Subky Abdul Latif

Thursday, October 20, 2005

BUSH ADAKAN BERBUKA DI RUMAH PUTIH

DARI kaca mata Islam, malah dari sisi pandangan umum masyarakat dunia, George W. Bush adalah seorang pengganas juga. Dia seolah-olah menjadi ketua memerangi pengganas, tetapi dia pun pengganas juga.

Rumah Putih dan Pantagon adalah pusat menentang apa yang dikatakan pengganas antara bangsa dalam braket Islam. Secara umumnya dia memerangi Islam.

Dalam rangka menentang Islam itu Bush mengadakan majlis berbuka puasa di Rumah Putih untuk tokoh-tokoh terkemuka Islam di Amerika dan diplomat-diplomat Islam. Biarkanlah dia dengan tujuannya mengadakan majlis berbuka puasa itu.

Yang jelas dia tidak berpahala mengadakan majlis itu walaupun dia menjamu orang Islam berpuasa. Samalah halnya dengan orang-orang jahiliyah di Mekah sebelum Islam menjamu jemaah haji di Baitullah. Mereka mengadakan peruntukan besar menjamu tetamu Rumah Allah, tetapi tidak mendapat pahala.

Bagaimana puak jahiliyah itu benar-benar ikhlas kepada tetamu dari luar, tetapi Bush dipercayai tidaklah setia dengan tetamunya. Dia cuba melemahkan tetamunya supaya jangan mendekati sebarang getakan Islam yang bercita-cita mendaulatkan Islam.

Niatnya tidak perlu dibimbangkan kerana orang yang berpuasa itu tahu siapa yang menjamu mereka.

Tetapi orang-orang yang berpuasa itu tidaklah sekadar berbuka, tentulah mereka solat maghrib di pusat operasi menentang Islam itu. Maka di luar rancangan orang Islam, orang Islam sudah solat berjamaah di Rumah Putih. Ia perancangan Allah. Bush beroperasi dengan rakan-rakannya untuk memusnahkan Islam dan umat Islam, tetapi Allah menghantar umat Islam sembahyang di Rumah Putih.

Tentulah Bush menyaksikan azan digemakan di Rumah Putih dan menyebabkan segala syaitan yang dirantai di dinding dan tiang-tiang Rumah Putih itu amat tersiksa melihat dan menyaksikan akhirnya dapat juga suara azan dan solat membesarkan Allah berlaku di Rumah Putih.

Rumah Putih itu wujud adalah natijah kempen orang Sepanyol yang mengalahkan kerajaan Islam Kardoba. Missi gerakan Salibiyah Sepanyol yang menang itu menjelajah menyeberangi lautan memburu umat Islam di mana saja di dunia.

Rombongan Christoper Colombus tiba ke Amerika diikuti oleh rombongan lain dari Eropah lalu menegakkan negara Amerika. Maka Rumah Putih didirikan sebagai kediaman Presidesnnya. Hari ini Rumah Putih adalah dalam gelombang baru di bawah Bush menjalankan kempen menentang Islam atas nama memerangi keganasan.

Begitu kuat tekadnya melumpuhkan kebangkitan Islam, dia membawa orang Islam masuk ke Rumah Putih dan terpaksa mendengar azan dan membiarkan orang Islam solat di kediamannya. Kalau tidak kerana kempennya terhadap Islam, mungkin tiada lagi kesempatan seruan Islam yang bermukjizat itu dapat dikumandangkan di situ.

Tidakkah pemergian tetamu Bush ke Rumah Putih itu menyamai pengiriman Nabi Musa ke istana Firaun? Firaun mengumpulkan kekuatannya bertahun-tahun untuk membunuh bayi Musa yang diramalkan untuk membinasakan empayar Firaun. Tiba-tiba Musa hanyut di depan istananya dan membesar di istana.

Yang melembutkan hari Firaun bersetuju membesarkan Nabi Musa membesar di istananya ialah Allah. Dan yang membuka hati Bush untuk menjamu umat Islam berbuka dan solat di Rumah Putih adalah Allah. Allah mendorongkan diplomasi Bush untuk membawa orang berpuasa masuk ke Rumah Putih dan mereka menggunakan diplomasi itu azan dan boleh menyembah Allah.

Bush berusaha menyekat kalimah Lailaha illallah berkembang di seluruh dunia tetapi Bush tidak dapat menyekat kalimah itu dikumandangkan dalam azan di kediamannya. Tidakkah Bush itu bodoh lagi bebal?

Azan sudah bergema di Rumah Putih. Ia dibawa oleh Bush yang bodoh macam Aad, Namrud dan Firaun. Bush sudah membawanya masuk ke kediaman Presiden Amerika dan dia tidak boleh tidak anjurkan berbuka puasa sekali lagi Ramadhan depan. Dan masakan ia boleh disekat lagi selagi Ramadhan datang setiap tahun.

Malah selepas ini diplomasi Amerika patut membawa suara azan itu lebih kerap ke dalam Rumah Putih walaupun Bush pergi secara terhina selepas ini.

Inilah yang dinamakan Bush meracang, tetapi Allah Maha Meracang, rancangan Allah itu yang menang. Musa dan Harun disuruh Allah pergi bertemu Fraun, katakanlah kepadanya iaitu Firaun, sembahlah Allah! Jika enggan, azab akan ditimpakan ke atasnya.

Orang-orang yang berbuka di Rumah Putih itu bukan nabi dan bukan rasul, maka mereka pergi ke Rumah Putih atas undangan Bush. Kerana mereka tidak nabi dan tidak rasul, maka tidaklah diperintahkan untuk bercakap kepada Bush, sembahlah Allah dan tinggalkan segera ssembahan ke atas yang selain daripadaNya.

Tetapi mesej Islam sudah sampai ke Rumah Putih. Di tangan Bush sekarang sama ada mahu mengukuhkan empayarnya atau membiarkan ia runtuh. Tentangan kepada Bush mulai merata. Bangsa Amerika atau kaum Bush kini dalam dilemma dan akan diruntuhkan oleh tamadun yang kosong. Mereka sudah runtuh akhlak dan hanyut dalam lupa daratan. Kekayaan Negara ditarik Allah melalui perang, perang dan perang.

Keperkasaan Amerika boleh dikukuh dengan berserah diri kepada Allah. Alah telah memberi rahmaNya kepada kaum Bush. Jika tidak bersyukur dan tidak menyembah Allah, maka jangan terperanjat keperkasaan itu diruntuhkan Allah.

Bush tidak boleh menyerang dan memfitnah Islam, kerana ia sama seperti memfitnah Allah. Orang Islam yang menjadi tetamu Bush itu boleh membantu Bush bertaubat.

SeTAPAK
20/10/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home