Subky Abdul Latif

Thursday, October 27, 2005

SYOR ULAMA URUS TABUNG HAJI

PERHATIAN wajar diberi kepada semangat syor Datuk Raja Ahmad Zainuddin bin Raja Omar, anggota Parlimen Larut supaya Tabung Haji diurus oleh seorang ulama.

Harapannya, dengan pimpinan ulama itu nanti, kelamahan urusan Tabung Haji dapat diatasi, tiada berlaku lagi kelemahan seperti yang sedang terjadi sekarang.

Pada umumnya, dari segi semangat, wakil rakyat dari Larut itu telah meniupkan satu kesedaran yang baik betapa institusi ulama itu perlu didaulat dan dimertabatkan.

Ia bukan sekadar untuk memimpin institusi seperti Tabung Haji, tetapi wajar mengepalai sebarang pimpinan, mungkin termasuk persatuan bola. Jika persatuan dan pasukan bola dipimpinan oleh seorang yang berpendidikan agama, maka sudah tentu dia akan mengajak dan menyeru orang-orang yang terlibat dalam bola sembahyang dulu sebelum turun padang dan setelah selesai main bola. Tunaikan zakat.

Jika Presiden Persatuan Bola, yang sekarang dijawat oleh Tengku Mahkota Pahang dipegang oleh seorang ulama yang amanah dengan kedudukan dan ilmunya, maka di tepi Stadium Bukit Jalil itu dirikan sebuah masjid yang besar untuk kemudahan penonton iktikaf dan solat sementara menunggu waktu bermain.

Maka segala yang bersangkut dengan sukan itu disesuaikan keperluan agama rasmi negara ini. Di situ dulu letaknya semangat menjadikan ulama memimpin masyarakat dan institusi.

Dalam keadaan sekarang, tiada jaminan kelemahan TAbung Haji akan mudah diatasi dengan mengangkat ulama menjadi pengurusnya dan tidak jaminan penyelewangan tidak berlaku lagi. Ia adalah disebabkan ulama yang menjadi pengurus TAbung Haji saja terpaksa bekerja di bawah system payah berfungsi mengikut ilmu.

Dengan system pimpinan dan pentadbiran pada keseluruhannya tidak berpaut kepada mendaulatkan syariah, maka serban ulama juga mungkin terlucut dibawa arus system yang sedemikian.

Bagaimana pun semangat yang disuarakan oleh Raja Ahmad Zainuddin itu, langkah-langkah wajar diambil bagi memprofesionalkan ulama. Hancur Tabung Haji kalau pemilihan pengurusnya nanti dibaut mengikut calon yang keluar Universiti Azhar dengan pangkat mumtaz.

Persiapan dalam dan luar negeri, pelajar agama mesti didedahkan dengan ilmu pengurusan dan bidang professional yang lain dan pada ketika yang sama pelajar-pelajar yang mengambil bidang professional yang tidak dibangsakan sebagai pelajar agama diwajibkan menguasai pengajian Islam terutama usul fiqh.

Orang-orang ini yang diisi dalam pasaran buruh terbuka, terlatih dalam urusan pentadbiran dan berpengalaman, maka apabila tiba waktunya layat memegang jawatan pentadbiran dan pengurusan penting seperti Tabung Haji, Felda, Mara dan sebagainya.

Ketika itu ulama tidak dilihat untuk mengisi jawatan mufti dan kadhi besar saja, tetapi ialah ulama yang professional dalam institusi ulama itu sendiri dan juga ulama professional. Ketika itu Tabung Haji tidak akan kecewa lagi.

Tetapi kalau dalam keadaan ulama itu tidak dibekalkan dengan kepimpinan dan pentadbiran, dan diamanah dengan kedudukan yang tinggi seperti Tabung Haji, ditakuti natijah akan mencederakan lagi imej istitusi ulama yang ditindas sejak lebih 400 tahun lalu.

Dalam apa keadaan pun, untuk mencari Al-Ghazali dan Asy-Syafie, tidak akan ketemu jika semua pengajian tinggi – Islam dan akadamik biasa - mengikut hendak dan kuat kuasa akta universiti dan kolej. Pelaksanaan akta itu meruntuhkan mutu akadami semua universiti kita dengan meletakkan professor dan siswazah sebagai orang yang tahu membaca, menulis dan membuat kira-kira, setara dengan aktivis kelas KEMAS.

Di bawah system ini, kalau professor jadi professor kangkong dan peguam pula peguam kangkong juga, maka ulama yang dilahirkan jadi macam tiung pula. Tiung boleh dilatih menuturkan kalimah ‘assalamualaikum.’ Tetapi ia tidak tahu apa isinya. Tiada al-Ghazali dan tiada asy-Syafie, tetapi yang ada Ghazali Syafie. Itupun bukan Ghazali Syafie yang belum bersara dulu.

Tabung Haji tidak akan mencapai apa-apa kalau kita menunggu kedatangan al-Ghazali dan asy-Syafie yang tidak pernah cuba diwujudkan. Tetapi memadai memberi kepercayaan kepada ulama yang lebih berwibawa dari yang mengetuai Felda dan Mara sekarang.

Wibawa itu bukan dimaksudkan dari keupayaan, tetapi ciciran politik.

Orang yang dikehendaki oleh Raja Ahmad itu tentunya ada, tetapi hendaklah dicari. Antara ahli pentadbiran biasa dengan ulama yang menguasai pentadbiran, lebihnya ulama ia keberkatan yang Allah limpahkan kepadanya.

Ulama yang bekerja akan mampu menyerlahkan kecemerlangan, kerana di samping kejayaan dari kerjanya, barakah yang mengiringinya membantu mengatasi semua masalah, insya Allah.

Ulama adalah orang pilihan Allah selepas nabi. Kalau seorang itu tidak jadi ulama, jadilah orang yang kasih kepada ulama dan memadang tinggi kepada ulama. Moga-moga Raja Ahmad berada di sini dan begitu walaupun minatnya besar dalam persatuan bola. Allah akan hormati dia kiranya pandangan tinggi kepada ulama itu original dan kekal.

SeTAPAK
27/10/05

Wednesday, October 26, 2005

BERITA BAIK PENGIDAP KANSER

SELURUHnya pilu dan simpati atas pemergian Datin Seri Endon Mahmood bersama penyakit barah payu daranya pagi 16 Ramadhan lalu. Pemergiannya sentiasa dikira sebagai kembali ke pangkuan kerahmatan Allah.

Hikmat pemergiannya bagi rakyat tidak hilang begitu saja, sebaliknya ada rahmat juga terutama kepada usaha memerangi penyakit barah.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai duda Al-Marhumah mengumumkan di Parlimen sempena usul takziah atas pemergiannya, mengumumkan untuk mempergiat tindakan anti barah samping memberi rawatan intensif yang semurah mungkin.

Semurah-murah rawatan barah tetap mahal terutama apabila kerajaan itu sendiri menganut sikap pro kapitalis. Tetapi yang disarankan oleh Perdana Menteri itu ialah supaya ia jauh murah dari kos semasa dalam pasaran rawatan.

Gerakan anti barah itu tidak sekadar dalam aspek rawatan, malah meliputi penyelidikan dan pencegahan.

Inilah yang dinamakan resam dunia. Setiap kejadian itu buruk bagi setengah orang tapi baik pula bagi yang lain.

Kematian Datin Seri Endon, berita duka bagi Perdana Menteri dan keluarganya, tetapi ekorannya ada rahmat dan nikmat pula oleh seluruh penduduk. Tetapi ini tidak bererti rakyat suka orang-orang terkemuka acap menemui ajal bagi memungkinkan rakyat beroleh sesuatu nikmat. Tetapi itulah hakikat setiap kejadian itu baik untuk setengah dan duka untuk setengah yang lain.

Bagaimanapun sesuatu rancangan yang baik dibuat tanpa menunggu sesuatu ketakjuban seperti matinya orang-orang ternama.

Misalnya kalau dirasakan sesuatu perlu dibuat untuk memperkasa mutu filem Melayu, maka lancer segera tindakan ke arah itu, jangan tunggu P.Ramlee mati atau Senator Jins Shamsuddin mati.

Dalam melaksanakan saranan Perdana Menteri, langkah terdekat dan segera yang boleh dilakukan ialah memberi rawatan terbaik kepada pengidap barah. Peralatan dan kemudahan terbaik perlu dilengkapkan semula bagi Hospital Kuala Lumpur.

Hospital itu pernah punya kemudahan terbaik tetapi telah dipindahkan ke Hospital Putra Jaya yang kebetulan ketika itu isteri Perdana Menteri memerlukan rawatan yang terbaik. Ada keperluan mendadak bagi Hospital Putra Jaya memiliki persiapan yang sempurna.

Tetapi keperluan bagi Hospital Kuala Lumpur yang lebih padat penduduk dan t tentunya lebih ramai pengidap kenser tidak pula wajar dikurangkan perhatiannya.

Untuk beberapa ketika sebelum ini pesakit yang prnah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur terpaksa berulang pula ke Hospital Putra Jaya disebabkan pemidahan kelengkapan terpenting termasuk pakarnya. Pakar tidak cukup.

Pesakit di Lembah Kelang tentu lebih ramai dari pesakit Putra Jaya. Maka apakah yang ramai terpaksa pergi ke Putra Jaya atau yang sedikit perlu ke Kuala Lumpur?

Ia tidak wajar berbangkit lagi. Tidak berbangkit kelengkapan di Putra Jaya dipindahkan semula ke Kuala Lumpur, tetapi Kuala Lumpur serta tempat-tempat lain dilengkapkan.

Malaysia perlu pakar secukupnya. Dalam keadaan kekurangan pakar, rawatan bagi sebahagian pesakit tertangguh kerana doctor pakar terpaksa berada di Los Angeles bagi merundingkan rawatan Al-Marhumah.

Langkah meramaikan pakar perlu diambil tindakan. Antaranya mewujudkan seramai-ramai pakar. Langkah menukar pengajian sains dan matematik melalui bahasa Inggeris telah menunjukkan tanda-tanda kemerosotan prestasi pencapaian pelajar dalam bidang itu.

Sejak langkah memertabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, saintis dan doctor Melayu meningkat dan menggalakkan. Suatu perubahan besar dalam pencapaian orang Melayu khususnya jika dibandingkan dengan masa sebelum merdeka.

Apabila jarun jam diputar semula ke belakang, prestasi pencapaian pelajaran merosot entah untuk berapa lama. Ini akan menyebabkan kempen anti kenser ikut tergendala. Sebelum terlambat, Datuk Seri Abdullah Badawi terpaksa pejam mata, mengambil langkah mengembalikan semula pengajian dalam Bahasa Melayu dan ketika yang sama memertabatkan semula bahasa ibunda itu.

Sementara itu pengukuhan bahasa Inggeris perlu ditingkatkan mengikut keperluan Negara. Tetapi tidak semestinya seratus peratus rakyat Malaysia mesti menguasa bahasa Inggeris seperti Prof. Ungku Aziz.

Bertutur lebih dari bahasa adalah baik. Nabi Idris a.s. dalam menjalankan tugas kenabiannya telah menguasai 72 bahasa pada zamannya.

Penggunaan Bahasa Melayu telah dikenal pasti sebagai satu daya ramai rakyat menjadi saintis dan pakar. Oleh itu jangan teragak-agak bertindak cekap kerana bilangan penyakit kenser bertambah dan bilangan wanita diserang barah pau dara lebih tinggi.

Kita tidak boleh bergantung kepada pakar dan penyelidik asing. Mereka boleh pergi ke tempat yang banyak rezeki. Lulusanya nanti menjadi bakal penyelildik bagi mencegahnya dan bagi mengesan dan mengawal penyakit itu pada peringkat awal.

Satu kes terhadap seorang jururawat yang diserang barah payu dara. Sebagai jururawat, dia syak sendiri dia sudah diserang penyakit itu. Dia segera mendapatkan nasihat doctor. Tetapi doctor yang tidak cukup pengetahuan dan pengalaman ini tidak dapat mengesan dan tidak dapat mengeahkan dia sudah kena barah.

Apabila tidak dirawat, ia membesar. Apabila beberapa ketika kemudian dia mendapatkan nasihat doctor, dia diberitahu doctor mengapa lewat sangat jumpa doctor? Ia sudah sukar dirawat. Doktor pakar yang ada terpaksa berulang pula ke Los Angeles.

Kekecewaan jururawat itu sudah tidak lagi atas kenser yang tidak mengenal mangsa itu, tetapi ialah kerana tidak dapat pertolongan doctor yang cukup ilmu. Dia pergi setahun dulu dari Datin Seri Endon.

SeTAPAK
26/10/05

Tuesday, October 25, 2005

TAUFAN WILMA PULA

MANGSA dan kesan taufan Katrina dan Rita yang melanda wilayah-wilayah selatan dan Teluk Maxico Amerika, kini datang pula bencana taufan yang kencang dan dahsyat juga dikenali Taufan Wilma.

Penduduk Florida, wilayah yang menentukan George W. Bush menjadi Presiden Amerika lima tahun dulu, sudah pun mengalami korban jiwa dari Taufan Wilma itu sekalipun mereka mengambil tindakan meninggalkan kediaman masing-masing sehari sebelum ia tiba.

Ia tidak sekencang Katrina dan Rita, tetapi ia cukup kencang dan adalah azab untuk penduduk-penduduk sebelah selatan Amerika khususnya wilayah yang berdepan dengan Laut Caribmean. Apabila taufan itu melanda wilayah itu Negara-negara yang berdekatan seperti Cuba dan Maxico ikut dilanda.

Bagi wilayah-wilayah Amerika sebelah situ adalah taufan yang ke delapan sejak Ogos 2004.

Dunia yang membenci Amerika atas dasar perangnya sejak keluarga Bush berkuasa terutama umat Islam yang menjadi sasaran mustakbirin Amerika itu, tidak wajar pula memberikan kata-kata padan muka dengannya atas bencana itu, tetapi wajar insaf atas kejadian yang menimpa mereka dan simpati atas bencana alam itu.

Mungkin kawasan itu terletak di garis laluan taufan, tetapi sejak beberapa ketika sebelum Ogos 2004 ia tidak aktif seperti setahun ini. Tahun ini terutma dua bulan ke belakangan ini, ia datang bertalu-talu atas berbagai nama yang diberikan, adalah amaran yang perlu diberi perhatian kalau manusia mahu mempelarinya dari pengetahuan umat Islam.

Bagi Islam angin adalah rahmat dan diperlukan oleh alam, tetapi apabila ia memberi amaran kepada manusia supaya belajar dari kesombongan masing-masing, maka angin itu bertukar menjadi ribut dan taufan. Ia tidak lagi bertiup sebagai satu rahmat tetapi ia adalah azab.

Rantau lain juga menerima azab malah lebih derita seperti ancaman tsunami di pantai-pantai Lautan Hindi khususnuya Aceh, Indonesia, Sri Lanka serta gempa bumi kaki gunung Himalaya yang melibatkan Pakistan, Afghanistan dan Hindustan (India), seolah-olah amaran di Teluk Maxico itu tidak seberapa.

Tetapi taufan yang bertubi-tubi sejak lebih setahun sekarang dan terakhir pukulan Wilma adalah azab yang cukup meletihkan Amerika. Kalau Amerika menjadi penyumbang ketara dalam setiap azab di sana sini dua, tetapi azab Katrina di New Orleans dua bulan lalu meletakkan Negara kaya raksaksa itu terdampar kepada belas ihsan antarabangsa.

Pelajaran dari akidah umat Islam bencana adalah azab Allah setelah manusia seluruhnya dalam tamadunnya tidak bersyukur kepada Allah dan tidak menyembah Allah serta tidak mengaku nabi dan rasul yang diutus kepadanya sebagai pembawa berita duka dan gembira dari Allah.

Apa yang berlaku dalam tamadun kaum Nuh, kaum Aad dan kaum Tsamud 5000 tahun lalu adalah disebabkan mereka masing-masing adalah lupa daratan dengan kekayaan dan kemewahan pembangunan ekonominya, zalim kepada anggorta kaumnya serta mendustakan Tuhannya dan rasul-rasulNya.

Tamadun Aad dan Tsamud adalah contoh tamadun manusia jahiliyah paling maju dan paling agung di zamannya, secara menyeluruh penduduknya mewah hingga kediaman masing-masing bukan sebagai rumah mewah tetapi berbentuk istana dan mahligai.

Masing-masing memiliki teknologi tercanggih untuk masanya. Sebagai orang yang menyembah Tuhan selain Allah, telah diutus rasul bagi mengekalkan tamadunnya sesuai dengan ketentuan Tuhannya iaitu Allah. Mereka enggan mentaati rasulnya malah mengancam rasul dan menghina Allah yang memakmurkan mereka. Dan mereka minta supaya didatangkan azab yang dijanjikan jika rasul-rasul itu orang yang benar.

Telah turun bala yang diminta, dan tamadun itu hancur seperti pokok korma usang dan debu-debu yang berterbangan.

Amerika mencapai kejayaan tamadun jahiliyah yang menyamai Aad dan Tsamud 50 kurun lalu. Telah datang rasul ikutannya Nabi Muhammad SAW 15 kurun lalu atau 13 kurun sebelum kelahiran kaum Bush yang terdiri tamadun Amerika, tetapi mereka mundustanya, mengakui kewujudan Allah sebagai Tuhannya tetapi tidak mengaku syariat yang sempurna yang disampaikan oleh rasulNya.

Telah disampaikan berita amaran dan gembira melalui mukjizatnya Al-Quran. Sembahlah Allah! Tinggalkan lain yang menyirikkanNya. Taatlah kepada rasulNya. Mendustai Allah dan rasulNya akan menghadapi azab yang pedih di hari yang besar.

Berdoa rasul itu supaya Allah tidak memusnahkan umatnya yang zalim seperti yang dikenakan kepada umat rasul-rasul sebelumnya. Allah perkenankan doanya, tetapi azab tetap ada, tidak sampai memusnahkan. Mereka akan musnah atas perbuatan mereka sendiri.

Rasulullah SAW tidak sampai pergi ke Washington untuk memberitahu supaya menyebah Allah dan taat kepadanya, memadai menyebarkan Al-Quran dan dakwah pengikutnya yang ada seluruh dunia.

Tetapi pemuka-pemuka kaum Bush mesej itu sebagai satu keganasan, lalu memerangi mereka di mana saja atas nama kempen global memerangi keganasan. Bumi umat Islam di Palastin, Afghanistan dan Iraq sudah diceroboh, penduduknya ada yang dibunuh dan ada yang ditahan di Teluk Guantana, Kuba di kawasan laluan taufan ke Teluk Maxico.

Pengikut-pengikut rasul itu yang ditahan di situ dizalimi seperti anjing. Selain dari semua deraan, antara mereka dibogelkan dan diarahkan soldadu betina bogel juga duduk di atas badannya dan di depan mukanya. Disaspu badannya dengan darah haid betina jahat itu.

Teks Al-Quran dikoyak-koyak dicampakkan ke mangkuk tandas. Ada yang mengesat kasut dengan kertas-kertas Al-Quran.

Bukankah ia sama saja dengan kejahatan betina Tsamud yang menawarkan dirinya digauli oleh mana-mana lelaki yang berjaya membunuh unta tanda mukjizat Nabi Salleh dan ada ibu tunggal sedia menyerahkan anak daranya kepada pembunuh unta itu?

Tiada banjir menenggelami alam seperti di zaman Nuh, tidak taufan pasir dingin seperti di zaman Hud dan tiada tempikan memecah anak telinga seperti azab kaum Tsamud. Tetapi taufan yang bertalu-talu setahun ke belakngan ini yang melanda wilayah Amerika di Teluk Maxico meletihkan bangsa Amerika yang sedang dibenci dunia atas kezalimannya di dunia khususnya di rantau Teluk.

Yang berlaku itu azab. Ia pedih. Tetapi justeru Nabi Muhammad SAW itu adalah rahmat kepada alam, maka azab itu memberi amaran dan pengajaran kepada kaum Bush khususnya dan manusia sedunia amnya, untuk bertaubat.

Jika kaum Bush sedia bertaubat dan taat kepada rasul akhir zaman untuk bertuhankan Allah, tamadun Amerika itu dapat diperkukuh, seperti yang ditawarkan kepada kaum Aad, betapa tamadunnya dikukuhkan kiranya sedia menyembah Allah dan meninggalkan penyembahan berhala.

SeTAPAK
25/10/05

Monday, October 24, 2005

PERBICARAAN SADDAM DAN KERUNTUHAN TAMADUN IRAQ

SADDAM Hussein sudahpun diletakkan dalam kandang orang salah mnggu sudah atas tuduhan berbagai jenayah yang dikatakan dilakukannya sebagai pekerintah Iraq.

Ikut dibicarakan di mahkamah yang ditubuh dan dijalankan atas kehendak Amerika itu adalah beberapa orang kuatnya dalam pentadbirannya dulu.

Mereka baru dikemukakan di mahkamah. Hari itu mahkamah mengemukakan tuduhan-tuduhan yang kesemuanya tidak mengakui bersalah. Saddam sendiri mengambil pendekatan sebagai seorang yang masih menjadi Presiden Iraq yang sah yang tidak dapat menjalankan tugasnya kerana ditakluki Amerika.

Justeru itu dia tidak mahu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh mahkamah, kerana pada pendapatnya mahkamah itu tidak sah dan orang-orang Iraq yang menjadi pegawai mahkamah dari hakim hinggalah kepada budak pejabat adalah talibarut Amerika.

Sebarang tindakan Saddam nanti tidak dilihat sebagai jawapan kepada tuduhan yang dikemukakan tetapi adalah reaksinya kepada dakwaan terhadapnya. Bagaimana orang-orang yang tiduh yang lain melayani tuduhan pendakwa tidak dipastikan selaras, tetapi tumpuan adalah terhadap Saddam.

Dunia seluruhnya termasuk kebanyakan rakyat Iraq sudahpun mnyatakan bahawa Saddam tidak akan mendapat keadilan yang selayaknya sebagai seorang yang didawa kerana Amerika dikenal pasti mahu menghukum Saddam dan hukuman itu tidak lain dari hukuman bunuh.

Sekaliannya sudah dapat mengagak keutusan mahkamah iaitu dia dihukum mati.

Lepas hari dia dihadapkan ke mahkamah, mahkamah tidak bersidang. Selepas itu ada pula berita bahawa seorang peguam belanya telah dibunuh. Sudah tentu ia mengganggu perjalanan perbicaraan. Sudah tentu pasukan pembelaan terpaksa mengemas kini kertas pembelaan. Mahkamah terpaksa memberikan masa secukupkan kepada pasukan itu.

Dalam keadaan yang ada jadual perbicaraan mesti mengikut keadaan. Iraq adalah sebuah negara huruhara. Ia sedang berperang. Amerika dan kerajaan bonekanya di satu pihak dan pejuang yang tidak dikenal identitinya di satu pihak.

Seramai mana gerakan mereka, siapa ketuanya dan di mana kubunya tidak diketahui. Yang jelas ialah letupan berani mati berlaku di setiap hari dan tidak dapat dipastikan di mana letupan akan berlaku. Ia boleh berlaku di mana dan bila-bila masa.

Perbicaraan Saddam pun dipercayai akan berjalan mengikut suasana juga. Ia boleh diadakan hari ini atau esok dan ia boleh ditunda bila-bila saja.

Kerajaan boneka Iraq tidak mempunyai kekuatan untuk menghadapi tentangan dari bawah. Jika tidak ada tentera Amerika, tidak dapat diketahui secara tepat apa yang dapat dilakukan oleh kerajaan Iraq yang tidak dipastikan juga wibawa tenteranya. Atas sebab itu orang-orang Iraq yang beruniform adalah dilihat sebagai tentera dan polis upahan Amerika.

Majoriti rakyat Iraq dipercayai setuju Saddam adalah seorang dictator dan kejam. Mereka juga mungkin mahu melihat Saddam dihukum termasuk hukuman mati. Tetapi setengahnya tidak mahu ia jalankan atas kehendak Amerika.

Amerika sendiri tidak mempunyai apa-apa alasan yang kuat untuk menceroboh Iraq dan kekal di Iraq. Ia berputar di seluruh dunia untuk menyampaikan dakyah mengapa Amerika menceroboh Iraq? Untuk melepaskan Iraq dan rakyatnya dari cengkaman kekejuaman Saddam.

Itupun tidak meyakinkan dunia. Harapannya hanyalah dunia mesti mempercayai Amerika dan mesti menyokong Amerika. Alasan demokrasinya tidak ada. Ia hanya bergantung kepada kekuatan Amerika dan Amerika tidak boleh ditentang.

Jika sekadar Saddam itu jahat, ia tidak memerlukan Amerika datang sendiri. Biarkan ia dihadapi oleh rakyatnya sendiri.

Mengapa Iraq diceroboih Amerika, bukan kerana kekejaman Saddam, tetapi adalah untuk menghancurkan tamadun Baghdad. Itulah penjelasan Dich Cheney, Naib Presiden Amerika semama menjadi Setiausaha Pertahanan semasa perang Desert Storm dulu.

Tamadun Baghdad itu ialah ia berupaya untuk melancarkan roketnya ke Israel. Iraq ada orang yang boleh melakukan ancaman ke atas Israel. Alasan ini pun tidak cukup kuat sekarang. Ia hanya dilihat berperang bagi pihak Israel.

Oleh itu sekalipun bilangan yang marahkan Saddam itu ramai, tetapi yang marahkan Amerika juga sama ramai dengan yang marahkan Saddam.

Saddam disetujui melakukan kekejaman terhadap penentang-penentangnya. Ramai dipercayai yang sudah terbunuh kerananya dan ramai lagi yang mungkin terbunuh kalau dia berkuasa lagi. Tetapi bilangan yang dipercayai akan terbunuh lagi itu tidak seramai yang sudah dibunuh oleh kehadiran Amerika.

Saddam kejam tetapi Iraq membangun dan rakyat yang dalam ketakutan banyak menikmati kepesatan pembanungannya. Iraq sebenarkan diakui oleh Al-Marhum Adam Malik, pemimpin dan diplomat Indonesia, adalah sebuah wilayah sosialis yang paling berjaya.

Semua masyarakat sosialis di dunia gagal dan porak peranda. Hanya Iraq di bawah sosialis Baath dapat memberikan apa yang sosialis mahu beri. TEtapi ia berhadapan dengan pemimpin yang kejam.

Amerika yang medakwa datang untuk menyelamatkan rakyat Iraq dari kekejaman itu juga kejam. Ia menangkap Saddam, tetapi ia telah membunuh rakyat Iraq, mungkin lebih ramai dari yang dibunuh dalam pentadbiran Saddam. Yang lebih ketara ialah seluruh tamadun dan pembangunan fizikal Iraq mustanah.

Iraq tidak sampai seperti Al-Ahqaf di bawah Aad yang dilanda taufan pasir sejuk dan tidak seperti Hijr di bawah kaum Tsamud yang dipanah tempikan hililintar. Kedua-dua tamadun itu ranap seperti debu yang Aad dan Tsamud tidak berbenih lagi. Tetapi pembangunan di semua kota di Iraq kini hancur dan tamadunnya musnah.

Kalau Iraq di bawah Saddam seperti menghadapi harimau bengis, tetapi kini di bawah Amerika ia seperti dikejar buaya dan naga.

Buaya dan naga inilah yang membicarakan harimau di Baghdad sekarang. Semua sudah tahu hukuman ke atas Saddam. Dan Saddam akan binasa. Dia tidak binasa atas kekejamannya, tetapi binasa kerana Amerika mahu menghancurkan tamadun Iraq. Bagi masyarakat Iraq keputusan mahkamah Amerika di Baghdad itu adalah ibarat Saddam kalah Iraq jadi arang dan Saddam menang pun Iraq jadi debu.

Pertembungan antara Saddam dan Amerika, yang terbakar ialah Baghdad. Amerika belum tentu menang dengan menghukum Saddam. Saddam mati, tetapi Iraq dan rakyatnya masih hidup dan orang meletupkan diri tidak berakhir dengan menghukum Saddam.

SeTAPAK
24/10/05

Friday, October 21, 2005

TAKZIAH BUAT PERDANA MENTERI

TAKZIAH buat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullab Badawi dan keluarga atas pemergian isterinya, DAtuk Seri Endon Mahmud pagi Khamis 16 Ramadhan bersamaan 20 Oktober, 2005.

Moga-moga Perdana Menteri kekal dalam kesabaran dan ditingkat ketabahan atas pemergian itu, dapat menangani tugas dan tanggungjawab besar Negara dengan baik dan jaya.

Keseorangan di kamar tidur, tanpa isteri semasa sahur, tiada isteri melepaskannya di pintu ketika pergi kerja dan tiadanya juga menyambut di pintu semasa pulang dari kerja tentunya memilukan Perdana Menteri, tetapi sunyinya tidak memilukan sangat beliau kerana telah dialami sejak bertahun-tahun.

Al-Marhumah telah lebih banyak dirawat di luar rumah malah di luar Negara, sejak diketahui mengidap serangan barah payu dara ketika Datuk Seri Abdullah masih Timbalan Perdana Menteri. Kesedihan hanya kerana kematian isteri, tetapi kesepian telah dilalui lama. Situasi yang ada terbaik untuknya kerana pemergiaan isterinya pada saat yang terbaik mengakhiri kepayahaannya berjuang melawan penyakitnya.

Penderitaan Al-Marhumah mungkin perit dan lama, tetapi penderitaan yang lama itu adalah cara Allah bersihkan hambaNya dari dosa, dipercayaan Al-marhumah tabah, sabar dan berjaya menghadapinya.

Apapun ketidak sempurnaannya terhadap Allah, dipercayai dan didoakan diampunkan sepenuhnya oleh Allah atas kesabaran dan ketahannya selama menghadapi penyakitnya.

Tentunya beliau tidak sunyi dari sebarang dosa padangan pandangan manusia, kerana tiada anak Adam selain dari para nabi yang tidak berdosa, Endon binti Maryam, nama rasminya di akhirat dilepaskan oleh suami dan keluarganya pada hari yang terbaik yang dicita-citakan oleh orang Islam.

Bila mati pun adalah terbaik untuk seseorang kerana pemergian itu adalah untuk menghadapi Allah, Tuhan sekalian alam. Tetapi umat Rasulullah SAW inginkan mati dalam bulan Ramadhan, kerana itulah masanya ahli kubur berasa paling senang.

Senang di alam kubur yang dimaksudkan tidak bererti sekalian ahli kubur tidak mengalami siksaan kubur mengikut jenis dosa masing-masing, tetapi dalam Ramadhan, kedudukan masing-masing adalah selesa dari biasa.

Endon binti Maryam, nama yang disebut oleh pembaca talking semasa dia ditalkinkan, diterima Allah di alam kubur selepas Asar dan mendapat kelebihan pada malam pertamanya pada malam Jumaat 17 Ramadhan. Hari dalam Islam bermula dari waktu Maghrib dan berakhir Maghrib esoknya.

Pada penglihatan umat Islam malam pertama di kubur dalam bulan Ramadhan, malan Jumaat dan malam 17 Ramadhan sebagai pertanda baik. Allah saja yang tahu keadaan sebenar. Tetapi dengan sangka baik pada malam-malam yang baik itu, keluarga yang kesedihan atas kematian orang tersayang akan reda rasa sayunya dengan harapan hari-hari dan malam-malam yang dimuliakan oleh Islam itu membawa kebahagian kepada ruh orang yang memulai pengalaman hidup di kubur ada masa itu.

Bukan Al-Marhumah seorang saja mati pada hari semalam dan dikuburkan hari semalam juga. Moga-moga orang-orang yang mati semalam dan dikuburkan semalam, mendapat bahagian sebaik-baiknya dan bahagialah orang yang mati semalam dan dapat dikuburkan secepat-cepatnya.

Sebagai orang Islam biasa, hubungan Endon binti Maryam dengan Allah adalah biasa saja sebagaimana kebiasaan bagi orang-orang awam yang lain. Hanya Allah yang tahu kelebihan dan kekurangannya. Tetapi tentulah ada kebaikannya maka dia Allah tamatkan dunianya pada hari yang memungkinkannya berada di kubur pada malamnya pada malam yang Allah muliakan itu.

Malam Jumaat adalah malam Allah muliakan dengan kelebihan tertentu. Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi, maka Allah ampunkan dosanya selama lapan hari selepasnya.

Hadis riwayat Ibnu Kathir dari Umar r.a., siapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cayaha daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari kiamat dan diampunkanNya antara dua Jumaat.

Hadis riwayat Ibnu Kathir lagi daripada, Said Al-Khudri, Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dihamparkan (disinarkan) untuknya daripada cahaya antara dia dan Bait A-Atiq.

Satu lagi hadis dari Ibnu Kathir, Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dia terhindar dari segala fitnah selama lapan hari, dan jika Dajjal muncul, dan terhindar dia daripadanya.

Ia sekadar bukti hari Jumaat itu sangat dimuliakan Allah. Maka ada lebihnya bagi orang yang mati pada hari itu dengan kehendak Allah.

Moga-moga isteri Perdana Menteri, satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang isterinya mati semasa menjadi Perdana Menteri, mendapat rahmat. Penderitaan lama dengan penyakitnya, yang memungkin dosa terampun, mungkin menjadikan dapat mati pada waktu-waktu yang Allah muliakan.

Tetapi umat manusia seluruhnya, jangan menunggu sakit teruk yang lama untuk mendapat keampunan. Ingatlah akan Allah semasa sihat sebelum sakit, semasa muda sebelum tua untuk bertaubat.

Saya percaya Perdana Menteri bertambah tenang dan senang dengan takziah saya.

SeTAPAK
21/10/05

Thursday, October 20, 2005

BUSH ADAKAN BERBUKA DI RUMAH PUTIH

DARI kaca mata Islam, malah dari sisi pandangan umum masyarakat dunia, George W. Bush adalah seorang pengganas juga. Dia seolah-olah menjadi ketua memerangi pengganas, tetapi dia pun pengganas juga.

Rumah Putih dan Pantagon adalah pusat menentang apa yang dikatakan pengganas antara bangsa dalam braket Islam. Secara umumnya dia memerangi Islam.

Dalam rangka menentang Islam itu Bush mengadakan majlis berbuka puasa di Rumah Putih untuk tokoh-tokoh terkemuka Islam di Amerika dan diplomat-diplomat Islam. Biarkanlah dia dengan tujuannya mengadakan majlis berbuka puasa itu.

Yang jelas dia tidak berpahala mengadakan majlis itu walaupun dia menjamu orang Islam berpuasa. Samalah halnya dengan orang-orang jahiliyah di Mekah sebelum Islam menjamu jemaah haji di Baitullah. Mereka mengadakan peruntukan besar menjamu tetamu Rumah Allah, tetapi tidak mendapat pahala.

Bagaimana puak jahiliyah itu benar-benar ikhlas kepada tetamu dari luar, tetapi Bush dipercayai tidaklah setia dengan tetamunya. Dia cuba melemahkan tetamunya supaya jangan mendekati sebarang getakan Islam yang bercita-cita mendaulatkan Islam.

Niatnya tidak perlu dibimbangkan kerana orang yang berpuasa itu tahu siapa yang menjamu mereka.

Tetapi orang-orang yang berpuasa itu tidaklah sekadar berbuka, tentulah mereka solat maghrib di pusat operasi menentang Islam itu. Maka di luar rancangan orang Islam, orang Islam sudah solat berjamaah di Rumah Putih. Ia perancangan Allah. Bush beroperasi dengan rakan-rakannya untuk memusnahkan Islam dan umat Islam, tetapi Allah menghantar umat Islam sembahyang di Rumah Putih.

Tentulah Bush menyaksikan azan digemakan di Rumah Putih dan menyebabkan segala syaitan yang dirantai di dinding dan tiang-tiang Rumah Putih itu amat tersiksa melihat dan menyaksikan akhirnya dapat juga suara azan dan solat membesarkan Allah berlaku di Rumah Putih.

Rumah Putih itu wujud adalah natijah kempen orang Sepanyol yang mengalahkan kerajaan Islam Kardoba. Missi gerakan Salibiyah Sepanyol yang menang itu menjelajah menyeberangi lautan memburu umat Islam di mana saja di dunia.

Rombongan Christoper Colombus tiba ke Amerika diikuti oleh rombongan lain dari Eropah lalu menegakkan negara Amerika. Maka Rumah Putih didirikan sebagai kediaman Presidesnnya. Hari ini Rumah Putih adalah dalam gelombang baru di bawah Bush menjalankan kempen menentang Islam atas nama memerangi keganasan.

Begitu kuat tekadnya melumpuhkan kebangkitan Islam, dia membawa orang Islam masuk ke Rumah Putih dan terpaksa mendengar azan dan membiarkan orang Islam solat di kediamannya. Kalau tidak kerana kempennya terhadap Islam, mungkin tiada lagi kesempatan seruan Islam yang bermukjizat itu dapat dikumandangkan di situ.

Tidakkah pemergian tetamu Bush ke Rumah Putih itu menyamai pengiriman Nabi Musa ke istana Firaun? Firaun mengumpulkan kekuatannya bertahun-tahun untuk membunuh bayi Musa yang diramalkan untuk membinasakan empayar Firaun. Tiba-tiba Musa hanyut di depan istananya dan membesar di istana.

Yang melembutkan hari Firaun bersetuju membesarkan Nabi Musa membesar di istananya ialah Allah. Dan yang membuka hati Bush untuk menjamu umat Islam berbuka dan solat di Rumah Putih adalah Allah. Allah mendorongkan diplomasi Bush untuk membawa orang berpuasa masuk ke Rumah Putih dan mereka menggunakan diplomasi itu azan dan boleh menyembah Allah.

Bush berusaha menyekat kalimah Lailaha illallah berkembang di seluruh dunia tetapi Bush tidak dapat menyekat kalimah itu dikumandangkan dalam azan di kediamannya. Tidakkah Bush itu bodoh lagi bebal?

Azan sudah bergema di Rumah Putih. Ia dibawa oleh Bush yang bodoh macam Aad, Namrud dan Firaun. Bush sudah membawanya masuk ke kediaman Presiden Amerika dan dia tidak boleh tidak anjurkan berbuka puasa sekali lagi Ramadhan depan. Dan masakan ia boleh disekat lagi selagi Ramadhan datang setiap tahun.

Malah selepas ini diplomasi Amerika patut membawa suara azan itu lebih kerap ke dalam Rumah Putih walaupun Bush pergi secara terhina selepas ini.

Inilah yang dinamakan Bush meracang, tetapi Allah Maha Meracang, rancangan Allah itu yang menang. Musa dan Harun disuruh Allah pergi bertemu Fraun, katakanlah kepadanya iaitu Firaun, sembahlah Allah! Jika enggan, azab akan ditimpakan ke atasnya.

Orang-orang yang berbuka di Rumah Putih itu bukan nabi dan bukan rasul, maka mereka pergi ke Rumah Putih atas undangan Bush. Kerana mereka tidak nabi dan tidak rasul, maka tidaklah diperintahkan untuk bercakap kepada Bush, sembahlah Allah dan tinggalkan segera ssembahan ke atas yang selain daripadaNya.

Tetapi mesej Islam sudah sampai ke Rumah Putih. Di tangan Bush sekarang sama ada mahu mengukuhkan empayarnya atau membiarkan ia runtuh. Tentangan kepada Bush mulai merata. Bangsa Amerika atau kaum Bush kini dalam dilemma dan akan diruntuhkan oleh tamadun yang kosong. Mereka sudah runtuh akhlak dan hanyut dalam lupa daratan. Kekayaan Negara ditarik Allah melalui perang, perang dan perang.

Keperkasaan Amerika boleh dikukuh dengan berserah diri kepada Allah. Alah telah memberi rahmaNya kepada kaum Bush. Jika tidak bersyukur dan tidak menyembah Allah, maka jangan terperanjat keperkasaan itu diruntuhkan Allah.

Bush tidak boleh menyerang dan memfitnah Islam, kerana ia sama seperti memfitnah Allah. Orang Islam yang menjadi tetamu Bush itu boleh membantu Bush bertaubat.

SeTAPAK
20/10/05

Wednesday, October 19, 2005

YA PAS ITU HADHARI TAPI BUKAN PAS HADHARI

JIKA kerana tersasul atau apa jua, Timbalan Menteri Penerangan terkata, PAS adalah hadhari atau PAS itu hadhari atau sikap PAS adalah hadhari, maka kata-kata itu adalah betul dan ia satu penghormatan kepada PAS.

Tetapi ada yang mengira PAS itu adalah PAS hadhari maka ia tidak boleh diterima dan tidak boleh dibiarkan. Jika dimeterai PAS adalah PAS hadhari, maka ia sudah merakamkan ada PAS badawi, sedang PAS adalah sebuah gerakan Islam yang indah dan cantik.

Kalau ada ahli-ahli PAS yang sewel, merepek atau suka berjoget, maka itu adalah kelemahan ahli-ahli PAS. Ia bukan kelemahan PAS atau bukan PAS badawi, tetapi PAS boleh cacat kerananya.

Itulah sebabnya kalau orang UMNO terjumpa anak-anak orang PAS berperangai tidak senonoh seperti tidak puasa, tidak ke surau waktu maghrib, maka dia akan berkata, anak orang PAS tidak begini.

Atau kalau ada dalam PAS berebut jawatan atau membeli undi, maka orang UMNO akan kata, ‘Ini bukan cara PAS,’ atau mereka akan kata, ‘PAS pun sama macam UMNO juga.’

Mengapa mereka berkata begitu atau bersangka begitu? Ia adalah PAS itu dirasakan mesti lain dari UMNO dan orang UMNO secara tidak disedari terasa PAS itu adalah baik dan mesti baik. Sebenarnya itu satu pengiktirafan dan penghormatan.

Boleh dikatakan pada masa ini UMNO pun tidak percaya UMNO itu baik bagai yang dikata dan disangka. Tetapi UMNO itu tetap dipertahankan kerana ia saja pada masa ini alat yang ada untuk berkuasa.

Maka itulah agaknya baru-baru ini Tun Ghafar Baba pernah berkata, UMNO boleh dilelong. Jika ia disenaraikan di papan bursa saham, maka pemian saham boleh berebut-rebut membidanya.

Di masa-masa lalu UMNO tidak pernah bercakap elok tentang PAS dan PAS adalah parti yang tidak boleh didekati dan jauh sekali disamakan dengan UMNO.

Tetapi sekarang UMNO cuba menyamakan PAS itu dengan UMNO.. Dr. Abdullah Zain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam temu bualnya dalam TV, bila ditanya tentang PAS, dia menyebut PAS dulu begitu dan begini, tetapi sekarang tidak lagi. Ia sudah nak jadi macam UMNO. Ia adalah bukti UMNO itu betul.

Timbalan Menteri Penerangan pula bila mengulas tentang langkah kerajaan Kelantan menganjurkan konsert Mawi alternatif, menyebut sikap PAS sudah hadhari. Ia sudah menerima system yang UMNO tunjukkan selama ini.

Aliran dalam UMNO sekarang atau sejak bebeapa tahun ke belakangan ini adalah cuba menyamakan PAS dengan UMNO. Ini bukan kerana ia mahu mendekatkan UMNO dengan PAS, tapi mahu menyekat UMNO dan orang ramai memikirkan tentang kebaikan dan relevensinya PAS.

Orang-orang UMNO yang tidak berada ada kepentingan dan tidak fanatic kepada UMNO, apabila terasa salah dan bosan berada dalam UMNO, maka mereka memikirkan yang baik di luar UMNO. Maka apabila mereka terdesak dalam UMNO dan mereka rasa perlu bebas dari UMNO, maka pilihannya ialah PAS.

Dan dalam PAS mereka mendapat tempat juga dan mereka boleh pula membuat kebaikan seperti dalam UMNO atau apa yang dulunya tidak boleh dibuat dalam UMNO.

Contohnya ialah Dato Hishamuddin Yahya dan Dato Kamaluddin Jaafar. Mereka ada tempat dalam UMNO dulu. Dalam PAS pula mereka dapat tempat juga, malah kedudukan dalam PAS itu lebih penting dari kedudukan dalam UMNO dulu.

Moga-moga mereka terasa benar-benar selesa dalam PAS dan tidak terasa sama PAS itu dengan UMNO. Kalau PAS dapat dirasakan berlainan dan selesa, maka ia boleh menggalakkan lain-lain orang baik dalam UMNO lari dan menyertai PAS.

Zaharin Yassin adalah aktivis UMNO bercakap bebas. Dia pernah merasakan PAS tidak sama dengan UMNO dan mahu tidak sama itu dikekalkan. Dia menegur ketulusan PAS memberi laluan kepada calon dari S46 dan KeADILan bertanding menentang calon UMNO.

Orang memberontak dalam UMNO itu kerana tidak yakin dengan UMNO. pilihan mereka ialah PAS. Tapi kalau yang melawan calon UMNO itu orang UMNO juga, sama jahat dengan UMNO yang, maka baik mereka sokong UMNO saja.

Sebelum Anwar Ibrahim menyertai UMNO, rata-rata cerdik pandai, pegawai kerajaan dan orang-orang baik dalam UMNO terasa bahawa perjungan cara Islam saja yang dapat menyelesaikan hal-hal kronik Negara. Yang berjuang atas garis Islam hanya PAS. Maka PAS itu adalah alternatif.

Tiba-tiba Anwar masuk UMNO dan menyuarakan untuk membuat Islam dalam UMN0. Dengan tindakan Anwar itu orang terasa UMNO sudah macam sama dengan PAS. Anwar dirasakan lebih tahu dan dengan pengalaman mentadbir UMNO yang kukuh itu dan ia berkuasa, maka ia lebih berupaya meleksanakan apa dihajati. Habis orang-orang bersangka baik tentang PAS tadi masuk UMNO.

Beberapa tahun kemudian mereka pun jadi macam UMNO yang lain-lain juga, maka apabila berlaku sesuatu ke atas Anwar, Dato KJ saja yang keluar UMNO masuk PAS. Yang lain sangkut kerana sedap dengan UMNO.

Selama-lamanya UMNO menggunakan taktik memerangkap orang ramai dan orang PAS untuk masuk dalam UMNO supaya boleh membuat kebaikan yang cuba dibuat dalam PAS itu dibuat dalam UMN0. UMNO juga mahukan kebaikan tetapi siapa yang hendak membuatnya kerana mereka masuk PAS.

Jawapan orang PAS ialah tak boleh membersihkan tong najis dengan memasuki tong najis. Ia kena basuh dari luar.

Orang seperti Tan Sri Yusuf Nor dan Tan Sri Abd Hamid Othman bersetuju menyertai UMNO. Masa mereka berada dalam UMNOlah Tun Ghafar kata UMNO patut dilelong. Mereka sudah sama sseperti UMNO yang lain-lain seolah-oleh melihat ketayap putih pun genyi.

UMNO kini mendapati satu modal baru dengan kerjasama Mawi dengan kerajaan Kelantan dan diterima oleh PAS dalam mempromosikan hiburan alternatif. Kata UMNO ia adalah bukti PAS sudah hadhari.

Pemimpin PAS karang buku menolak Islam Hadhari. RTM dan media mengira penerimaan PAS kepada konsert Mawi menyanggah pandangan pimpinan PAS menolak Islam Hadhari.

PAS Kelana Jaya, Petaling Jaya, Subang Jaya, Putra Jaya, Ampang Jaya, Seberang Jaya dan lain-lain akan bertungkus lumus untuk mempertahankan PAS dengan menangkis serangan media atas tohmah PAS sudah hadhari, bukan lagi badawi. Contohnya ialah konsert Mawi.

PAS Kelana Jaya dan lain-lain akan berjaya melawan kempen menyamakan PAS dengan UMNO tetapi ternyata kerja PAS bertambah.

SeTAPAK
19/10/05