Subky Abdul Latif

Thursday, July 22, 2004

TAKUTKAN KU LI MACAM BUSH TAKUTKAN BEN LADIN

APAKAH bagi Datuk Seri Abdullah Badawi ancaman Tengku Razaleigh Hamzah sama dengan cabaran yang dihadapi oleh Datuk Seri Abdul Hamid Albar bagi menjadi Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi?

Dengan politik baling batu sembunyi tangannya Hamid muncul sebagai pemenang tanpa bertanding dalam pilihan raya umum lalu di Kota Tinggi apabila pencabarnya dari PAS menarik diri setelah pencalonannya diterima. Tetapi kemenangan itu tidak menjadikan beliau tokoh politik unggul UMNO di kawasan itu, bahkan dalam UMNO pada keseluruhannya.

Dia tidak diberi laluan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO. Apabila terpaksa bertanding, maka terbukti pencabarnya mendapat sokongan besar sekalipun belum menang. Pada hal Hamid Albar adalah Mnteri Luar yang dikenali Bush, Putin dan Kofi Annan. Dia dapat menjentik calon PAS dengan jari kelingking saja, tetapi dalam UMNO bukan sekadar sukar untuk menjadi calon Naib Presiden, bagi menjadi calaon MT pun seolah terkial-kial.

Apakah gambaran ini yang ada pada Datuk Seri Abdullah apabila Ku Li menyatakan hasratnya untuk menjadi calon Presiden UMNO baru-baru ini?

Lama sebelum Ku Li mengumumkan kesediaannya untuk menjadi calon, penyokong-penyokong Pak Lah telah cuba melemahkan semangat Ku Li dan mengingatkan akan bahaya dan ancam kepada UMNO kiranya jawatan Presiden UMNO itu dipertandingkan.

Dengan kedudukan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Pemangku Presiden UMNO sejak November 2003, dari segi logiknya sukar bagi sesiapa untuk mengenepikan harapannya untuk menjadi Presiden UMNO yang baru. Jika benar beliau berwibawa, pencabarnya dipeercayai akan hilang wang pertaruhan.

Imej anti rasuah, orang baik, boleh jadi imam, cucu ulama, pencetus Islam Hadhari dan macam-macam lagi, dikatakan beliau seorang pemimpin yang mulai menggerhanakan kemasyhuran pemimpin yang digantikannya. Justeru itu, kalau tak berbuat apa-apapun, beliau akan menang.

Tetapi Pak Lah awal-awal lagi memansuhkan semua jawatankuasa di peringkat Bahagian dan cawangan, pada hal ia tidak perlu begitu. Beliau melantik para penaja Ketua Bahagian yang terdiri dari penyokongnya kecuali di Gua Musang. Dan dengan peraturan qota pencalonan yang tinggi untuk jawatan itu, memang sukar dalam keadaan yang biasa ada calon lain yang boleh memenuhi kehendak itu.

Dalam keadaan yang dilihat seolah-olah Pak Lah sudah menjadi singa yang kalaupun pencabar mungkin hanya sebesar dan sekuat tikus, maka mengapa suasana sekitar diperlihatkan seperti yang berlawan itu gajah sama gajah?

Dan Ku Li pula adalah seorang yang nakal lalu mengacah khemah Pak Lah mengumumkan yang beliau menawar diri untuk menjadi calon alternatif.

Walaupun pertandingan boleh menentukan seseorang itu jantan atau betina, tetapi Ku Li lawannya calon betina. Setakat ini yang sah dibuktikan jantan yang berhadapan dengan Ku Li ialah Tan Sri Musa Hitam saja. Dua kali mereka bertarung untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO, adalah betul-betul gusti jantan lawan jantan.

Dalam percubaanya menjadi Presiden UMNO tahun 1987, Dr. Mahathir menunjukkan watak orang semasa dalam masa berkempen, tetapi setelah menang beliau menukar jentina. Dia rangka UMNO Baru, dia adakan qota pencalonan untuk semua jawatan. Yang menyebabkan perpecahan UMNO bukan kerana jawatan Presiden itu dipertandingkan, tetapi keranah karenah dan pembawa jentina pinjaman pemenang menjadi punca cempera.

Pemuja Pak Lah sepatutnya tidak melatah apabila Gua Musang mencalaonkan Ku Li untuk menjadi Presiden UMNO. Buat seperti Tunku Abdul Rahman Putra dicabar oleh Haji Ahmad Fuad bagi menggantikan Dato Onn dulu. Dengan lawak jenaka dan tanpa kempen, Tunku menang. Dengan kemenangan itu beliau tidak pernah dicabar hingga selepas 13 Mei 1969.

Jika pencalonan itu diterima secara terbuka, maka kemeriahan perbincangan politik dalam UMNO akan bertambah menarik. Tetapi apabila dilayan seperti orang UMNO yang tidak dikehendaki, orang rasa simpati kepada Ku Li walaupun beliau tokoh terbaik yang ada dalam UMNO sekakrang.

Yang paling tidak jantan dan tidak juga betina ialah reaksi seorang Ketua Pengarang sebuah akbar, bukan Bulitin Demokrasi, seoleh-oleh mempersetankan Ku Li yang mendapat pencalonan pertama dan terakhir dari Gua Musang itu.

Orang UMNO boleh membuat reaksi, malah lebih teruk dari itu. Sama ada ia reaksi seorang fanatik atau imosional atau tak tahu apa-apa, itu adalah masalahnya, tetapi media dan ketua pengarangnya tidak boleh menunjukkan reaksi yang tidak mencerminkan kedewasaan dan keterbukaan akhbar dan pihak yang disokongnya. Lepas kerja itu kepada ulat bulu melalui surat layang dan surat larangan.

Apa yang terjadi Ku Li adalah orang UMNO, orang yang bertanggungjawab mengambil alih milik dan pengaruh kumpulan akhbar semasa di Jalan Riong dulu dari kepunyaan asing kepada milik dalam negeri yang UMNO ada kepentingan. Ia bukan sekadar tidak memberi publisiti kepada Ku Li malah telah menjadi alat memukulnya semula.

Mungkin tidak tepat dikatakan senjata makan tuan, tetapi bolehlah dikatakan senjata makan bekas tuannya.

Apabila kejadian itu berlaku, orang yang tidak suka kepada Ku Li pun simpati kepadanya.

Mungkin yang menyokongnya ramai dan mungkin sedikit, tetapi demej dari kejadian itu bukan terhadap perjuangan Ku Li, tetapi demejnya ialah kepada nama baik kepimpinan Pak Lah. Penyokongnya boleh membuat apa saja, tetapi jangan terbuka.

Penampilan Ku Li sebenarnya boleh mengukur populaariti Pak Lah. Setakat mana orang UMNO menyokongnya. Macam isu Hamid Albar. Dulu UMNO Kota Tinggi tidak mencabarnya. Beliau orang semua menyokongnya. Sekarang dia tahu bahawa ramai yang tidak senang kepadanya. Dia akan mengkaji kelemahannya. Moga-moga dia tidak tertipu lagi oleh keadaan.

Pak Lah dipercayai akan menang ke atas Ku Li dalam apa keadaan pun. Tetapi peluang beliau muncul sebagai calon, memberi peluang mengukur besar mana pengaruh masing-masing. Jangan jadi macam sistem Saudi yang menutup semua saluran maklumat. Akhirnya semua imam yang berjanggut dirasakan pengikut Osama ben Ladin.

Natijah dari sikap mengepung Ku Li, orang beranggapan bahawa Pak Lah terlalu takut kepada Ku Li. Sama dengan Bush terlalu takut kepada Ben Ladin. Tidak dinafikan bahawa gerakan Ben Ladin adalah masalah bagi Amerika, tetapi ketakutan itu menyebabkan bangsa Amerika bermusuh dengan Islam dan habis sistem keamanan dunia jadi bercempera.

Akhirnya ketakutan Bush itu menyebabkan dia dipertikai oleh bangsa Amerika yang memberi sokongan padu mulanya untuk menyerang Iraq. Sekarng ia tidak tahu bagaimana hendak keluar da ri Afhanistan dan Iraq dan dia tidak tahu bagaimana hendak menjadikan dirinya seorang yang bersejarah baik untuk negaranya.

Ku Li boleh mati sendiri tanpa Pak Lah meletupkan bedil. Kalau Mahsuri dipercayai diserang lukemia menunggu ajal saja bila-bila masa, tetapi apabila dibunuh, dia menjadi lagenda beratus-ratus tahun. Apa lagi kalau bukan lukemia, apabila darah Mahsuri yang mengalir di bumi selepas ditikam bukan merah tetapi putih?

22/07/04