Subky Abdul Latif

Wednesday, September 28, 2005

PILIHAN RAYA BAYANGI ANTI DEMOKRASI

ADA tiga pilihan raya dalam masa sebulan ini yang perlu diperhati oleh institusi demokrasi di Malaysia iaitu pilihan raya presiden Mesir, pilihan raya umum Jerman dan pilihan raya di kampus-kampus di Malaysia yang sedang berjalan sekarang.

Sejak taufan demokrasi dari Rumah Putih Amerika bertiup melanda Asia Barat sekitar dua tahun terakhir ini Mesir mengadakan pilihan raya bagi memilih Husni Mubarak untuk menjadi Presiden semula.

Ia dikatakan adalah pilihan raya pro demokrasi yang pertama diadakan bagi memilih Presiden. Ia diadakan dalam suasana kempen kencang Amerika bagi mewujudkan demokrasi di benua Arab.

Bagi mewujudkan apa yang Amerika warwarkan demokrasi itu, sepakat Amerika dengan Kesatuan Eropah tanpa Perancis dan Jerman menceroboh Iraq dan menggulingkan kerajaan Iraq yang sah. Di bawah tekanannya, secara tektikal ia mengusir tentera Syria dari Labnon dan mengadakan pilihan raya di Negara itu dalam suasana anti Syria. Ia dimenangi oleh puhak anti Syria.

Presiden pro Amerika Husni Mubarak perlu dipilih semula sesudah lebih dua dasawarsa menjadi ketua Negara Mesir secara tidak tercabar. Maka bagi meraikan taufan demokrasi tiupan Bush, Presiden Mubarak merestui pilihan raya terbuka untuk kali pertama.

Tetapi pilihan raya itu sebenarnya adalah satu pilihan raya bagi memilih semula Husni Mubarak sebagai Presiden. Adalah perkara biasa dalam pilihan raya presiden dalam atmosfera demokrasi, lebih dari seorang calon bertanding. Tetapi yang paling menarik dalam pilihan raya di Mesir itu ialah dalam pilihan raya bagi memilih semula Husni Mubarak juga dibenarkan lebih dari seorang calon.

Anasir pro demokrasi anti Mubarak dan kerajaannya agak menonjol menjelang pilihan raya. Banyak calon disebut-sebut hendak bertanding, tetapi apabila tiba hari pencalonan, ia sekadar melayakkan Husni bertanding dengan cabaran.

Pada hari pembuangan undi, pengundi yang turun tidak menggalakkan. Maka Husni dipilih semula dengan sokongan lebih dari 80 peratus.

Kemenangannya kira-kira sama dengan sokongan yang diperolehi oleh pimpinan Datuk Seri Abdullah Badawi, lebih 80 peratus juga, dalam pilihan raya umum tahun lalu. Tetapi peratus yang tinggi untuk Mubarak itu adalah terlalu rendah baginya dan bagi pemimin di rantau itu yang biasa menang dengan undi 99.99 peratus.

Adakah kalau peratus turun mengundi, maka sokongan kepada Mubarak akan merosot? Tidak mustahil.

Dalam suasana tidak pernah takut bagi rakyat Jerman selepas Hitler tumbang 60 tahun dulu, rakyat mengundi dengan bebas. Keputusanya seri. Selepas seminggu pilihan raya, kerajaan baru belum dapat dibentuk.

Dalam sebuah masyarakat demokrasi yang benar-benar bebas, sukar bagi satu kumpulan yang berpengaruh untuk mendapat sokongan lebih dari 50 peratus. Dua buah parti besar Jerman itu berjaya meraik sokongan sekitar 35 peratus kurang atau lebih. Bush yang gagah hanya menang tipis dalam pemilihan presiden Amerika tahun lalu.

Tetapi dari semasa ke semasa kemenangan tipis bagi mana-mana pihak, ia tetapi melahirkan kerajaan dan politik yang stabil, berbeza dengan kemenangan 99.99 peratus bagi masyarakat yang tidak berdaulat, tidak pernah mewujudkan suasana stabil.

Pilihan raya kampus di Malaysia sebeum alaf baru berjalan seperti pilihan raya dalam dunia demokrasi di Amerika, Eropah dan Australia. Ia berjalan dalam suasana penuh bebas dan demokrasi. Dalam suasana pentadbiran Dr. Mahathir yang dikira keras sehingga tiada menteri di bawahnya berani buka mulut, tetapi ia gagal untuk mematikan demokrasi di kampus.

Tetapi dalam penamaan calon dalam pilihan raya kampus Isnin lalu, kumpulan pelajar yang pro kerajaan bernama Proaspirasi berjaya memenangi 265 kerusi tanpa bertanding. Ada kain rentang memulaikan pilihan raya dipamirkan.

Selama-lamanya kumpulan pro kerajaan tidak pernah popular di kampus. Walaupun yang memanangi pilihan raya itu bebas menghentam kerajaan semasa di kampus tetapi apabila keluar kampus, kebanyakannya menjadi tukang bodek UMNO.

Dato Ibrahim Ali dari Kelantan adalah contohnya. Pelajar kampus ITM di bawah pimpinannya meludah Dr. Mahathir yang menjadi menteri pelajaran pergi ke kampusnya. Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dipecat UMNO juga demikian.

Suasana di kampus adalah murung. Ada pelajar yang terpaksa tidak berkata-kata semata-mata untuk memastkan tidak dikeluarkan dari asrama. Risiko tinggi sekadar tidak bergiat tetapi tidak dekat dengan robot kerajaan di kampus. Serkap jarang kononnya pelajar-pelajar tertentu mengundi calon bukan robot, cukup untuk menakutkan pelajar.

Budak-budak miskin rasa bertuah dapat belajar di universiti. Mereka dapat menjimatkan wang kalau dapat tinggal di asrama dan dapat pinjaman serta kemudahan lain. Mereka sangat takut kalau tidak lulus. Ada kaedah pelajar pintar boleh tidak diluluskan. Semua perkembangan menyebabkan pelajar terkena sindrom fear factor.

Muka masam dan dahi berkerut yang dialami seolah-oleh mereka berada di kampus-kampus di Soviet Union, Jerman Timur dan Negara-negar tidak dimokrasi sebelum Tembok Berlin roboh dulu.

Tahun ini banyak kerusi menang tanpa bertanding oleh calon pro kerajaan. Di masa akan datang, mungkin semua kerusi dimeangi tanpa bertanding. Tidak mustahil satu masa nanti, majlis-majlis pelajar itu dipilih secara memilih ahli jawatankuasa masjid.

Semuanya adalah perkembangan bagi membantu pemimpin-pemimpin UMNO memenangi pilihan raya yang lebih besar. Kemenangan majority lebih dua pertiga dianggap satu mala petaka dalam masyarakat demokrasi. Justeru itu matlamat DAP menyertai pilihan raya selama-lamanya untuk menafikan majority dua pertiga, bukan untuk lagi untuk berkuasa.

Selepas Dr. Mahathir berundur, BN menang dengan lebih 80 peratus. Ia menjadikan Datuk Seri Abdullah Badawi lebih hebat dari Tunku Abdul Rahman, Tun RAzak, Tun Hussein Onn dan Dr. Mahathir.

Penyakit yang melanda kampus itu jika berterusan, boleh membantu Pak Lah menuju kemenangan ala blok timur dan blok sosialis di era perang dingin. Presiden dan kerajaan menang dengan undi 99.99 peratus.

Ketika rakyat Asia Barat berjuang untuk menurunkan undi 99.99 bagi Presidennya, kita pula cuba mengisi kekosongan itu bagi menaikkan kemenangan Perdana Menteri dengan 99.99 peratus.

Kerja universiti berbaloi. Ia dapat memenangkan budak-budak yang mahu bergantung kepada kerajaan. Ia tidak memikirkan bagaimana hendak mewujudkan siswa yang berilmu, tetapi melatih siswa menjadi pembodek. Tugas kampus ialah melahirkan siswazah berdikari, bukan siswazah bertongkat.

SeTAPAK
28/09/05

2 Comments:

Post a Comment

<< Home