Subky Abdul Latif

Wednesday, October 26, 2005

BERITA BAIK PENGIDAP KANSER

SELURUHnya pilu dan simpati atas pemergian Datin Seri Endon Mahmood bersama penyakit barah payu daranya pagi 16 Ramadhan lalu. Pemergiannya sentiasa dikira sebagai kembali ke pangkuan kerahmatan Allah.

Hikmat pemergiannya bagi rakyat tidak hilang begitu saja, sebaliknya ada rahmat juga terutama kepada usaha memerangi penyakit barah.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai duda Al-Marhumah mengumumkan di Parlimen sempena usul takziah atas pemergiannya, mengumumkan untuk mempergiat tindakan anti barah samping memberi rawatan intensif yang semurah mungkin.

Semurah-murah rawatan barah tetap mahal terutama apabila kerajaan itu sendiri menganut sikap pro kapitalis. Tetapi yang disarankan oleh Perdana Menteri itu ialah supaya ia jauh murah dari kos semasa dalam pasaran rawatan.

Gerakan anti barah itu tidak sekadar dalam aspek rawatan, malah meliputi penyelidikan dan pencegahan.

Inilah yang dinamakan resam dunia. Setiap kejadian itu buruk bagi setengah orang tapi baik pula bagi yang lain.

Kematian Datin Seri Endon, berita duka bagi Perdana Menteri dan keluarganya, tetapi ekorannya ada rahmat dan nikmat pula oleh seluruh penduduk. Tetapi ini tidak bererti rakyat suka orang-orang terkemuka acap menemui ajal bagi memungkinkan rakyat beroleh sesuatu nikmat. Tetapi itulah hakikat setiap kejadian itu baik untuk setengah dan duka untuk setengah yang lain.

Bagaimanapun sesuatu rancangan yang baik dibuat tanpa menunggu sesuatu ketakjuban seperti matinya orang-orang ternama.

Misalnya kalau dirasakan sesuatu perlu dibuat untuk memperkasa mutu filem Melayu, maka lancer segera tindakan ke arah itu, jangan tunggu P.Ramlee mati atau Senator Jins Shamsuddin mati.

Dalam melaksanakan saranan Perdana Menteri, langkah terdekat dan segera yang boleh dilakukan ialah memberi rawatan terbaik kepada pengidap barah. Peralatan dan kemudahan terbaik perlu dilengkapkan semula bagi Hospital Kuala Lumpur.

Hospital itu pernah punya kemudahan terbaik tetapi telah dipindahkan ke Hospital Putra Jaya yang kebetulan ketika itu isteri Perdana Menteri memerlukan rawatan yang terbaik. Ada keperluan mendadak bagi Hospital Putra Jaya memiliki persiapan yang sempurna.

Tetapi keperluan bagi Hospital Kuala Lumpur yang lebih padat penduduk dan t tentunya lebih ramai pengidap kenser tidak pula wajar dikurangkan perhatiannya.

Untuk beberapa ketika sebelum ini pesakit yang prnah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur terpaksa berulang pula ke Hospital Putra Jaya disebabkan pemidahan kelengkapan terpenting termasuk pakarnya. Pakar tidak cukup.

Pesakit di Lembah Kelang tentu lebih ramai dari pesakit Putra Jaya. Maka apakah yang ramai terpaksa pergi ke Putra Jaya atau yang sedikit perlu ke Kuala Lumpur?

Ia tidak wajar berbangkit lagi. Tidak berbangkit kelengkapan di Putra Jaya dipindahkan semula ke Kuala Lumpur, tetapi Kuala Lumpur serta tempat-tempat lain dilengkapkan.

Malaysia perlu pakar secukupnya. Dalam keadaan kekurangan pakar, rawatan bagi sebahagian pesakit tertangguh kerana doctor pakar terpaksa berada di Los Angeles bagi merundingkan rawatan Al-Marhumah.

Langkah meramaikan pakar perlu diambil tindakan. Antaranya mewujudkan seramai-ramai pakar. Langkah menukar pengajian sains dan matematik melalui bahasa Inggeris telah menunjukkan tanda-tanda kemerosotan prestasi pencapaian pelajar dalam bidang itu.

Sejak langkah memertabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, saintis dan doctor Melayu meningkat dan menggalakkan. Suatu perubahan besar dalam pencapaian orang Melayu khususnya jika dibandingkan dengan masa sebelum merdeka.

Apabila jarun jam diputar semula ke belakang, prestasi pencapaian pelajaran merosot entah untuk berapa lama. Ini akan menyebabkan kempen anti kenser ikut tergendala. Sebelum terlambat, Datuk Seri Abdullah Badawi terpaksa pejam mata, mengambil langkah mengembalikan semula pengajian dalam Bahasa Melayu dan ketika yang sama memertabatkan semula bahasa ibunda itu.

Sementara itu pengukuhan bahasa Inggeris perlu ditingkatkan mengikut keperluan Negara. Tetapi tidak semestinya seratus peratus rakyat Malaysia mesti menguasa bahasa Inggeris seperti Prof. Ungku Aziz.

Bertutur lebih dari bahasa adalah baik. Nabi Idris a.s. dalam menjalankan tugas kenabiannya telah menguasai 72 bahasa pada zamannya.

Penggunaan Bahasa Melayu telah dikenal pasti sebagai satu daya ramai rakyat menjadi saintis dan pakar. Oleh itu jangan teragak-agak bertindak cekap kerana bilangan penyakit kenser bertambah dan bilangan wanita diserang barah pau dara lebih tinggi.

Kita tidak boleh bergantung kepada pakar dan penyelidik asing. Mereka boleh pergi ke tempat yang banyak rezeki. Lulusanya nanti menjadi bakal penyelildik bagi mencegahnya dan bagi mengesan dan mengawal penyakit itu pada peringkat awal.

Satu kes terhadap seorang jururawat yang diserang barah payu dara. Sebagai jururawat, dia syak sendiri dia sudah diserang penyakit itu. Dia segera mendapatkan nasihat doctor. Tetapi doctor yang tidak cukup pengetahuan dan pengalaman ini tidak dapat mengesan dan tidak dapat mengeahkan dia sudah kena barah.

Apabila tidak dirawat, ia membesar. Apabila beberapa ketika kemudian dia mendapatkan nasihat doctor, dia diberitahu doctor mengapa lewat sangat jumpa doctor? Ia sudah sukar dirawat. Doktor pakar yang ada terpaksa berulang pula ke Los Angeles.

Kekecewaan jururawat itu sudah tidak lagi atas kenser yang tidak mengenal mangsa itu, tetapi ialah kerana tidak dapat pertolongan doctor yang cukup ilmu. Dia pergi setahun dulu dari Datin Seri Endon.

SeTAPAK
26/10/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home