Subky Abdul Latif

Friday, October 07, 2005

HARGA MINYAK BERTAHAN HINGGA DISEMBER

AKHBAR pada hari pertama puasa menyiarkan kenyataan Menteri Mustafa Muhamad bahawa harga runcit minyak tidak akan naik sehingga tahun ini.

Dia mengulangi kenyataan Perdana Menteri beberapa minggu sebelumnya bahawa harga minyak yang ada itu tidak berubah sehingga akhir tahun ini.

Ia satu kenyataan buruk bagi rakyat kerana harga minyak itu kekal dalam keadaan yang ada untuk kurang dari tiga bulan lagi. Hanya dua bulan 23 hari saja lagi kita akan masuk ke tahun baru.

Selepas itu jaminan kerajaan sudah luput. Maka harga boleh dinaikkan.

Namun begitu ia boleh juga mengurangkan degup jantung setiap rakyat yang tidak yakin lagi kepada kerajaan dapat mempertahankan harga minyak yang sudah sarat dan berat bagi pengguna sekarang.

Melihatkan kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa bagi menstabilkan harga runcit itu, maka telah tiga kali ia dinaikkan dalam masa setahun. Selepas itu maka jantung orang ramai sentiasa berdegup.

Menjelang ucapan belanjawan minggu lalu pemilik kenderaan bermotor telah menunggunya dengan hati berdebar-debar takut minyak dinaikkan sementera berakhirnya tahun 2005. Antara mereka dipanikkan oleh khabar angin minyak akan naik, malah ada yang sudah berkata minyak naik lagi.

Bukan sedikit menjelang ucapan bajet itu orang yang mengisi penuh tangki kenderaan mereka sebagai persediaan mengelak membeli minyak dengan harga baru. Walaupun jika minyak dinaikkan minyak yang diisi penuh itu hanya tahan untuk satu atau dua hari, tetapi itulah daya yang dapat dilakukan oleh pengguna.

Apatah lagi sekarang kerajaan Malaysia mempunyai alasan yang cukup kuat untuk menghadapi rakyat untuk menaikkan harga minyak. Indonesia yang ekonominya tidak stabil dan sebelumnya mengelak sangat menaikkan harga minyak, telah menaikkan harganya.

Menjadi bahan kepada rakyat menempelak kerajaan selama Indonesia tidak menikkan harga minyak. Jika Indonesia tidak menaikkan harga, sedang ia tidak berekonomi kukuh, maka mengapa Malaysia yang lebih kukuh tidak dapat bertahan sseperti Indonesia.

Tetapi sekarang Indonesia telah menaikkan juga akhirnya, maka ia sangat disenangi oleh kerajaan Malaysia. Ia memberi kemudahan kepada kerajaan menaikkan selepas berakhir tahun ini, dengan menggunakan alasan Indonesia juga menaikkan harga.

Kalaulah Brunei menaikkan juga harga runcitnya, maka lagilah senang kerajaan Malaysia untuk menaikkan minyaknya. Dan rakyat Malaysia langsung tidak berdaya menegur kerajaan bertindak. Hari ini rakyat sudah terlalu lemah berhadapan dengan kerajaannya. Kerajaan tidak takut langsung kepada rakyat, dan kerajaan boleh buat apa saja. Rakyat pasti terima.

Kerajaan memberikan alasan bukan kerajaan suka sangat menaikkan harga itu berkali-kali dalam setahun. Tetapi apa yang dapat dibuat kerana harga mentah minyak dunia naik melambung. Yang berbelas dolar Amerika saja setong tahun 1990 sudah menjadi lebilh USD 80 setong.

Apa yang kerajaan sanggup buat? Ya! Itulah alasan paling senang bagi kerajaan menghadapi rakyatnya yang malang dan terhakis kedaulatan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi mengikut jejak Perdana Menteri sebelumnuya suka sangat ke luar negeri. Seolah-olah tidak pernah berada sebulan penuh dalam negeri. Kalau dua minggu berada dalam negeri, maka mungkin boleh dikira cukup baik.

Keluar negeri bukan tidak bekerja. Ia bekerja juga. Berjalan sambil bekerja atau bekerja dengan berjalan.

Tetapi tidak bolehkah digunakan masa berjalan ke sana sini itu bagi membincangkan bagaimana harga minyak mentah pada pasaran dunia itu tidak menggila?

Jika dimenungkan apa yang menyebabkan kenaikkan yang menggila itu? Tidakkah ia bermula hampir serentak dengan pencerobohan Amerika terhadap Iraq kali pertama dulu? Jika ia berlaku serentak, maka tidakkah ia adalah gara-gara pencerobohan Amerika terhadap Iraq itu?

Seolah-olah tidak lagi boleh ditolak, pasaran minyak yang tidak dapaat dikawal itu adalah ekoran dari dasar perang yang digendangkan oleh Amerika terutama di bawah pimpinan Bush anak beranak.

Perang Teluk pertama tahun 1990 kira-kira memperjudikan minyai Arab Saudi. Kehadiran tentera Amerika di Saudi untuk mempertahankan Saudi dari ancaman Saddam terpaksa ditanggung oleh Saudi. Habis khazanah yang Allah anugerah kepada Negara itu digunakan untuk menanggung harga perang yang seluruh dunia Islam bukan Arab tidak suka Kuwait dan Saudi menaja kedatagan Amerika dan sekutunya.

Kemakmuran untuk rakyat Saudi bertukar menjadi kesangsaraan. Rakyatnya tidak lagi menikmati harga minyak istimewa. Minyak Iraq tidak dapat didangangkan secara bebas dan Saudi memerlukan duit untuk menampung keperluannya, maka minyaklah dijadikan senjata. Yang menderita pengguna minyak di seluruh dunia.

Allah turunkan Rasulullah SAW sebagai rahmat kepada alam. Petrol yang Allah turunkan kepada waris Rasulullah SAW iaitu umat Islam khususnya penguasa dua kota suci satu daripada rahmat untuk alam itu. Selain dari ia satu dari rahmat tadi yang boleh menyenangkan kerajaan dan penduduk Saudi, ia dapat dirasai oleh seluruh penduduk dunia – Islam dan tidak Islam – dengan menjadi pengguna minyak yang murah.

Apabila Amerika mengganas di Afghanistan dan Iraq, Negara-negara pengeluar minyak tidak menggunakan minyak sebagai senjata mengajak dunia menekan Amerika jangan gila berperang dengan Islam, maka akibatnya minyak tidak lagi dilihat sebagai rahmat, sebaliknya mulai menjadi punca menyekat kesenangan penduduk dunia.

Perdana Menteri yang berterbangan ke sana sini jadikan teori Amerika berperang di Afghanistan dan Iraq itu punca krisis harga minyak dunia. Dan ia akan jadi lebih buruk kiranya Amerikan dan Eropah berperang pula dengan Iran.

Majoriti rakyat yang menyokong perang dari Amerika dan benua Eropah mulai menyesali peperngan itu. Suara majoriti sudah mahu Amerika keluar ssekalipun dilihat kalah, kerana dunia tidak mampu menghadapi kos perang itu.

Tetapi pimpinan gila dari Amerika dan England, tidak memikirkan dunia sangsara atau azab, mereka berdegil tak mahu keluar takut dilihat kalah.

Gunakanlah peluang yang ada mengajak dunia menekan Amerika dan Britain supaya berundur supaya pengguna dunia tidak menjadi mangsa bahan bakar itu. Bahan bakar itu sedang membakar kesejahteraan penduduk dunia walaupun ia pernah memberi kemakmuran kepada Negara-negara tertentu.

Degup jantung rakyat Malaysia tidak berombak besar menjelang Disember, tetapi nasib tahun 2006 tidak dapat digambarkan senang dan bertuah, kerana minyak yang sedia mahal itu akan bertambah mahal sedang kerajaan belum lagi berjaya menjadikan rakyatnya makmur.

SeTAPAK
07/10/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home