilihat sebagai pihak yang tidak dipercayai oleh semua pihak di Negara itu.

Selailn dari berita warga Thailand Islam dan bukan Islam yang ditembak dan dibunuh setiap hari, berita yang tidak disiarkan ialah polis dikatakan sedang menahan para imam dan ustaz-ustaz.

Tiada jaminan yang ditahan itu selamat atau boleh pulang ke pangkuan keluarga satu hari nanti. Mereka menjadi sasaran atas alasan bahawa golongan inilah kononnya menjadi dalang membangkitkan ketegangan melawan kerajaan.

Imam-imam dan guru-guru agama adalah orang yang paling ketakutan sekarang kerana bila pula giliran masing-masing akan ditahan.

Keadaan sekarang kembali kepada keadaan lampau. Sejak British dan Thailand memeterai perjanjian menentukan sempadan yang ada sekarang sebagai sempadan rasmi Thailand dan Semenanjung TAnah Melayu, sekarang Malaysia, maka orang Islam yang tidak rela wilayah mereka dan mereka sendiri menjadi sebahagian dari Thailand, maka polis Thai telah bertindak keras terhadap mereka.

Alim ulama yang menjadi korban tidak terbilang. Ramai dari mereka melarikan diri ke Negara-negara Islam termasuk Arab Saudi. RAmai keturunan mereka menjadi warga Saudi. Sebagai pelarian juga mereka tidak selesa.

Bagaimanapun umat Islam telah menerima hakikat bahawa mereka adalah sebahagian dari Thailand sama ada disukai atau tidak. Sekalipun mereka menjadi rakyat kelas dua – diabaikan dari segi pembangunan, pendidikan, politik dan sebagainya terpaksa mereka terima.

Perdana Menteri Thaksin mengakui bahawa hak mereka telah diabaikan. Justeru itu beliau berjanji untuk membetulkan keadaan tetapi ternyata beliau tidak dapat menunaikannya malah beliau tidak berjaya menyelesaikan krisis yang berlaku sekarang.

Suasana agak reda sekurang-kurangnya sekitar 35 tahun apabila Thailand cuba menghirup udara demokrasi terutama selepas tergulingnya dictator Thanom Kittikachorn.

Tidak dapat dinafikan suasana itu wujud atas kerjasama diplomasi yang diambil oleh Malaysia mengakui kedaulatan Thailand atas wilayah dan penduduknya. Dari awal Malaya dan kemudian Malaysia tidak pernah melihat ada idintiti yang berbeza di Negara itu.

Tunku Abdul Rahman Putra dikira berperanan dengan dasar tidak campur tangan dalam urusan Thailand walaupun penduduk di wilayah selatan adalah seagama dan sebangsa dengan orang di Tanah Melayu. Tetapi Malasyia ada tanggungjawab terhadap penduduk Islam di mana juga di dunia.

Pembentukan ASA antara Malaya, Thailand dan Filipina membantu Thailand menyelesaikan masalahnya. Keadaan bertambah baik apabila ASA bertukar menjadi ASEAN. Kerjasama sempadan dan pembentukan Rantau Aman, Bebas dan Berkecuali bagi Asia TEnggara yang dipelopori oleh Tun Razak membantuj kedua negara mencapai kerjasama yang memberangsangkan dan secara laangsung dan tidak langsung mewujudkan demokrasi yang cukup selesa di Thailand dan ia memberikan hubungan yang selesa antara penduduk Islam dan kerajaan Thailand.

Dalam demokrasi itu umat Islam telah menerima Raja Thailand sebagai raja mereka, mereka menyhertai politik menentukan kerajaan Thailand, dalam masa 15 tahun terakhir sebelum Thaksin berkuasa, umat Islam Thailand menikmati udara demokrasi yang membanggakan.

Dalam 10 hingga lima tahun lalu pada pandangan peribadi saya demokrasi yang dinikmati oleh umat Islam Thailand malah lebih maju dari demokrasi di Malaysia yang dilihat mulai terhakis.

Saya pernah menyaksikan kebebasan beragama di wilayah yanag bergolak sekarang lima tahun lalu dan saya terasa jika dibenarkan saya memiliki sebuah Negara lagi maka Thailand menjadi pilihan saya, bukan Indonesia dan bukan Britain.

Saya berasa lega dan aman berjalan tengah malam di Yala. Saya melihat sekitar 10 muslimat mengadakan perhimpunan tiga hari tiga malam di Yala. Mereka beribadat malam dan mendengar kuliah di waktu siang. Wanita Malaysia tidak pernah berkumul selama itu malah sukar mengumpulkan barang seribu orang.

Pada saya ketika itu suasana di Thailand juah lebih baik dari di Malaysia walaupun yang berkuasa di Malaysia adalah orang kita sendiri.

Suasana itu sepatutnya dipelihara baik oleh orang Islam mahupun oleh masyarakat Budha yang dominan. Dalam keadaan seperti tidak banyak keperlulan untuk masyarakat di selatan untuk memiliki Negara yang berasingan. Jika diskriminasi dalam bidang pendidikan, pembangunan ekonomi, budaya dan penyertaan dalam pilihan raya dapat dibaiki, maka ia adalah tempat yang terbaik untuk semua pihak.

Tetapi Thaksin tidak dapat menilai peluang yang selesa itu. Thaksin gagal memelihara demokrasi yang diwarisi dari pimpinan sebelumnya. Kejadian 11 September 2001 di Amerika dipercayai banyak menghantui klik yang berkuasa di Thailand.

Jarum beracun yang melihat semua Islam adalah pengganas datang menghantui pemikiran klik yang berkuasa.

Dukacita bahawa jarum asing telah meracuni golognan tertentu di Thailand hingga demokrasi yang baik sebelum ini bertukar menjadi pro kuku besi atau totalitarian.

Malangnya Thaksin telah minta bantuan Malaysia bagi menjernihkan keadaan di wilayah tersebut. Perdana Menteri telah mengirim Timbalan Perdana Menteri ke Bangkok untuk merundingkan apa yang patut dibuat.

Setakat ini yang Malaysia cuba jual Islam Hadhari kepada masyarakat di sana yang dipercayai kemahiran umat Islam Thailand dalam bidang agama Islam mungkin lebih baik dari pengetahuan golongan yang berkuasa di Malaysia.

Apa yang sudah dibuat oleh Malaysia membantu Thaksin meredakan suasasna itu. Mulangkan orang Thailand yng lari ke sini bukan caranya. Menjaga sempadan bagi menghalang orang Islam yang terancam dari memasuk Negara ini juga caranya.

Ia mungkin membantu Thaksin melakukan apa yang dia nak buat, tetapi ia mungkin tidak memberikan keadilan kepada orang Islam yang minta perlindungan.

Thailand tidak dapat dibiarkan sendiri menangani keadaan. Dunia barat tidak akan memberikan apa-apa pembelaan jika Thailand tidak dapat memebrikan keadilan. Mereka lebilh selesa membangkitkan isu Dafur di Sudan tetapi belum pernah mereka membangkitkan masalah penindasan terhadap orang Islam di Thailand.

Ada dua tindakan yang perlu diambil. Pertama OIC mesti membincangkan dan mengambil tindakan diplomatic membela umat Islam di Pattani seperti Kesatuan Eropah dan Nato melihat isu Darfur di Sudan.

Kedua kerajaan Malaysia wajar melantik Tun Dr. Mahathir yang mempunyai hubungan baik dengan Thaksin dan pemimpin-pemimpin Thailand sebelum ini untuk menjadi orang tengah menyelesaikan isu itu secara rundingan. Datuk Seri Najib tidak mampu menangani isu ini. Yang dia tahu hanya sekat orang Thailand diri dating ke sini.

Dr. Mahathir telah membantu Filipina mengadakan rundingan dengan MILF, maka kedua pihak sekarang ada kemajuan. Maka tiada sebab Dr. Mahathir tidak boleh yakinkan Thaksin.

Pada masa ini adalah lebih baik beliau memerhatikan isu ini dari memberi nasihat kepada Petronas dan Proton. Menyelamatkan nyawa imam-imam dan guru-guru agama di Selatan Thailand lebih penting dari menasihatkan Petronas yang sebelum ini pun sudah untung berbilion ringgit.

SeTAPAK
14/09/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home