Subky Abdul Latif

Monday, October 03, 2005

APA JADI DENGAN MENTERI UNIVERSITI?

APABILA kerajaan mewujudkan kementerian khusus mengenai pelajaran tinggi, tentulah harapannya untuk mewujudkan universiti yang benar-benar kelas, melahirkan siswazah dinamik dan merdeka, dapat membantu mewujudkan bangsa yang berdaulat.

Tetapi yang dapat dilihat sekarang imej universiti awam mulai menjadi universiti KEMAS iaitu lanjutan kelas Kemas yang ada di seluruh Negara sekarang.

Kelas Kemas asalnya ialah kelas untuk orang dewasa mengenal huruf. Sesudah tidak ada orang buta huruf ia jadi kelas jahitan dan kelas fardu ain. Kegiatan yang terakhir untuk memungkin kelas Kemas itu wujud, maka ia bertukar menjadi kelas Tadika.

Malangnya ibu bapa berduit sikit lebih selesa menghantar anak-anak ke kelas pra sekolah PASTI yang berbayar daripada belajar di Tadika Kemas yang murah.

Sekarang di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi, diwujudkan kementerian pelajaran tinggi dengan menteri pertamanya Dato Shafie Salleh.

Malang bagi menteri ini, tugasnya lebih menumpukan bagaimana hendak mengawal tenaga akadami dan siswanya supaya setia seperti guru dan pelajar kelas Kemas.

Untuk itu sebulan sebelum genap dua tahun Pak Lah menjadi Perdana Menteri semua kampus kerajaan mengadakan pilihan raya memilih perwakilan Majlis Pelajarnya.

Dengan semua persiapan yang dikawal sepenuhnya oleh penadbiran universiti, maka pilihan raya itu menjadi kegiatan untuk memenangkan calon-calon yang menyokong kerajaan yang menamakan kumpulannya Pro Aspirasi.

Ia berjalan kira-kira sama seperti pilihan raya presiden Mesir. Pilihan raya itu bukannya kegiatan memilih seorang presiden Mesir tetapi pilihan raya untuk memenangkan Husni Mubarak supaya terus menjadi Presiden. Segala kegiatan dibuat ke arah bagaimana supaya Husni Mubarak boleh dikekalkan.

Pilihan raya di kampus itu adalah demikian. Bagaimana supaya kesemua Majlis Pelajar dikuasai oleh robot kerajaan yang terdiri dari siswanya. Kerja seperti itu sudah dimulakan dalam pemilihan sebelum ini, tetapi kali ini sangat ketara bahawa ia bukan satu pilihan raya, tetapi ia adalah perintah kepada pelajar supaya memilih budak-budak Aspirasi.

Dalam politik UMNO, calon yang menyediakan duit untuk penyokongnya. Ada tanda-tanda dalam pemilihan kampus ini calon dikatakan dijanjikan wang. Sebelum menang sekian dan selepas menang sekian pula. Dalam UMNO ahlinya dapat duit, di kampus pengundi tak dapat apa-apa. Calon pula dikatakan dapat durian runtuh.

Jika benar ia berlaku, jelaslah universiti dijadikan oleh menterinya, sebagai pusat belajar mengembangkan rasuah. Ia dilihat sebagai rasuah politik dan politik wang. Ketika UMNO berhempas pulas hendak membasmi politik wang, maka menteri UMNO seolah-olah mengajar pelajar universiti dengan politik wang.

Ketika kerajaan Pak Lah digahkan dengan perang terhadap rasuah, maka universiti di bawah kerajaan memperkenalkan apa yang boleh menyubur pemikiran rasuah di kalangan pelajar-pelajar tinggi. Apa yang dapat diharapkan kepada pemimpin pelajar yang bakal menjadi pemimpin masyarakat dan Negara?

Saya sangat takut kerajaan dan pimpinan UMNO sekarang dilihat mengamalkan dasar munafik dalam politik wang dan membenteras rasuah.

Sama ada Perdana Menteri sedar atau tidak, perkembangan di kampus itu tidak membantu beliau menjadi sebaik-baik pemimpin yang Malaysia kehendaki. Ia mungkin tidak diketahui dan tidak dikehendaki oleh beliau, tetapi cara menteri universiti mengendalikan pemilihan itu, bukan sekadar memberikan imej buruh dan huduh kepada menteri itu malah ia mengecat muka ketuanya dengan berbagai warna supaya dilihat sama dengan orang Afrika sebelum didatangi penjajah.

Jika yang dibuat oleh semua orang dalam memenangkan calon pro kerajaan di kampus itu sebagai menyokong Perdana Menteri, maka bagi saya ia adalah satu sokongan yang membawa rebah.

Pilihan raya itu mula menunjukkan wujud budaya ugut dan wujud juga budaya takut. Pelajar-pelajar yang tidak menyokong Aspirasi dan yang tidak tertarik dengan politik dan tak mahu ambil kisah dengan politik kampus menjadi sasaran.

Mereka takut kebebasan, kesenangan dan ketenangan. Takut akan payah mengekalkan kemudian yang diperolehi. Hilang peluang tinggal di kampus, payah mendapat layanan saksama, tidak bebas dari perhatian tembok dan tiang kampus.

Semua kampus tiba-tiba menghadapi tindakan pemulauan pilihan raya. Dan tidak ada gunanya pilihan raya kalau tiada kebebasan berkempen.

Bagi mengelakkan tiada langsung pemilihan, maka calon yang tidak dikehendaki oleh kampus yang telah mendaftar menjadi calon, tiada kebebasan pula untuk menarik diri dari pertandingan. Penarikan diri sebelumnya dibenarkan malah digalakkan kepada kumulan yang tidak dikehendaki itu.

Apa punya gila sekarang pihak penguasa kampus marah pula kepada pelajar-pelajar yang tidak mahu menyertai pemilihan yang tidak sihat itu. Orang-orang yang menganjurkan pemulauan itu tidak terlepas dari ancaman pihak atas. Mungkin mereka akan disoal.

Seorang pelajar UIA mengemukakan petisyen ke mahkamah. Kempus dan pengendali pimilihan boleh diheret.

Budak yang berani itu dikatakan ssedang menghadapi tekanan. Mungkin dia tidak selesa lagi belajar di situ.

Apa sudah jadi dengan universiti kita? Dulu kampun-kampus di bawah Saddam dan Ghadafi berdekat-dekat berada dalam ketakutan. Budak-budak Iraq dan Libya mulai keluar dari alam itu, ia pindah ke kampus-kampus Malaysia. Dulu Di Soviet dan Tanah Besar China mengalami tekanan demokrasi kampus. Kini ia mula berkembang di Malaysia.

Tidak perlu ada komunis untuk melahirkan suasana terkongkong dalam masyarakat. Tidak perlu wujud system pasis untuk menakutkan masyarakat. Tidak perlu dictator menyekat kebebasan bergerak dan bersuara. Memadai dalam sebuah Negara merdeka dan demokrasi yang wujud rakyat tidak berdaulat, sudah memada menjadikan rakyat takut, moyok dan sentiasa rasa tertindas.

Sepatutnya wujud kementerian pelajaran tinggi dapat melahirkan kampus Oxford, Cambridge dan Sorbonne, tetapi menteri dan kementeriannya sedang membina kampus Kemas di semua universiti dan kolej.

Universiti kita nampaknya akan mengeluaarkan lebih banyak robot bernyawa dari melahirkan ilmuan bermtu. Kata Perdana Menteri, yang dicarinya Asy Syafie dan Al Ghazali, tetapi yang diberi oleh diberi oleh universiti-universitinya ialah Ar Roboti.

SeTAPAK
03/10/2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home