Subky Abdul Latif

Thursday, October 27, 2005

SYOR ULAMA URUS TABUNG HAJI

PERHATIAN wajar diberi kepada semangat syor Datuk Raja Ahmad Zainuddin bin Raja Omar, anggota Parlimen Larut supaya Tabung Haji diurus oleh seorang ulama.

Harapannya, dengan pimpinan ulama itu nanti, kelamahan urusan Tabung Haji dapat diatasi, tiada berlaku lagi kelemahan seperti yang sedang terjadi sekarang.

Pada umumnya, dari segi semangat, wakil rakyat dari Larut itu telah meniupkan satu kesedaran yang baik betapa institusi ulama itu perlu didaulat dan dimertabatkan.

Ia bukan sekadar untuk memimpin institusi seperti Tabung Haji, tetapi wajar mengepalai sebarang pimpinan, mungkin termasuk persatuan bola. Jika persatuan dan pasukan bola dipimpinan oleh seorang yang berpendidikan agama, maka sudah tentu dia akan mengajak dan menyeru orang-orang yang terlibat dalam bola sembahyang dulu sebelum turun padang dan setelah selesai main bola. Tunaikan zakat.

Jika Presiden Persatuan Bola, yang sekarang dijawat oleh Tengku Mahkota Pahang dipegang oleh seorang ulama yang amanah dengan kedudukan dan ilmunya, maka di tepi Stadium Bukit Jalil itu dirikan sebuah masjid yang besar untuk kemudahan penonton iktikaf dan solat sementara menunggu waktu bermain.

Maka segala yang bersangkut dengan sukan itu disesuaikan keperluan agama rasmi negara ini. Di situ dulu letaknya semangat menjadikan ulama memimpin masyarakat dan institusi.

Dalam keadaan sekarang, tiada jaminan kelemahan TAbung Haji akan mudah diatasi dengan mengangkat ulama menjadi pengurusnya dan tidak jaminan penyelewangan tidak berlaku lagi. Ia adalah disebabkan ulama yang menjadi pengurus TAbung Haji saja terpaksa bekerja di bawah system payah berfungsi mengikut ilmu.

Dengan system pimpinan dan pentadbiran pada keseluruhannya tidak berpaut kepada mendaulatkan syariah, maka serban ulama juga mungkin terlucut dibawa arus system yang sedemikian.

Bagaimana pun semangat yang disuarakan oleh Raja Ahmad Zainuddin itu, langkah-langkah wajar diambil bagi memprofesionalkan ulama. Hancur Tabung Haji kalau pemilihan pengurusnya nanti dibaut mengikut calon yang keluar Universiti Azhar dengan pangkat mumtaz.

Persiapan dalam dan luar negeri, pelajar agama mesti didedahkan dengan ilmu pengurusan dan bidang professional yang lain dan pada ketika yang sama pelajar-pelajar yang mengambil bidang professional yang tidak dibangsakan sebagai pelajar agama diwajibkan menguasai pengajian Islam terutama usul fiqh.

Orang-orang ini yang diisi dalam pasaran buruh terbuka, terlatih dalam urusan pentadbiran dan berpengalaman, maka apabila tiba waktunya layat memegang jawatan pentadbiran dan pengurusan penting seperti Tabung Haji, Felda, Mara dan sebagainya.

Ketika itu ulama tidak dilihat untuk mengisi jawatan mufti dan kadhi besar saja, tetapi ialah ulama yang professional dalam institusi ulama itu sendiri dan juga ulama professional. Ketika itu Tabung Haji tidak akan kecewa lagi.

Tetapi kalau dalam keadaan ulama itu tidak dibekalkan dengan kepimpinan dan pentadbiran, dan diamanah dengan kedudukan yang tinggi seperti Tabung Haji, ditakuti natijah akan mencederakan lagi imej istitusi ulama yang ditindas sejak lebih 400 tahun lalu.

Dalam apa keadaan pun, untuk mencari Al-Ghazali dan Asy-Syafie, tidak akan ketemu jika semua pengajian tinggi – Islam dan akadamik biasa - mengikut hendak dan kuat kuasa akta universiti dan kolej. Pelaksanaan akta itu meruntuhkan mutu akadami semua universiti kita dengan meletakkan professor dan siswazah sebagai orang yang tahu membaca, menulis dan membuat kira-kira, setara dengan aktivis kelas KEMAS.

Di bawah system ini, kalau professor jadi professor kangkong dan peguam pula peguam kangkong juga, maka ulama yang dilahirkan jadi macam tiung pula. Tiung boleh dilatih menuturkan kalimah ‘assalamualaikum.’ Tetapi ia tidak tahu apa isinya. Tiada al-Ghazali dan tiada asy-Syafie, tetapi yang ada Ghazali Syafie. Itupun bukan Ghazali Syafie yang belum bersara dulu.

Tabung Haji tidak akan mencapai apa-apa kalau kita menunggu kedatangan al-Ghazali dan asy-Syafie yang tidak pernah cuba diwujudkan. Tetapi memadai memberi kepercayaan kepada ulama yang lebih berwibawa dari yang mengetuai Felda dan Mara sekarang.

Wibawa itu bukan dimaksudkan dari keupayaan, tetapi ciciran politik.

Orang yang dikehendaki oleh Raja Ahmad itu tentunya ada, tetapi hendaklah dicari. Antara ahli pentadbiran biasa dengan ulama yang menguasai pentadbiran, lebihnya ulama ia keberkatan yang Allah limpahkan kepadanya.

Ulama yang bekerja akan mampu menyerlahkan kecemerlangan, kerana di samping kejayaan dari kerjanya, barakah yang mengiringinya membantu mengatasi semua masalah, insya Allah.

Ulama adalah orang pilihan Allah selepas nabi. Kalau seorang itu tidak jadi ulama, jadilah orang yang kasih kepada ulama dan memadang tinggi kepada ulama. Moga-moga Raja Ahmad berada di sini dan begitu walaupun minatnya besar dalam persatuan bola. Allah akan hormati dia kiranya pandangan tinggi kepada ulama itu original dan kekal.

SeTAPAK
27/10/05

Wednesday, October 26, 2005

BERITA BAIK PENGIDAP KANSER

SELURUHnya pilu dan simpati atas pemergian Datin Seri Endon Mahmood bersama penyakit barah payu daranya pagi 16 Ramadhan lalu. Pemergiannya sentiasa dikira sebagai kembali ke pangkuan kerahmatan Allah.

Hikmat pemergiannya bagi rakyat tidak hilang begitu saja, sebaliknya ada rahmat juga terutama kepada usaha memerangi penyakit barah.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai duda Al-Marhumah mengumumkan di Parlimen sempena usul takziah atas pemergiannya, mengumumkan untuk mempergiat tindakan anti barah samping memberi rawatan intensif yang semurah mungkin.

Semurah-murah rawatan barah tetap mahal terutama apabila kerajaan itu sendiri menganut sikap pro kapitalis. Tetapi yang disarankan oleh Perdana Menteri itu ialah supaya ia jauh murah dari kos semasa dalam pasaran rawatan.

Gerakan anti barah itu tidak sekadar dalam aspek rawatan, malah meliputi penyelidikan dan pencegahan.

Inilah yang dinamakan resam dunia. Setiap kejadian itu buruk bagi setengah orang tapi baik pula bagi yang lain.

Kematian Datin Seri Endon, berita duka bagi Perdana Menteri dan keluarganya, tetapi ekorannya ada rahmat dan nikmat pula oleh seluruh penduduk. Tetapi ini tidak bererti rakyat suka orang-orang terkemuka acap menemui ajal bagi memungkinkan rakyat beroleh sesuatu nikmat. Tetapi itulah hakikat setiap kejadian itu baik untuk setengah dan duka untuk setengah yang lain.

Bagaimanapun sesuatu rancangan yang baik dibuat tanpa menunggu sesuatu ketakjuban seperti matinya orang-orang ternama.

Misalnya kalau dirasakan sesuatu perlu dibuat untuk memperkasa mutu filem Melayu, maka lancer segera tindakan ke arah itu, jangan tunggu P.Ramlee mati atau Senator Jins Shamsuddin mati.

Dalam melaksanakan saranan Perdana Menteri, langkah terdekat dan segera yang boleh dilakukan ialah memberi rawatan terbaik kepada pengidap barah. Peralatan dan kemudahan terbaik perlu dilengkapkan semula bagi Hospital Kuala Lumpur.

Hospital itu pernah punya kemudahan terbaik tetapi telah dipindahkan ke Hospital Putra Jaya yang kebetulan ketika itu isteri Perdana Menteri memerlukan rawatan yang terbaik. Ada keperluan mendadak bagi Hospital Putra Jaya memiliki persiapan yang sempurna.

Tetapi keperluan bagi Hospital Kuala Lumpur yang lebih padat penduduk dan t tentunya lebih ramai pengidap kenser tidak pula wajar dikurangkan perhatiannya.

Untuk beberapa ketika sebelum ini pesakit yang prnah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur terpaksa berulang pula ke Hospital Putra Jaya disebabkan pemidahan kelengkapan terpenting termasuk pakarnya. Pakar tidak cukup.

Pesakit di Lembah Kelang tentu lebih ramai dari pesakit Putra Jaya. Maka apakah yang ramai terpaksa pergi ke Putra Jaya atau yang sedikit perlu ke Kuala Lumpur?

Ia tidak wajar berbangkit lagi. Tidak berbangkit kelengkapan di Putra Jaya dipindahkan semula ke Kuala Lumpur, tetapi Kuala Lumpur serta tempat-tempat lain dilengkapkan.

Malaysia perlu pakar secukupnya. Dalam keadaan kekurangan pakar, rawatan bagi sebahagian pesakit tertangguh kerana doctor pakar terpaksa berada di Los Angeles bagi merundingkan rawatan Al-Marhumah.

Langkah meramaikan pakar perlu diambil tindakan. Antaranya mewujudkan seramai-ramai pakar. Langkah menukar pengajian sains dan matematik melalui bahasa Inggeris telah menunjukkan tanda-tanda kemerosotan prestasi pencapaian pelajar dalam bidang itu.

Sejak langkah memertabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, saintis dan doctor Melayu meningkat dan menggalakkan. Suatu perubahan besar dalam pencapaian orang Melayu khususnya jika dibandingkan dengan masa sebelum merdeka.

Apabila jarun jam diputar semula ke belakang, prestasi pencapaian pelajaran merosot entah untuk berapa lama. Ini akan menyebabkan kempen anti kenser ikut tergendala. Sebelum terlambat, Datuk Seri Abdullah Badawi terpaksa pejam mata, mengambil langkah mengembalikan semula pengajian dalam Bahasa Melayu dan ketika yang sama memertabatkan semula bahasa ibunda itu.

Sementara itu pengukuhan bahasa Inggeris perlu ditingkatkan mengikut keperluan Negara. Tetapi tidak semestinya seratus peratus rakyat Malaysia mesti menguasa bahasa Inggeris seperti Prof. Ungku Aziz.

Bertutur lebih dari bahasa adalah baik. Nabi Idris a.s. dalam menjalankan tugas kenabiannya telah menguasai 72 bahasa pada zamannya.

Penggunaan Bahasa Melayu telah dikenal pasti sebagai satu daya ramai rakyat menjadi saintis dan pakar. Oleh itu jangan teragak-agak bertindak cekap kerana bilangan penyakit kenser bertambah dan bilangan wanita diserang barah pau dara lebih tinggi.

Kita tidak boleh bergantung kepada pakar dan penyelidik asing. Mereka boleh pergi ke tempat yang banyak rezeki. Lulusanya nanti menjadi bakal penyelildik bagi mencegahnya dan bagi mengesan dan mengawal penyakit itu pada peringkat awal.

Satu kes terhadap seorang jururawat yang diserang barah payu dara. Sebagai jururawat, dia syak sendiri dia sudah diserang penyakit itu. Dia segera mendapatkan nasihat doctor. Tetapi doctor yang tidak cukup pengetahuan dan pengalaman ini tidak dapat mengesan dan tidak dapat mengeahkan dia sudah kena barah.

Apabila tidak dirawat, ia membesar. Apabila beberapa ketika kemudian dia mendapatkan nasihat doctor, dia diberitahu doctor mengapa lewat sangat jumpa doctor? Ia sudah sukar dirawat. Doktor pakar yang ada terpaksa berulang pula ke Los Angeles.

Kekecewaan jururawat itu sudah tidak lagi atas kenser yang tidak mengenal mangsa itu, tetapi ialah kerana tidak dapat pertolongan doctor yang cukup ilmu. Dia pergi setahun dulu dari Datin Seri Endon.

SeTAPAK
26/10/05

Tuesday, October 25, 2005

TAUFAN WILMA PULA

MANGSA dan kesan taufan Katrina dan Rita yang melanda wilayah-wilayah selatan dan Teluk Maxico Amerika, kini datang pula bencana taufan yang kencang dan dahsyat juga dikenali Taufan Wilma.

Penduduk Florida, wilayah yang menentukan George W. Bush menjadi Presiden Amerika lima tahun dulu, sudah pun mengalami korban jiwa dari Taufan Wilma itu sekalipun mereka mengambil tindakan meninggalkan kediaman masing-masing sehari sebelum ia tiba.

Ia tidak sekencang Katrina dan Rita, tetapi ia cukup kencang dan adalah azab untuk penduduk-penduduk sebelah selatan Amerika khususnya wilayah yang berdepan dengan Laut Caribmean. Apabila taufan itu melanda wilayah itu Negara-negara yang berdekatan seperti Cuba dan Maxico ikut dilanda.

Bagi wilayah-wilayah Amerika sebelah situ adalah taufan yang ke delapan sejak Ogos 2004.

Dunia yang membenci Amerika atas dasar perangnya sejak keluarga Bush berkuasa terutama umat Islam yang menjadi sasaran mustakbirin Amerika itu, tidak wajar pula memberikan kata-kata padan muka dengannya atas bencana itu, tetapi wajar insaf atas kejadian yang menimpa mereka dan simpati atas bencana alam itu.

Mungkin kawasan itu terletak di garis laluan taufan, tetapi sejak beberapa ketika sebelum Ogos 2004 ia tidak aktif seperti setahun ini. Tahun ini terutma dua bulan ke belakangan ini, ia datang bertalu-talu atas berbagai nama yang diberikan, adalah amaran yang perlu diberi perhatian kalau manusia mahu mempelarinya dari pengetahuan umat Islam.

Bagi Islam angin adalah rahmat dan diperlukan oleh alam, tetapi apabila ia memberi amaran kepada manusia supaya belajar dari kesombongan masing-masing, maka angin itu bertukar menjadi ribut dan taufan. Ia tidak lagi bertiup sebagai satu rahmat tetapi ia adalah azab.

Rantau lain juga menerima azab malah lebih derita seperti ancaman tsunami di pantai-pantai Lautan Hindi khususnuya Aceh, Indonesia, Sri Lanka serta gempa bumi kaki gunung Himalaya yang melibatkan Pakistan, Afghanistan dan Hindustan (India), seolah-olah amaran di Teluk Maxico itu tidak seberapa.

Tetapi taufan yang bertubi-tubi sejak lebih setahun sekarang dan terakhir pukulan Wilma adalah azab yang cukup meletihkan Amerika. Kalau Amerika menjadi penyumbang ketara dalam setiap azab di sana sini dua, tetapi azab Katrina di New Orleans dua bulan lalu meletakkan Negara kaya raksaksa itu terdampar kepada belas ihsan antarabangsa.

Pelajaran dari akidah umat Islam bencana adalah azab Allah setelah manusia seluruhnya dalam tamadunnya tidak bersyukur kepada Allah dan tidak menyembah Allah serta tidak mengaku nabi dan rasul yang diutus kepadanya sebagai pembawa berita duka dan gembira dari Allah.

Apa yang berlaku dalam tamadun kaum Nuh, kaum Aad dan kaum Tsamud 5000 tahun lalu adalah disebabkan mereka masing-masing adalah lupa daratan dengan kekayaan dan kemewahan pembangunan ekonominya, zalim kepada anggorta kaumnya serta mendustakan Tuhannya dan rasul-rasulNya.

Tamadun Aad dan Tsamud adalah contoh tamadun manusia jahiliyah paling maju dan paling agung di zamannya, secara menyeluruh penduduknya mewah hingga kediaman masing-masing bukan sebagai rumah mewah tetapi berbentuk istana dan mahligai.

Masing-masing memiliki teknologi tercanggih untuk masanya. Sebagai orang yang menyembah Tuhan selain Allah, telah diutus rasul bagi mengekalkan tamadunnya sesuai dengan ketentuan Tuhannya iaitu Allah. Mereka enggan mentaati rasulnya malah mengancam rasul dan menghina Allah yang memakmurkan mereka. Dan mereka minta supaya didatangkan azab yang dijanjikan jika rasul-rasul itu orang yang benar.

Telah turun bala yang diminta, dan tamadun itu hancur seperti pokok korma usang dan debu-debu yang berterbangan.

Amerika mencapai kejayaan tamadun jahiliyah yang menyamai Aad dan Tsamud 50 kurun lalu. Telah datang rasul ikutannya Nabi Muhammad SAW 15 kurun lalu atau 13 kurun sebelum kelahiran kaum Bush yang terdiri tamadun Amerika, tetapi mereka mundustanya, mengakui kewujudan Allah sebagai Tuhannya tetapi tidak mengaku syariat yang sempurna yang disampaikan oleh rasulNya.

Telah disampaikan berita amaran dan gembira melalui mukjizatnya Al-Quran. Sembahlah Allah! Tinggalkan lain yang menyirikkanNya. Taatlah kepada rasulNya. Mendustai Allah dan rasulNya akan menghadapi azab yang pedih di hari yang besar.

Berdoa rasul itu supaya Allah tidak memusnahkan umatnya yang zalim seperti yang dikenakan kepada umat rasul-rasul sebelumnya. Allah perkenankan doanya, tetapi azab tetap ada, tidak sampai memusnahkan. Mereka akan musnah atas perbuatan mereka sendiri.

Rasulullah SAW tidak sampai pergi ke Washington untuk memberitahu supaya menyebah Allah dan taat kepadanya, memadai menyebarkan Al-Quran dan dakwah pengikutnya yang ada seluruh dunia.

Tetapi pemuka-pemuka kaum Bush mesej itu sebagai satu keganasan, lalu memerangi mereka di mana saja atas nama kempen global memerangi keganasan. Bumi umat Islam di Palastin, Afghanistan dan Iraq sudah diceroboh, penduduknya ada yang dibunuh dan ada yang ditahan di Teluk Guantana, Kuba di kawasan laluan taufan ke Teluk Maxico.

Pengikut-pengikut rasul itu yang ditahan di situ dizalimi seperti anjing. Selain dari semua deraan, antara mereka dibogelkan dan diarahkan soldadu betina bogel juga duduk di atas badannya dan di depan mukanya. Disaspu badannya dengan darah haid betina jahat itu.

Teks Al-Quran dikoyak-koyak dicampakkan ke mangkuk tandas. Ada yang mengesat kasut dengan kertas-kertas Al-Quran.

Bukankah ia sama saja dengan kejahatan betina Tsamud yang menawarkan dirinya digauli oleh mana-mana lelaki yang berjaya membunuh unta tanda mukjizat Nabi Salleh dan ada ibu tunggal sedia menyerahkan anak daranya kepada pembunuh unta itu?

Tiada banjir menenggelami alam seperti di zaman Nuh, tidak taufan pasir dingin seperti di zaman Hud dan tiada tempikan memecah anak telinga seperti azab kaum Tsamud. Tetapi taufan yang bertalu-talu setahun ke belakngan ini yang melanda wilayah Amerika di Teluk Maxico meletihkan bangsa Amerika yang sedang dibenci dunia atas kezalimannya di dunia khususnya di rantau Teluk.

Yang berlaku itu azab. Ia pedih. Tetapi justeru Nabi Muhammad SAW itu adalah rahmat kepada alam, maka azab itu memberi amaran dan pengajaran kepada kaum Bush khususnya dan manusia sedunia amnya, untuk bertaubat.

Jika kaum Bush sedia bertaubat dan taat kepada rasul akhir zaman untuk bertuhankan Allah, tamadun Amerika itu dapat diperkukuh, seperti yang ditawarkan kepada kaum Aad, betapa tamadunnya dikukuhkan kiranya sedia menyembah Allah dan meninggalkan penyembahan berhala.

SeTAPAK
25/10/05

Monday, October 24, 2005

PERBICARAAN SADDAM DAN KERUNTUHAN TAMADUN IRAQ

SADDAM Hussein sudahpun diletakkan dalam kandang orang salah mnggu sudah atas tuduhan berbagai jenayah yang dikatakan dilakukannya sebagai pekerintah Iraq.

Ikut dibicarakan di mahkamah yang ditubuh dan dijalankan atas kehendak Amerika itu adalah beberapa orang kuatnya dalam pentadbirannya dulu.

Mereka baru dikemukakan di mahkamah. Hari itu mahkamah mengemukakan tuduhan-tuduhan yang kesemuanya tidak mengakui bersalah. Saddam sendiri mengambil pendekatan sebagai seorang yang masih menjadi Presiden Iraq yang sah yang tidak dapat menjalankan tugasnya kerana ditakluki Amerika.

Justeru itu dia tidak mahu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh mahkamah, kerana pada pendapatnya mahkamah itu tidak sah dan orang-orang Iraq yang menjadi pegawai mahkamah dari hakim hinggalah kepada budak pejabat adalah talibarut Amerika.

Sebarang tindakan Saddam nanti tidak dilihat sebagai jawapan kepada tuduhan yang dikemukakan tetapi adalah reaksinya kepada dakwaan terhadapnya. Bagaimana orang-orang yang tiduh yang lain melayani tuduhan pendakwa tidak dipastikan selaras, tetapi tumpuan adalah terhadap Saddam.

Dunia seluruhnya termasuk kebanyakan rakyat Iraq sudahpun mnyatakan bahawa Saddam tidak akan mendapat keadilan yang selayaknya sebagai seorang yang didawa kerana Amerika dikenal pasti mahu menghukum Saddam dan hukuman itu tidak lain dari hukuman bunuh.

Sekaliannya sudah dapat mengagak keutusan mahkamah iaitu dia dihukum mati.

Lepas hari dia dihadapkan ke mahkamah, mahkamah tidak bersidang. Selepas itu ada pula berita bahawa seorang peguam belanya telah dibunuh. Sudah tentu ia mengganggu perjalanan perbicaraan. Sudah tentu pasukan pembelaan terpaksa mengemas kini kertas pembelaan. Mahkamah terpaksa memberikan masa secukupkan kepada pasukan itu.

Dalam keadaan yang ada jadual perbicaraan mesti mengikut keadaan. Iraq adalah sebuah negara huruhara. Ia sedang berperang. Amerika dan kerajaan bonekanya di satu pihak dan pejuang yang tidak dikenal identitinya di satu pihak.

Seramai mana gerakan mereka, siapa ketuanya dan di mana kubunya tidak diketahui. Yang jelas ialah letupan berani mati berlaku di setiap hari dan tidak dapat dipastikan di mana letupan akan berlaku. Ia boleh berlaku di mana dan bila-bila masa.

Perbicaraan Saddam pun dipercayai akan berjalan mengikut suasana juga. Ia boleh diadakan hari ini atau esok dan ia boleh ditunda bila-bila saja.

Kerajaan boneka Iraq tidak mempunyai kekuatan untuk menghadapi tentangan dari bawah. Jika tidak ada tentera Amerika, tidak dapat diketahui secara tepat apa yang dapat dilakukan oleh kerajaan Iraq yang tidak dipastikan juga wibawa tenteranya. Atas sebab itu orang-orang Iraq yang beruniform adalah dilihat sebagai tentera dan polis upahan Amerika.

Majoriti rakyat Iraq dipercayai setuju Saddam adalah seorang dictator dan kejam. Mereka juga mungkin mahu melihat Saddam dihukum termasuk hukuman mati. Tetapi setengahnya tidak mahu ia jalankan atas kehendak Amerika.

Amerika sendiri tidak mempunyai apa-apa alasan yang kuat untuk menceroboh Iraq dan kekal di Iraq. Ia berputar di seluruh dunia untuk menyampaikan dakyah mengapa Amerika menceroboh Iraq? Untuk melepaskan Iraq dan rakyatnya dari cengkaman kekejuaman Saddam.

Itupun tidak meyakinkan dunia. Harapannya hanyalah dunia mesti mempercayai Amerika dan mesti menyokong Amerika. Alasan demokrasinya tidak ada. Ia hanya bergantung kepada kekuatan Amerika dan Amerika tidak boleh ditentang.

Jika sekadar Saddam itu jahat, ia tidak memerlukan Amerika datang sendiri. Biarkan ia dihadapi oleh rakyatnya sendiri.

Mengapa Iraq diceroboih Amerika, bukan kerana kekejaman Saddam, tetapi adalah untuk menghancurkan tamadun Baghdad. Itulah penjelasan Dich Cheney, Naib Presiden Amerika semama menjadi Setiausaha Pertahanan semasa perang Desert Storm dulu.

Tamadun Baghdad itu ialah ia berupaya untuk melancarkan roketnya ke Israel. Iraq ada orang yang boleh melakukan ancaman ke atas Israel. Alasan ini pun tidak cukup kuat sekarang. Ia hanya dilihat berperang bagi pihak Israel.

Oleh itu sekalipun bilangan yang marahkan Saddam itu ramai, tetapi yang marahkan Amerika juga sama ramai dengan yang marahkan Saddam.

Saddam disetujui melakukan kekejaman terhadap penentang-penentangnya. Ramai dipercayai yang sudah terbunuh kerananya dan ramai lagi yang mungkin terbunuh kalau dia berkuasa lagi. Tetapi bilangan yang dipercayai akan terbunuh lagi itu tidak seramai yang sudah dibunuh oleh kehadiran Amerika.

Saddam kejam tetapi Iraq membangun dan rakyat yang dalam ketakutan banyak menikmati kepesatan pembanungannya. Iraq sebenarkan diakui oleh Al-Marhum Adam Malik, pemimpin dan diplomat Indonesia, adalah sebuah wilayah sosialis yang paling berjaya.

Semua masyarakat sosialis di dunia gagal dan porak peranda. Hanya Iraq di bawah sosialis Baath dapat memberikan apa yang sosialis mahu beri. TEtapi ia berhadapan dengan pemimpin yang kejam.

Amerika yang medakwa datang untuk menyelamatkan rakyat Iraq dari kekejaman itu juga kejam. Ia menangkap Saddam, tetapi ia telah membunuh rakyat Iraq, mungkin lebih ramai dari yang dibunuh dalam pentadbiran Saddam. Yang lebih ketara ialah seluruh tamadun dan pembangunan fizikal Iraq mustanah.

Iraq tidak sampai seperti Al-Ahqaf di bawah Aad yang dilanda taufan pasir sejuk dan tidak seperti Hijr di bawah kaum Tsamud yang dipanah tempikan hililintar. Kedua-dua tamadun itu ranap seperti debu yang Aad dan Tsamud tidak berbenih lagi. Tetapi pembangunan di semua kota di Iraq kini hancur dan tamadunnya musnah.

Kalau Iraq di bawah Saddam seperti menghadapi harimau bengis, tetapi kini di bawah Amerika ia seperti dikejar buaya dan naga.

Buaya dan naga inilah yang membicarakan harimau di Baghdad sekarang. Semua sudah tahu hukuman ke atas Saddam. Dan Saddam akan binasa. Dia tidak binasa atas kekejamannya, tetapi binasa kerana Amerika mahu menghancurkan tamadun Iraq. Bagi masyarakat Iraq keputusan mahkamah Amerika di Baghdad itu adalah ibarat Saddam kalah Iraq jadi arang dan Saddam menang pun Iraq jadi debu.

Pertembungan antara Saddam dan Amerika, yang terbakar ialah Baghdad. Amerika belum tentu menang dengan menghukum Saddam. Saddam mati, tetapi Iraq dan rakyatnya masih hidup dan orang meletupkan diri tidak berakhir dengan menghukum Saddam.

SeTAPAK
24/10/05

Friday, October 21, 2005

TAKZIAH BUAT PERDANA MENTERI

TAKZIAH buat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullab Badawi dan keluarga atas pemergian isterinya, DAtuk Seri Endon Mahmud pagi Khamis 16 Ramadhan bersamaan 20 Oktober, 2005.

Moga-moga Perdana Menteri kekal dalam kesabaran dan ditingkat ketabahan atas pemergian itu, dapat menangani tugas dan tanggungjawab besar Negara dengan baik dan jaya.

Keseorangan di kamar tidur, tanpa isteri semasa sahur, tiada isteri melepaskannya di pintu ketika pergi kerja dan tiadanya juga menyambut di pintu semasa pulang dari kerja tentunya memilukan Perdana Menteri, tetapi sunyinya tidak memilukan sangat beliau kerana telah dialami sejak bertahun-tahun.

Al-Marhumah telah lebih banyak dirawat di luar rumah malah di luar Negara, sejak diketahui mengidap serangan barah payu dara ketika Datuk Seri Abdullah masih Timbalan Perdana Menteri. Kesedihan hanya kerana kematian isteri, tetapi kesepian telah dilalui lama. Situasi yang ada terbaik untuknya kerana pemergiaan isterinya pada saat yang terbaik mengakhiri kepayahaannya berjuang melawan penyakitnya.

Penderitaan Al-Marhumah mungkin perit dan lama, tetapi penderitaan yang lama itu adalah cara Allah bersihkan hambaNya dari dosa, dipercayaan Al-marhumah tabah, sabar dan berjaya menghadapinya.

Apapun ketidak sempurnaannya terhadap Allah, dipercayai dan didoakan diampunkan sepenuhnya oleh Allah atas kesabaran dan ketahannya selama menghadapi penyakitnya.

Tentunya beliau tidak sunyi dari sebarang dosa padangan pandangan manusia, kerana tiada anak Adam selain dari para nabi yang tidak berdosa, Endon binti Maryam, nama rasminya di akhirat dilepaskan oleh suami dan keluarganya pada hari yang terbaik yang dicita-citakan oleh orang Islam.

Bila mati pun adalah terbaik untuk seseorang kerana pemergian itu adalah untuk menghadapi Allah, Tuhan sekalian alam. Tetapi umat Rasulullah SAW inginkan mati dalam bulan Ramadhan, kerana itulah masanya ahli kubur berasa paling senang.

Senang di alam kubur yang dimaksudkan tidak bererti sekalian ahli kubur tidak mengalami siksaan kubur mengikut jenis dosa masing-masing, tetapi dalam Ramadhan, kedudukan masing-masing adalah selesa dari biasa.

Endon binti Maryam, nama yang disebut oleh pembaca talking semasa dia ditalkinkan, diterima Allah di alam kubur selepas Asar dan mendapat kelebihan pada malam pertamanya pada malam Jumaat 17 Ramadhan. Hari dalam Islam bermula dari waktu Maghrib dan berakhir Maghrib esoknya.

Pada penglihatan umat Islam malam pertama di kubur dalam bulan Ramadhan, malan Jumaat dan malam 17 Ramadhan sebagai pertanda baik. Allah saja yang tahu keadaan sebenar. Tetapi dengan sangka baik pada malam-malam yang baik itu, keluarga yang kesedihan atas kematian orang tersayang akan reda rasa sayunya dengan harapan hari-hari dan malam-malam yang dimuliakan oleh Islam itu membawa kebahagian kepada ruh orang yang memulai pengalaman hidup di kubur ada masa itu.

Bukan Al-Marhumah seorang saja mati pada hari semalam dan dikuburkan hari semalam juga. Moga-moga orang-orang yang mati semalam dan dikuburkan semalam, mendapat bahagian sebaik-baiknya dan bahagialah orang yang mati semalam dan dapat dikuburkan secepat-cepatnya.

Sebagai orang Islam biasa, hubungan Endon binti Maryam dengan Allah adalah biasa saja sebagaimana kebiasaan bagi orang-orang awam yang lain. Hanya Allah yang tahu kelebihan dan kekurangannya. Tetapi tentulah ada kebaikannya maka dia Allah tamatkan dunianya pada hari yang memungkinkannya berada di kubur pada malamnya pada malam yang Allah muliakan itu.

Malam Jumaat adalah malam Allah muliakan dengan kelebihan tertentu. Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi, maka Allah ampunkan dosanya selama lapan hari selepasnya.

Hadis riwayat Ibnu Kathir dari Umar r.a., siapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cayaha daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari kiamat dan diampunkanNya antara dua Jumaat.

Hadis riwayat Ibnu Kathir lagi daripada, Said Al-Khudri, Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dihamparkan (disinarkan) untuknya daripada cahaya antara dia dan Bait A-Atiq.

Satu lagi hadis dari Ibnu Kathir, Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dia terhindar dari segala fitnah selama lapan hari, dan jika Dajjal muncul, dan terhindar dia daripadanya.

Ia sekadar bukti hari Jumaat itu sangat dimuliakan Allah. Maka ada lebihnya bagi orang yang mati pada hari itu dengan kehendak Allah.

Moga-moga isteri Perdana Menteri, satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang isterinya mati semasa menjadi Perdana Menteri, mendapat rahmat. Penderitaan lama dengan penyakitnya, yang memungkin dosa terampun, mungkin menjadikan dapat mati pada waktu-waktu yang Allah muliakan.

Tetapi umat manusia seluruhnya, jangan menunggu sakit teruk yang lama untuk mendapat keampunan. Ingatlah akan Allah semasa sihat sebelum sakit, semasa muda sebelum tua untuk bertaubat.

Saya percaya Perdana Menteri bertambah tenang dan senang dengan takziah saya.

SeTAPAK
21/10/05

Thursday, October 20, 2005

BUSH ADAKAN BERBUKA DI RUMAH PUTIH

DARI kaca mata Islam, malah dari sisi pandangan umum masyarakat dunia, George W. Bush adalah seorang pengganas juga. Dia seolah-olah menjadi ketua memerangi pengganas, tetapi dia pun pengganas juga.

Rumah Putih dan Pantagon adalah pusat menentang apa yang dikatakan pengganas antara bangsa dalam braket Islam. Secara umumnya dia memerangi Islam.

Dalam rangka menentang Islam itu Bush mengadakan majlis berbuka puasa di Rumah Putih untuk tokoh-tokoh terkemuka Islam di Amerika dan diplomat-diplomat Islam. Biarkanlah dia dengan tujuannya mengadakan majlis berbuka puasa itu.

Yang jelas dia tidak berpahala mengadakan majlis itu walaupun dia menjamu orang Islam berpuasa. Samalah halnya dengan orang-orang jahiliyah di Mekah sebelum Islam menjamu jemaah haji di Baitullah. Mereka mengadakan peruntukan besar menjamu tetamu Rumah Allah, tetapi tidak mendapat pahala.

Bagaimana puak jahiliyah itu benar-benar ikhlas kepada tetamu dari luar, tetapi Bush dipercayai tidaklah setia dengan tetamunya. Dia cuba melemahkan tetamunya supaya jangan mendekati sebarang getakan Islam yang bercita-cita mendaulatkan Islam.

Niatnya tidak perlu dibimbangkan kerana orang yang berpuasa itu tahu siapa yang menjamu mereka.

Tetapi orang-orang yang berpuasa itu tidaklah sekadar berbuka, tentulah mereka solat maghrib di pusat operasi menentang Islam itu. Maka di luar rancangan orang Islam, orang Islam sudah solat berjamaah di Rumah Putih. Ia perancangan Allah. Bush beroperasi dengan rakan-rakannya untuk memusnahkan Islam dan umat Islam, tetapi Allah menghantar umat Islam sembahyang di Rumah Putih.

Tentulah Bush menyaksikan azan digemakan di Rumah Putih dan menyebabkan segala syaitan yang dirantai di dinding dan tiang-tiang Rumah Putih itu amat tersiksa melihat dan menyaksikan akhirnya dapat juga suara azan dan solat membesarkan Allah berlaku di Rumah Putih.

Rumah Putih itu wujud adalah natijah kempen orang Sepanyol yang mengalahkan kerajaan Islam Kardoba. Missi gerakan Salibiyah Sepanyol yang menang itu menjelajah menyeberangi lautan memburu umat Islam di mana saja di dunia.

Rombongan Christoper Colombus tiba ke Amerika diikuti oleh rombongan lain dari Eropah lalu menegakkan negara Amerika. Maka Rumah Putih didirikan sebagai kediaman Presidesnnya. Hari ini Rumah Putih adalah dalam gelombang baru di bawah Bush menjalankan kempen menentang Islam atas nama memerangi keganasan.

Begitu kuat tekadnya melumpuhkan kebangkitan Islam, dia membawa orang Islam masuk ke Rumah Putih dan terpaksa mendengar azan dan membiarkan orang Islam solat di kediamannya. Kalau tidak kerana kempennya terhadap Islam, mungkin tiada lagi kesempatan seruan Islam yang bermukjizat itu dapat dikumandangkan di situ.

Tidakkah pemergian tetamu Bush ke Rumah Putih itu menyamai pengiriman Nabi Musa ke istana Firaun? Firaun mengumpulkan kekuatannya bertahun-tahun untuk membunuh bayi Musa yang diramalkan untuk membinasakan empayar Firaun. Tiba-tiba Musa hanyut di depan istananya dan membesar di istana.

Yang melembutkan hari Firaun bersetuju membesarkan Nabi Musa membesar di istananya ialah Allah. Dan yang membuka hati Bush untuk menjamu umat Islam berbuka dan solat di Rumah Putih adalah Allah. Allah mendorongkan diplomasi Bush untuk membawa orang berpuasa masuk ke Rumah Putih dan mereka menggunakan diplomasi itu azan dan boleh menyembah Allah.

Bush berusaha menyekat kalimah Lailaha illallah berkembang di seluruh dunia tetapi Bush tidak dapat menyekat kalimah itu dikumandangkan dalam azan di kediamannya. Tidakkah Bush itu bodoh lagi bebal?

Azan sudah bergema di Rumah Putih. Ia dibawa oleh Bush yang bodoh macam Aad, Namrud dan Firaun. Bush sudah membawanya masuk ke kediaman Presiden Amerika dan dia tidak boleh tidak anjurkan berbuka puasa sekali lagi Ramadhan depan. Dan masakan ia boleh disekat lagi selagi Ramadhan datang setiap tahun.

Malah selepas ini diplomasi Amerika patut membawa suara azan itu lebih kerap ke dalam Rumah Putih walaupun Bush pergi secara terhina selepas ini.

Inilah yang dinamakan Bush meracang, tetapi Allah Maha Meracang, rancangan Allah itu yang menang. Musa dan Harun disuruh Allah pergi bertemu Fraun, katakanlah kepadanya iaitu Firaun, sembahlah Allah! Jika enggan, azab akan ditimpakan ke atasnya.

Orang-orang yang berbuka di Rumah Putih itu bukan nabi dan bukan rasul, maka mereka pergi ke Rumah Putih atas undangan Bush. Kerana mereka tidak nabi dan tidak rasul, maka tidaklah diperintahkan untuk bercakap kepada Bush, sembahlah Allah dan tinggalkan segera ssembahan ke atas yang selain daripadaNya.

Tetapi mesej Islam sudah sampai ke Rumah Putih. Di tangan Bush sekarang sama ada mahu mengukuhkan empayarnya atau membiarkan ia runtuh. Tentangan kepada Bush mulai merata. Bangsa Amerika atau kaum Bush kini dalam dilemma dan akan diruntuhkan oleh tamadun yang kosong. Mereka sudah runtuh akhlak dan hanyut dalam lupa daratan. Kekayaan Negara ditarik Allah melalui perang, perang dan perang.

Keperkasaan Amerika boleh dikukuh dengan berserah diri kepada Allah. Alah telah memberi rahmaNya kepada kaum Bush. Jika tidak bersyukur dan tidak menyembah Allah, maka jangan terperanjat keperkasaan itu diruntuhkan Allah.

Bush tidak boleh menyerang dan memfitnah Islam, kerana ia sama seperti memfitnah Allah. Orang Islam yang menjadi tetamu Bush itu boleh membantu Bush bertaubat.

SeTAPAK
20/10/05

Wednesday, October 19, 2005

YA PAS ITU HADHARI TAPI BUKAN PAS HADHARI

JIKA kerana tersasul atau apa jua, Timbalan Menteri Penerangan terkata, PAS adalah hadhari atau PAS itu hadhari atau sikap PAS adalah hadhari, maka kata-kata itu adalah betul dan ia satu penghormatan kepada PAS.

Tetapi ada yang mengira PAS itu adalah PAS hadhari maka ia tidak boleh diterima dan tidak boleh dibiarkan. Jika dimeterai PAS adalah PAS hadhari, maka ia sudah merakamkan ada PAS badawi, sedang PAS adalah sebuah gerakan Islam yang indah dan cantik.

Kalau ada ahli-ahli PAS yang sewel, merepek atau suka berjoget, maka itu adalah kelemahan ahli-ahli PAS. Ia bukan kelemahan PAS atau bukan PAS badawi, tetapi PAS boleh cacat kerananya.

Itulah sebabnya kalau orang UMNO terjumpa anak-anak orang PAS berperangai tidak senonoh seperti tidak puasa, tidak ke surau waktu maghrib, maka dia akan berkata, anak orang PAS tidak begini.

Atau kalau ada dalam PAS berebut jawatan atau membeli undi, maka orang UMNO akan kata, ‘Ini bukan cara PAS,’ atau mereka akan kata, ‘PAS pun sama macam UMNO juga.’

Mengapa mereka berkata begitu atau bersangka begitu? Ia adalah PAS itu dirasakan mesti lain dari UMNO dan orang UMNO secara tidak disedari terasa PAS itu adalah baik dan mesti baik. Sebenarnya itu satu pengiktirafan dan penghormatan.

Boleh dikatakan pada masa ini UMNO pun tidak percaya UMNO itu baik bagai yang dikata dan disangka. Tetapi UMNO itu tetap dipertahankan kerana ia saja pada masa ini alat yang ada untuk berkuasa.

Maka itulah agaknya baru-baru ini Tun Ghafar Baba pernah berkata, UMNO boleh dilelong. Jika ia disenaraikan di papan bursa saham, maka pemian saham boleh berebut-rebut membidanya.

Di masa-masa lalu UMNO tidak pernah bercakap elok tentang PAS dan PAS adalah parti yang tidak boleh didekati dan jauh sekali disamakan dengan UMNO.

Tetapi sekarang UMNO cuba menyamakan PAS itu dengan UMNO.. Dr. Abdullah Zain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam temu bualnya dalam TV, bila ditanya tentang PAS, dia menyebut PAS dulu begitu dan begini, tetapi sekarang tidak lagi. Ia sudah nak jadi macam UMNO. Ia adalah bukti UMNO itu betul.

Timbalan Menteri Penerangan pula bila mengulas tentang langkah kerajaan Kelantan menganjurkan konsert Mawi alternatif, menyebut sikap PAS sudah hadhari. Ia sudah menerima system yang UMNO tunjukkan selama ini.

Aliran dalam UMNO sekarang atau sejak bebeapa tahun ke belakangan ini adalah cuba menyamakan PAS dengan UMNO. Ini bukan kerana ia mahu mendekatkan UMNO dengan PAS, tapi mahu menyekat UMNO dan orang ramai memikirkan tentang kebaikan dan relevensinya PAS.

Orang-orang UMNO yang tidak berada ada kepentingan dan tidak fanatic kepada UMNO, apabila terasa salah dan bosan berada dalam UMNO, maka mereka memikirkan yang baik di luar UMNO. Maka apabila mereka terdesak dalam UMNO dan mereka rasa perlu bebas dari UMNO, maka pilihannya ialah PAS.

Dan dalam PAS mereka mendapat tempat juga dan mereka boleh pula membuat kebaikan seperti dalam UMNO atau apa yang dulunya tidak boleh dibuat dalam UMNO.

Contohnya ialah Dato Hishamuddin Yahya dan Dato Kamaluddin Jaafar. Mereka ada tempat dalam UMNO dulu. Dalam PAS pula mereka dapat tempat juga, malah kedudukan dalam PAS itu lebih penting dari kedudukan dalam UMNO dulu.

Moga-moga mereka terasa benar-benar selesa dalam PAS dan tidak terasa sama PAS itu dengan UMNO. Kalau PAS dapat dirasakan berlainan dan selesa, maka ia boleh menggalakkan lain-lain orang baik dalam UMNO lari dan menyertai PAS.

Zaharin Yassin adalah aktivis UMNO bercakap bebas. Dia pernah merasakan PAS tidak sama dengan UMNO dan mahu tidak sama itu dikekalkan. Dia menegur ketulusan PAS memberi laluan kepada calon dari S46 dan KeADILan bertanding menentang calon UMNO.

Orang memberontak dalam UMNO itu kerana tidak yakin dengan UMNO. pilihan mereka ialah PAS. Tapi kalau yang melawan calon UMNO itu orang UMNO juga, sama jahat dengan UMNO yang, maka baik mereka sokong UMNO saja.

Sebelum Anwar Ibrahim menyertai UMNO, rata-rata cerdik pandai, pegawai kerajaan dan orang-orang baik dalam UMNO terasa bahawa perjungan cara Islam saja yang dapat menyelesaikan hal-hal kronik Negara. Yang berjuang atas garis Islam hanya PAS. Maka PAS itu adalah alternatif.

Tiba-tiba Anwar masuk UMNO dan menyuarakan untuk membuat Islam dalam UMN0. Dengan tindakan Anwar itu orang terasa UMNO sudah macam sama dengan PAS. Anwar dirasakan lebih tahu dan dengan pengalaman mentadbir UMNO yang kukuh itu dan ia berkuasa, maka ia lebih berupaya meleksanakan apa dihajati. Habis orang-orang bersangka baik tentang PAS tadi masuk UMNO.

Beberapa tahun kemudian mereka pun jadi macam UMNO yang lain-lain juga, maka apabila berlaku sesuatu ke atas Anwar, Dato KJ saja yang keluar UMNO masuk PAS. Yang lain sangkut kerana sedap dengan UMNO.

Selama-lamanya UMNO menggunakan taktik memerangkap orang ramai dan orang PAS untuk masuk dalam UMNO supaya boleh membuat kebaikan yang cuba dibuat dalam PAS itu dibuat dalam UMN0. UMNO juga mahukan kebaikan tetapi siapa yang hendak membuatnya kerana mereka masuk PAS.

Jawapan orang PAS ialah tak boleh membersihkan tong najis dengan memasuki tong najis. Ia kena basuh dari luar.

Orang seperti Tan Sri Yusuf Nor dan Tan Sri Abd Hamid Othman bersetuju menyertai UMNO. Masa mereka berada dalam UMNOlah Tun Ghafar kata UMNO patut dilelong. Mereka sudah sama sseperti UMNO yang lain-lain seolah-oleh melihat ketayap putih pun genyi.

UMNO kini mendapati satu modal baru dengan kerjasama Mawi dengan kerajaan Kelantan dan diterima oleh PAS dalam mempromosikan hiburan alternatif. Kata UMNO ia adalah bukti PAS sudah hadhari.

Pemimpin PAS karang buku menolak Islam Hadhari. RTM dan media mengira penerimaan PAS kepada konsert Mawi menyanggah pandangan pimpinan PAS menolak Islam Hadhari.

PAS Kelana Jaya, Petaling Jaya, Subang Jaya, Putra Jaya, Ampang Jaya, Seberang Jaya dan lain-lain akan bertungkus lumus untuk mempertahankan PAS dengan menangkis serangan media atas tohmah PAS sudah hadhari, bukan lagi badawi. Contohnya ialah konsert Mawi.

PAS Kelana Jaya dan lain-lain akan berjaya melawan kempen menyamakan PAS dengan UMNO tetapi ternyata kerja PAS bertambah.

SeTAPAK
19/10/05

Tuesday, October 18, 2005

KAWALAN HARGA YANG TAK TERKAWAL

HARI ini adalah hari keempat Skim Kawalan Harga Barang Pengguna dikuatkuasakan yang bermula 15 Oktber lalu. Ia sekadar melibatkan 23 jenis barang saja.

Setakat dua hari ia dilancarkan sekurang-kurangnya 42 kes melakukan kesalahan yang dicatitkan. Ia sekadar yang ditemui ke atas 5,158 premis yang diperiksa.

Tindakan yang dikenakan pada hari kedua itu RM3,569 nilai barang dirampas dan RM 2,546 nailai kompaun dikeluarkan. 25 dari kes itu tidak meletakkan tanda harga dan satu kes kerana menjual telur tinggi dari yang ditetapkan.

Semua ini adalah yang ditemui oleh penguat kuasa. Sekalipun nampaknya kes pelanggaranna sekadar 42 dari 5,158 premis yang diserebu, pelaggaran itu tidak dikira teruk. Ia pada nisbah 11 bagi 1,000 premis. Banyak mana agaknya kalau semua primis diperiksa?

Dengan rampasan dan kompaun yang dikenakan, maka pelanggaran itu rasanya boleh dibendung. Tetapi ia hanya terkawal kiranya cukup penguatkuasa untuk memerhatikannya dari semasa ke semasa. Ertinya peguat kuasa sentiasa ada. Kalau penguat kuasa datang sekali sekala dan kedatangannya diketahui dulu oleh peniaga, nescaya ia tidak berkesan juga.

Tetapi apakah harga yang disetujui oleh kementerian itu disenangi oleh pengguna? Atau ia elok sikit dari yang tentukan oleh peniaga?

Setakat ini pengguna masih terasa bahawa harga barang adalah mahal dan suasana harga itu tetap menimpangkan kuasa membeli mereka. Dengan wang yang ada yang sepatutnya cukup untuk apa yang patut dibeli, menjadikan mereka tidak dapat beli apa yang patut dibeli dengan jumlah yang diperlukan.

Ia belum mengambil kira golongan fakir miskin yang memang tidak mampu membeli secukup yang diperlukan. Golongan ini sudah tidak dapat hendak disuarakan dan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan saja.

Kalau pengguna yang tidak tergolong dalam kumpulan miskin, terdongkol dengan suasana harga yang tidak memuaskan, maka tidak tahu hendak dikata apa rasanya menjadi orang fakir dan miskin?

Harga yang kerajaan cuba kawal adalah sekadar ke atas 23 jenis barang. Bukan beribu-ribu jenis barang yang pernah disenaraikan oleh semangat salah satu bajet yang pernah disampaikan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim satu masa dulu.

Walau pun semangat itu dulu seolah-olah satu idealisma, tetapi itulah yang kehendaki oleh semua. Ia adalah cerita lama tidak perlu diperpanjang lagi.

Suasana pasaran sangat tidak menyenangkan pengguna. Tetapi adakah persatuan pengguna juga menyenangi harga yang disetujui oleh kerajaan itu?

Tidak banyak yang diketahui peranan persatuan pengguna yang ada di pusat-pusat negeri saja. Persatuan pengguna tidak ada di peringkat daerah malah tidak begitu diketahui di mukim dan kampung.

Tetapi apakah persatuan pengguna di peringkat negeri-negeri itu sudah menyetujui harga yang disetujui oleh kerajaan itu? Dan adakah persatuan pengguna sudah berpuas hati?

Persatuan pengguna pada masa ini banyak menumpukan kepada nilai semua barang dan aspek-aspek kepenggunaan yang lain. Itupun tugas pentingnya juga. Tetapi harga barang harian terutama dalam kegilaan minyak naik dan dunia naik minyak seperti terbiar.

Keadaan harga barang hanya banyak diketahui oleh ibu-ibu yang tidak makan gaji yang lebih banyak ke pasar dan kedai dari orang lain. Ibu-ibu bekerja lebih bersungut tentang masalah pembantu rumah dan kalau pun mereka tidak bebas dari kesan kenaikan barang, maka akan menyokong usaha kesatuan sekerjanya menuntut kenaikan gaji dan keadaan hidup yang lebih baik.

Harga barang adalah bidang yang diketahui oleh ibu-ibu tidak bekerja yang lebih banyak mengendalikan urusan pembelian barang keperluan harian. Suami tidak banyak tahu kerana suami kebanyakannya menemankan isteri ke pasar dan mereka lebih banyak menunggu di motokar semasa isteri membeli.

Semua ibu-ibu bersungut. Dan perkara ini tidak diperhatikan oleh Shahriat Jalil. Dia banyak menumpukan bagaimana mahu memartabatkan wanita supaya setaraf dengan suami dan bagaimana supaya isteri tidak didera dan anak tidak didera. Tetapi kuasa kepenggunaan yang banyak boleh ditentukan oleh sang ibu tidak ingin diketahuinya.

Orang ramai tidak boleh menyerahkan kawalan harga ini kepada kerajaan. Kerajaan mempunyai tanggungjawab yang lain selain dari kepentingan pengguna. Ia juga menjaga kepentingan peniaga. Dalam banyak hal semua kerajaan di dunia sejak sebelum Firaun adalah memihak kepada peniaga.

Kerana Qarun berjaya menguasai Firaun, maka nasib pengguna tidak terbela. Harapkan Firaun dan Qarun hendak mengawal harga barang, maka jawabnya ialah pengguna akan makan pasir padang pasir.

Sementara ruang demokrasi yang ada sedikit lagi di Kuala Lumpur ini pengguna tidak dapat bergangung kerajaan. Kerajaan kalah dengan Dewan Perniagaan Cina dan dewan-dewan perniagaan yang lain. Kerajaan boleh penjarakan tokoh-tokoh dewan perniagaan, tetapi kerajaan tidak boleh lawan pengaruh dan rangkaian di belakang dewan perniagaan itu.

Kawalan harga sudah dilancarkan puluhan tahun lalu. Semasa Khir Johari menjadi menteri perusahaan dan perdangan tahun 60an dulu sudah ada penguatkuasa mengawal harga barang, tetapi harga barang adalah isu yang hidup berterusan.

Sudah banyak menteri selepas Khir Johari, harga barang terus tidak terkawal. Masalahnya ialah kuasa penjual lebih berbisa dari kuasa pengguna. Jika ada peniaga yang ditarik lesennya dari semasa ke semasa kerana menjual barang lebih dari harga yang ssepatutnya dan menaikkan harga barang sesuka hati, maka keadaan boleh diredakan.

Kalau kerajaan sekadar bersungut dengan cakap-cakap ‘jangan naikkan harga barang’ dan ‘tak sepatutnya harga dinaikkan’ maka ia tidak akan mampu mengawal harga barang.

Peniaga mahukan lessen berniaga. Kalau lesennya ditarik, mereka terpaksa mencari mata pencarian lain. Ini lebih susah bagi mereka dari untung tidak besar dalam perniagaan. Oleh kerana itu falsafah untuk sikit tapi berniaga lama adalah lebih baik dari untung berganda tetapi makan tak lama.

Tindakan tegas yang berterusan serta peranan penting persatuan pengguna, melatih ibu-ibu dengan ilmu kepenggunaan supaya kuasa itu dapat mereka gunakan nescaya membuka peluang mengedurkan ketegangan dengan harga semua barang.

SeTAPAK
18/10/05

Monday, October 17, 2005

BERBUKA APA SERATUS SEORANG?

DUA dari banyak perkara yang menjolok mata dalam bulan Ramadhan ini yang melibatkan umat Islam. Yang pertama melibatkan ibadat dan yang kedua maksiat bandar berlaku di kampung.

Yang pertama ialah amalan berbuka puasa di hotel yang mengenakan makanan bufe berharga RM 100 bagi satu kepala.

Makan bufe di hotel memang mahal tetapi semahal-mahal pun tidak sampai seratus ringgit satu kepala. Tetapi ia adalah perniagaan hotel dan budaya hotel, tiada orang luar yang boleh takwil.

Hotel yang berniaga dan ia hendak untung. Orang ramai yang mahu makan, haknyalah mahu makan RM100 satu kepala sekali makan. Apa yang dimakannya adalah halnya dan haknya.

Jika ia dirasakan mahal dan tidak munasabah, maka hak pengguna untuk tidak ke hotel.

Tetapi bagi berbuka puasa dengan seratus ringgit seorang adalah memperolok-olokkan bulan Ramathan walaupun hotel dan pelanggannya diberi kebebasan mengikut yang dibenarkan oleh perlembagaan.

Berbuka adalah satu ibadat dalam ibadat puasa. Ia diperlukan. Tak betul puasa kalau tidak berbuka pada waktunya. Dan berbuka perlu disegerakan. Ia tidak boleh dilambatkan.

Sunat Nabi SAW berbuka dengan dua bijik korma saja selepas itu baginda solat. Dari amalan baginda itu umat Islam digalakkan berbuka ringan.

Apabila berbuka di hotel dengan bayaran seratus ringgit seorang, berbaloikah berbuka pada kadar yang ringan? Untuk memadankan dengan bayaran seratus ringgit, maka secara saikologinya, makanlah sesuai dengan harga seratus ringgit itu.

Dalam apa keadaan pun kalaupun makan sesikit yang digalakkan oleh Islam, dan ia tentulah tidak padan dengan wang yang dibayar, sekalipun yang membayar merasa redha dengan kos itu, tetapi ia dikira lumayan dan mewah kepada pelanggan.

Untuk apa memilih berbuka seratus ringgit seorang di hotel? Munkin pertanyaan Nabi Hud a.s. kepada kaum Aad yang membina kediaman masing-masing sseperti istana dan mahligai, tidak sekadar di tanah rata, malah nun tinggi di lereng bukit.

Kaum Aad ada duit. Haknyalah membina rumah sebesar, setinggi dan semewah mana pun.

Tetapi teguran Nabi Hud itu dirakamkan dalam Al-Quran. Untuk apa membina kediaman yang sedemikian. Untuk menunjuk-nunjuk? Untuk menyangka mereka kekal tak mati-mati?

Untuk apa berbuka di hotel dengan kos seperti itu? Maka jawapannya adalah untuk menunjuk-nunjuk.

Puasa bukan untuk menunjuk-nunjuk. Berbuka dengan kos itu adalah demi menunjuk-nunjuk. Tidak sesuai dengan ajaran untuk bersedahana dalam bulan Ramadhan.

Yang berbuka di situ tidak akan miskin dengan kos yang dikenakan. Makanlah dengan seisi keluarga dan genaplah sebulan suntuk, sakunya tetap ketat dengan duit.

Tetapi ia adalah membuang duit. Yang dimakan tidak sebanyak mana, tetapi mungkin itu cara Allah hendak mengeluarkan duitnya dari sakunya.

Dalam bulan Ramadhan ini setiap masjid dan surau mengadakan berbuka gotong royong bergilir-gilir ancara sesama masyarakat setempat. Keadaan semasa tidak memudahkan makanan berbuka itu disediakan sendiri oleh yang menjamu.

Surau dan masjid kebanyakannya tidak menyediakan petugas khas. Jika mahu surau mengendalikannya, surau serahkan kepada tukang masak mengendalikannya. Kosnya tinggi.

Maka tidak mungkinkan orang yang berbuka puasa di hotel itu memberi ssebahagian duit berbuka itu kepada surau-surau yang menjamu antaranya orang miskin dan anak yatim?

Di Mekah pun mungkin ramai saudagar minyak berbuka di hotel desngan kos yang mungkin lebih tinggi, tetapi setiap berbuka puasa di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Madinah, orang-orang kaya menjamu setiap orang berbuka ringan.

Apa salahnya orang-orang berduit itu berbuka di surau dan kalau mahu makan elok sikit gunakan wang untuk menyeidkan makanan yang menyelerakan yang kosnya jauh rendah dari kos di hotel.

Sepanjang Islam berkembang tempat berbuka yang terbaik di luar rumah ialah di surau dan masjid. Bukan hotel. Walaupun hotel juga ada musalla, tetapi masjid jauh lebih baik. Dan dengan kos yang dikenakan ia adalah menjadi tempat berbuka bagi orang yang suka menunjuk-nunjuk. Yang suka menunjuk-nunjuk itu ia adalah orang yang sombong.

Kejadian yang di kedua ialah sebuah kampung di Port Dickson telah dijadikan kelab hiburan. Ketika orang memakmurkan masjid dan surau ada budak-budak muda Islam yang berdangdut hngga tengah malam.

Mereka sudah ditangkap dan dibawa ke balai polis.

Ia adalah natijah galakan pelancong. Bukan menteri pelancong dan kerajaan pro pelancong mahu kegiatan pelancong sampai begitu, sampai ada kegiatan Bandar seperti Mumbai, Los Angeles dan Paris ada di kampong terpencil orang Islam.

Yang jadi begitu adalah kesan system terbuka dan kerajaan yang tidak nahi munkar. Kerajaan menggalak amar makruf tetapi ia tidak peka dengan nahi munkar.

Ia tidak wajar sekadar menyalahkan budak-budak itu saja. Budak-budak itu adalah ibarat kucing yang tidak menolak tikus. Budak-budak yang keadaan berahinya adalah begitu, maka system yang tidak nahi munkar memberi ruang kepada mereka, maka jadi kucinglah mereka.

Ia bukan kejadian yang patut berlaku dalam Negara Islam contoh. Kata seorng timbalan menteri, dasar Islam Hadhari sejak merdeka tidak menghalang hal-hal itu.

Sebelum merdeka kelab seperti itu ada di Bandar. Selepas merdeka ia ke luar Bandar.

SETAPAK
17/10/05

Thursday, October 13, 2005

TABUNG BENCANA PAKISTAN, KASHMIR

PULUH ribu terkorban dalam gempa bumi terdahsyat yang melibatkan Pakistan, Kashmir dan sedikit Afghanistan. Beberapa juta cedera dan tinggal sehelai sepinggang di Pakistan.

Ancaman mati kesejukan lebih ramai jika banjuan segera antarabangsa tidak diurus serta merta.

Semua manusia hiba dan meratapi bencana itu, masing-masing patut mendapat pengajaran dari kejadian itu. Ia adalah pengajaran dan pengalaman bagi orang menjadi mangsa tetapi terselamat. Akan ada kesan besar dari orang yang terkena malang; menginsafi kejadian dan mendekatkan lagi diri kepada Allah.

Apa yang dapat dipelajari oleh orang yang tidak kena apa-apa sama ada yang dekat dan yang jauh?

Semua kerajaan akan memberi sumbangan mengikut keupayaan dan ada juga yang melakukannya mengikut kepentingannya. Amerika yang juga belum pulih dari malang taufan Katrina dan beberapa bencana sepertinya, mempunyai kepentingan yang sangat besar di rantau bencana itu.

Inilah masa Amerika menanggung tanggungjawab Pakistan itu setelah Pakistan menyerahkan kesetiaannya yang tidak berbelah bagi kepada Amerika dalam perang menentang keganasan antarabangsa.

Amerika tidak mudah mencapai kemenangan atas Taliban dan rangkaian Al Qaedah tanpa sokongan penuh Musharraf yang kemudian layat dipanggil Busharraf. Pakistan telah memberi segala-galanya kepada Amerika dan dalam saat susah ini, Amerika menanggung penderitaan Pakistan itu kerana Pakistan bukanlah negeri senang.

Walaupun Amerika memerlukan bajet besar untuk bencana siri taufan di negaranya, tetapi Amerika adalah dunia dan menjaga kesusahan dunia. Tiadalah erti penjagaan dunia padanya jika ia tidak mampu mengambil tanggungjawab di negara budak-budaknya.

Tidak siapa suruh Amerika menjadi dunia. Ia pilihan Amerika sendiri. Maka ia mesti tanggung apa yang dimahukan.

Masalah di Pakistan adalah masalah utama Pakistan. Tetapi Pakistan cuma tidak bernama Mississippi atau Ohio, Texas atau Florida. Tetapi ia dilihat seperti salah satu dari wilayah itu. Amerika tidak pernah membantah kemahuan Amerika. Maka Amerika wajar menyaggupi masalahnya.

Lebih-lebih lagi Afghaistan. Gabnornya di Afghanstan hampir menjadikan Afghanstan itu seperti Holywood. Maka Amerika juga wajar tampung masalah yang dihadapi akibat gempa bumi itu.

Sudah tentu Negara-negara di dunia akan memberi bantuan seperti yang mereka sudah hulurkan kepada Amerika yang dilanda Katrina dan Rita. Pakistan dan Afghanistan akan menerima bantuan setiap kerajaan di dunia, tetapi tanggungjawab besarnya ialah Amerika.

Kalau Amerika tidak menyanggupinya, maka keciwalah Pakistan dan Afghanistan yng patuh dan setia itu.

Jika Amerika tidak ada duit itu adalah masalahnya, kerana ia mahu jadi dunia. Orang lain tidak suruh ia jadi dunia. Ia adalah pilihannya sendiri.

Bagaimana pun sebagai individu manusia rakyat Malaysia, terutama yang Islam, tidak boleh melihat rakyat Pakistan dan Kashmir menderita dengan berpeluk tubuh.

Mereka tidak boleh dibiarkan mati kesejukan dan kebuluran. Pejabat Pesuruhjaya Pakistan di Kuala Lumpur adalah membuka Tabung Bantuan Bencana. Setiap pihak wajar memberi derma. Mereka memerlukan selimut, ubat dan lain-lain.

Orang-orang Malaysia kadang-kadang tidur tanpa selimut dan kalau ada selimutpun adalah dari kain nipis. Justeru itu bukan masa bagi orang ramai mengumpul pakaian dan kain terpakai seperti yng lazim dibuat bila ada perlukan.

Hanya orang Pakistan dan Kashmir yang tahu jenis selimut dan pakaian yang mereka perlukan serta ubat yang mereka kehendaki.

Bulan Ramadhan ini adalah bulan bederma. Maka wajarlah semua pihak menyumbangkan sebahagian dari wang yang ada.

Nasib mangsa bencana itu kalaupun asalnya kaya, adalah lebih miskin dari orang kita yang miskin pada masa ini. Mereka sangat memerlukan.

Dalam bulan Ramadhan ini setiap orang Islam menunaikan zakat fitrah. Apakah tidak mungkin setiap negeri memberikan semua pungutan zakat fitrah itu mangsa di Pakistan dan Kashmir dan lain-lain?

Adalah benar umat Islam di Malaysia pun ada tanggungjawab. Tetapi masing-msing tidak wajar bergantung kepada zakat fitnah setahun sekali itu. Yang penting setiap orang mengeluarkan zakat fitrah. Untuk sekali tidak mengambil bahagian dari zakat fitrah itu tidak menyebabkan yang berhak tambah menderita sepanjang tahun ini.

Setakat ini bantuan zakat fitnah tidak banyak mengangkat seorang miskin kepada tidak miskin. Untuk sekali setiap negeri wajar memikirkan ia lebih diperlukan oleh mangsa bencana itu.

SeTAPAK
13/10/05

Wednesday, October 12, 2005

MENUNGGU ISA KELUAR

MENUNGGU Tan Sri Isa Samad keluar dari cabinet seolah-olah sama seperti isteri dan anak-anak mangsa tahanan Kemunting menunggu tahanan ISA dikeluarkan dari khemah tahanan itu.

Orang-orang ISA itu ada tempohnya, setiap dua tahun sekali boleh keluar atau disambung lagi.

Tetapi Isa Samad sekarang tidak diberi tempoh. Bunyinya beliau boleh keluar dari kementerian Wilayah Persekutuan, tetapi beliau tidak muncul-muncul dari pintu kementeriannya.

Dari segi maruah, beliau sudah patut mengemukakan tender keluar dari kerajaan apabila partinya UMNO sudah menerima keputusan penyiasat kes politik wang yang melucutkan jawatannya sebagai Naib Presiden UMNO beberapa bulan lalu.

Sejak keanggotaannya dalam parti itu digantung selama enam tahun, maka dia sudah tidak lagi boleh berfungsi sebagai Naib Presiden. Beliau sudah tidak meuncul dalam mana-mana kegiatan UMNO selepas itu.

Sekalipun dia dibenarkan merayu, dalam kedudukan yang menghendaki tahap maruah atau moral yang tinggi, orang malang seperti Tan Sri Isa dengan kesedaran sendiri wajar mengosongkan semua jawatannya.

UMNO menunjukkan ia seolah-olah bermaruah, maka Isa tidak lagi terlibat dalam kegiatan parti. Tetapi UMNO membiarkan kerajaan menyuimpan Isa dan kementeriannya terus menanggung semua keistimewaan yang beliau patut dapat sebagai menteri.

Dalam tempoh itu beliau bebas bekerja atau tidak bekerja. Memang tiada laporan media tentang kegiatannya di luar pejabat. Entahlah dalam pejabat.

Tetapi maklumat terakhir dari media bahawa beliau belum menentukan tarih keluar pejabat kerana masih ada kerja yang belum selesai.

Sama dengan Dr. Mahathir menangguhkan waktu berundur dari kerajaan kerana masih ada kerja yang belum selesai.

Presiden UMNO sudah menyatakan isyarat dia kena mengosongkan jawatannya berikut rayuannya tidak ditimbangkan kecuali tempoh penggantungan dipendekkan dari enam kepada tiga tahun. Dan tidak permintaan dia menyosongkan kerusi Dewan Rakyat.

Keputusan Majlis Tertinggi tidak mengubah kedudukannya sebagai pengamal politik wang.

Dari segi undang-undang Isa tidak melakukan jenayah dengan kesalahan yang disabitkan oleh partinya, tetapi moral dia ada melakukan salah laku. Jika UMNO boleh mengira ia sebagai satu jenayah politik, maka ia menjadi jenayah politik. Tetapi tiada status jenayah seperti itu diperakukan.

Tetapi dari segi UMNO itu sudah melakukan satu kesalahan yang besar hingga tidak lagi diakui UMNO selama tiga tahun.

Datuk Seri Najib menjadikan kesnya sebagai bukti kesungguhan UMNO menangani isu rasuah politik kerana sanggup bertindak kepada seorang Naib Preisdennya.

Sejak berita beliau disabitkan rasuah politik beberapa bulan lalu, beliau sudah lagi berurusan dengan orang ramai walaupun jawatan menteri tidak dilucutkan. Hubungannya selepas itu adalah dengan keluarga dan penyokongnya dalam parti.

Tidak diketahui apa lagi yang beliau boleh buat di pejabatnya mengenai urusan awam?

Dan bagaimana dia hendak melakukan kerja cemerlang dalam kerajaan beliau meanggung krisis moral. Untuk menjadi pemimpin yang bekesan yang dihormati oleh orang bawah ialah seorang yang tidak terjejas moralnya. Dari segi moral hukuman yang dihadapinya melucutkan semua kedudukan moralnya.

Jadi dia sebenarnya boleh bekerja, tetapi diragui boleh memberikan kesan yang kuat. Maka atas kedudukan itu, pemegang jawatan yang berhadapan dengan keadaan seperti itu lazimnya mengosongkan kedudukannya.

Tetapi bagaimana Tan Sri Isa boleh ada pejabat lagi di kementerian?

Sebenarnya secara rambang orang sudah lupa yang beliau masih Menteri Wilayah Persekutuan. Ramai yang tidak menyangka dia menteri lagi. Dia rupa masih menteri apabila Majlis Tertinggi UMNO memutuskan rayuannya ditolak dan menyebut dia kena mengosongkan kerusi menterinya.

Masa itu orang teringat semula rupanya beliau masih menteri.

Kerajaan yang ada mahukan satu kerajaan yang cemerlang, gemilng dan terbilang. Tetapi menteri Wilayah Persekutuan tidak boleh muncul sebagai menteri yang kuat lagi disebabkan kes UMNOnya.

Apakah keadaan itu tidak menjejaskan matlamat cemerang, gemilang dan terbilang di kementerian itu?

Kerajaan dan UMNO lebih suka membiarkan keadaan terbiar. Mungkin kerajaan yang tidak berapa tegas tidak mahu bertegas supaya sesiapa yang menghadapi krisis moral, keluar dari kedudukan supaya ia dapat digantikan dengan yang lain.

Dan beliau pula tidak peka dalam isu moral ini. Membiarkan saja.

Soalnya beliau bergaji. Gaji itu dari wang orang awam. Memang orang awam tidak kisah sekalipun mereka susah. Mana orang awam kisah wang awam orang sasah dan belasah. Pemimpinlah dalam keadaan begitu mendidik supaya orang awam itu tahu hak dan peranannya.

Dalam keadaan beginilah belum tahu bila Mat Isa mahu keluar pejabat secara raasmi? Yang masih belum selesai itu keraja apa? Sekadar mengemaskan kertasa pribadi, berapa hari sangat.

Mungkin menungguh Lailatul Kadr datang dulu.

SeTAPAK
12/10/05

Tuesday, October 11, 2005

LARANGAN MERCUN TIADA KEGETASAN

PUASA hanya baru beberapa hari, sudah pun terdapat kanak-kanak dikejarkan ke hospital kerana cedera bermain mercun. Maka kanak-kanak itu pun diminta membuat kenyataan media.

Berkata budak malang itu, ‘Saya menyesal main mercun.’ Lalu dinasihatkan lain kanak-kanak jangan bermain mercun.

Tetapi ramai mana sangat budak-budak membaca akhbar?

Kemudian keluarlah kenyataan akhbar para pembesar termasuk menteri menyatakan kerajaan akan bertindak tegas melarang bermain mercun. Masyarakat Malaysia sudah mendengar kenyataan seperti entah berapa belas tahun. Dalam keadaan yang ada, tahun depan akan ada lagi kenyataan pemimpin kerajaan akan mengulagi kenyataan yang serupa.

Malang bagi rakyat Malaysia kerana yang cedera bermain mercun ialah anak-anak orang miskin. Cuba doakan supaya ada anak pemimpin polis dan anak menteri yang lecur badannya main mercun, maka pada masa itu mungkin ada tindakan tegas.

Larangan membakar mercun sudah ada. Jika ada juga kanak-kanak yang cedera kerana main mercun ia adalah disebabkan kerajaan tidak begitu tegas dalam pengkuat kuasaan undang-undang itu.

Kerana tiada ketegasan itu, maka mulai ada surau dan masjid terganggu oleh adanya kanak-kanak bermain mercun. Setika orang solat terawih, kanak-kanak membakar mercun, tersentak juga para makmum oleh letupan mercun itu.

Kerajaan sepatutnya bersungguh-sungguh melarang perbuatan itu dengan mengambil tindakan serta mereta kepada semua pihak, malah mungkin terhadap ibu bapa yang membiarkan anak-anaknya bermain mercun.

Kalau Negara tidak cukup untuk menjalankan kuasa kuasa, maka kerajaan boleh beri kepada institusi masyarakat yang ada di setiap kampong untuk membantu kerajaan membenteras dari penjualan hinggalah kepada sesiapa saja yang bermian mercun.

Bagi kuasa kepada JKKK, penghulu, ketua kampong, guru-guru sekolah supaya bertindak membantu polis mencegah penjualannya.

Setiap ada kanak-kanak yang bermain mercun, tahan sekejap, tanya dia di mana dia dapat mercun. Penjual mercun itu mesti dikenakan tindakan serta merta. Apa dendanya tentu sudah ada.

Para peniaga tidak mahu sangat pergi ke mahkamah. Jika acap kali dia kena pergi ke mahkamah, maka sudah tentu mereka berfikir untuk menjual benda itu. Jika mereka dikenakan dakwa atas setiap butir mercun, maka mereka tndakan akan membekalkannya lagi kepada pelanggan.

Asal ada saja kanak-kanak main mercun maka JKKK, Rukun Terangga atau tok penghulu segera bertindak melaporkan kepada polis dan polis mesti serta merta bertindak.

Ibu bapa kanak-kanak yang terlibat jika dikenakan tindakan nescaya mereka akan menjaga anak-anak mereka supaya tidak bermain mercun lagi.

Dan kanak-kanak itu sendiri jika kesnya diserahkan kepada guru untuk mendendanya, maka ia boleh menghalang kegiatan. Murid-murid biasa takut kepada tindakan guru.

Jika kerajaan bertegas sedikit dalam perkara ini, maka dipercayai tidak ada lagi orang membakar mercun setiap kali ada perayaan baik raya puasa, raya Cina dan lain perayaan budak-budak bermain mercun.

SeTAPAK
11/10/05

Monday, October 10, 2005

INSAFI GEMPA KASHMIR

HANYA Allah yang tahu hikmat gempa bumi di dataran tinggi Asia – Kashmir Pakistan-India dan Afhanistan – yang mengorbankan ribuan jiwa dan memusnahkan harta benda rakyat yang tidak sedikit nilainya.

Kita sayugia menginsafi kehendak Allah itu dan takziah yang tidak terhingga kepada rakyat, keluarga dan Negara-negara terlibat atas tragedi alam itu. Ia tidak boleh dilihat sebagai perkara biasa bagi wilayah yang berisiko tinggi dengan kejadian gempa bumi, tetapi hendaklah dilihat sebagai ingatan Allah kepada manusia seluruhnya dan kepada penduduk dan pemerintah wilayah yang terlibat.

Ia adalah azab yang Allah turunkan sebagai ujian kepada orang-orang yang beriman, amaran dan balasan kepada golongan yang zalim yang lupa Allah, dan pernah mahu menginsafi bahawa alam dan nikmat yang diperolehi adalah dari Allah.

Apa yang menarik ialah kejadian itu berlaku pada awal RAmadhan, bulan umat Islam melakukan ibadat puasa wajib dan yang digalakkan umat beribadat. Dibulat penuh barakah ini, ganjaran ibadat seseorang adalah berganda. Yang ramai terkorban dalam tragedi itu ialah umat Islam.

Allah boleh menangguhkan azabnya di sesuatu wilayah apabila terdapat didalamnya orang-orang soleh. Sejak dari peristiwa taufan-banjir di zaman Nuh, ribut pasir sejuk di zaman Hud, tempikan suara di zaman Nabi Soleh dan seterus, Allah turunkan bala demi memberi azab kepada kaum yang lupa daratan dan mendustakan Allah. Binasalah kaum-kaum yang durhaka itu tetapi terlebih dahulu orang-orang beriman di selamatkan dulu.

Bagaimana pun tidak arif untuk menyatakan sesuatu apabila yang ikut terkorban rata-rata adalah majoriti beragama Islam. Umat Islam itu sendiri adalah yang tinggi takwanya dan ada juga yang mengabaikan terus tugasnya sebagai seorang Islam. Apabila bala dating lazimnya tidak mengecualikan orang beriman, maka ia adalah ujian yang besar orang beriman itu.

Dalam keadaan sedemikian, ia menjadi ujian kepada yang tidak terkorban supaya menginsafi kejadian kehendak Allah itu supaya masing-masing dapat meningkatkan takwanya, bagi yang berdosa, inilah masa terbaik untuk bertaubat, menyerah diri kepada Allah dan tidak mengulangi lagi kelamahan yang dilalui.

Bagi yang terkorban, terimalah sebagai satu kehendak Allah atas kelemahannya, dan ia sebagai balasan, kadang-kadang bagi membersihkan dosa semasa hidupnya sepanjang kesalahan tadi tidak mensyirikkan Allah. Bagi yang soleh, korban natijah tragedy itu moga-moga memberikan ganjaran syahid dunia. Justeru itu keluarga masing-masing tidak wajar keciwa dan putus asa dengan kejadian itu, tetapi menerimanya penuh sabar, bahawa Allah itu Maha Adil dan Amat Mengetahui tentang apa yang ditakdirkanNya.

Penduduk di luar kawasan tragedy wajar menerimanya sebagai amaran, untuk bersykur bahawa kita masing-masing tidak ditimpa bala itu, sayugia bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah, supaya masing-masaing Allah dapat terima sebagai orang bersyukur.

Lakukanlah apa saja sebagai tanda simpati kepada mangsa baik yang terkoban mahuun yng cedera dan menerima maklumat itu dengan penuh sabar dan meningkatkan kesabaran yang ada.

Rantau yang dilanda bencana itu adalah daerah yang bergolak sejak lebih 50 tahun lalu. Peperangan kadang-kadang tidak dapat menyelesaikan pertikaian terutama pertindakan itu tidak cuba diselesaikan dengan kaedah yng diperkenan Allah.

Bala kadang-kadang datang bagi menyelesaikan pertikaian.Aceh adalah daerah yang bergolak, peperangan payah menyelesaikannya. Datang tsunami mengorbankan puluhan ribu rakyat. Selepas itu terbuka peluang berunding dan pertikaian itu sudah boleh dikira selesai.

Terserah sekarang bagaimana perdamaian yang diwujudkan itu diisi dengan yang dimahu Allah.

Pakistaan dan India sudah lebih separuh abad tidak dapat menyelesaikan pertikaian atas Kashmir. Mungkin Allah mahu mendorongkan pihak bersengketa bekerja bagi menyelesaikan sengketa.

Tetapi jangan lupa bahawa bencana itu berlaku di tengah-tengah musuh Islam mengira Islam ada pengganas dan umat Islam ramai yang terpedaya, menerima saranan Islam adalah mengganas. Jihat lazimnya mendapat sokongan tentera Allah yang ghaib. Mungkin bencana ini untuk membuka jalan kepada pusingan Islam datng berperanan.

Tetapi tiada ada sebarang perubahan kiranya, umat Islam tidak mengisi pemulihan kehidupan di tapat tregedi itu dengan pesanan yang dimahui Allah.

SeTAPAK 10/10/05

Sunday, October 09, 2005

SAYANG LAKSAMANA TAK JADI ULAMA

SEPATUTNYA semua pembaca kagum dengan pencapaian hidup Laksasmana Tan Sri Anwar Mohd Nor dari bangku sekolah hingga menjadi Panglima Angkatan Tentera Malaysia seperti temubualnya dengan sebuah akhbar Sabtu lalu.

Beliau memilih bekerja demi membantu ibunya, ibu tunggal yang terpaksa menanggung nafkah adik beradik yang ramai bersekolah, pada hal beliau ditawarkan belajar di sekolah agama di Johor. Jika beliau belajar di sekolah agama dulu, mungkin Laksamana Anwar sekarang seorang ulama.

Kerana beliau memilih menjadi tentera, maka beliau berjaya menjadi laksamana satu jawatan paling tinggi dalam tentera laut. Bukan satu yang mustahil beliau menjadi ulama yang terkemuka jika belaiu memilih belajar di sekolah agama memandangkan ketekunannya dalam kerjayanya dalam tentera laut tadi.

Tahniah dengan pencapaiannya sekarang. Negara berbangga dengannya atas pencapaiannya dan khidmatnya.Tetapi suatu tercicir baginya Laksamana tidak menjadi ulama.

Bagi Allah dan nabiNya ulama itulah martabat yang paling dimuliakan. Tiada yang lebih mulia dari kalangan manusia selepas ketiadaan nabi selain dari ulama. Dan bagi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi yang dicarinya ketika mula memegang jawatan tertinggi dalam Negara itu ialah Asy Syafie dan Al Ghazali.

Tidak dipastikan beliau sudah menemuinya, atau yang dicari itu sudah ada tetapi tidak diperkenan di hatinya.

Tetapi kalaulah Tan Sri Anwar memilih untuk jadi ulama dulu, mungkin yang dicari oleh Perdana Menteri itu telah ditemuinya.

Kita boleh bertanya, mengapa Perdana Menteri tidak mencari yang lain selain dari Asy Syafie dan Al Ghazali? Mengapa beliau tidak cari Napoleon Bunaparte, seorang jeneral terkemuka dunia atau Laksamana Hang Tuah, seorang pahlawan terbilang dalam serajah Melayu?

Mungkin jawabnya, panglima boleh dicari dan dilatih, tetapi ulama muktabar payah diperolehi.

Sehingga ini apakah negeri-negeri di Malaysia sudah menemui seorang mufti yang berwibawa sama dengan Datuk Ishak Baharum, Mufti Selangor yang dipengaruhi dipecat oleh Perdana Menteri yang dulu. Sepuluh doctor pakar mungkin tidak sukar dipeuhi, tetapi belum ada ganti mufti Datuk Ishak.

Pada usia sekarang, kalau Laksamana Anwar diberi pilihan semula, adakah dia akan memilih yng lain selain dari jatur ke arah menjadi ulama?

Ulama adalah orang paling takut kepada Allah dan paling dekat di hati Allah. Tidak semua orang dapat taraf itu tetapi ada orang yang Allah pilih untuk mengisinya. Pada usia sekarang dipercayai Tan Sri Anwar sudah tercicir peluang itu dan mungkin barang tercicir itu tidak diperolehinya lagi.

Beliau mungkin menyesali akan barang tercicir itu. Tetapi ada tawaran lain bagi sesiapa tidak beroleh mertabat itu ialah menjadikan diri sebagai kawan ulama atau yang mencintai ulama.

Perdana Menteri misalnya adalah cucu dan anak ulama. Tentunya beliau syukur dan berbangga dengan menjadi anak dan cucu ulama. Tetapi tentu beliau juga bahagia kiranya beliau juga ulama. Bagaimana pun beliau termasuk dalam senarai yang tercicir dari martabat yng mulia.

Kini beliau cuba mengisi kekosongan tadi dengan mencintai ulama apabila beliau mengaku mencari Al-Ghazali dan Asy Syafie. Tetapi janganlah fikir tiada yang lain dari dua ulama itu saja. Cubalah perakui meminati ulama lain yang semai sekalipun tidak mencapai taraf dua tokoh ulama yang dicarinya itu.

Negara dan dunia kini mencari ulama yang fungsional. Dunia ini seperti gurun yang tandus tanpa ulama yang fungsional. Ulama ada dan ramai tetapi ditakuti tidak ramai yang mencapai fungsional.

Untuk mencari ulama menjadi imam dan khatib tidak susah, demikian juga untuk memberi fatwa halal haram. Tetapi yang bekerja dan fungsional seperti al Ghazali dan asy syafie tadi adalah sukar.

Saya sangat bimbang ulama tidak menjaga martabatnya untuk memimpin umat dan dunia dalam bekerja membina dunia ini untuk dibanggakan oleh umat manusia. Saya sangat bimbang kalau 20 ulama dipanggil untuk memikul satu tanggungjawab, yang menyahut secara lisan hanya 10. Dan yang sepuluh itu apabla diberi tanggungjawab, lima saja mengaku akan cuba melaksanakannya. Dari lima itu mungkin dua atau tiga yang menyerahkan kerjanya siap.

Kalau tiga itu menyiapkan kerja yang sempurnya, maka kita sudah cukup bertuah. Yang saya bimbang ialah satu saja dari mereka yang tiga itu melaksanakan tugas tadi dengan sempurna.

Kalau Laksamana Anwar tadi memilih menjadi ulama dan bekerja seperti dia bekerja dalam tentera laut, maka mungkin beliau boleh memenuhi kehendak ulama yang fungsional tadi.

Masyarakat beragama di Malaysia sejak lebih 20 tahun lalu cuba memertabadkan ulama dalam apa yang dipanggil mempelopori konsep kepimpinan ulama. Apa yang hilang 400 tahun lebih penjajah berpuaka di sini dulu cuba dicari semula.

Tetapi ia masih dilihat merangkak. Antara sebabnya ialah kegagalan masing-masing berfungsi dalam ibarat yang saya kemjukakan atas 20 ulama yang dipanggil tadi. Juka ia berfungsi, maka umat sudah cukup bertuah. Bagaimana pun kita tidak boleh berhenti selagi tugas tidak selesai.

Jadilah ulama yang berfungsi. Apabila 20 dipanggil, maka kesemuanya berfungsi dan dilihat berfungsi.

Bagaimana pun umat tidak boleh lari dari menyatakan penting ulama membimbing,dan justeru itu ulama mesti membina lebih banyak al-Ghazali dan asy-Syafie, bukan sekadar mencarinya. Jika tidak akan berjumpa mencari benda yang tidak ada, tetapi anda pasti dapat jika yng tidak ada itu dibina.

SeTAPAK
09/10/05

Friday, October 07, 2005

HARGA MINYAK BERTAHAN HINGGA DISEMBER

AKHBAR pada hari pertama puasa menyiarkan kenyataan Menteri Mustafa Muhamad bahawa harga runcit minyak tidak akan naik sehingga tahun ini.

Dia mengulangi kenyataan Perdana Menteri beberapa minggu sebelumnya bahawa harga minyak yang ada itu tidak berubah sehingga akhir tahun ini.

Ia satu kenyataan buruk bagi rakyat kerana harga minyak itu kekal dalam keadaan yang ada untuk kurang dari tiga bulan lagi. Hanya dua bulan 23 hari saja lagi kita akan masuk ke tahun baru.

Selepas itu jaminan kerajaan sudah luput. Maka harga boleh dinaikkan.

Namun begitu ia boleh juga mengurangkan degup jantung setiap rakyat yang tidak yakin lagi kepada kerajaan dapat mempertahankan harga minyak yang sudah sarat dan berat bagi pengguna sekarang.

Melihatkan kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa bagi menstabilkan harga runcit itu, maka telah tiga kali ia dinaikkan dalam masa setahun. Selepas itu maka jantung orang ramai sentiasa berdegup.

Menjelang ucapan belanjawan minggu lalu pemilik kenderaan bermotor telah menunggunya dengan hati berdebar-debar takut minyak dinaikkan sementera berakhirnya tahun 2005. Antara mereka dipanikkan oleh khabar angin minyak akan naik, malah ada yang sudah berkata minyak naik lagi.

Bukan sedikit menjelang ucapan bajet itu orang yang mengisi penuh tangki kenderaan mereka sebagai persediaan mengelak membeli minyak dengan harga baru. Walaupun jika minyak dinaikkan minyak yang diisi penuh itu hanya tahan untuk satu atau dua hari, tetapi itulah daya yang dapat dilakukan oleh pengguna.

Apatah lagi sekarang kerajaan Malaysia mempunyai alasan yang cukup kuat untuk menghadapi rakyat untuk menaikkan harga minyak. Indonesia yang ekonominya tidak stabil dan sebelumnya mengelak sangat menaikkan harga minyak, telah menaikkan harganya.

Menjadi bahan kepada rakyat menempelak kerajaan selama Indonesia tidak menikkan harga minyak. Jika Indonesia tidak menaikkan harga, sedang ia tidak berekonomi kukuh, maka mengapa Malaysia yang lebih kukuh tidak dapat bertahan sseperti Indonesia.

Tetapi sekarang Indonesia telah menaikkan juga akhirnya, maka ia sangat disenangi oleh kerajaan Malaysia. Ia memberi kemudahan kepada kerajaan menaikkan selepas berakhir tahun ini, dengan menggunakan alasan Indonesia juga menaikkan harga.

Kalaulah Brunei menaikkan juga harga runcitnya, maka lagilah senang kerajaan Malaysia untuk menaikkan minyaknya. Dan rakyat Malaysia langsung tidak berdaya menegur kerajaan bertindak. Hari ini rakyat sudah terlalu lemah berhadapan dengan kerajaannya. Kerajaan tidak takut langsung kepada rakyat, dan kerajaan boleh buat apa saja. Rakyat pasti terima.

Kerajaan memberikan alasan bukan kerajaan suka sangat menaikkan harga itu berkali-kali dalam setahun. Tetapi apa yang dapat dibuat kerana harga mentah minyak dunia naik melambung. Yang berbelas dolar Amerika saja setong tahun 1990 sudah menjadi lebilh USD 80 setong.

Apa yang kerajaan sanggup buat? Ya! Itulah alasan paling senang bagi kerajaan menghadapi rakyatnya yang malang dan terhakis kedaulatan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi mengikut jejak Perdana Menteri sebelumnuya suka sangat ke luar negeri. Seolah-olah tidak pernah berada sebulan penuh dalam negeri. Kalau dua minggu berada dalam negeri, maka mungkin boleh dikira cukup baik.

Keluar negeri bukan tidak bekerja. Ia bekerja juga. Berjalan sambil bekerja atau bekerja dengan berjalan.

Tetapi tidak bolehkah digunakan masa berjalan ke sana sini itu bagi membincangkan bagaimana harga minyak mentah pada pasaran dunia itu tidak menggila?

Jika dimenungkan apa yang menyebabkan kenaikkan yang menggila itu? Tidakkah ia bermula hampir serentak dengan pencerobohan Amerika terhadap Iraq kali pertama dulu? Jika ia berlaku serentak, maka tidakkah ia adalah gara-gara pencerobohan Amerika terhadap Iraq itu?

Seolah-olah tidak lagi boleh ditolak, pasaran minyak yang tidak dapaat dikawal itu adalah ekoran dari dasar perang yang digendangkan oleh Amerika terutama di bawah pimpinan Bush anak beranak.

Perang Teluk pertama tahun 1990 kira-kira memperjudikan minyai Arab Saudi. Kehadiran tentera Amerika di Saudi untuk mempertahankan Saudi dari ancaman Saddam terpaksa ditanggung oleh Saudi. Habis khazanah yang Allah anugerah kepada Negara itu digunakan untuk menanggung harga perang yang seluruh dunia Islam bukan Arab tidak suka Kuwait dan Saudi menaja kedatagan Amerika dan sekutunya.

Kemakmuran untuk rakyat Saudi bertukar menjadi kesangsaraan. Rakyatnya tidak lagi menikmati harga minyak istimewa. Minyak Iraq tidak dapat didangangkan secara bebas dan Saudi memerlukan duit untuk menampung keperluannya, maka minyaklah dijadikan senjata. Yang menderita pengguna minyak di seluruh dunia.

Allah turunkan Rasulullah SAW sebagai rahmat kepada alam. Petrol yang Allah turunkan kepada waris Rasulullah SAW iaitu umat Islam khususnya penguasa dua kota suci satu daripada rahmat untuk alam itu. Selain dari ia satu dari rahmat tadi yang boleh menyenangkan kerajaan dan penduduk Saudi, ia dapat dirasai oleh seluruh penduduk dunia – Islam dan tidak Islam – dengan menjadi pengguna minyak yang murah.

Apabila Amerika mengganas di Afghanistan dan Iraq, Negara-negara pengeluar minyak tidak menggunakan minyak sebagai senjata mengajak dunia menekan Amerika jangan gila berperang dengan Islam, maka akibatnya minyak tidak lagi dilihat sebagai rahmat, sebaliknya mulai menjadi punca menyekat kesenangan penduduk dunia.

Perdana Menteri yang berterbangan ke sana sini jadikan teori Amerika berperang di Afghanistan dan Iraq itu punca krisis harga minyak dunia. Dan ia akan jadi lebih buruk kiranya Amerikan dan Eropah berperang pula dengan Iran.

Majoriti rakyat yang menyokong perang dari Amerika dan benua Eropah mulai menyesali peperngan itu. Suara majoriti sudah mahu Amerika keluar ssekalipun dilihat kalah, kerana dunia tidak mampu menghadapi kos perang itu.

Tetapi pimpinan gila dari Amerika dan England, tidak memikirkan dunia sangsara atau azab, mereka berdegil tak mahu keluar takut dilihat kalah.

Gunakanlah peluang yang ada mengajak dunia menekan Amerika dan Britain supaya berundur supaya pengguna dunia tidak menjadi mangsa bahan bakar itu. Bahan bakar itu sedang membakar kesejahteraan penduduk dunia walaupun ia pernah memberi kemakmuran kepada Negara-negara tertentu.

Degup jantung rakyat Malaysia tidak berombak besar menjelang Disember, tetapi nasib tahun 2006 tidak dapat digambarkan senang dan bertuah, kerana minyak yang sedia mahal itu akan bertambah mahal sedang kerajaan belum lagi berjaya menjadikan rakyatnya makmur.

SeTAPAK
07/10/04

Thursday, October 06, 2005

PELIK ISU BUNG MUKHTAR DIBAWA KE KABINET

MEMANG mengelirukan whip mana-mana parti politik seperti UMNO apabila ahlinya tumpang semangkuk menyokong ketua pembangkang dalam usul di parlimen mengencam barisan pimpinan kerajaan.

Itulah keadaan ketua whip BN di parlimen Datuk SeriNajib apabila dua MP UMNO, Datuk Bung Moktar Radin dari Kinabatangan dan Datuk Mohamed Aziz dari Seri Gading menyokong usul Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang mengecam Menteri Perusahaan Luar Negeri Datuk Seri Rafidah Aziz yang tidak datang ke parlimen untuk menjawab sendiri soalan mengenai AP.

Secara tergesa-gesa Timbalan Perdana Menteri itu yang agaknya kerana terlalu demokrasi, membawa perkara itu ke kebinet untuk dibincang.

Tanpa sebarang soal jawab, Datuk Najib seolah-olah telah menjatuhkan hukum bersalah kepada kedua-duanya. Cuma hukumnya hendak ditentukan oleh cabinet.

Saya terasa pelik mengapa perkara itu perlu dibincang di Kabinet? Secara mudah orang tidak politik dan tidak jadi menteri pun tentu tahu bahawa ia bukan urusan kerajaan, sebaliknya ia adalah urusan parti.

Dan jelaslah bagi masyarakat umum bakal Perdana Menteri tidak arif utusan cabinet, apa yang perlu dibawa ke cabinet dan apa yang tidak.

Ketika rang pindaan akta universiti dan kolej di bentangkan di parlimen semasa Tun Razak menjadi Perdana Menteri, Tan Sri Saupe Ibrahim, Anggota Parlimn Kepala Batas telah mempertikai kebijaksanaan kerajaan membentang rang pindaan itu.

Kecamannya atas pindaan itu cukup untuk memalukan kerajaan dan pimpinannya masa itu iaitu Tun Razak. Pandangan Tan Sri Saupe itu sebenar meramalkan bentuk siswazah yang akan dilahirkan di masa depan. Ia seolah-olah unniversiti hanya boleh melahirkan murid sekolah yang belajar di universiti saja.

Lepas saja dia berucap, dia menerima secebis nota dari Perdana Menteri. Dia diminta berjumpa Perdana Menteri serta merta. Tan Sri Jaafar Albar mengetahui rakannya kena panggil, segara menemui Saupe seelok-elok beliau keluar dari Perdana Menteri di Parlimen untuk bertanyakan khabar.

‘Kena rotan,’ Saupe memberitahu Albar.

Banyak lagi yang Albar bagi tahu saya tentang apa yang Tun Razak bagi tahu pada Saupe.

Albar mengira Suope telah memberi ucapan telahan yang tepat tentang bentuk siswasah yang dilahirkan oleh universiti bila rang itu diterima. Albar yang tidak dapat menolak rang itu kerana tahu disiplin parti mengharapkan rang itu sekadar sementara. Ia tidak boleh jadi akta yang kekal. Negara tidak akan dapat siswazah yang dibanggakan.

Rang itu diluluskan dan ucapan keras Saupe itu tidak diulas oleh Perdana Menteri, tetapi wakil rakyat Kepala Batas itu tidak lagi bercakap lantang malah dia tidak diminta bertanding lagi. Gantinya Datuk Seri Abdullah Badawi.

Orang tidak tahu bahawa Tan Sri Saupe didisiplinkan oleh ketua parti dalam senyap.

Anggota Parlimen sebenarnya bebas menentukan sikapnya. Tidak bijak ketua partinya mengenakan tindakan kepadanya tentang sebarang cakapnya dan sikapnya secara terbuka. Kalau ketua partinya tidak senang, maka perkara itu boleh dibincangkan dan kalau ada disiplin, kadang-kadang tidak disebutkan kepada umum perkara sebenar.

Untuk diketahui sebabgai telus bolehlah disebutkan secara jujur, tetapi ia tidak elok untuk wibawa parlimen. Asalnya parlimen itu kebal dari segala-galanya kecuali berelawanan dengan akidah.

Najib yang bercakap sedap tentang Melayu Glokal dalam sidang UMNO baru-baru itu seolah-olah suka sangat membawa kes anggota parlimen ke cabinet.

Sebelumnya kes Datuk Seri Rafidah Aziz tidak berada di Parlimen untuk menjawab soalan mengenai AP. Rafidah menjalankan tugas kerajaan di luar negeri. Najib sebenarnya tahu ke mana Rafidah. Mungkin Rafidah mahu mengelakkan diri, tetapi Rafidah cukup alasan untuk tidak berada di parlimen.

Apabila ditanya media, Datuk Najib sepatutnya boleh menjelaskan ke mana Rafidah masa itu dan kalau ia dirasakan wajar dijawab sendiri oleh Rafidah, maka bolehlah beliau menggunakan pengaruhnya pimpinan kanan parti dan Timbalan Perdana Menteri menasihatkan Rafidah menjawab sendiri dan boleh dengan Datuk Nazri Aziz yang menjaga hal ehwal parlimen supaya menentukan Rafidah dapat menjawab sendiri soalan yang berkaitan.

Tidak perlu sebenarnya dirojok kepada cabinet kalau dia mejaga nama baik rakan kabinetnya. Dengan membawa kes Rafidah ke Kabinet membincangkan kesnya dalam masa ketiadaannya, maka ia memalukan menteri itu. Entahlah kalau Najib ada tujuan untuk memuramkan Rafidah.

Kes Rafidah menjadi sasaran UMNO dari Perhimpunan Agungnya hingga ke Parlimen dan Kabinet. Oleh itu ahli-ahli UMNO yang berani tidak merasa terganggu lagi untuk bercakap lantang tentang Rafidah.

Kata, Datuk Bung dan Datuk Muhamed, kebetulan saja kes itu dikemukakan oleh Lim Kit Siang. Tetapi kalau peluang beercakap itu ada sebelum Kit Siang berucap, maka mereka berucap yang serupa.

Bagaimana pun kerana sebab teknik, Datuk Bung dan Datuk Muhamed sudah dikira melanggar garis yang ditentukan oleh whip partinya. Apakah ia mencederakan Rafidah atau tidak, apakah BN sudah tercemar dan akan jatuh kerajaannya atas ucapan itu, tidak difikirkan oleh sesiapa.

Isunya mereka ada melanggar sesuatu. Patutkah kerana hal-hal yang tidak memudaratkan parti dan Rafidah, maka keduanya perlu dibawa ke cabinet? Ia tidak perlu.

Bagaimana pun boleh para menteri terutama yang akan menjadi Perdana Menteri belajar dari Peguam Negara, apa yang patut dibawa ke cabinet dan apa yang tidak. Kes seperti kenyataan Dr. Mahathir mengenai Anwar Ibrahim selepas dia dibebaskan oleh mahkamah tidak Najib bagi tahu ia dibawa ke cabinet dan tidak diminta padaangan Peguam Negara.

Tiba-tiba yang semua orang boleh tentukan sendiri, Najib panggil Peguam Negara dan jadikan agenda cabinet.

Itulah bakal Perdana Menteri.

SeTAPAK
06/10/2005

Tuesday, October 04, 2005

SELAMAT BERPUASA

SAMA ada anak bulan nampak atau anak bulan tidak nampak tetapi anak bulan Ramadhan tetap ada, maka esok kita sekalian tetap akan memulakan puasa wajib sebulan.

Segala kesedihan selama 11 bulan berada di luar Ramathan berakhir hari ini. Maka mulai malam ini umat Islam seluruhnya bersyukur, bergembira dengan bermulanya Ramathan sebulan. Malam ini kita tarawih dan Subuh esok kita mulakan ibadat puasa.

Ketika sekalian umat bergembira menyambut kedatangan hari puasa, sahabat-sahabat Rasulullah SAW sangat dukacita apabila Ramathan hendak berakhir. Cerita seperti itu dirasakan pelik oleh orang awam dari kalangan umat Islam. Bagaimana orang lain gembira, mereka bersedih?

Tetapi apa tinggi tahap kesedaran individu umat, dan tinggi juga tahap takwanya, maka mulailah masing-masing memahami mengapa sahabat-sahabat berperasaan demikian. Mulai merata umat Islam sekarang berkongsi perasaan para sahabat itu.

Puasa dalam bulan Ramathan ibarat adik kepasa solat lima waktu, satu ibadat untuk menjadikan diri kita orang baik. Yang sudah sedia baik akan bertambah dan berganda kebaikannya. Yang belum baik, moga-moga puasa yang diamalkan dengan penuh penghayatan terhadap puasa, moga-moga akan menjadi orang baik.

Yang tidak sembahyang dan tidak puasa sebelum ini, jika dapat memulakan puasa, maka inysa Allah dia akan mula solat dan meneruskan puasa. Jika seseorang itu berusaha dan cuba menghabiskan puasanya, maka dia sudah memulakan sifat dan amalan orang-orang baik.

Orang baik ialah orang yang berusaha meninggalkan segala kerja yang dilarang dan sedaya upaya menunaikan segala yang disuruh. Dan sifat ini diperolehi dengan tekun solat dan puasa. Segala amalan yang lain nescaya menyusul apabila seseorang itu dapat menunaikan dua ibadat ini dengan baik.

Dan bermula dari solat dan puasalah sseseorang itu terdorong untuk membetulkan akidah dan memeriksa lain-lain amalannya supaya ia lebih sempurna.

Tetapi ramai juga yang solat dan puasa, tidak berubah dan terus juga mengamalkan kerja-kerja yang tidak baik dan tidak merasa ada tanggungjawab untuk melaksanakan segala yang diperintahkan.

Maka tidak bererti solat dan puasa itu tidak benar boleh menjadikan pengamalnya baik, tetapi ada yang tidak kena dan tidak sempurna dalam solat dan puasanya. Justeru itu seorang yang tekun puasa, wajarlah dari seamsa ke semasa membaki puasanya supaya dia mendapat apa yang puasa boleh beri kepadanya.

Dalam keadaan orang Islam ketinggalan dalam banyak perkara, seperti pelajaran, ilmu teknologi dan sains, ekonomi, perniagaan dan politik serta lain-lain, maka dengan apakah kita hendak bersaing?

Mulakah dengan solat dan puasa. Allah sangat kasih dan tinggi simpatiNya kepada orang yang solat dan puasa. Maka dengan solat dan puasa yang sempurna, insya Allah daya saomg umat akan menyusul.

Dalam kontek di Malaysia hampir separuh dari penduduknya tidak beragama Islam, tetapi mereka mengikuti suasana berpuasa umat Islam. Masing-masing tidak terlibat dengan kegiatan amalan orang Islam, tetapi sebagai jiran senegara, menyaksikan ssemua perkembangan.

Sebagai penggiat alam perniagaan dan perusahaan, banyak urusan niaga itu melibatkan orang Islam. Secara realistic mereka telah pun menyesuaikan perusahaan mereka dengan permintaan orang Islam.

Contoh kecilnya berbulan-bulan sebelum kedatangan Ramadhan, peniaga tamar sudah menyediakan bekalan kurma untuk keperluan umat Islam. Gedung Globe Silk Store telah menyediakan keperluan pasaran pakaian yng secukupnya. Mereka mendapat pulangan yang besar dari nikmat orang lain berpuasa.

Walaupun mereka tidak terlibat dalam amalan puasa yang boleh mendodrongkan pengamalnya jadi orang baik, tetapi sokongan orang bukan Islam mendorongkan orang Islam terus berpuasa, boleh membuka terbuka pintu petunjuk bagi menjadi orang baik seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Malaysia dalam perkembangan globalisasi yng laju sekarang memerlukan satu masyarakat yang tahan lasak dan daya tahan yang tinggi. Sukar bagi sebuah Negara kecil seperti kita untuk bersaing sama kuat dengan Negara-negara besar.

Oleh itu sebagai sebuah Negara kecil, Malasia memerlukan ramai tenaga daya tahan yang ramai.

Berpusalah bagi mendapatkan daya tahan yang kuat itu.

SeTAPAK
04/10/05

Monday, October 03, 2005

APA JADI DENGAN MENTERI UNIVERSITI?

APABILA kerajaan mewujudkan kementerian khusus mengenai pelajaran tinggi, tentulah harapannya untuk mewujudkan universiti yang benar-benar kelas, melahirkan siswazah dinamik dan merdeka, dapat membantu mewujudkan bangsa yang berdaulat.

Tetapi yang dapat dilihat sekarang imej universiti awam mulai menjadi universiti KEMAS iaitu lanjutan kelas Kemas yang ada di seluruh Negara sekarang.

Kelas Kemas asalnya ialah kelas untuk orang dewasa mengenal huruf. Sesudah tidak ada orang buta huruf ia jadi kelas jahitan dan kelas fardu ain. Kegiatan yang terakhir untuk memungkin kelas Kemas itu wujud, maka ia bertukar menjadi kelas Tadika.

Malangnya ibu bapa berduit sikit lebih selesa menghantar anak-anak ke kelas pra sekolah PASTI yang berbayar daripada belajar di Tadika Kemas yang murah.

Sekarang di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi, diwujudkan kementerian pelajaran tinggi dengan menteri pertamanya Dato Shafie Salleh.

Malang bagi menteri ini, tugasnya lebih menumpukan bagaimana hendak mengawal tenaga akadami dan siswanya supaya setia seperti guru dan pelajar kelas Kemas.

Untuk itu sebulan sebelum genap dua tahun Pak Lah menjadi Perdana Menteri semua kampus kerajaan mengadakan pilihan raya memilih perwakilan Majlis Pelajarnya.

Dengan semua persiapan yang dikawal sepenuhnya oleh penadbiran universiti, maka pilihan raya itu menjadi kegiatan untuk memenangkan calon-calon yang menyokong kerajaan yang menamakan kumpulannya Pro Aspirasi.

Ia berjalan kira-kira sama seperti pilihan raya presiden Mesir. Pilihan raya itu bukannya kegiatan memilih seorang presiden Mesir tetapi pilihan raya untuk memenangkan Husni Mubarak supaya terus menjadi Presiden. Segala kegiatan dibuat ke arah bagaimana supaya Husni Mubarak boleh dikekalkan.

Pilihan raya di kampus itu adalah demikian. Bagaimana supaya kesemua Majlis Pelajar dikuasai oleh robot kerajaan yang terdiri dari siswanya. Kerja seperti itu sudah dimulakan dalam pemilihan sebelum ini, tetapi kali ini sangat ketara bahawa ia bukan satu pilihan raya, tetapi ia adalah perintah kepada pelajar supaya memilih budak-budak Aspirasi.

Dalam politik UMNO, calon yang menyediakan duit untuk penyokongnya. Ada tanda-tanda dalam pemilihan kampus ini calon dikatakan dijanjikan wang. Sebelum menang sekian dan selepas menang sekian pula. Dalam UMNO ahlinya dapat duit, di kampus pengundi tak dapat apa-apa. Calon pula dikatakan dapat durian runtuh.

Jika benar ia berlaku, jelaslah universiti dijadikan oleh menterinya, sebagai pusat belajar mengembangkan rasuah. Ia dilihat sebagai rasuah politik dan politik wang. Ketika UMNO berhempas pulas hendak membasmi politik wang, maka menteri UMNO seolah-olah mengajar pelajar universiti dengan politik wang.

Ketika kerajaan Pak Lah digahkan dengan perang terhadap rasuah, maka universiti di bawah kerajaan memperkenalkan apa yang boleh menyubur pemikiran rasuah di kalangan pelajar-pelajar tinggi. Apa yang dapat diharapkan kepada pemimpin pelajar yang bakal menjadi pemimpin masyarakat dan Negara?

Saya sangat takut kerajaan dan pimpinan UMNO sekarang dilihat mengamalkan dasar munafik dalam politik wang dan membenteras rasuah.

Sama ada Perdana Menteri sedar atau tidak, perkembangan di kampus itu tidak membantu beliau menjadi sebaik-baik pemimpin yang Malaysia kehendaki. Ia mungkin tidak diketahui dan tidak dikehendaki oleh beliau, tetapi cara menteri universiti mengendalikan pemilihan itu, bukan sekadar memberikan imej buruh dan huduh kepada menteri itu malah ia mengecat muka ketuanya dengan berbagai warna supaya dilihat sama dengan orang Afrika sebelum didatangi penjajah.

Jika yang dibuat oleh semua orang dalam memenangkan calon pro kerajaan di kampus itu sebagai menyokong Perdana Menteri, maka bagi saya ia adalah satu sokongan yang membawa rebah.

Pilihan raya itu mula menunjukkan wujud budaya ugut dan wujud juga budaya takut. Pelajar-pelajar yang tidak menyokong Aspirasi dan yang tidak tertarik dengan politik dan tak mahu ambil kisah dengan politik kampus menjadi sasaran.

Mereka takut kebebasan, kesenangan dan ketenangan. Takut akan payah mengekalkan kemudian yang diperolehi. Hilang peluang tinggal di kampus, payah mendapat layanan saksama, tidak bebas dari perhatian tembok dan tiang kampus.

Semua kampus tiba-tiba menghadapi tindakan pemulauan pilihan raya. Dan tidak ada gunanya pilihan raya kalau tiada kebebasan berkempen.

Bagi mengelakkan tiada langsung pemilihan, maka calon yang tidak dikehendaki oleh kampus yang telah mendaftar menjadi calon, tiada kebebasan pula untuk menarik diri dari pertandingan. Penarikan diri sebelumnya dibenarkan malah digalakkan kepada kumulan yang tidak dikehendaki itu.

Apa punya gila sekarang pihak penguasa kampus marah pula kepada pelajar-pelajar yang tidak mahu menyertai pemilihan yang tidak sihat itu. Orang-orang yang menganjurkan pemulauan itu tidak terlepas dari ancaman pihak atas. Mungkin mereka akan disoal.

Seorang pelajar UIA mengemukakan petisyen ke mahkamah. Kempus dan pengendali pimilihan boleh diheret.

Budak yang berani itu dikatakan ssedang menghadapi tekanan. Mungkin dia tidak selesa lagi belajar di situ.

Apa sudah jadi dengan universiti kita? Dulu kampun-kampus di bawah Saddam dan Ghadafi berdekat-dekat berada dalam ketakutan. Budak-budak Iraq dan Libya mulai keluar dari alam itu, ia pindah ke kampus-kampus Malaysia. Dulu Di Soviet dan Tanah Besar China mengalami tekanan demokrasi kampus. Kini ia mula berkembang di Malaysia.

Tidak perlu ada komunis untuk melahirkan suasana terkongkong dalam masyarakat. Tidak perlu wujud system pasis untuk menakutkan masyarakat. Tidak perlu dictator menyekat kebebasan bergerak dan bersuara. Memadai dalam sebuah Negara merdeka dan demokrasi yang wujud rakyat tidak berdaulat, sudah memada menjadikan rakyat takut, moyok dan sentiasa rasa tertindas.

Sepatutnya wujud kementerian pelajaran tinggi dapat melahirkan kampus Oxford, Cambridge dan Sorbonne, tetapi menteri dan kementeriannya sedang membina kampus Kemas di semua universiti dan kolej.

Universiti kita nampaknya akan mengeluaarkan lebih banyak robot bernyawa dari melahirkan ilmuan bermtu. Kata Perdana Menteri, yang dicarinya Asy Syafie dan Al Ghazali, tetapi yang diberi oleh diberi oleh universiti-universitinya ialah Ar Roboti.

SeTAPAK
03/10/2005