Subky Abdul Latif

Sunday, October 02, 2005

BILA ISU RAFIDAH KE KABINET

DALAM kejadian yang jarang berlaku, kes batang tubuh Datuk Seri Rafidah Aziz, Menteri MITI dibawa ke kabinet. Mengapa sampai begitu?

Kabinet wajar dan berhak minta Rafidah datang membuat penjelasan atas perkara yang ia tidak jelas dan memerlukan penjelasan seperti yang pernah berlaku dalam isu permit import motokar.

Pernah juga penjelasan beliau tertunda kerana beliau tidak hadir mesyuarat kerana tiada dalam Negara. Permintaan cabinet seperti itu bukanlah ganjil sangat dan biasa kalau menteri berkeuzuran.

Tetapi membincangkan isu beliau tidak hadir ke parlimen bagi menjawab sendiri soalan mengenai AP dan memerintahkan supaya dia hadir ke parlimen, menjawab sendiri semua soalan berkait dengan AP adalah satu pelik kalaupun munasabah Rafidah mesti menjawab sendiri semua soalan itu.

Datuk Seri Najib Glokal tentu tahu Rafidah ke mana maka beliau tiada di Parlimen dalam minggu-minggu awal sidang parlimen yang berjalan sekarang.

Kalau menteri-menteri perlu mengutamakan datang sendiri menjawab soalan-soalan parlimen, maka ia boleh dibangkitkan dalam cabinet, tetapi bukan khusus seperti yang dikenakan kepafa Rafidah sekarang. Ia boleh dibincang dan diputuskan oleh cabinet sebagai panduan umum bagi semua menteri.

Dalam cabinet itu boleh timbalan perdana menteri atau perdana menteri mengambil kes Rafidah itu sebagai contoh, atau mengambil kesempatan dari kejadian yang terjadi kepada Rafidah itu contoh. Selain dari Rafidah dengan isu AP, Datuk Seri Samy Vellu juga mesti menjawab sendiri dalam isu berkaitan lebuh rasak dan kenaikan tol misalnya.

Dalam kejadian Rafidah tidak hadir sendiri dalam minggu pertama itu, timbalan perdana menteri boleh menjelaskan Rafidah berada di luar negeri atas urusan negara.

Kalau ia menasabah dijawab sendiri oleh Rafidah, Datuk Seri Najib Glokal boleh membuat keputusan ketika ditanya itu untuk mengarahkan supaya ia dijawab sendiri oleh menterinya.

Dan kalau kehadiran beliau dalam sidang di luar Negara itu penting, maka TPM boleh menyelamatkan air muka Rafidah dengan memberikan jawapan beliau diperlukan ke luar Negara dan beliau tidak dapat buat kerja seperti malaikat berada di tempat berlainan dalam masa yang sama.

Kalau dirasakan isu itu mesti dijawab sendiri oleh Rafidah, maka boleh perdana menteri dan timbalannya membuat keputusan dan tindakan memerintahkan isu itu patut dijawab sendiri oleh Rafidah.

Oleh kerana Rafidah sudah berada di luar negara, boleh dinasihatkan parlimen menunda jawapan itu diberikan bila Rafidah balik. Tidak perlu menunggu siding kabinet bagi memutuskan perkara itu.

Kalau dirasakan Rafidah lebih penting berada di parlimen dari menghadiri sidang ASEAN, maka TPM boleh sarankan demikian kepada Rafidah apabila beliau balik, dan justeru itu air muka Rafidah boleh diselamatkan. Pada ketika itu Rafidah tidak dilihat sebagai sseorang yang bersalah.

Mungkin Rafidah cuba mengelak dari menjawab sendiri. Cari peluang dan alasan yang baik ke negeri. Lepaskan perkara itu dijawab oleh timbalan menteri atau setiausaha parlimen. Tetapi TPM masih boleh paksa Rafidah menjawab sendiri kemudian dengan membuat kenyataan supaya soalan itu dijawab sendiri oleh Rafidah apabila beliau pulang.

Najib Glokal cuba menunjukkan yang beliau peka dengan bantahan dan sungutan anggota parlimen yang mengecam Rafidah tidak datang ke parliman untuk menjawab sendiri isu itu.

Najib boleh menyenang anggota parlimen yang geram kepada Rafidah pada masa itu dan dia boleh menyelamatkan Rafidah dengan menjustifikasikan ketiadaannya di parlimen masa itu.

Tetapi Najib memilih untuk bersama anggota parlimen untuk melanyak sama Rafidah. Dari reaksi Najib membawa kes itu ke cabinet, boleh dikira sebagai beliau juga geram akan Rafidah.

Rafidah sebenarnya sudah terlalu banyak cedera dalam isu anugerah AP itu. Kalau TPM merasakan Rafidah perlu berada dalam cabinet lagi, maka jangan tambah cederakan Rafidah.

Rafidah ada isu yang lebih besar berkaitan dengan kenyataan Dr. Mahathir itu Rafidah dikatakan tidak membuat kenyataan yang betul kepada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Natijah dari kenyataan bekas Perdana Menteri itu ialah Rafidah berbohong kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO. Bagi UMNO hal ini lebih utama dari yang lain, kerana Rafidah sudah dituduh berbohong kepada partinya.

Dari segi saya boleh berfikir, kalau rakyat dan Negara boleh dibohongi, maka mengapa pula UMNO tidak boleh dihobongi. Justeru UMNO sudah banyak membohongi orang Melayu, maka eloklah UMNO dibohongi!

Najib sepatutnya membawa kes Rafidah dalam mesyuarat UMNO kerana Rafidah dikatakan membuat kenyataan palsu kepada partinya. Ia bukan tuduhan sebarang orang, tetapi oleh bekas Presiden UMNO. Dakwaan bekas Presiden UMNO itu berat dari kecaman penyokong kerajaan dalam parlimen.

Penyokong-penyokong UMNO di parlimen sekadar geram Rafidah tidak datang sendiri menjawab soalan, tetapi bekas Presiden UMNO mendakwa beliau membohongi parti. Dakwaan bekas Perdana Menteri itu tidak terhapus dengan tindakan Rafidah memeluk Dr. Mahathir di khalayak ramai.

Langkah membawa kes Rafidah ke cabinet khusus untuk menyuruhnya pergi jawab sendiri soalan itu di parlimen dan tidak langsung ada pembelaan terhadapnya menghadiri mesyuarat ASEAN di Laos dan di lain-lain sebelum ke Laos.

Jelaslah maruah Rafidah sudah banyak cedera dan dicederakan oleh rakan-rakannya dalam parti. Belum tentu kedatangan sendiri Rafidah menjawab soalan di parlimen dapat memuaskan hati anggota parlimen.

Maka bagaimana Rafidah mahu memulihkan maruahnya? Setakat ini Rafidah nampaknya tidak sensitif atas semua perkembangan yang mencederakan maruahnya. Jika beliau sensitif, maka sudah lama beliau meletakkan jawatan kerana yang cukup mencederakan imejnya ialah dari Dr. Mahathir dan tindakan TPM membincangkan sikap Rafidah tanpa kehadirannya.

SeTAPAK
02/01/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home