Subky Abdul Latif

Wednesday, October 19, 2005

YA PAS ITU HADHARI TAPI BUKAN PAS HADHARI

JIKA kerana tersasul atau apa jua, Timbalan Menteri Penerangan terkata, PAS adalah hadhari atau PAS itu hadhari atau sikap PAS adalah hadhari, maka kata-kata itu adalah betul dan ia satu penghormatan kepada PAS.

Tetapi ada yang mengira PAS itu adalah PAS hadhari maka ia tidak boleh diterima dan tidak boleh dibiarkan. Jika dimeterai PAS adalah PAS hadhari, maka ia sudah merakamkan ada PAS badawi, sedang PAS adalah sebuah gerakan Islam yang indah dan cantik.

Kalau ada ahli-ahli PAS yang sewel, merepek atau suka berjoget, maka itu adalah kelemahan ahli-ahli PAS. Ia bukan kelemahan PAS atau bukan PAS badawi, tetapi PAS boleh cacat kerananya.

Itulah sebabnya kalau orang UMNO terjumpa anak-anak orang PAS berperangai tidak senonoh seperti tidak puasa, tidak ke surau waktu maghrib, maka dia akan berkata, anak orang PAS tidak begini.

Atau kalau ada dalam PAS berebut jawatan atau membeli undi, maka orang UMNO akan kata, ‘Ini bukan cara PAS,’ atau mereka akan kata, ‘PAS pun sama macam UMNO juga.’

Mengapa mereka berkata begitu atau bersangka begitu? Ia adalah PAS itu dirasakan mesti lain dari UMNO dan orang UMNO secara tidak disedari terasa PAS itu adalah baik dan mesti baik. Sebenarnya itu satu pengiktirafan dan penghormatan.

Boleh dikatakan pada masa ini UMNO pun tidak percaya UMNO itu baik bagai yang dikata dan disangka. Tetapi UMNO itu tetap dipertahankan kerana ia saja pada masa ini alat yang ada untuk berkuasa.

Maka itulah agaknya baru-baru ini Tun Ghafar Baba pernah berkata, UMNO boleh dilelong. Jika ia disenaraikan di papan bursa saham, maka pemian saham boleh berebut-rebut membidanya.

Di masa-masa lalu UMNO tidak pernah bercakap elok tentang PAS dan PAS adalah parti yang tidak boleh didekati dan jauh sekali disamakan dengan UMNO.

Tetapi sekarang UMNO cuba menyamakan PAS itu dengan UMNO.. Dr. Abdullah Zain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam temu bualnya dalam TV, bila ditanya tentang PAS, dia menyebut PAS dulu begitu dan begini, tetapi sekarang tidak lagi. Ia sudah nak jadi macam UMNO. Ia adalah bukti UMNO itu betul.

Timbalan Menteri Penerangan pula bila mengulas tentang langkah kerajaan Kelantan menganjurkan konsert Mawi alternatif, menyebut sikap PAS sudah hadhari. Ia sudah menerima system yang UMNO tunjukkan selama ini.

Aliran dalam UMNO sekarang atau sejak bebeapa tahun ke belakangan ini adalah cuba menyamakan PAS dengan UMNO. Ini bukan kerana ia mahu mendekatkan UMNO dengan PAS, tapi mahu menyekat UMNO dan orang ramai memikirkan tentang kebaikan dan relevensinya PAS.

Orang-orang UMNO yang tidak berada ada kepentingan dan tidak fanatic kepada UMNO, apabila terasa salah dan bosan berada dalam UMNO, maka mereka memikirkan yang baik di luar UMNO. Maka apabila mereka terdesak dalam UMNO dan mereka rasa perlu bebas dari UMNO, maka pilihannya ialah PAS.

Dan dalam PAS mereka mendapat tempat juga dan mereka boleh pula membuat kebaikan seperti dalam UMNO atau apa yang dulunya tidak boleh dibuat dalam UMNO.

Contohnya ialah Dato Hishamuddin Yahya dan Dato Kamaluddin Jaafar. Mereka ada tempat dalam UMNO dulu. Dalam PAS pula mereka dapat tempat juga, malah kedudukan dalam PAS itu lebih penting dari kedudukan dalam UMNO dulu.

Moga-moga mereka terasa benar-benar selesa dalam PAS dan tidak terasa sama PAS itu dengan UMNO. Kalau PAS dapat dirasakan berlainan dan selesa, maka ia boleh menggalakkan lain-lain orang baik dalam UMNO lari dan menyertai PAS.

Zaharin Yassin adalah aktivis UMNO bercakap bebas. Dia pernah merasakan PAS tidak sama dengan UMNO dan mahu tidak sama itu dikekalkan. Dia menegur ketulusan PAS memberi laluan kepada calon dari S46 dan KeADILan bertanding menentang calon UMNO.

Orang memberontak dalam UMNO itu kerana tidak yakin dengan UMNO. pilihan mereka ialah PAS. Tapi kalau yang melawan calon UMNO itu orang UMNO juga, sama jahat dengan UMNO yang, maka baik mereka sokong UMNO saja.

Sebelum Anwar Ibrahim menyertai UMNO, rata-rata cerdik pandai, pegawai kerajaan dan orang-orang baik dalam UMNO terasa bahawa perjungan cara Islam saja yang dapat menyelesaikan hal-hal kronik Negara. Yang berjuang atas garis Islam hanya PAS. Maka PAS itu adalah alternatif.

Tiba-tiba Anwar masuk UMNO dan menyuarakan untuk membuat Islam dalam UMN0. Dengan tindakan Anwar itu orang terasa UMNO sudah macam sama dengan PAS. Anwar dirasakan lebih tahu dan dengan pengalaman mentadbir UMNO yang kukuh itu dan ia berkuasa, maka ia lebih berupaya meleksanakan apa dihajati. Habis orang-orang bersangka baik tentang PAS tadi masuk UMNO.

Beberapa tahun kemudian mereka pun jadi macam UMNO yang lain-lain juga, maka apabila berlaku sesuatu ke atas Anwar, Dato KJ saja yang keluar UMNO masuk PAS. Yang lain sangkut kerana sedap dengan UMNO.

Selama-lamanya UMNO menggunakan taktik memerangkap orang ramai dan orang PAS untuk masuk dalam UMNO supaya boleh membuat kebaikan yang cuba dibuat dalam PAS itu dibuat dalam UMN0. UMNO juga mahukan kebaikan tetapi siapa yang hendak membuatnya kerana mereka masuk PAS.

Jawapan orang PAS ialah tak boleh membersihkan tong najis dengan memasuki tong najis. Ia kena basuh dari luar.

Orang seperti Tan Sri Yusuf Nor dan Tan Sri Abd Hamid Othman bersetuju menyertai UMNO. Masa mereka berada dalam UMNOlah Tun Ghafar kata UMNO patut dilelong. Mereka sudah sama sseperti UMNO yang lain-lain seolah-oleh melihat ketayap putih pun genyi.

UMNO kini mendapati satu modal baru dengan kerjasama Mawi dengan kerajaan Kelantan dan diterima oleh PAS dalam mempromosikan hiburan alternatif. Kata UMNO ia adalah bukti PAS sudah hadhari.

Pemimpin PAS karang buku menolak Islam Hadhari. RTM dan media mengira penerimaan PAS kepada konsert Mawi menyanggah pandangan pimpinan PAS menolak Islam Hadhari.

PAS Kelana Jaya, Petaling Jaya, Subang Jaya, Putra Jaya, Ampang Jaya, Seberang Jaya dan lain-lain akan bertungkus lumus untuk mempertahankan PAS dengan menangkis serangan media atas tohmah PAS sudah hadhari, bukan lagi badawi. Contohnya ialah konsert Mawi.

PAS Kelana Jaya dan lain-lain akan berjaya melawan kempen menyamakan PAS dengan UMNO tetapi ternyata kerja PAS bertambah.

SeTAPAK
19/10/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home