TENTERA Amerika di Iraq sudah lama hilang semangat dan moral untuk meneruskan pencerobohan. Walaupun mereka berangkat ke Iraq untuk membunuh dan dibunuh, kini masing-masing menunggu bila akan dibunuh.
Sekalipun rakyat Iraq mati setiap hari sama ada mereka bunuh atas arahan Washington atau terkorban oleh bom kereta pejuang Iraq, tetapi tentera Amerika bertambah gementar dan menunggu giliran bila akan dibunuh. Jangan fikir mereka tidak takut, bahkan mereka lebih takut.
Belum sempat tiga tahun Amerika menceroboh Iraq, tentera Amerika sudah letih. Setiausaha Pertahanannya Donald Rumsfeld terpaksa menelan kesombongannya, mengakui telah lebih dari sekali wakilnya mengadakan pertemuan sulit dengan pejuang Iraq, 60 kilometer di luar Baghdad.
Akhbar-akhbar terkemuka Britain dan Amerika telah membongkar rahsia, wakil tentera, perisik dan kedutaannya di Baghdad telah bertemu dengan pejuang dab sudah tentu bagi mencari jalan bagaimana Amerika mahu keluar dari kemelut sekarang.
Perkembangan itu selari dengan moral rakyat Amerika ssendiri seluruhnya merasakan Amerika sudah mulai kalah dalam missi ketenteraan dan diplomasinya di Iraq. Rakyat Amerika pertama tertipu dengan Pantagon, CIA dan Presiden Bush betapa senjata raya pemusnah tidak ditemui. Kedua demokrasi belum dapat diwujudkan sekalipun regim Saddam Hussein tumbang.
Tidak begitu ramai tentera Amerika mati bagi menggulingkan Saddam, tetapi lebih ramai yang mati untuk menegakkan demokrasi dan jaminan demokrasi yang Bush mahu tidak dapat ditegakkan dalam waktu yang terdekat.
Paling memalu dan menjatuhkan semangat rakyat Amerika termasuk Presiden Bush sendiri ialah menelan ketakburannya; konon tidak bersedia berusuran dengan pengganas, tiba-tiba berunding dengan pejuang yang terdiri dari kumpulan Islam pula.
Di mana lagi maruah Bush dan Rumsfeld yang mengutuk semua penganut Islam yang disifatkannya pengganas, tiba-tiba seolah menyembah pengganas apabila wakil tentera, perisik dan kedutaan Amerika di Baghdad bertemu dengan pejuang yang terdiri kumpulan Islam. Sedang Islam bagi Bush adalah pengganas.
Tentera Amerika belum berundur dan mereka masih menduduki Iraq, tetapi dengan mengadakan perundingan itu, jelaslah Amerika sudah letih dan maruahnya bertambah rendah kalaupun belum mengistiharkan kekalahlannya.
Masih Bush menunjukkan sombong, mengumumkan mahu menambah tentera di Iraq. Ia terpaksa menambah lagi bajet untuk mengekalkan pencerohan yang sukar dimenangi itu. Semuanya kian membangkit kemarahan rakyatnya kerana pemergian lebih ramai tentera bererti akan menambah bilangan rakyatnya yang menjadi mayat dan cedera; dan lebih banyak wang rakyat dibelanjakan sedang ekonomi negaranya bertambah buruk.
Tentera Amerika sempat berada di Vietnam dari era pentadbiran Trumen dan Eisenhower awal 50an hingga zaman Nixon tahun 70an. Di Vietnamlah ia kalah buat pertama kali. Tetapi belum sempat tiga tahun berada di Iraq dengan sokongan separuh hati dari seluruh Eropah kecuali Perancis dan Jerman, tentera Amerika sudah letih letih dan letih.
Soviet Union yang tidak segagah Amerika hari ini mampu berada di Afghanistan hampir dua dasawarsa. Amerika yang lebih canggih baru dua tahun tiga bulan sudah terasa letih.
Soviet Union menyedari ia letih sejak awal, tetapi ia terpaksa meneruskan pencerobohan kerana tidak tahu bagaimana hendak keluar dari sengketa itu dan bagaimana hendak menjaga kesombongan dan kepalsuan perjuangan komunismanya. Kedua-dua faktor itu akhirnya memufliskan Soviet dan melingkup empayar marxis-komunis dunia.
Amerika sudah sedar kesilapan Soviet dulu dan kesilapannya sekarang berlawan dengan Islam. Soviet menang senang dengan Afhhanistan di awal pendudukannya dan Amerika juga boleh menang senang dengan Saddam yang lupakan Islam. Tetapi ia tidak terdaya dengan kumpulan Islam yang bersenjatakan iman dan taqwa serta cintakan mati.
Orang Iraq yang tentera Amerika hadapi itu ialah jenis baik mati dari hidup menjadi hamba.
Lembah Purat yang sebahagiannya Iraq tidak pernah aman sejak era Namrud dan Nabi Ibrahim. Tamaddun Babilon yang agung telab berkubur dengan kedatangan ramai nabi. Di lembah itulah lahir Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim. Orang dari lembah inilah yang menumpahkan darah Saidina Ali dan putranya Saidina Hussein, cucu Rasulullah SAW.
Penceroboh asing yang termasyhur menakluki Iraq ialah dari Tartar. Sekalipun empayar Islam ditakluki kaum dari Asia Tengah itu tetapi kuasa penakluk itu bertukar menjadi Islam dan Iraq kekal menjadi milik muslim Iraq semula.
Gamal Abdul Nasser berupaya memperkenalkan sosialisma Arab di Asia barat dan adalah tokoh Arab moden yang paling berpengaruh di rantau itu mulai tahun 50an, tetapi tidak berminat untuk bertapak di Iraq kerana tidak dapat membaca otak orang Iraq sekalipun ramai penyokongnya di Iraq.
Sepuluh tahun selepas kematian Nasser di Mesir, Saddam Hussein muncul dengan regim sosialis Baathnya membangunkan Iraq secara kuku besi seperti di zaman raja-raja Babilon dulu. Adam Malik dari Indonesia mengira, Iraq di bawah Saddam adalah negara sosialis yang paling berjaya membangun di dunia.
Sebelum perang teluk 1990 Saddam berjaya menjadikan Iraq sebuah Negara yang dapat memeberi cukup makan, kediaman, kesihatan, pendidikan sempurna kepada rakyat.
Tamaddun campuran Baghdad antara Islam dan sosialis Baath itu yang cuba dihancurkan oleh Dick Cheney melalui perang teluk dia ketika menjadi Setiausaha Pertahanan Amerika tahun 1990. Apabila Dick Cheney menjadi Naib Presiden Amerika di bawah Bush tahun 2000, ia memulakan rancangan menceroboh Iraq bagi menghancurkan tamadun Baghdad.
Baru dua tahun tiga bulan Iraq diduduki, ia seolah-olah tidak tahan menghadapi bom kereta setiap hari. Dalam hamper dua dasawarsa Soviet di Kabul ia bertukar ganti empat boneka dari Nur Taraqi, Hafiz, Babrak Karmal dan Najibullah. Dalam masa dua tahun ini Amerika telah bertukar tiga boneka.
Bilangan tenteranya yang mati sudah lebih 1,700. Yang cedera tentulah lebih ramai. Tidak nampak perang itu dapat diredakan walaupun Amerika mempergiat tindakan memburu pejuang di seluruh negara. Boleh dikatakan setiap hari bom kereta meletup.
Kerajaan boneka telah terbentuk setahun lalu tidak bertenaga langsung. Kiranya tidak ada tentera Amerika, kerajaan boneka itu lenyap terus. Demokrasi yang cuba ditegakkan hanya ada di ruang mulut dan halkum Presiden Bush. Yang ada di Iraq ialah huru hara.
Rakyat Iraq mahukan demokrasi lama sebelum Bush menjadi penakluk. Yang Bush dapat lakukan hanya menangkap Saddam tetapi mengisinya dengan huru hara dan pembunuhan. Mungkin Iraq yang Bush bunuh dalam masa dua tahun tiga bulan sudah melebihi bilangan yang Saddam bunuh dalam masa 20 tahun.
Demokrasi untuk Iraq akan ditentukan oleh orang Iraq sendiri. Demokrasi yang Bush suarakan ada penjajahan. Kemerdekaan Iraq dari Amerika akan membuka syurga demokrasi mengikut acuannya.
Amerika yang letih kini mesti diikuti oleh pengundurannya secara tidak bermaruah. Jika ia lambak keluar, ia akan menempa malapetaka yang lebih besar. Lebih lama Amerika di Iraq dan Afhanistan, lebih banyak wang rakyat Amerika dibelanja untuk pencerobohan yang tidak mungkin dimenangi.
Kini ekonomi Amerika mulai merudum. Esok ia akan muflis seperti yang Soviet alami di Afghanistan. Empayar Amerika akan tonggang langgang jika ia tidak keluar segara dari Asia Barat. Bagaimana ia mahu keluar? Jangan tunggu lebih lama. Satu hari Amerika di Iraq dan Afghanistan berapa juta ia terpaksa berbelanja.
Kata Rumsfeld, peperangan itu mungkin sampai 12 tahun. Berapa ribu billion Amerika terpaksa berbelanja dalam masa 12 tahun itu? Ia cukup untuk mengeringkan kantung khazanah Amerika.
Amerika jangan jadi bodoh membakar duit di Iraq sedang Eropah mulai bertanya penduduknya tentang kehebatan China. Lebih lama Amerika di Iraq, lebih luas perdagangan China di peringkat antarabangsa.
Boneka Amerika di Iraq seharusnya sedar. Amerika mula berunding dengan pejuang. Ia bererti boneka tidak berguna lagi. Amerika tetap akan meninggalkan mereka. Boneka dan kuncu-kuncu wajar bersiap mengikut cara boneka Vietnamnya dulu mencari jalan untuk lari di belakang Amerika semasa Amerika berundur.
Untuk jangka waktu terdekat ini Amerika patut melupakan saja bercakap tentang Korea Utara dan Iran. Ia hanya layak bercakap dengan pejuang Iraq bagaimana ia boleh keluar dari Iraq seberapa segera.
SeTAPAK
30/06/05